Isnin, 4 Februari 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Memperkasa peranan, inovasi IPT tempatan


Oleh : Dr Ibrahim Komoo
 
Amanat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sempena tahun baru 2013 adalah kesinambungan wawasan beliau yang telah disampaikan pada 2011 dan 2012. Tema amanat tahun ini ialah ‘Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia’.

Beliau ingin membawa IPT negara ke suatu tahap kecemerlangan yang tinggi, dihormati pada peringkat global dan menjadi sumber rujukan keilmuan berwibawa pada peringkat kebangsaan.

Jelas dalam ucapan beliau, satu paradigma baru perlu diperkenalkan untuk memasyarakatkan pengajian tinggi. Beliau menyatakan, universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi atau menara gading, tetapi adalah institusi pencinta ilmu, tempat di mana pengetahuan dikumpul dan ilmu baru diterokai, disampaikan kepada pelajar dan dipindahkan kepada masyarakat.

Ini bererti, penjanaan ilmu tidak mempunyai makna jika ia hanya dikongsi sesama rakan cendekiawan.

Gerak R&D

Tidak seperti di kebanyakan negara maju, IPT di Malaysia mempunyai tanggungjawab berat untuk menggerakkan R&D dalam beberapa bidang strategik negara untuk menjana ekonomi berinovasi. Ini adalah peranan baru yang diberikan kepada lima Universiti Penyelidikan - UKM, UM, USM, UPM dan UTM.

Pelbagai inisiatif, meliputi dana penyelidikan khas, diberikan selama ini untuk menganjak keupayaan institusi menghasilkan produk berteknologi tinggi untuk dikomersialkan. Kini, telah tiba masanya masyarakat ingin melihat hasilnya.

Pada 2013, KPT telah memperkenalkan beberapa inisiatif baru, khususnya untuk memantau produktiviti dan keberkesanan pemindahan teknologi. Dua platform baru bakal diperkenalkan ialah mewujudkan Idea Interchange and Connection Bank yang berupaya mengalirkan hasil intelek berpotensi ke pasaran global.

Bagi Universiti Komprehensif Berfokus pula, Mohamed Khaled menunjukkan keprihatinan tinggi untuk melonjakkan keupayaan penyelidikan dan inovasi pada tahap lebih tinggi.

Beliau menegaskan: “Kini telah tiba masanya kita memberikan tanggungjawab dan kepercayaan kepada Universiti Komprehensif Berfokus untuk menentukan hala tuju, strategi dan pengurusan penyelidikan dan inovasi mereka supaya lebih berkesan dan berimpak tinggi”.

Untuk mengembalikan roh pembelajaraan dan pengajaran, beliau percaya kualiti graduan IPT mesti diperkukuhkan lagi, terutama dalam aspek kemahiran pemikiran peringkat tinggi.

Beri lebih perhatian

Dalam konteks ini, beliau menyeru supaya IPT memberikan perhatian utama dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Perancangan strategik untuk menganjak pendekatan lama kepada transformasi kurikulum berasaskan hasil dan pengajaran berpusatkan pelajar perlu diperkukuh.

Satu aspek yang menarik perhatian saya dalam amanat menteri ialah wawasan menjadikan IPT di Malaysia pemacu komuniti ASEAN. Kita sedia maklum menjelang 31 Disember 2015, negara di rantau ini sepakat untuk mewujudkan gagasan ‘Komuniti ASEAN’ dan Malaysia bakal menjadi pengerusi Sidang Kemuncak pertamanya.

Pada prinsipnya, komuniti ASEAN bakal dibangunkan bertunjangkan penguasaan pengetahuan berasaskan penyelidikan, tenaga mahir, ekonomi hijau dan masyarakat yang berdaya saing dalam persekitaran lestari. Soalnya, apakah ahli akademik tempatan sudah bersedia untuk memacu gagasan baru ini?

Saya dapati kebanyakan program pengajian dan penyelidikan di IPT tempatan, khususnya universiti awam masih menyahut keperluan dan cabaran tempatan. Ahli akademik yang mempunyai orientasi rantau atau global masih sangat terbatas dan mereka dilihat sebagai golongan terpinggir yang tidak peka terhadap tuntutan kebangsaan.

Hadapi cabaran besar

Paradigma berorientasi global bakal menghadapi cabaran besar dalam konteks pelaksanaan. Oleh itu, pandangan jauh beliau membawa gagasan komuniti ASEAN adalah langkah pertama yang perlu disanjung dan mampu membawa IPTA berganjak ke arena global.

Amanat tahun baru telah menghuraikan pelbagai wawasan dan inisiatif baharu untuk merangsang universiti tempatan menjadi pemacu daya saing Malaysia. Keupayaan dan pandangan jauh beliau menterjemah pelan transformasi kerajaan dalam konteks hala tuju dan pelan tindakan pelaksanaan pembangunan tinggi negara perlu dipuji.

IPT tempatan bernasib baik kerana mempunyai pemimpin negara yang sangat prihatin untuk meletakkan pengajian tinggi pada kedudukan tepat. Pemimpin di peringkat universiti perlu menterjemahkan amanat ini kepada perancangan pembangunan berasaskan keupayaan dan hala tuju universiti masing-masing.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Mendidik, bukan mengherdik


Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH

Video “Listen, listen, listen” menjadi buah mulut ramai. Ia menayangkan situasi KS Bawani, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), yang sedang bercakap dihentikan percakapannya oleh Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), dengan cara yang tidak sesuai, iaitu dengan nada suara yang meninggi dan menarik pembesar suara. Ini diikuti dengan Sharifah berleter terhadap Bawani yang senyum mendengarnya sebelum beredar ke tempat duduknya.

Insiden ini berlaku dalam Forum Suara Mahasiswa di UUM yang dihadiri kira-kira 2,300 mahasiswa UUM pada awal Disember 2012. 

Video ini telah ditonton kira-kira 1.5 juta kali. Sekiranya dicampur dengan video, remix dan vlog tentangnya, ia menjangkau 5 juta kali. Ini sebelum dicampur dengan komentar-komentar dalam Facebook, Twitter, blog dan sebagainya. Sebahagian penontonnya turut menonton video/filem “2+2=5” dan “3 Idiots”, yang ada kaitan dengan video ini.

Saya mendapat maklumat tentangnya pada 14 Januari lalu. Saya menontonnya, menyatakan pendapat dalam Facebook dan Twitter, serta menelefon Bawani. Pada 18 Januari lalu, saya bertemu Bawani di Bangsar.

Pada saya, Sharifah sepatutnya membenarkan Bawani menghabiskan percakapannya. Kalaupun ingin menghentikannya, terdapat cara lain yang lebih baik. Selepas itu, Sharifah boleh tidak bersetuju dengan apa yang diutarakan Bawani. Tetapi, berhujahlah dengan bijaksana. Sekurang-kurangnya, tidak perlu menggunakan ayat yang membawa maksud adalah lebih baik Bawani meninggalkan Malaysia dan UUM.

Cara Sharifah yang berleter dan memperkecilkan Bawani adalah tidak baik. Beliau sepatutnya menggunakan cara yang lebih baik, misalnya, seperti yang ditunjukkan oleh ayat al-Quran, an Nahl:125, iaitu: dengan bijaksana, dengan pengajaran yang baik dan berdebat atau berhujah dengan cara yang terbaik.

Kini, persoalannya ialah mengapakah video ini menjadi viral? Ia bukan sahaja ditonton oleh sekian ramai, malahan menjadi perbualan dan jenaka di mana-mana – media sosial, kedai kopi, seminar dan mesyuarat.   

Saya fikir ia menjadi viral kerana terdapat begitu ramai yang pernah, sama ada terkena, melihat atau mengetahui tentang insiden yang seakan-akan sama. Justeru, mereka dapat menyelami apa yang dirasai Bawani. Ada yang merasa senasib dengan Bawani. Ada yang bersimpati pada Bawani. Malahan ada yang menganggap Bawani adalah ikon mereka.

Sebenarnya insiden “Listen, listen, listen” atau yang seakan-akan dengannya selalu berlaku dalam masyarakat kita. Berterus-teranglah.

Ia berlaku, antara lain, akibat “budaya takut” yang menular, contohnya: sebahagian guru/pensyarah tidak menggalakkan pelajar bertanya atau berhujah; sebahagian orang dewasa memperlekeh orang muda; salah tafsir undang-undang tertentu, seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan wujudnya peraturan-peraturan tidak munasabah; melabel orang yang berbeza pendapat; syarat-syarat mesti dipatuhi untuk mendapat sesuatu, contohnya, tinggal di asrama pelajar; takut dapat markah kurang atau tidak naik pangkat; dan sebagainya. 

Tetapi, oleh sebab ia tidak dilaporkan atau didokumenkan, maka, ia umpama “api dalam sekam”. Apabila video ini muncul, maka, ramai yang seakan-akan berkata, “Wahai dunia, dengarlah!”. 

Secara kebetulannya, insiden ini berlaku pada masa yang strategik. Pada 30 Januari lalu, Kabinet membincangkan laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, iaitu strategi baru pendidikan negara peringkat sekolah. Manakala, sehari sebelumnya, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin mengumumkan bahawa Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara juga akan dikaji semula.

Semua ini diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara. Ia juga diharap dapat mengurangkan, kalaupun tidak menghapuskan sama sekali, budaya takut dalam masyarakat kita.

Akhirnya, saya cadangkan pembaca menonton (Youtube) video Mat Luthfi, “Parodi forum suara mahasiswa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Remaja moden kurang matang?


Oleh : SUHARNE ZAINUDIN

SELALU kita mendengar kata-kata, "umur masih mentah... apalah yang ditahunya" bagi merujuk kepada remaja yang ditafsirkan sebagai golongan belum tahu serba serbi, berfikiran tidak matang. Tetapi apabila menyaksikan kejutan jenayah yang dilakukan ramai remaja kini,  adakah kata-kata ini masih relevan diguna pakai?

Mungkin agak tidak berapa sesuai (kini), apabila mendakwa golongan remaja tidak tahu serba serbi hanya semata-mata berusia muda, kerana laporan berita dan statistik jenayah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuktikan, apabila menyentuh bab jenayah dan kesalahan melanggar undang-undang, ramai remaja 'bijak'.

Dalam jenayah merempit, ramai anak remaja pandai mengubah suai motosikal semata-mata mahu menjadi jaguh di litar haram, dalam jenayah lari dari rumah, memperlihatkan ramai golongan yang dikatakan 'tidak tahu apa-apa' ini tahu meloloskan diri daripada jagaan ibu bapa, manakala dalam jenayah buli, rata-rata remaja yang terlibat semuanya tahu memukul dan bergumpal.

Jadi, melihat kepada keadaan ini kata-kata 'umur masih mentah... apalah yang ditahunya' tidak sesuai lagi diguna pakai, kerana dalam sesetengah perkara 'mereka' ini sangat pandai, mengalahkan dewasa.

Kini, seiring dengan negara yang pesat membangun, usaha melibatkan program sosial bagi menangani masalah sosial remaja tidak lagi dipandang sepi. Contohnya pihak PDRM kini kerap melaksanakan program cegah jenayah.

Bukan setakat itu, hukuman yang bakal diterima atas setiap jenayah dilakukan turut didedahkan. Pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga semakin giat mendedahkan informasi berhubung jenis jenayah dan hukuman yang bakal diberi dalam usaha mendidik dan membendung jenayah daripada berlaku dalam kalangan remaja.

Namun, persoalannya adakah usaha tersebut berhasil mencapai objektif 100 peratus? Apakah keadaan tersebut tidak berubah langsung atau ada sedikit perubahan? Atau sebenarnya semakin menjadi-jadi? Dalam bahasa mudah dan sering dituturkan, ramai orang kini 'buat dek'. Golongan remaja yang suka melakukan jenayah ini seperti  ‘buat dek’  dengan segala hebahan dan nasihat yang diberikan.

Ditambah pula kewujudan media baharu, remaja kini semakin bijak. Pada asalnya kecanggihan media baharu dicipta untuk kebaikan namun sebaliknya berlaku jika disalah guna sehingga ramai remaja terjebak ke kancah jenayah seperti berkenalan dengan individu tidak bermoral dan menonton gambar lucah yang berpotensi mendorong melakukan jenayah lari dari rumah, bunuh, rogol, cabul dan buli.

Membicarakan perihal ramai remaja kini berani melanggar undang-undang bukanlah sesuatu yang baru. Ia isu berulang ibarat hal yang tidak pernah sudah. Maka, adakah kita tidak perlu membincangkan hal ini lagi semata-mata menganggapnya isu lapuk? Jika wujudlah masyarakat yang  terus berpegang kepada pandangan 'biarlah, sebab tak pernah habis' adakah ini pendekatan paling baik? Bicara Isnin percaya, sesuatu hal jika dibawa dalam bentuk nasihat, ia tidak wajar dikatakan sebagai lapuk kerana dalam hal menasihati anak remaja janganlah kita pernah berhenti walaupun menjangkau beberapa generasi lagi.

Jenayah lari dari rumah

Kajian menunjukkan tekanan keluarga serta pernah dihalau menjadi faktor pendorong bagi golongan remaja bertindak untuk melarikan diri dari rumah, menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan oleh sebuah badan sosial.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Mohd Fadzil berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pada 2010 itu, didapati sebanyak 37.2 peratus daripada 379 remaja yang pernah melarikan diri dari rumah menyatakan mereka berbuat demikian kerana pernah dihalau keluar rumah selepas melakukan kesalahan.

“Kajian ini dijalankan ke atas remaja berusia 12 hingga 18 tahun masing-masing 42.7 peratus lelaki dan 57.3 peratus perempuan turut mendapati faktor lain berpunca daripada rasa ingin bebas daripada kongkongan, pernah bergaduh dengan anggota keluarga dan rakan selain daripada pengaruh ajakan rakan,” katanya yang dilaporkan Bernama.

Katanya daripada jumlah tersebut, remaja berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi kes lari rumah iaitu 67.8 peratus diikuti dengan 14 hingga 15 tahun (27.9 peratus) dan 12-13 tahun (4.3 peratus).

Kes lari dari rumah untuk kali pertama yang dilakukan oleh mereka ini adalah ketika mereka berusia 13 hingga 15 tahun dengan mencatatkan sebanyak 65.2 peratus diikuti dengan 10 hingga 12 tahun (20.1 peratus), 16 hingga 18 tahun (12.1 peratus) dan 10 tahun merekodkan sebanyak 2.6 peratus.

Katanya, bagi golongan remaja seperti ini mereka berpotensi bertindak secara berani untuk melarikan diri dari rumah secara berulang apabila sekali mereka pernah berbuat demikian.

Prof Mohd Fadzil berkata, remaja seharusnya sedar bahawa tindakan lari dari rumah itu sebenarnya secara langsung boleh merisikokan mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Menangani kes murid tanpa dokumen


Oleh : NORIZAN ABDUL MUHID

Setiap kali bermulanya pembukaan sesi persekolahan baharu setiap tahun, Kementerian Pelajaran pasti berdepan senario pendaftaran murid tanpa dokumen sama ada dalam kalangan ibu bapa warga tempatan mahupun rakyat asing yang bermastautin di negara ini.

Namun begitu, menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad, halangan itu tidak pernah dipandang ringan dan sentiasa diperbaiki pihaknya bagi memastikan kanak-kanak dan remaja di negara ini mendapat pendidikan sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang keluarga.

Beliau memberitahu, terdapat banyak kategori berkaitan masalah pendaftaran murid atau pelajar dari peringkat prasekolah hingga tingkatan enam seperti ibu bapa warga tempatan yang tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan kelahiran anak.

"Kes seperti ini berlaku disebabkan banyak faktor antaranya termasuklah ibu bapa yang bernikah di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan tersebut, yang menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat mengeluarkan sijil kelahiran anak.

"Namun, murid berkenaan masih boleh memasuki sekolah dengan syarat ibu bapa mengisi dua borang yang disediakan Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan negeri di samping perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung di kediaman masing-masing,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, kesulitan pendaftaran masuk murid yang tidak mempunyai dokumen diri berlaku apabila ibu bapa membuat tafsiran tiada halangan mendaftarkan anak mereka ke sekolah walaupun tidak mempunyai sijil kelahiran.

"Ramai yang masih mempersoalkan pihak sekolah tentang perkara ini, antaranya kenapa anak tidak boleh masuk sekolah sedangkan ibu bapanya rakyat tempatan; tetapi kita mahukan kepastian tentang status anak berkenaan, mungkin anak angkat sebab itu perlu ada pengesahan ketua kampung,'' katanya.

Senario tersebut, katanya, walaupun hanya melibatkan segelintir kecil ibu bapa namun kementerian tetap memandang serius perkembangan itu kerana membuktikan masih wujud kekeliruan berhubung garis panduan tersebut.

Katanya, kesulitan juga berlaku apabila ibu bapa tidak mempunyai dokumen diri dan senario tersebut sering berlaku di kalangan masyarakat Orang Asli dan pedalaman namun melalui proses pendaftaran JPN, persekolahan murid tetap diteruskan.

Senario lain yang turut berlaku adalah di kalangan ibu bapa rakyat asing yang bekerja secara sementara dengan agensi kerajaan atau badan berkanun.

Kelompok ini dikehendaki membayar yuran pendaftaran RM120 setahun per murid untuk sekolah rendah manakala RM240 setahun per murid pula bagi sekolah menengah dan tanpa sebarang kemudahan pendidikan seperti bantuan buku teks, bantuan makanan atau wang khas RM100.

"Selain boleh ke sekolah antarabangsa, kita juga menyediakan pusat pembelajaran setempat misalnya untuk pekerja ladang Indonesia di Sabah dan kita pastikan pembelajaran mempunyai konsep 3M (Membaca, Menulis dan Mengira),'' katanya.

Sementara itu, kata beliau, ibu bapa warga asing yang mahu mendaftarkan anak mereka perlu membayar yuran persekolahan sama ada RM120 atau RM240 beserta pas belajar.

Menurut Mazlan, kesulitan seperti itu boleh diatasi sekiranya ibu bapa memainkan peranan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mendaftarkan anak mereka memasuki sekolah.

"Paling utama, kerajaan sentiasa menitikberatkan kepentingan pendidikan untuk semua, tidak kira latar belakang keluarga murid terlibat, apa yang penting, dia tetap mendapat pendidikan sewajarnya namun bagi warga negara asing, mereka harus mematuhi peraturan yang ditetapkan,'' tegasnya.

Setakat Julai tahun lalu, terdapat kira-kira 2,261 murid bukan warga negara bersekolah rendah di negara ini termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara dengan bilangan paling ramai dikenal pasti di Sarawak iaitu seramai 830 orang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kepentingan Menjaga Standard Universiti



Oleh : Ruhaiza Rusmin

Biarpun ada pihak berpendapat, penarafan bukan satu keutamaan dalam mengukur kemampuan sesebuah institusi, namun tiada siapa mampu menyangkal kepentingan dan prestijnya anugerah itu.

Dilihat sebagai standard institusi membina nama di persada dunia pendidikan tinggi, penarafan sama ada berstatus tempatan mahupun antarabangsa sering kali menimbulkan komentar sokongan ataupun kritikan.

Simboliknya, ada berang­gapan penarafan hanya satu pengiktirafan di atas sehelai sijil dengan tidak mungkin memudaratkan tanggungjawab sedia ada.

Ada pula beranggapan, ia bukan semata-mata melonjakkan imej institusi, malah memberi kelebihan berganda dalam usaha menjadikannya lebih dikenali.

Jadi, sejauh mana kepentingan penarafan itu?

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata, kepentingan penarafan boleh ditakrifkan sebagai penanda aras bagi memacu kewibawaan institusi ke arah lebih profesional dan diperakui.

Beliau berkata, meskipun ada pihak mempertikaikannya, penarafan menjadi pemangkin terhadap usaha dilakukan bagi memartabatkan penguasaan ilmu serta peningkatan kualiti.

“Justeru, pemberian penarafan itu memang penting kerana sebahagian besar aspek akan dinilai dan diberi penanda aras bagi menentukan piawaian.

“Bukanlah bermakna jika tiada penarafan institusi tidak bagus tapi ini adalah pencapaian. Jadi bagi mereka yang mempertikaikannya, lihat daripada skop luas betapa perlunya penarafan ini.

“Pengiktirafan itu adalah simbol kekuatan, kejayaan dan kesungguhan institusi dalam setiap usahanya,” katanya.

Beliau juga tidak me­nyangkal isu penarafan sering dipolemikkan terutama institusi yang dikatakan hanya gah di peringkat tempatan, namun gagal menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Minda kita sering dimomokkan dengan tanggapan negatif seperti institusi kita tidak setanding, kurang keupayaan dan bertahap sederhana.

“Seharusnya mentaliti ini tidak ada sebab ini adalah institusi kita. Seharusnya kita bangga kerana institusi kita berani menyahut cabaran dan bersaing untuk memperoleh kedudukan yang baik.

“Biarpun tahu tahap masih jauh, itu bukan penghalang mereka mencuba. Sekurang-kurangnya mereka dapat belajar untuk mengatasi dan memperbaiki kelemahan,” katanya yang turut kesal apabila penarafan dibuat seolah-olah diperle­kehkan.

“Ini bukan soal kalah menang atau mampu memperoleh kedudukan baik. Ini soal peningkatan kepercayaan, kemahuan bersaing juga penambahbaikan kelemahan.

“Kita perlu melihatnya dari sudut positif, jangan asyik membina prasangka yang bukan-bukan.

“Institusi juga perlu belajar dan sentiasa belajar untuk mencapai kemajuan. Lagipun, ini soal pendidikan jangka panjang dengan pembabitan bukan saja untuk institusi, malah semua pihak,” katanya.

Setiap usaha untuk mencapai penarafan, juga adalah rentetan untuk memperoleh perkongsian pengalaman, ilmu, kerjasama serta me­nyahut cabaran.

“Sebab itu, jangan ada pihak mengatakan penarafan institusi tidak penting. Ia sebenarnya sebahagian eksperimen untuk melihat sejauh mana keupayaan sistem pendidikan kita berfungsi dari semasa ke semasa.

“Mungkin mereka yang menidakkan ini juga merasakan, ia hanya berkaitan nombor kedudukan yang bukan menjadi satu masalah besar.

“Masalahnya, kita berurusan dengan kepercayaan masyarakat yang boleh berkata apa saja. Justeru, peningkatan sistem pendidikan tinggi mesti diambil kira untuk kita nilaikan di mana tahap kemampuan sedia ada,” katanya.

Beliau menegaskan, pemberian penarafan sama ada dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) atau luar negara seperti Times Higher Education (THES) bukanlah untuk mengkritik atau membandingkan sesebuah institusi.

Sebaliknya sebagai ‘ama­ran’ supaya institusi memperbaiki kelemahan sedia ada dan berusaha melonjakkan potensi ke tahap paling tinggi.

“Dunia pendidikan hari ini sangat kompleks, persaingan juga pilihan wujud di mana-mana. Akses pendidikan juga tidak terbatas.

“Penilaian untuk penarafan diberikan agar kita mahu berubah dan berusaha melangkau kemampuan.

“Kita tentu mahu institusi tempatan menjadi buah mulut orang luar, jadi jangan banyak ragam atau rungutan kerana ia sangat merugikan,” katanya.

Biarpun kebelakangan ini isu berkenaan kurang mencetuskan reaksi masya­rakat, masih dianggap antara keutamaan dalam nadi dunia pendidikan tinggi negara.

Penarafan berkenaan turut diiktiraf sebagai kayu pengukur dalam menentukan kemampuan institusi negara menyahut cabaran pendidikan global selain meninggikan lagi status sedia ada ke tahap sasaran.

Mengulas mengenai perbandingan penarafan diberi iaitu tempatan dan antarabangsa, beliau berkata, penilaian biarpun berbeza namun masih mengekalkan ciri-ciri sama.

Menurutnya, setiap ciri itu pastinya menekankan mengenai aspek tertentu seperti bilangan pelajar, pensyarah, pengantarabangsaan, jurnal dan budaya kerja menjadikan kedua-duanya tetap serupa biarpun berbeza taraf.

“Setiap penilaian melihat komposisi atau spesifikasi tertentu, namun sama ada tempatan ataupun antarabangsa, aspek dinilai tidak banyak bezanya.

“Ia disesuaikan dengan keperluan mengikut kelas penilaian serta penilai tertentu bagi mematuhi kriteria ditetapkan.

“Keutamaannya ialah mahu melihat bagaimana keberkesanan institusi terbabit melaksana dan mencapai piawaian mengikut garis panduan ditetapkan. Boleh atau tidak,” katanya me­nyangkal standard tempatan lebih rendah.

“Itu tanggapan tidak tepat. Memang kalau sudah bertaraf antarabangsa, standard ditetapkan tinggi dan profesional.

“Tapi tidak bermakna tempatan tidak mempunyai standard kerana penilaian dibuat juga berstatus tinggi.

“Jika tidak, masakan ha­nya ada beberapa institusi saja mampu memperoleh tahap (tier) lima daripada ratusan institusi tempatan sedia ada. Ini menunjukkan penarafan tempatan juga bukan mudah diperoleh,” katanya.

Walaupun kedudukan institusi tempatan dalam penarafan antarabangsa dikatakan tidak konsisten, masih belum terlambat untuk memperbaiki kedudukan.

“Dalam aspek pendidikan, tiada istilah terlambat atau tercepat kerana proses pengembangan ilmu sentiasa berlaku.

“Yang perlu digerakkan ialah memperbaiki kelemahan, menetapkan sasaran, berani berfikir di luar kotak dan melakukan perubahan.

“Pada masa sama, kita berikan juga penghormatan sewajarnya kepada institusi negara supaya mereka sentiasa kuat untuk bersaing,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/