Khamis, 3 Januari 2013

ISU ALAM SEKITAR : Alam sekitar mangsa kerakusan manusia


Oleh : Rejal Arbee

Pertingkat kesedaran jaga kebersihan

Kita memasuki tahun baru ini dengan harapan alam sekitar kita secara keseluruhannya dapat dipelihara dengan lebih baik yang mana pencemaran berada pada tahap paling minimum. Persoalannya, bolehkah rakyat secara keseluruhannya mengharapkan keadaan sedemikian ini?

Tentunya kita mahukan alam semula jadi anugerah Allah tidak berterusan terjejas hanya kerana kerakusan kita mahukan pembangunan tanpa menghiraukan kesannya ke atas alam dan persekitaran.

Pembangunan sememangnya perlu dilaksanakan demi pertumbuhan ekonomi untuk mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat. Tetapi, tentunya ia harus dilaksanakan secara lebih prihatin dan teratur supaya alam persekitaran yang terpaksa dijejaskan berlaku pada tahap paling rendah. Malangnya, beberapa kejadian yang berlaku menjelang akhir tahun lalu menunjukkan sekali lagi bagaimana pembangunan yang tidak menepati kehendak persekitaran dan peraturan boleh membawa padah.

Pembangunan di lereng bukit

Kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan perumahan berterusan dan setiap kali ia berlaku, pihak berwajib akan menubuhkan jawatankuasa atau pasukan petugas untuk mengkaji apa yang berlaku dan mahu memastikan ia tidak akan berulang.

Sudah banyak kejadian tanah runtuh berlaku dalam negara ini dan sudah banyak pasukan petugas ditubuhkan. Malangnya, pembangunan di lereng bukit dan di atas bukit berterusan dilaksanakan tanpa mengendahkan pelbagai peraturan ditetapkan.

Pihak berwajib juga berterusan memberikan permit membenarkan pembangunan demikian. Nampaknya, kita masih tidak mahu belajar atau mengambil iktibar daripada pelbagai kejadian tanah runtuh demikian.

Tentunya tanah runtuh di Bukit Setiawangsa di Kuala Lumpur minggu lalu bukan yang terakhir berlaku jika dilihat dari pembangunan di lereng bukit dan di atas bukit yang berterusan di mana-mana, termasuk di Pulau Pinang dan di Taman Templer. Apa agaknya yang mendorong kita mahukan rumah di lereng bukit atau di puncak bukit?

Demikian juga sikap kita terhadap sungai yang berterusan dilanda pencemaran. Sudah berapa banyak sungai kita yang mati dan tidak lagi berfungsi seperti ditetapkan alam.

Kempen ratusan juta ringgit

Pelbagai usaha dan kempen yang membabitkan perbelanjaan ratusan juta ringgit untuk membersihkan sungai kita di seluruh negara yang sudah pun dilaksanakan. Tetapi hasilnya tetap tidak boleh dibanggakan kerana lebih 1,000 sungai dalam negara ini berterusan menghadapi ancaman pencemaran gara-gara tindakan dan sikap kita.

Walaupun sudah ramai rakyat sedar pentingnya persekitaran, khususnya sungai kita dapat dipelihara baik, sikap kita terhadap sungai tetap tidak berubah. Majoriti rakyat berterusan menganggapnya sebagai tempat membuang sampah.

Ramai juga tidak mengambil kisah bahawa segala macam benda buangan dan cucian dari dapur akhirnya mengalir melalui parit dan pelbagai saluran lain ke dalam sungai.

Hal ini berlaku bukan saja di rumah tetapi pelbagai macam sisa buangan, termasuk sisa kimia dan toksik dari pelbagai kilang serta premis perniagaan dan perdagangan, termasuk bengkel baiki kereta semuanya akan berakhir memasuki sungai kita.

Bahkan bangkai babi pun pernah dibuang penternak yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai seperti berlaku dekat Batang Berjuntai dan di Sungai Sepang ketika penternakan haiwan itu berleluasa di Bukit Pelandok, Tanah Merah Estate, Batu Dua Sepang dan Sungai Pelek.

Punca utama pencemaran

Tiga punca utama pencemaran sungai ialah sampah sarap, sisa biologi aktiviti penternakan serta buangan domestik dan bahan kimia daripada sisa industri.

Faktor lain yang menambah buruk lagi pencemaran sumber air itu ialah kepesatan pembangunan, pertambahan penduduk dan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat aktiviti mereka yang boleh mengganggu keseimbangan alam sekitar.

Oleh itu, tidak menghairankan kenapa keadaan sungai kita berterusan bertambah buruk dan banyak sungai yang mati yang mana airnya sudah tidak lagi boleh mengalir dan menjadi busuk.

Dua kempen besar-besaran sudah pun dilaksanakan sejak 1993 dengan kempen ‘Cintai Sungai Kita’ dan dikuatkan lagi dengan satu lagi kempen ‘Satu Sungai Satu Negeri’ untuk membersihkan sebuah sungai dalam sebuah negeri pada 1997.

Tingkatkan kesedaran masyarakat

Malangnya, selepas berlangsung selama dua dasawarsa dan berjuta-juta ringgit dibelanjakan, apakah hasilnya? Kini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang merancang untuk mengadakan satu lagi kempen dalam usaha berterusannya untuk memelihara sistem sungai dalam negara.

Sebenarnya yang penting ialah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kebersihan sistem saliran dipelihara. Malangnya, ramai tidak sedar kebanyakan sungai di negara ini berdepan pencemaran teruk dengan kebanyakan punca daripada sikap dan aktiviti harian manusia yang tanpa segan silu menjadikan sungai sebagai ‘lebuh raya’ sampah hingga mengganggu keseluruhan sistem ekologi.

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Wujudkan sekolah berteraskan perniagaan, keusahawanan


Oleh : Rohami Shafie 

Sesi persekolahan 2013 sudah bermula. Bagi yang memperoleh kesemua A dalam UPSR, mereka ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Namun demikian, tempatnya amatlah terhad, maka bukan semua pelajar yang cemerlang UPSR dapat tawaran kemasukan ke SBP. Ini belum diambil kira murid-murid miskin yang setakat memperoleh 2A atau 3A sahaja.

Bagi penulis mereka ini lebih cemerlang berbanding murid-murid yang datangnya daripada keluarga kaya raya dan memperoleh 5A. Mereka ini tidak boleh sesekali diabaikan.

Penulis mengesyorkan agar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah vokasional diperkasakan sehebat SBP, di samping membina lebih banyak SBP di pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak berbanding kini yang kebanyakannya berada di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya, Seremban dan Johor Bahru.

Ini bagi memberi pendidikan terbaik kepada pelajar miskin yang tidak dapat memasuki SBP Premier yang kebanyakannya berada di bandar-bandar besar.

Di samping tumpuan terhadap pelajar yang cemerlang peperiksaan, golongan pelajar majoriti yang tidak bijak dalam peperiksaan juga tidak seharusnya dipinggirkan. Jika dipinggirkan, dibimbangi mereka akan terjebak dengan masalah sosial.

Mereka ini mungkin kurang cemerlang dalam peperiksaan tetapi dalam hal-hal lain mereka mungkin lebih cemerlang berbanding yang memperoleh semua A. Perlu diingat, setiap insan ada kekuatan tersendiri.

Justeru, penulis ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar mempelbagaikan jenis sekolah di Malaysia dengan menubuhkan sekolah berteraskan perniagaan dan keusahawanan kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan.

Mereka ini rata-ratanya tidak begitu berminat dengan pembelajaran berteraskan peperiksaan semata-mata, di samping tidak mempunyai keupayaan untuk memilih profesion elit seperti doktor, akauntan dan jurutera.

Bagi pandangan masyarakat majoriti, profesion elit sebeginilah yang menjamin masa hadapan anak-anak mereka walhal menurut Islam sumber utama kekayaan datangnya daripada perniagaan.

Malangnya di Malaysia, kursus-kursus perniagaan hanya diajar di peringkat universiti. Sewajarnya generasi muda didedahkan dengan asas perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Kalau kita teliti rata-rata ahli-ahli perniagaan yang berjaya telah memulakan perniagaan sejak berumur belasan tahun lagi.

Mereka ini tidak dilatih secara formal dan hanya mempelajari selok-belok perniagaan dan keusahawanan melalui pengalaman sendiri. Pengalaman inilah yang amat berguna kepada mereka untuk menjadi usahawan dan ahli korporat yang berjaya dan kaya raya.

Namun demikian, terdapat ramai juga yang tidak berjaya dalam perniagaan. Kebanyakan mereka ini mempunyai azam untuk berjaya dalam perniagaan, malangnya mereka tidak diterapkan dengan pelbagai disiplin ilmu perniagaan umpamanya bagaimana untuk mengurus kewangan perniagaan dengan baik.

Ambil contoh terdapat ahli-ahli perniagaan yang baru setahun dua berniaga mengggunakan wang keuntungan perniagaan untuk membeli kereta mewah bagi tujuan peribadi. Wang keuntungan ini sepatutnya dilabur semula untuk memperkembangkan lagi perniagaan.

Ini baru bercakap mengenai modal belum lagi bercakap tentang bagaimana untuk membuat pelaburan dengan bijak supaya tidak mudah ditipu dengan orang lain.

Di samping menguasai ilmu pengurusan kewangan, para pelajar juga sewajarnya didedahkan dengan prosedur yang betul untuk menubuhkan perniagaan. Kursus seperti ini akan membolehkan mereka mengetahui apakah jenis perniagaan yang mempunyai prospek yang baik pada masa hadapan.

Umpamanya, mereka boleh didedahkan dengan perniagaan tani dan penternakan. Dalam perniagaan tani dan penternakan pula terdapat banyak cabang perniagaan yang boleh didedahkan kepada mereka. Malahan, aspek inovasi dan kreativiti serta teknologi maklumat dan komunikasi sewajarnya ditekankan dalam bidang perniagaan sebegini agar dapat menjana pendapatan lumayan di samping menampung permintaan pasaran tempatan.

Ini baru beberapa subjek yang wajib diperkenalkan di sekolah yang berteraskan perniagaan dan keusahawanan. Terdapat banyak lagi kursus yang boleh diajar kepada mereka. Sesi pembelajaran pula bukan setakat teori sahaja tetapi juga mereka sewajarnya didedahkan dengan dunia perniagaan sebenar.

Yakinilah, jika sekiranya sekolah sebegini berjaya kelak, ia akan melahirkan lebih ramai lagi ahli perniagaan dalam kalangan generasi muda pada masa akan datang, bahkan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat serta memperkasakan lagi keupayaan ekonomi Malaysia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/