CYBERJAYA : Kejayaan yang
diperoleh calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya
diumumkan hari ini, akan menjadi pendorong untuk Kementerian Pelajaran bekerja
lebih kuat dalam memastikan pelajar bukan hanya berjaya dalam akademik tetapi
secara holistik.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian amat komited
untuk meningkatkan prestasi pelajar di seluruh negara.
"Keputusan hari ini akan
diteliti dan dianalisis. Kita akan analisis pencapaian pelajar-pelajar dalam
mata pelajaran yang utama, prestasi antara
luar bandar dan bandar, antara kaum dan antara mereka yang mengambil subjek
tertentu.
"Ia bagi memastikan
bagaimana sistem pendidikan kita dapat terus meningkatkan kecemerlangan semua
pelajar," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan slip keputusan SPM
kepada pelajar cemerlang di Sekolah Seri Puteri di sini, Khamis.
Seramai 14 pelajar sekolah
berkenaan memperoleh keputusan sembilan A+ dan menerima hadiah Ipad mini.
Muhyiddin berkata kejayaan
diperoleh Sekolah Seri Puteri itu berkat kerjasama erat yang terjalin antara
Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan daerah serta peranan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Justeru, beliau berharap
kerjasama erat itu akan berterusan demi mencapai
kejayaan lebih baik pada masa akan datang.
Kepada yang tidak mencapai
keputusan sebagaimana yang diharapkan, Muhyiddin berkata mereka tidak perlu putus
asa, sebaliknya menjadikannya penyuntik
semangat untuk terus berjaya.
"Cita-cita anak-anak semua
belum terhenti dengan keputusan SPM. Ia adalah permulaan ke arah perjalanan
yang lebih panjang kerana banyak lagi peluang serta kejayaan yang bakal menanti
selepas ini," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan