Isnin, 10 Januari 2011

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Air mata sasterawan

ABDULLAH Hussain mengesat air mata kerana tidak dapat menahan sebak di dada ketika memperkatakan nasib malang novel Interlok karyanya itu di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

TIADA apa yang lebih meremukkan hati seorang penulis apabila melihat karyanya dihina dan dipolitikkan pihak tertentu hanya kerana kandungannya tidak difahami secara keseluruhannya.

Itulah yang dirasakan oleh Sasterawan Negara, DATUK ABDULLAH HUSSAIN, 91, ketika menatap gambar sekumpulan penduduk kaum India membakar novel Interlok karya beliau di Klang, Selangor yang disiarkan akhbar ini, dua hari lalu.

Dalam linangan air mata, Abdullah yang ditemui oleh wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL bersama jurugambar, HAFIZ JOHARI di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, semalam turut melahirkan kekesalan yang mendalam apabila karyanya yang diterbitkan 40 tahun lalu disalahertikan oleh pihak tertentu.

Abdullah yang berkerusi roda ketika ditemui meminta untuk berbaring ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kerana keuzurannya.

Malah, beliau juga hanya mampu menjawab soalan-soalan itu secara bertulis kerana tidak berdaya lagi untuk berbicara.

Ikuti soal jawab itu yang terpaksa dilakukan dengan ringkas ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Bagaimana perasaan Datuk dengan apa yang menimpa karya Interlok?

ABDULLAH: Saya berasa dukacita kerana maksud saya baik, tetapi orang salah menerima.

Apa yang tidak difahami oleh kaum India menerusi buku Interlok itu?

ABDULLAH: Di India (terutamanya di India Selatan), masih kuat dengan fahaman ‘paria'. Saya ikut Mahatma Gandhi. Tetapi orang India di sini cuba melupakannya.

Apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi Interlok?

ABDULLAH: Ia merupakan kisah Maniam, iaitu watak utama seorang India dari India Selatan. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di sini. Dia seronok menaiki kapal bersama orang India yang lain dan seronok apabila sampai di Pulau Pinang. Dia gembira kerana tidak ada perbezaan kasta di Malaysia.

Nasihat Datuk kepada kaum India yang menolak buku ini?

ABDULLAH: Baca betul-betul (Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India.

Datuk masih menulis?

ABDULLAH: Saya tidak lagi boleh menulis. Menulis memerlukan saya bergaul dengan banyak orang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Interlok gambaran realiti, bukan penghinaan

BESUT 10 Jan. — Kewujudan kasta yang digambarkan oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussein dalam novelnya, Interlok bukan suatu bentuk penghinaan kepada mana-mana kaum malah merupakan realiti pada zaman berkenaan.

Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu, Malaysia-China di Foreign Studies University (BFSU) China Beijing Prof Awang Sariyan berkata golongan kasta itu dibawa oleh penjajah Inggeris untuk manipulasi ekonomi mereka.

Beliau berkata Sasterawan Negara itu ialah seorang penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri.

"Novel Interlok adalah gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan dan pengisahan yang membabitkan penghijrahan kaum pekerja dari luar termasuk orang dari India memang terakam dalam karya ilmiahnya," katanya menerusi e-mel di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan golongan tertentu yang mahukan novel Interlok diharamkan daripada dijadikan komponen sastera dalam subjek Bahasa Malaysia tingkatan lima bermula tahun ini.

Mereka mendakwa novel berkenaan mempunyai elemen yang menghina kaum India di negara ini.

Awang berkata, Abdullah tidak membohongi fakta sejarah dengan mengatakan bahawa dalam kapal itu bersesak-sesak golongan Brahmin atau golongan Ksyatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api atau buruh di ladang getah.


Katanya, konteks yang menggambarkan suasana dalam kapal itu pula menunjukkan nilai murni golongan tersebut yang memiliki perasaan dan kesediaan hidup bersama tanpa berasa bimbang oleh sebab berlainan taraf atau kasta.

Sehubungan itu, Awang meminta supaya semua pihak membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah.

Katanya, perkara itu akan bertambah rumit lagi jika isu itu dikaitkan pula dengan perhitungan politik yang sempit.
- Bernama