KUALA LUMPUR - Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan baik
dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan hari ini
dengan beberapa sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus.
Di KUALA LUMPUR, seramai 914 calon SPM 2012 memperoleh gred
cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 885
pada tahun 2011.
Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Abdullah Mad Yunus berkata pencapaian calon meningkat dari segi peratusan dan
bilangan yang memperoleh keputusan cemerlang A+, A dan A-.
Bagaimanapun, pencapaian keseluruhan sedikit menurun apabila
seramai 18,211 calon berjaya memperoleh sijil SPM berbanding 18,545 pada 2011.
"Pencapaian Gred Purata Negeri untuk SPM 2012 ialah
4.71, iaitu penurunan 0.03 berbanding 4.68 pada tahun 2011," katanya.
Katanya pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan
peningkatan apabila lima sekolah dalam kategori cemerlang, 28 sekolah dalam
kategori baik, 63 sekolah dalam kategori memuaskan dan tiada sekolah dalam
kategori berpotensi.
Beliau turut mengumumkan sekolah kategori cemerlang iaitu SM
Sains Alam Shah, SM Sains Seri Puteri, SM Sains Selangor, SMA Majlis Agama
Islam WPKL dan SMK Aminuddin Baki.
Abdullah berkata 76 calon berkeperluan khas menduduki
peperiksaan SPM pada tahun lepas dan daripada jumlah itu seramai sembilan calon
berjaya mendapat keputusan cemerlang.
Di KUCHING, seramai 35 orang calon SPM 2012 di Sarawak
berjaya mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki, kata
Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Abdillah Adam.
Katanya daripada jumlah itu, seorang calon, Ngu Lih Bin dari
Sekolah Menengah Bantuan Methodist,
Sibu, memperolehi 12A+, iaitu pencapaian terbaik dalam kalangan 38,344 calon
negeri yang menduduki peperiksaan itu tahun lepas. "Sembilan orang calon
mendapat 11A+, 18 orang 10A+ dan 7 orang mendapat 9A+ dalam semua mata
pelajaran yang mereka duduki," katanya semasa mengumumkan keputusan itu di
Pejabat Pelajaran Negeri.
Menurutnya, empat buah sekolah yang mencapai kelulusan 100
peratus ialah SM Sains, Kuching SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains Mara Betong
dan Maktab Rendah Sains Mara Mukah.
Sarawak turut mengatasi atau menyamai pencapaian peringkat
kebangsaan dalam 64 mata pelajaran, katanya.
Di SEREMBAN, Negeri Sembilan menduduki ranking ketiga
peringkat kebangsaan selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam pencapaian SPM
2012.
Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Kalsom Khalid berkata
Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2012 di Negeri Sembilan ialah 4.86 iaitu
nilainya bertambah sebanyak 0.04 berbanding 4.82 pada tahun 2011.
Seramai 747 calon berjaya memperoleh pangkat A+, A dan A-
dalam semua mata pelajaran yang diambil dan daripada jumlah itu, 27 calon
sekolah kerajaan berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Kalsom berkata SM Sains Tuanku Munawir, Kolej Tunku
Kurshiah, SM Agama Persekutuan Labu, SM Sains Rembau, Sekolah Datuk Abdul Razak
dan SM Sains Tuanku Ja'afar ialah
antara 20 buah sekolah cemerlang dan terbaik di negeri ini.
"Seramai 15,938 orang calon sekolah kerajaan iaitu 90.9
peratus layak mendapat sijil dalam peperiksaan SPM 2012. Ini bermakna terdapat
peningkatan berbanding pencapaian tahun 2011 iaitu 90.5 peratus," katanya.
Di KUALA TERENGGANU, seramai 19 daripada 22,274 calon yang
menduduki SPM di Terengganu mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang
diambil, kata Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Hashim Mohd Zin.
"Prestasi calon yang mendapat A dalam semua mata
pelajaran juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai 513 calon berbanding 408
calon pada tahun lepas.
"Bagi calon berkeperluan khas (CBK) pula, seramai 17
daripada 32 calon berjaya mendapat sijil SPM dan seorang calon mendapat
keputusan cemerlang 10A dan 1B," katanya.
Di MELAKA, seramai 409 calon peperiksaan SPM sekolah Kementerian
Pelajaran memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran
yang diduduki, menurun 19 orang berbanding 428 pelajar pada tahun 2011.
Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata
daripada jumlah itu seramai 21 pelajar memperoleh gred cemerlang tertinggi
(A+), menurun 19 peratus berbanding 26 orang pada tahun 2011.
"Seorang pelajar memperoleh 11 A+ dan masing-masing 10
pelajar memperoleh 10A+ dan 9A+...GPN turut mencatatkan penurunan sebanyak 0.1
peratus kepada 5.01 berbanding 4.91 pada tahun 2011," katanya.
Beliau berkata sebanyak 19 buah sekolah Kementerian
Pelajaran mencapai keputusan 100 peratus layak sijil dengan bilangan pelajar
seramai 12,357 orang.
Secara keseluruhan, Kasim berkata sebanyak 43 sekolah
mencatatkan kejayaan pelajar yang memperoleh gred cemerlang A dalam semua mata
pelajaran berbanding 51 sekolah pada tahun 2011.
Di JOHOR BAHRU, seramai 58 calon mendapat gred cemerlang
tertinggi A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 77 orang pada tahun 2011,
kata Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A.Ghani.
Beliau berkata seramai 1,333 calon lagi berjaya mendapat
gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran berbanding 1,246 orang pada tahun
2011.
"Keseluruhannya, pencapaian calon sekolah kementerian
dalam SPM 2012 negeri Johor kekal seperti tahun 2011. Seramai 44,279 orang
calon (89.89 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 44,241 orang calon
(89.95 peratus) pada tahun 2011," katanya.
Mohd Nor berkata sebanyak 49 buah sekolah di negeri ini
berjaya mencapai keputusan 100 peratus calon mendapat sijil manakala GPN
meningkat kepada 4.99 mata gred berbanding 5.00 mata gred pada tahun 2011.
Beliau berkata 56 orang calon berkeperluan khas turut
berjaya mendapat sijil dengan dua daripada mereka mendapat keputusan cemerlang
iaitu Ting Kai Li daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan
Temenggong Ibrahim, Batu Pahat (8A+2A) manakala Teo Guo Sheng daripada SMK
Tinggi Batu Pahat (8A+,1A,1A-).
Di SHAH ALAM Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim
berkata seramai 2,616 calon berjaya memperoleh kombinasi gred cemerlang bagi
semua mata pelajaran.
"Seramai 2,616 atau 3.75 peratus calon daripada 74,747
calon 2012 berjaya memperoleh keputusan kombinasi A+,A dan A-, bagi semua mata
pelajaran yang diduduki berbanding 2,474 calon pada 2011," katanya.
Beliau berkata pada tahun lepas juga hanya sebuah
sekolah yang dikategorikan sebagai
Sekolah Berpotensi berbanding empat buah sekolah pada tahun sebelumnya di
Selangor.
Di TAPAH, Perak, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Muhamat
Roli Hassan berkata secara keseluruhannya pencapaian calon di Perak menunjukkan
penurunan iaitu 34,949 daripada 39,770 pelajar berjaya memperolehi sijil SPM
berbanding 35,033 pada tahun 2011.
Bagaimanapun, beliau berkata sekolah yang mencapai peratus
lulus 100 peratus meningkat daripada 37 sekolah pada 2011 kepada 44 buah bagi
SPM 2012.
"Seramai 1,183 pelajar pula memperoleh gred cemerlang
iaitu A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran yang diambil dengan 41 pelajar
meraih gred cemerlang tinggi iaitu A+ dalam semua mata pelajaran yang
diduduki," katanya.
Antara sekolah terbaik ialah Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Taman Tasik Taiping, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, SM Sains
Tapah, SMK Tarcisian Covent Ipoh dan SMK Ave Maria Ipoh.
Di JITRA, Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata
seramai 31 orang pelajar di Kedah mendapat keputusan A+ dalam semua mata
pelajaran, meningkat sebanyak 12 pelajar berbanding tahun sebelumnya seramai 19
orang.
Katanya calon SPM yang cemerlang semua A tahun lepas ialah
690 orang iaitu meningkat sebanyak 132 orang berbanding tahun 2011, 558 orang.
"Peratus calon yang lulus semua mata pelajaran
meningkat sebanyak 1.81 peratus iaitu 52.46 peratus (17,115 orang) berbanding
tahun 2011, 50.65 peratus," katanya.
Beliau berkata terdapat tiga sekolah yang mendapat 100
peratus dalam semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu,
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Halim dan Sekolah Menengah Agama Sik.
Mansor berkata SM Sains Kubang Pasu merupakan sekolah
cemerlang di negeri ini dengan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.51 dengan
lima pelajarnya mendapat semua A+, diikuti SMK Sultanah Asma 1.78 dan SM Sultan
Abdul Halim 1.79.
Di KOTA BHARU, seramai 432 calon peperiksaan SPM sekolah
kementerian memperolehi gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran
yang diduduki, berbanding 358 pelajar pada 2011.
Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata
daripada jumlah itu, seramai 15 pelajar memperolehi gred cemerlang tertinggi
(A+)berbanding 18 pelajar pada 2011.
"Dua orang pelajar mendapat 11A+, dua orang memperoleh
10 A+ dan tiga orang pelajar memperoleh 9A+ manakala GPN pada 2012 ialah 5.01
berbanding 4.97 pada 2011," katanya.
Katanya sebanyak 21 buah sekolah menengah mencapai kelulusan
100 peratus berbanding 23 buah sekolah pada 2011.
Di KANGAR seramai 74 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran
yang diambil berbanding 59 calon pada tahun sebelumnya, kata Pengarah Pelajaran
Negeri, Dun Kasa.
Beliau berkata seramai lima calon daripada Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Derma di sini mendapat semua A+ dalam mata pelajaran yang
diambil.
Peratus calon layak mendapat sijil tahun lepas di Perlis
sebanyak 90.31 peratus berbanding tahun 2011 sebanyak 90.36 peratus sementara
nilai GPS kekal pada kedudukan 5.46 peratus.
Sembilan sekolah yang pelajar mereka mendapat semua A ialah
SMK Derma (32 orang), Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (11), SMK Datuk
Sheikh Ahmad (10), SMK Agama Perempuan Kangar (8), SMK Perlis (4), SMK Tuanku
Lailatul Shahreen (3), SMK Agama Arau, SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah dan
SMK Padang Besar Utara masing-masing dua pelajar.
Di BUKIT MERTAJAM seramai 1,061 calon SPM memperoleh gred A
bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding hanya 964 calon pada 2011,
kata Pengarah Jabatan Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin.
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 40 calon
memperoleh gred A+ iaitu Cemerlang Tertinggi.
"Pada tahun lepas seramai 21,675 calon hadir menduduki
peperiksaan SPM dan daripada jumlah itu seramai 19,053 atau 87.90 peratus layak
mendapat sijil selepas lulus mata pelajaran Bahasa Melayu," katanya.
Katanya sebanyak 23 buah sekolah di Pulau Pinang mencapai
prestasi 100 peratus iaitu semua calon layak mendapat sijil, antaranya SMJK Jit
Sin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, SMK Datuk Onn, SMK Tinggi
Bukit Mertajam dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas.
"Pencapaian Gred Purata Negeri juga lebih baik
berbanding Gred Purata Nasional iaitu Pulau Pinang mencatatkan 4.87 peratus
manakala nasional 5.08," katanya.
Ahmad Tarmizi berkata calon Orang Keperluan Khas iaitu
pelajar SMJK Chung Ling, Butterworth, Lim Hongqi, turut mencatatkan keputusan
cemerlang apabila memperoleh 3A+, 1A,
2A-,2B+ dan 2B.
DI KOTA KINABALU, seramai 199 calon yang menduduki SPM di
Sabah tahun lepas memperoleh A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding
187 orang pada tahun 2011.
Pengarah Pelajaran Negeri Sabah Jame Alip berkata bilangan
pelajar yang lulus semua mata pelajaran juga bertambah iaitu 17,247 atau 52.43
peratus berbanding 16,848 atau 51.40 pada tahun 2011.
Daripada 33,535 calon sekolah menengah kebangsaan yang
menduduki peperiksaan itu, seramai 31,626 atau 94.31 calon berjaya mendapat
sijil SPM berbanding 30,827 atau 94.05 peratus pada tahun sebelumnya, katanya.
ame berkata pencapaian itu menunjukkan terdapat peningkatan
sebanyak 0.26 peratus berbanding 2011, dan peratus lulus negeri itu juga
mengatasi pencapaian kebangsaan sebanyak 3.21 peratus.
Sepuluh sekolah di Sabah yang mencatatkan pencapaian
cemerlang dari segi Gred Purata Sekolah ialah SM Sains Lahad Datu, SM Sains
Kota Kinabalu, SM St Micheal Penampang, SM Lok Yuk Likas, Smk Tawau, SMK Agama
Inanam, SM St Patrick, Tawau, SMU Islamiah Tawau, SM All Saints Likas dan SM
Teknik Keningau. - Bernama