Khamis, 4 Ogos 2011

ISU KEPENGGUNAAN : Merungkai kos hidup tinggi


Oleh ROHAMI SHAFIE

Akhirnya, kerajaan mengumumkan satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang amat penting untuk rakyat iaitu Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat.

Walaupun sepatutnya isu ini menjadi agenda paling utama bagi kerajaan dari awal lagi sejak pengumuman enam NKRA, namun masih belum terlewat untuk kerajaan menangani kos sara hidup yang begitu tinggi tatkala ini.

Isu ini ialah isu global, Malaysia juga terkena tempiasnya. Bagaimanapun, masih ada caranya untuk menanganinya apabila meneliti secara terperinci punca-punca kenaikan kos sara hidup rakyat Malaysia.

Merungkai punca-puncanya barulah setiap permasalahan kos sara hidup rakyat dapat di atasi dengan baik.

Antara penyumbang utama kenaikan kos ialah sikap tamak segelintir peniaga yang menguasai pasaran negara. Mereka mempunyai kuasa untuk mendesak kerajaan untuk menaikkan harga. Jika kerajaan tidak mengikut kata-kata mereka, mereka tetap akan menaikkan harga.

Sebelum itu, mereka akan memberi seribu satu alasan untuk menaikkan harga. Alasan paling mudah, stok tak mencukupi atau tekanan harga di luar kawalan dek kerana terpaksa mengikut harga import.

Rakyat mengetahui perkara ini tetapi apakan daya mereka tidak mempunyai kuasa untuk menekan peniaga-peniaga yang tamak ini. Mengharapkan persatuan-persatuan pengguna pun mereka tidak disokong sepenuhnya oleh rakyat sedangkan jika rakyat bersatu melalui persatuan-persatuan pengguna, peniaga-peniaga yang tamak ini akan gerun dan merasai tekanannya.

Walhal, di Malaysia perkara ini tidak berlaku, maka, peniaga-peniaga ini menjadi angkuh kerana cukup kuat untuk mengenakan tekanan kepada kerajaan dan rakyat melalui kuasa monopolinya.

Kita jangan sesekali salahkan peniaga-peniaga kecil kerana mereka ini hanya mengaut keuntungan yang kecil. Yang perlu dipantau dan diambil tindakan tegas ialah terhadap peniaga-peniaga monopoli.

Pecahkan monopoli mereka sebanyak yang mungkin. Lagi banyak peniaga besar, lagi baik untuk rakyat. Dengan cara ini, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri dan akhirnya mereka tidak boleh menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati.

Selain itu di Malaysia terlalu banyak lapisan atau 'orang tengah' dalam kalangan peniaga. Setiap mereka ingin mengaut keuntungan. Natijahnya, pengguna akhir terpaksa membayar segala 'keuntungan' bagi setiap lapisan ini.

Penulis mencadangkan agar kurangkan lapisan ini. Seboleh-bolehnya hanya tinggal satu lapisan sahaja, iaitu barangan dibekal terus kepada pengguna akhir. Bukan sahaja rakyat dapat manfaatnya tetapi negara juga boleh menambahkan peniaga-peniaga tulen yang bukan menempel sebagai peniaga orang tengah sahaja.

Kerajaan boleh mempergunakan sepenuhnya agensi-agensi kerajaan seperti Felda. Bahkan tidak salah sekiranya kerajaan menggerakkan seluruh koperasi di Malaysia sebagai pembekal utama barangan kepada rakyat.

Lagi pun, NKRA ini sememangnya di bawah tanggungjawab Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Melalui kementerian ini, kajian secara teliti perlu dibuat untuk mendapatkan bilangan sebenar barangan keperluan rakyat Malaysia.

Sistem subsidi juga wajar dikekalkan pada tahap yang sepatutnya. Selain itu, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga wajar ditangguhkan sehingga rakyat benar-benar mampu menyerap tekanan harga.

Pada masa ini, lebih baik kerajaan fokus secara mendalam kos kehidupan rakyat yang semakin tinggi berbanding untuk mempertingkatkan pendapatan negara melalui pelaksanaan GST.

Kajian juga seharusnya dijalankan bagi setiap kawasan di Malaysia dan bukan sahaja melibatkan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Ini kerana ada kawasan yang mana harga barangan terutamanya makanan lebih kurang sama seperti bandar-bandar besar walhal ia boleh dikategorikan sebagai kawasan yang kurang maju.

Ambil contoh Terengganu. Berbanding Kedah, harga makanan di Terengganu jauh mahal. Apakah puncanya? Tiada lagi persepsi bahawa hanya di bandar-bandar besar sahaja kos sara hidup cukup tinggi.

Justeru, tindakan paling segera yang boleh kerajaan laksanakan ialah memperbanyakkan Kedai Rakyat 1Malaysia di seluruh negara. Penulis juga ingin mencadangkan agar kerajaan mewartakan seluruh pasar basah dan pasar borong sebagai pasar harga patut seumpama Kedai Rakyat 1Malaysia.

Selain barangan dan makanan, satu lagi punca kos sara hidup yang tinggi ialah harga rumah dan kenderaan yang tinggi. Rakan penulis yang merupakan seorang pemaju perumahan pernah menyatakan keuntungan bagi setiap rumah banglo ialah dalam lingkungan RM30,000-RM40,000 dan ini menyebabkan pemaju perumahan lebih berminat untuk membangunkan rumah mewah berbanding rumah mampu milik kerana keuntungan yang amat tinggi.

Sekali lagi, kerajaan perlu mengawal harga rumah. Jangan sesekali membiarkan sistem pasaran bebas menguasai harga rumah di Malaysia. Itu baru bab rumah. Belum lagi kenderaan.

Harga kenderaan di Malaysia juga masih tinggi berbanding luar negara sehingga ada pembeli terpaksa berhutang selama 9 tahun. Apabila habis membayarnya, kereta pun sudah tidak begitu elok. Terpaksalah membeli sebuah lagi. Jadi, terpaksalah menanggung hutang sehingga ke tua.

Tekanan ini bukan sahaja dirasai oleh golongan berpendapatan rendah tetapi juga bagi golongan berpendapatan sederhana. Kerajaan perlu memerangi kos kehidupan rakyat yang tinggi dengan mengambil kira tekanan yang dirasai oleh dua golongan ini.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Semangat patriotik mesti terus disemai

Oleh TAN SRI LEE LAM THYE

SAMBUTAN Bulan Kemerdekaan telah pun bermula. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia berbilang bangsa mempamerkan semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut kelahiran Malaysia sebagai negara yang merdeka.

Ketika negara merayakan 54 tahun kemerdekaan, menyemai kebanggaan pada bendera merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan negara.

Bendera kebangsaan melambangkan kesetian, kesatuan dan patriotisme, dan adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini di kalangan generasi muda.

Menganjurkan kempen-kempen 'Cintakan Bendera Kita' di sekolah-sekolah, dalam kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang signifikan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya. Dan ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan, malah sepanjang tahun.

Bagi generasi lama, hari kebangsaan membawa memori kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini.

Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan mereka masih tidak memahami sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Bagi ramai remaja, hari kebangsaan hanya merupakan satu lagi cuti am - hari di mana mereka berpeluang berehat dan bersantai. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami signifikan hari kebangsaan ini.

Oleh demikian, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai erti sebenar hari kebangsaan.

Setelah memperkatakan mengenai bendera kebangsaan dan signifikannya sebagai simbol negara, rakyat boleh mempamerkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian umpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan dalam membela dan mempertahankan kepentingan negara serta memajukan negara.

Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul merupakan satu hak demokrasi yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat yang cintakan negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.

Dalam hal ini, menyatakan pendapat yang bertentangan demi kepentingan negara tidaklah menjadikan seseorang itu kurang patriotik. Dan kesetiaannya kepada negara tidak seharusnya dipersoalkan.

Malaysia hari ini nampak nyata sebagai contoh bagaimana pelbagai kumpulan etnik yang berbeza dapat hidup dan maju dalam suasana harmoni melalui kerjasama erat demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Pembangunan negara tidak akan bermakna tanpa kefahaman, keharmonian, perasaan muhibah dan saling mempercayai antara rakyat berbilang kaum.

Penulis ialah Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1 Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Cabaran dan perubahan dasar pendidikan

ABAD ke-21 akan mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Perkembangan ini berlaku di seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang membangun. Ramai penulis berpendapat perubahan itu berkait rapat dengan sistem pendidikan dan perkembangan sistem maklumat.

Alvin Toffler seorang penulis terkenal pernah menyatakan bidang pendidikan di abad ini sangat penting dan mesti berupaya melahirkan pelajar yang kreatif yang mampu menyelesaikan masalah dan boleh berfikir secara kritis.

Ini memberi gambaran bahawa pendidikan tidak lagi berkisar hanya memberikan pengetahuan asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Tetapi mestilah boleh melahirkan orang yang berilmu pengetahuan dan mempunyai pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran di abad ini.

Bagi mencapai hasrat itu pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya.

Kini perubahan terus berlaku di mana masyarakat dunia di abad ke-21 telah memasuki zaman baru yang dikenali sebagai knowledge age atau k-ekonomi. Keperluan kepada perubahan baru ini menekankan tentang peri pentingnya maklumat, kreativiti dan inovasi dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Perubahan ini juga menekankan perlunya pendekatan berfikir secara kreatif, menyediakan strategi penyelesaian masalah dan turut melibatkan aktiviti ekonomi berbentuk global.

Apa yang menariknya dalam zaman maklumat ini ialah ia sentiasa memberi ruang dan peluang kepada setiap individu untuk mengembangkan bakat, kebolehan dan potensi mereka melaluitechology-powered knowledge yang boleh didapati di mana-mana melalui kemudahan ICT.

Seorang lagi penulis terkenal yang mengupas tentang perubahan dan cabaran abad ke-21 ialah Thomas Friedman dalam bukunya The World Is Flat : A Brief History of the Twenty-First Century. Menurutnya ekonomi dunia adalah sangat terikat serta terjalin rapat antara satu negara dengan lain dalam suatu bentuk ekosistem ekonomi.

Ini bermakna jika berlaku krisis ekonomi dalam sebuah negara ia akan memberi kesan kepada negara lain. Sebagai contoh, krisis pinjaman perumahan yang baru-baru ini berlaku di Amerika Syarikat maka tempiasnya dirasai negara-negara lain. Keduanya, terdapat kecenderungan bertambah lebar jurang perbezaan ekonomi antara negara maju dan negara sedang membangun.

Perkembangan yang tidak sihat ini dikatakan akan membawa kepada berlakunya ketegangan sosial, konflik, munculnya kumpulan pelampau dan menjadikan dunia seolah-olah tidak selamat.

Ketiganya, wujudnya isu kepanasan global yang membawa kepada kemarau panjang atau perubahan iklim yang boleh menjejaskan bidang pertanian dan keperluan bahan makanan.

Selain itu pertambahan mendadak penduduk dunia yang seolah-olah tidak dapat dikawal terutama di negara-negara sedang membangun. Keadaan ini menyebabkan bertambahnya kadar kemiskinan dan melebarnya perbezaan dalam strata masyarakat yang boleh membawa kepada berlakunya krisis sosial dan politik.

Menurut Friedman ketiga-tiga isu besar itu sebenarnya boleh dikurangkan atau ditangani melalui transformasi dan perubahan dasar pendidikan. Jelasnya pendidikan turut memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21 ini.

Perkembangan pendidikan di negara kita juga tidak terlepas daripada keperluan masyarakat serta persekitaran politik, sosial dan ekonomi pada masa tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan terbentuknya Dasar Razak 1956, Dasar Rahman Talib 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970 semuanya adalah berkait rapat dengan tuntutan dan keperluan negara pada masa itu.

Bagi menangani perubahan dan cabaran baru di peringkat global maka negara juga tidak terlepas dari memperkenalkan dasar-dasar baru dalam pendidikan. Oleh itu baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan Transformasi Kurikulum yang bertujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran berbentuk kreatif dan inovatif serta menarik minat pelajar.

Selain itu, diperkenalkan dasar 'Satu Murid Satu Sukan' yang bertujuan meningkatkan minat dan keupayaan pelajar dalam permainan dan sukan supaya lebih aktif. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pula bagi mengembalikan semula peranan utama bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu di samping meningkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris.

Sementara itu, dasar mengehadkan 12 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan penambahbaikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah adalah jelas untuk meningkatkan kualiti pendidikan supaya melahirkan pelajar yang seimbang dan mampu mengembangkan potensi diri. Dengan kata lain dasar ini mengubah persepsi pendidikan supaya tidak hanya berorientasikan peperiksaan tetapi berupaya melahirkan modal insan cemerlang.

Satu lagi dasar baru ialah mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM mulai 2013. Ini bertujuan meningkatkan semangat patriotik dan menanamkan rasa cintakan negara. Usaha menanamkan semangat cintakan tanah air melalui pendidikan khususnya dalam mata pelajaran Sejarah sebenarnya turut menjadi amalan di negara-negara lain di dunia ini.

Cabaran baru dunia sekarang ialah melalui k-ekonomi. Dalam hal ini sebenarnya negara kita bersedia dan bertindak awal. Sejak awal 1980-an apabila bermulanya ledakan teknologi maklumat, sekolah-sekolah kita telah mula memperkenal dan menggunakan peralatan komputer.

Kini penggunaan ICT begitu meluas sekali di mana makmal komputer didirikan di semua sekolah. Guru-guru diberi kemahiran melalui latihan dan penggunaan LCD, laptop dan Internet dan pelajar-pelajar kita mendapat manfaat yang besar.

Kesimpulannya, Malaysia akan bertambah maju jika rakyatnya dapat menguasai teknologi maklumat dan menggunakan kemudahan ICT dalam semua urusan. Sesungguhnya zaman k-ekonomi merupakan perubahan global dan cabaran baru yang perlu kita tangani melalui perubahan dalam dasar pelajaran.

PENULIS adalah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kegiatan 'boncengan gratis' hakis kesarjanaan dan hikmah universiti

UNIVERSITI di Malaysia kehilangan hikmah. Akhir-akhir ini kita lihat universiti merestui 'pemboncengan gratis' dalam kalangan ahli akademik. Jika tidak membonceng dalam kegiatan penyelidikan dan penerbitan, mereka dianggap sebagai tidak normal.

Tiba-tiba kita terlihat banyak nama yang menulis pada sesuatu karya. Perkara itu tidak salah. Tetapi jika nama-nama itu tidak ada kaitan intelektual dengan bidang atau tema yang dibincangkan, bagaimana kita mengukur hasilnya?

Walaupun kajian dan penulisan antara disiplin digalakkan, perlu ada teguran jika ia disalahgunakan. Ramai ahli universiti yang telah salah tafsir konsep dan falsafah penglibatan kepelbagaian disiplin dalam sesuatu projek kajian.

Jika nama-nama itu hanya dikenali dengan kepakaran bahasa dan kemungkinan besar hanya menyunting sesuatu hasil penulisan, apakah namanya layak berkampung sekali?

Kadang-kadang, seseorang ketua jabatan itu meminta namanya diletakkan sebagai penulis bersama kepada penulisan yang tidak ada kaitan dengan bidangnya.

Asalkan tindakan itu dapat memberi markah kepada semua terbabit, dapat dicatat dalam kurikulumvitae dan dinilai untuk kenaikan pangkat, ia 'restui' oleh semua yang terbabit.

Tanggapan sedemikian merupakan satu masalah amat besar yang melanda pandangan alam universiti ke arah 'prestasi yang cemerlang.'

Pemerhatian Prof. Muhammad Syukri Salleh (Utusan Malaysia, 20 Julai 2011), dan Prof. Madya Mohamad Md. Yusof ( Utusan Malaysia, 26 Julai 2011) ke atas gejala budaya material yang menular di universiti amat menakutkan. Jika ini tidak ditangani, akan pupuslah kesarjanaan di Malaysia.

Ini ada kaitannya dengan bagaimana universiti kita dipaparkan dan ditonjolkan kepada dunia. Tidak kira universiti awam atau swasta, terlihat semacam kegilaan yang menyesatkan.

Ini ada kaitannya dalam penonjolan keakraban universiti dengan industri dan profesion. Universiti kita kini nampaknya tidak mempedulikan etika dan tatasusila dalam kerjasama, pemasaran dan pengiklanan universiti dan tawaran kursus yang ada. Jika kajian rambang dilakukan, pihak industrilah yang 'dipertuhankan.'

Universiti tidak boleh 'diindustrikan'. Malangnya inilah yang sedang berlaku apabila ahli akademik membonceng, sama ada dalam projek penyelidikan atau penerbitan, di mana hasil karya dan penulisan seseorang itu diukur dengan kaedah nombor, kerana kaedah inilah yang paling mudah.

Nampaknya, banyak masa terbuang dengan menumpukan kepada cadangan menulis dan mendapatkan pembiayaan penyelidikan, dan menyiapkan laporan penyelidikan. Ada yang menerbitkannya dan ada yang tidak. Akan tetapi apakah menerbitkan hasil penyelidikan yang dibiayai itu satu bukti pencapaian dan pemaparan kesarjanaan?

Kita lupa hikmah yang perlu ada pada universiti. Nilai jauhari terhakis dalam diri kita sehinggakan kita tidak lagi mengenal manikam. Kita tidak tahu menilai idea, konsep dan teori.

Saya khuatir jika gejala ini berlarutan tanpa kekangan, maka hapuslah kesarjanaan di Malaysia. Yang ada hanya kilang-kilang mengeluarkan ijazah hasil dari para pensyarah yang taksub kepada model Pengajaran Berasaskan Hasil (OBE) yang tidak boleh mengukur nilai dan kepercayaan.

Pensyarah-pensyarah berkenaan membayangi bahawa mereka bukan pensyarah tetapi sebahagian daripada profesion dan pasaran. Itu merosakkan nilai akademik. Mereka tidak dapat membezakan antara nilai akademik dan nilai pasaran.

Dengan itu apa yang kian berlaku ialah masyarakat pensyarah dilentur untuk akur kepada KPI tanpa kesarjanaan dan hikmah.

Apa yang mereka peduli ialah mengajar mengikut acuan yang diberi, mendapat sekian banyak pembiayaan untuk penyelidikan (tidak kira siapa membonceng) dan menerbit dalam jurnal-jurnal yang berindeks dalam pangkalan data tertentu.

Amalan budaya material dan wang sebagai pengukur hasil para pensyarah kini amat tebal di kalangan universiti kita. Ini hendaklah dihentikan.

Para pemimpin universiti hendaklah muhasabah akan kesan jangka panjang jika ia berlarutan. Ilmu dan kesarjanaan tidak dapat dijanakan tanpa keikhlasan dan integriti.

Malah, keadaan ini kian mempengaruhi para pensyarah muda, dan juga yang lama. Ada wang, boleh terbit dan ini dikira dalam KPI pensyarah itu dan universiti.

Budaya ini telah banyak disalahgunakan. Ada 'pakar' dari universiti tempatan, yang dijemput oleh beberapa buah universiti lain, memaklumkan bahawa 'membonceng' itu halal. Dan 'membonceng' itu membolehkan nama kita tersiar di berpuluh-puluh jurnal dalam masa setahun. Dan kegiatan ini amat digalakkan.

Dengan itu, seseorang itu dinilai sebagai 'cemerlang' dan seterusnya dianggap sebagai pensyarah yang 'berkualiti.' Di mana integritinya di sini?

Apakah istilah 'cemerlang' dan 'kecemerlangan' dan 'kualiti' itu telah mengaburkan kita akan kesarjanaan dan hikmah? Mengapa istilah 'cemerlang' ini digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam universiti dan masyarakat kita?

Saya kira kita telah lari daripada matlamat asal mengapa kita bekerja di universiti dan asas penubuhan universiti itu.

Saya bukan menentang usaha dan inisiatif ke arah memperbaiki pengajian tinggi kita. Apa yang saya ingin tegur ialah usaha itu telah banyak disalah tafsir dan disalah guna oleh para pensyarah lalu direstui oleh pentadbir universiti itu sendiri.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/