Rabu, 29 Ogos 2012

ISU BAHASA : Perihal nama pelik dan glamor


Oleh : SRI DIAH

Semalam saya bertemu dengan Man Buncit. Dia masih seperti dulu. Tak perlulah saya terangkan lebih lanjut siapakah beliau dan bagaimana bentuk tubuhnya. Nama panggilannya sahaja sudah menjelaskan siapa dia dan seperti manakah perilaku orangnya.

Minggu lalu, saya berjumpa dengan  Tipah Lenggang. Iya, Latifah kawan sekampung yang masih solo walaupun usia sudah menjangkau 50an. Latifah masih lagi berlenggang - ke kedai, ke surau… tetap melenggang-lenggang apabila berjalan.

Sepanjang bercuti Aidilfitri, berziarah ke rumah rakan-rakan di ibu kota kita mendengar ada banyak nama pelik digelar pada seseorang. Semasa balik kampung, lagilah banyak nama gelaran yang kita dengar. Tersenyum simpul kita dibuatnya.

Suasana desa lain, tak sama dengan di bandar. Jika di desa, panggilan-panggilan yang begitu adalah lumrah dan orang kampung berkenaan tidak akan marah jika kita memanggil mereka dengan gelaran pelik. Namun itu tidak di bandar, kita mungkin akan dikejar dengan parang!

Bayangkan kalau kita panggil rakan kita, terjerit-jerit memanggilnya Zin Badak! Hah… siaplah. Memang si polan akan marah, naik angin dan silap-silap dia akan mengamuk berapi-api, marah macam badak mengamuk…!

Nama mempunyai suatu pengaruh yang signifikan dalam kehidupan kita. Daripada nama kita dapat mengetahui ras seseorang serta status agamanya. Orang-orang tua masih percaya nama akan mempengaruhi sifat dan sikap seseorang.

Sebab itulah, kadang-kadang kita mendengar cerita orang-orang dahulu nama mereka ditukar daripada nama asal diberikan semasa kecil, mungkin kerana tidak sesuai atau ada sesuatu yang tidak kena.

Kita percaya panggilan atau gelaran itu jika disebut banyak kali akan jadi satu doa. Tak dapat dijangka apakah panggilan kita pada seseorang itu satu doa atau hanya satu pengenalan sahaja.

Jika dia penjual gaharu kita akan panggil dia Lan Gaharu. Samalah juga jika dia penjual nasi lemak, kita akan panggil Mak Jah Nasi Lemak. Kita tidak ada niat buruk, melainkan untuk menjelaskan siapa kita maksudkan.

Zaman sekarang nama seseorang lebih bersifat populariti terutamanya dalam kalangan belia dan remaja. Mereka mungkin segan atau malu jika rakan-rakan memanggil dengan nama asal seperti Fatimah, Zulkarnain atau Fadhilah. Bahkan mereka mungkin meminta rakan-rakan memanggil dengan nama lebih glamor seperti Fetty, Zack ataupun Dyla.

Ramai juga yang memanggil rakan dengan sebahagian sahaja daripada nama mereka seperti Kamarul (Raul), Bazli (Bazz), Firdaus (Fir) dan lain-lain. Ada juga yang ‘menukar’ nama kepada ala-ala orang putih seperti Burn (Bakar), Kathy (Khatijah), Remy (Rahimi) dan lain-lain.

Bagaimana pula jika namanya dipanggil seperti mana tubuh badannya seperti Man Buncit tadi? Jika kebetulan Maria itu jongang, kita akan panggil Maria Jongang. Jikalau Remlee itu tonggek maka kita akan memanggil dia Ramlee Tonggek. Sekiranya Abu Bakar itu telinganya agak besar dan kembang kita akan panggil Bakar Capang. Atau jika Zainal itu botak, kita akan panggil dia Zai Bo (dia kawan saya!).

Gelaran-gelaran berkenaan sepatutnya tidak disebut apabila berbicara kerana ia akan menimbulkan kemarahan dan kebencian, seterusnya boleh membawa kepada berdendam serta bermusuhan.

“Wahai orang-orang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olok), dan janganlah pula perempuan-perempuan (mengolok-olok) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada perempuan (yang memgolok-olok).

Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) sesudah beriman. Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Hujurat: 11).

Semasa berziarah hari raya, saya berkata pada tuan rumah pertama yang saya mahu ke rumah Cikgu Ismail. Tuan rumah bertanya, “Cikgu Mail Panjang ya?”. Saya angguk, memang Cikgu Ismail itu orangnya tinggi (panjang?). “Oh… rumah dia sebelah rumah Pak Tam Bongkok. Sebelah belakang, rumah Mak Ngah Nyanyuk…”

Saya dan keluarga tersipu-sipu mendengarnya. Dalam hati saya berkata, agaknya diri saya ini apalah panggilan yang dia beri? Mungkinkah Sri Cantik, Sri Buruk atau Sri Gemuk? Aduhai…

Jangan ambil mudah, seorang Mak Hajjah amat kecewa apabila dia sudah berhabis wang beribu ringgit menunaikan haji cara pakej tapi orang tak panggil dia gelaran Hajjah.

Seorang Datin juga amat marah sekiranya gelaran Datinnya tidak disebut. Seorang Tan Sri juga begitu. Siap dia sebut namanya Tan Sri apabila dia berjabat tangan.

Tapi saya… tak apalah kalau tak sebut Puan Sri Diah sebab gelaran puan sri saya itu hanyalah nama samaran sahaja…

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Senang sangat rompak mesin ATM


Oleh : Akhbar Satar
 
Institusi kewangan kena tingkat kawalan

Kegiatan merompak mesin ATM semakin berleluasa, terutama di sekitar Lembah Klang. Mesin ATM menjadi sasaran pilihan penjenayah untuk mendapatkan wang dengan cepat, mudah dan lumayan. Biasanya kegiatan merompak mesin ATM dilakukan antara jam 2 pagi dan 5 pagi ketika suasana sunyi dan tiada orang ramai. Antaranya kes rompakan mesin ATM di Lembah Klang ialah di Universiti Malaya; Universiti Kebangsaan Malaysia; Giant Taman Melawati; Stesen KTM Subang Jaya; Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam; Balakong; Stesen LRT Universiti, Bangsar; Carrefour Wangsa Maju dan Taman Tun Dr Ismail yang membabitkan jumlah wang sebanyak RM3 juta. Nilai wang paling banyak dilarikan pencuri membabitkan rompakan empat mesin di Carrefour Wangsa Maju, iaitu RM1.17 juta.

Ada bermacam-macam taktik penjenayah merompak mesin ATM. Modus operandi jenayah ini biasanya secara berkumpulan dengan mengheret mesin menggunakan kabel atau tali lebar lalu memasukkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda. Sebelum ini, mereka juga menggunakan jengkaut untuk melarikan mesin ATM. Penjenayah juga menggunakan alat pemotong besi dan gerudi untuk menebuk mesin berkenaan. Mereka memikirkan cara yang lebih agresif dan berusaha mencipta teknik baru untuk mengatasi kekebalan sistem keselamatan.

Alat kimpalan digunakan untuk menebuk mesin ATM di Giant Taman Melawati manakala bahan kimia pencair besi digunakan di Carrefour Wangsa Maju. Penjenayah memasuki bangunan menerusi laluan bawah tanah dibuat sendiri. Untuk mengelak wajah mereka dirakam, penjenayah terbabit menutup kamera litar tertutup (CCTV) pada dua skrin mesin ATM dengan kertas dan sejadah. Di stesen LRT Universiti pula, penjenayah terbabit menebuk dinding konkrit dengan menggerudi dari bilik bersebelahan tanpa dikesan sistem penggera. Kejadian paling berbahaya berlaku di Alor Gajah dan Alor Setar yang mana mesin ATM diletupkan dengan bom buatan sendiri.

Rompakan terbaru membabitkan mesin ATM ke-10 sejak Mac lalu berlaku pada 1 Syawal lalu pada jam 2.30 pagi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Mesin ATM itu diletakkan berhampiran sebuah restoran yang beroperasi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Tetapi penjenayah membuat perancang rapi dan teliti kerana mengetahui restoran itu ditutup pada malam Aidilfitri. Mereka menggunakan alat pemotong besi jenis ‘portable ocytelene’ dan melarikan RM220,000.

Persoalannya, bagaimana sebuah bank boleh meletakkan mesin ATM di tempat sunyi di mana semua kedai ditutup pada jam 5.00 petang kecuali restoran terbabit. Suasana sunyi dan terlindung di kawasan itu membolehkan penjenayah merompak mesin ATM dengan mudah.

Bilangan mesin ATM yang kini berjumlah 9,200 buah, tidak termasuk di luar premis bank, juga antara sebab meningkatnya jenayah itu. Perompak mempunyai banyak pilihan dan sudah tentu mencari lokasi paling kurang risiko. Tambahan pula, kesalahan cuba merompak mesin ATM biasanya disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sedangkan jika melakukan rompakan di bank dengan senjata, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Penulis percaya kegiatan mencuri mesin ATM kini banyak dilakukan penjenayah terancang dan profesional. Kelemahan sistem kawalan dan keselamatan di lokasi mesin ATM dipercayai antara punca jenayah ini berleluasa. Perlumbaan antara bank untuk meletakkan mesin ATM di merata tempat tanpa mengambil kira faktor keselamatan juga mendorong dan membuka peluang kepada penjenayah.

Ada penjenayah menggunakan orang dalam membantu merompak mesin ATM. Pengawal keselamatan, penyelenggara mesin ATM atau kakitangan bank kesempitan wang, suka berjudi atau kaki perempuan mudah diajak menjadi rakan subahat. Mereka ini memberi maklumat kepada penjenayah atau sama-sama terbabit dalam rompakan.

Justeru, bank perlu mengkaji tahap keselamatan sesuatu kawasan sebelum menepatkan ATM di kawasan berkenaan. Bank juga harus mengkaji balik prosedur penghantaran wang ke ATM serta memastikan kakitangan, termasuk pengawal keselamatan dan penyelenggara mesin mempunyai integriti diri yang tinggi seperti jujur, amanah dan dipercayai.

Sistem keselamatan mesin ATM perlu dipertingkatkan dengan penggunaan Sistem Kedudukan Global (GPS) secara bijak dan sistem CCTV lebih baik serta pengwujudan sistem Pusat Kawalan Utama (CMS). CMS berfungsi sebagai pemantau supaya sebarang cubaan mencuri ATM disalurkan terus kepada syarikat kawalan keselamatan atau polis bagi memudahkan mereka bertindak secepat mungkin. Polis juga perlu meningkatkan usaha kawalan, termasuk menubuhkan pasukan khas bagi menangani kes rompakan mesin ATM.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Malas jadi penghalang kejayaan


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

SEMUA benda nak free tu yang jadi malas sikit. Tiada inisiatif untuk berusaha. Kalau subsidi kerajaan dikurangkan salah itu ini, kebanjiran pekerja asing di Malaysia tanda-tanda awal penduduk negara ini malas bekerja. Hendak gaji besar tapi kerja sikit. Macam mana rupa negara kita kalau jadi negara berkebajikan… Tepuk dada tanya pemikiran anda." Demikian di antara pandangan (Murni Ali) yang diajukan dalam ruangan blog Interaktif facebook.com/utusan_online pada 25 Ogos lalu.

Ada beberapa indikator untuk melihat sejauh mana keselesaan atau kemalasan dalam masyarakat kita. Antaranya adalah melihat tahap kesihatan yang mana bilangan obesiti semakin meningkat menggambarkan kurangnya aktiviti jasmani atau kegiatan gaya hidup sihat. Jika diperhatikan jumlah mereka yang mengunjungi padang atau gelanggang permainan untuk beriadah setiap petang sangat kurang.

Bagi kekal sihat tidak semestinya hanya bersukan tetapi cara lain boleh dilakukan misalnya membiasakan berjalan pantas ke tempat berhampiran tanpa menaiki kenderaan atau mengelakkan diri daripada  menggunakan lif tetapi menggunakan tangga jika menaiki bangunan yang tidak terlalu tinggi.

Walau apa pun untuk menjaga kesihatan sikap malas perlu dihindarkan. Senaman perlu dijadikan rutin harian sama ada di kawasan rekreasi atau di gimnasium tidak kira yang muda atau tua.

Selain itu tingkah laku malas dapat dilihat dengan jelas melalui perbuatan melepak yang kebiasaannya di pasar raya, tempat hiburan atau kawasan awam. Melepak sering dikaitkan dengan perbuatan membuang masa, tidak mempunyai tujuan khusus atau tidak bijak menggunakan masa. Lebih malang perbuatan melepak ini dilakukan oleh muda-mudi dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan atau mendakwa diri masih menganggur.

Sekiranya ditinjau keadaan sekeliling ternyata negara kita antara yang paling bertuah dianugerahkan dengan tanah subur, di kelilingi air yang memiliki khazanah laut dan pelbagai aktiviti ekonomi yang berkembang pesat.

Melalui kestabilan politik, suasana aman dan asas infrastruktur yang lengkap sesiapa pun boleh berjaya asalkan sanggup berusaha keras untuk mencapainya.

Malangnya, kerja yang sepatutnya dilakukan oleh anak tempatan diisi dan dipenuhi oleh warga asing.

Sikap malas menjadi penghalang utama untuk mencapai kejayaan. Perkara ini telah diingatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil. Kemudiannya di sekolah guru terus mengingatkan pelajar supaya menghindari sikap malas jika ingin maju dalam pelajaran dan kehidupan. Guru sentiasa menekankan agar pelajar bersikap positif, rajin, tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengejar ilmu pengetahuan.

Pelajar digalakkan membuat persediaan awal dengan membaca perkara yang akan diajar, memberi perhatian serta tumpuan semasa pengajaran guru dan banyak membuat latihan serta rujukan bagi menambah pengetahuan. Kebiasaannya anak murid yang akur dengan nasihat dan panduan guru akan beroleh kejayaan dalam pelajaran dan cemerlang dalam peperiksaan.

Sekiranya kita melayari Internet terdapat blog yang membincangkan sikap malas antaranya www.irfankhairi.com memberikan panduan bagaimana untuk membanteras sikap yang merugikan itu. Menurutnya malas berpunca daripada sikap terlalu selesa atau berada dalam zon selesa.

Untuk keluar daripada zon itu bukanlah suatu yang mudah. Walaupun ada usaha tetapi secara psikologi tarikan kembali ke zon itu lebih kuat. Apa yang perlu dilakukan adalah berusaha sedikit demi sedikit untuk berubah misalnya bagi seorang pelajar cuba tetapkan masa satu jam setiap hari untuk belajar di rumah kemudian berusaha meningkatkannya kepada 30 minit bagi setiap minggu dan akhirnya cuba dapatkan jumlah masa belajar sehingga lima jam setiap hari dan berusaha mengekalkannya. Insya-Allah dengan tekad dan semangat yang kuat perubahan boleh menjadi kenyataan.

Sementara itu, blog www.rahsiaebiz.com memperkatakan kejayaan seseorang mempunyai kaitan yang signifikan dengan sikap. Inilah yang membezakan personaliti yang hebat dengan orang biasa.

Menurutnya, sikap malas adalah penyakit, sekiranya dihinggapi orang itu akan hilang kesungguhan untuk mencapai matlamat tidak kira dalam usaha merebut peluang, bidang kerjaya atau apa sahaja yang mereka impikan.

Sekiranya dikaji latar belakang tokoh tertentu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bill Gates, Warren Buffet, Lim Goh Tong atau Syed Mokhtar Albukhari sudah tentu terdapat kualiti tertentu dari segi sikap, kesungguhan, strategi dan perancangan mereka. Sesungguhnya tiada sikap malas dalam kamus hidup mereka kerana malas berkait rapat dengan kegagalan.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin berjaya sikap malas hendaklah disingkirkan jauh di luar kotak minda. Sikap positif hendaklah dijadikan amalan seperti rajin, bersungguh- sungguh, sentiasa mencuba, tidak takut gagal, dan tidak mudah berputus asa.

Secara umumnya ada beberapa kategori malas seperti malas membaca, malas berfikir dan malas berusaha. Jika ingin menjadi orang hebat membaca perlu dijadikan rutin harian. Kini untuk memiliki buku amat mudah kerana terdapat banyak kedai buku dan perpustakaan awam di seluruh negara. Demikian juga melalui ICT maklumat dan pengetahuan hanyalah di hujung jari.

Oleh itu, jangan malas membaca apa sahaja bahan kerana mungkin ada antaranya yang memberi manfaat tanpa disedari.

Keduanya, gejala malas berfikir. Ini boleh menjadikan seseorang hilang daya kebijaksanaan. Minda manusia dibekalkan dengan berjuta-juta sel neuron yang boleh digunakan untuk berfikir apa sahaja dan pada bila-bila masa. Menurut pakar perubatan lebih banyak seseorang itu berfikir semakin tajam daya pemikirannya kerana sel neuron akan ‘hidup’ dan aktif bekerja.

Sebaliknya, jika malas berfikir menyebabkan sel neuron ‘mati’ dan tidak aktif. Apa yang dibimbangi sekiranya anak muda malas berfikir mereka akan lebih cenderung kepada perkara yang berbentuk hiburan atau yang menyeronokkan sahaja.

Akhirnya akan merugikan negara kerana golongan yang produktif itu tidak dapat memberi sumbangan seperti yang diharapkan.

Ketiga, malas berusaha tetapi mempunyai keinginan tinggi untuk menjadi orang berjaya atau orang kaya. Natijahnya kerana kurang pengetahuan dan kurang berfikir maka keinginan itu sukar dicapai. Peribahasa menyatakan bahawa usaha adalah tangga kejayaan.’

Oleh itu, setiap orang yang ingin berjaya perlulah berusaha keras untuk mencapainya. Jangan bimbang, semua orang boleh berjaya. Oleh itu hindarkan sikap malas kerana ia boleh menjadi penghalang utama.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/