TENTUNYA kita biasa melihat papan
tanda yang tertulis, “Dilarang Masuk Tanpa Urusan” sewaktu berkunjung ke
mana-mana premis, sama ada kerajaan atau swasta.
Jika sekali pandang, kita mungkin
tidak dapat mengesan apa-apa kejanggalan tetapi jika dilihat dari sudut
kesantunan berbahasa, tulisan atau ungkapan tersebut seolah-olah memperkecil
orang yang membacanya.
Mengapa saya mengatakan
sedemikian? Seandainya kita teliti secara mendalam papan tanda yang tertulis,
“Dilarang Masuk Tanpa Urusan”, adakah seseorang yang berkunjung ke premis
tersebut tiada urusan? Biasanya papan tanda tersebut ditujukan terutamanya
kepada jurujual yang datang tanpa janji temu dengan pihak pengurusan atau
pentadbiran premis berkenaan.
Jika kita fikir secara logik,
jurujual juga mempunyai urusan, iaitu ingin menjual barangan mereka. Sepatutnya
disediakan satu kaunter pertanyaan dan jurujual itu bolehlah bertanya sama ada
diizinkan untuk memasuki premis tersebut atau disediakan papan tanda yang
tertulis “Jurujual Tidak Dibenarkan Masuk”.
Bagaimanakah pula jika pihak yang
berkunjung itu bukan jurujual? Sebagai contoh, seorang tua yang terpaksa
menaiki anak tangga ke tingkat satu atau dua sebelum masuk ke pejabat premis
berkenaan.
Dalam keletihan setelah menaiki
anak tangga, orang tua itu hanya sempat membaca dua patah perkataan setakat
“Dilarang Masuk” sahaja, mungkinkah dia akan berasa marah dan kecewa.
Jadi, dari sudut kesantunan
berbahasa, adalah wajar papan tanda seumpama itu ditulis, “Silakan Masuk Jika
Ada Urusan”. Orang tua itu, walaupun keletihan dan sempat membaca hanya dua
patah perkataan, iaitu “Silakan Masuk”, akan terus masuk dan beliau tentunya datang ke pejabat
itu kerana mempunyai urusan.
Mungkin juga kita pernah
mendengar ungkapan, “Tujuan saya berdiri di sini adalah untuk menyampaikan
ceramah yang bertajuk …” atau ungkapan, “ Seperti yang kita semua ketahui…”
Sekali lagi saya nyatakan di
sini, kita mungkin tidak berasa apa-apa kesilapan dengan ungkapan tersebut.
Jika dilihat dari sudut kesantunan berbahasa, ungkapan yang digunakan itu juga
seolah-olah menggambarkan penceramah menganggap bahawa audiensnya tidak tahu
sebab dia naik ke pentas. Adakah betul? Bukankah pengacara majlis telah
memaklumkannya berserta tajuk ceramah yang akan disampaikan. Sepatutnya
ungkapan tersebut tidak perlu dinyatakan lagi oleh penceramah.
Begitu juga ungkapan, “Seperti
yang kita semua ketahui…”. Jika kita semua ketahui maka tidak perlu bagi
penceramah atau orang yang sedang berucap mengungkapkan ungkapan tersebut.
Tidakkah perbuatan itu membuang masa sahaja kerana semua sudah mengetahui.
Sepatutnya penceramah atau orang yang sedang berucap itu memberitahu, “Saya
ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan tentang hal…”.
Satu perkara lagi yang biasa
berlaku dalam pengucapan awam, iaitu pengucap memberitahu pada awal ucapan atau
ceramahnya bahawa beliau tidak sihat. Apakah tujuan dan niat sebenar orang yang
berucap atau penceramah memberitahu hal tersebut?
Adakah beliau ingin menutup
kelemahan dalam penyampaian ucapan atau ceramahnya? Jika tidak sihat,
sepatutnya hal tersebut diberitahu kepada doktor. Jadi, ungkapan atau pemberitahuan
itu sebenarnya telah merosakkan ucapan atau ceramah tersebut.
Di samping itu, kita juga mungkin
pernah mendengar pada akhir ucapan atau ceramah ungkapan, “kerana masa tidak
mengizinkan saya …” Masa bukanlah manusia yang dapat memberikan keizinan atau
tidak.
Ungkapan sedemikian sebenarnya
memberi gambaran kepada kita bahawa orang yang sedang berucap atau penceramah
itu tidak pandai atau tidak bijak untuk mengurus masa ucapan atau ceramahnya.
Alah bisa tegal biasa.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/