Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
SEMUA benda nak free tu yang jadi
malas sikit. Tiada inisiatif untuk berusaha. Kalau subsidi kerajaan dikurangkan
salah itu ini, kebanjiran pekerja asing di Malaysia tanda-tanda awal penduduk
negara ini malas bekerja. Hendak gaji besar tapi kerja sikit. Macam mana rupa
negara kita kalau jadi negara berkebajikan
Tepuk dada tanya pemikiran anda." Demikian di antara pandangan (Murni Ali)
yang diajukan dalam ruangan blog Interaktif facebook.com/utusan_online pada 25
Ogos lalu.
Ada beberapa indikator untuk melihat
sejauh mana keselesaan atau kemalasan dalam masyarakat kita. Antaranya adalah
melihat tahap kesihatan yang mana bilangan obesiti semakin meningkat
menggambarkan kurangnya aktiviti jasmani atau kegiatan gaya hidup sihat. Jika
diperhatikan jumlah mereka yang mengunjungi padang atau gelanggang permainan
untuk beriadah setiap petang sangat kurang.
Bagi kekal sihat tidak semestinya
hanya bersukan tetapi cara lain boleh dilakukan misalnya membiasakan berjalan
pantas ke tempat berhampiran tanpa menaiki kenderaan atau mengelakkan diri daripada menggunakan lif
tetapi menggunakan tangga jika menaiki bangunan yang tidak terlalu tinggi.
Walau apa pun untuk menjaga
kesihatan sikap malas perlu dihindarkan. Senaman perlu dijadikan rutin harian
sama ada di kawasan rekreasi atau di gimnasium tidak kira yang muda atau tua.
Selain itu tingkah laku malas
dapat dilihat dengan jelas melalui perbuatan melepak yang kebiasaannya di pasar
raya, tempat hiburan atau kawasan awam. Melepak sering dikaitkan dengan
perbuatan membuang masa, tidak mempunyai tujuan khusus atau tidak bijak
menggunakan masa. Lebih malang perbuatan melepak ini dilakukan oleh muda-mudi
dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan atau mendakwa diri masih menganggur.
Sekiranya ditinjau keadaan
sekeliling ternyata negara kita antara yang paling bertuah dianugerahkan dengan
tanah subur, di kelilingi air yang memiliki khazanah laut dan pelbagai aktiviti
ekonomi yang berkembang pesat.
Melalui kestabilan politik,
suasana aman dan asas infrastruktur yang lengkap sesiapa pun boleh berjaya
asalkan sanggup berusaha keras untuk mencapainya.
Malangnya, kerja yang sepatutnya
dilakukan oleh anak tempatan diisi dan dipenuhi oleh warga asing.
Sikap malas menjadi penghalang
utama untuk mencapai kejayaan. Perkara ini telah diingatkan oleh ibu bapa
kepada anak-anak sejak kecil. Kemudiannya di sekolah guru terus mengingatkan
pelajar supaya menghindari sikap malas jika ingin maju dalam pelajaran dan
kehidupan. Guru sentiasa menekankan agar pelajar bersikap positif, rajin, tekun
dan bersungguh-sungguh dalam mengejar ilmu pengetahuan.
Pelajar digalakkan membuat
persediaan awal dengan membaca perkara yang akan diajar, memberi perhatian
serta tumpuan semasa pengajaran guru dan banyak membuat latihan serta rujukan
bagi menambah pengetahuan. Kebiasaannya anak murid yang akur dengan nasihat dan
panduan guru akan beroleh kejayaan dalam pelajaran dan cemerlang dalam
peperiksaan.
Sekiranya kita melayari Internet
terdapat blog yang membincangkan sikap malas antaranya www.irfankhairi.com
memberikan panduan bagaimana untuk membanteras sikap yang merugikan itu.
Menurutnya malas berpunca daripada sikap terlalu selesa atau berada dalam zon
selesa.
Untuk keluar daripada zon itu
bukanlah suatu yang mudah. Walaupun ada usaha tetapi secara psikologi tarikan
kembali ke zon itu lebih kuat. Apa yang perlu dilakukan adalah berusaha sedikit
demi sedikit untuk berubah misalnya bagi seorang pelajar cuba tetapkan masa
satu jam setiap hari untuk belajar di rumah kemudian berusaha meningkatkannya
kepada 30 minit bagi setiap minggu dan akhirnya cuba dapatkan jumlah masa
belajar sehingga lima jam setiap hari dan berusaha mengekalkannya. Insya-Allah
dengan tekad dan semangat yang kuat perubahan boleh menjadi kenyataan.
Sementara itu, blog
www.rahsiaebiz.com memperkatakan kejayaan seseorang mempunyai kaitan yang
signifikan dengan sikap. Inilah yang membezakan personaliti yang hebat dengan
orang biasa.
Menurutnya, sikap malas adalah
penyakit, sekiranya dihinggapi orang itu akan hilang kesungguhan untuk mencapai
matlamat tidak kira dalam usaha merebut peluang, bidang kerjaya atau apa sahaja
yang mereka impikan.
Sekiranya dikaji latar belakang
tokoh tertentu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bill Gates, Warren Buffet, Lim
Goh Tong atau Syed Mokhtar Albukhari sudah tentu terdapat kualiti tertentu dari
segi sikap, kesungguhan, strategi dan perancangan mereka. Sesungguhnya tiada
sikap malas dalam kamus hidup mereka kerana malas berkait rapat dengan
kegagalan.
Oleh itu, bagi mereka yang ingin
berjaya sikap malas hendaklah disingkirkan jauh di luar kotak minda. Sikap
positif hendaklah dijadikan amalan seperti rajin, bersungguh- sungguh, sentiasa
mencuba, tidak takut gagal, dan tidak mudah berputus asa.
Secara umumnya ada beberapa
kategori malas seperti malas membaca, malas berfikir dan malas berusaha. Jika
ingin menjadi orang hebat membaca perlu dijadikan rutin harian. Kini untuk
memiliki buku amat mudah kerana terdapat banyak kedai buku dan perpustakaan
awam di seluruh negara. Demikian juga melalui ICT maklumat dan pengetahuan
hanyalah di hujung jari.
Oleh itu, jangan malas membaca
apa sahaja bahan kerana mungkin ada antaranya yang memberi manfaat tanpa
disedari.
Keduanya, gejala malas berfikir.
Ini boleh menjadikan seseorang hilang daya kebijaksanaan. Minda manusia
dibekalkan dengan berjuta-juta sel neuron yang boleh digunakan untuk berfikir
apa sahaja dan pada bila-bila masa. Menurut pakar perubatan lebih banyak
seseorang itu berfikir semakin tajam daya pemikirannya kerana sel neuron akan hidup dan aktif bekerja.
Sebaliknya, jika malas berfikir
menyebabkan sel neuron mati
dan tidak aktif. Apa yang dibimbangi sekiranya anak muda malas berfikir mereka
akan lebih cenderung kepada perkara yang berbentuk hiburan atau yang menyeronokkan
sahaja.
Akhirnya akan merugikan negara
kerana golongan yang produktif itu tidak dapat memberi sumbangan seperti yang
diharapkan.
Ketiga, malas berusaha tetapi
mempunyai keinginan tinggi untuk menjadi orang berjaya atau orang kaya.
Natijahnya kerana kurang pengetahuan dan kurang berfikir maka keinginan itu
sukar dicapai. Peribahasa menyatakan bahawa usaha
adalah tangga kejayaan.
Oleh itu, setiap orang yang ingin
berjaya perlulah berusaha keras untuk mencapainya. Jangan bimbang, semua orang
boleh berjaya. Oleh itu hindarkan sikap malas kerana ia boleh menjadi
penghalang utama.
PENULIS ialah Pengerusi
Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan