Rabu, 19 Februari 2014

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Mengendalikan maklumat di hujung jari


Oleh :  Johan Jaaffar

Manusia moden sarat dengan data dan maklumat. Bayangkan berbilion halaman maklumat yang boleh diperoleh  melalui enjin carian Google. Setiap hari 400 juta tweet dihantar oleh manusia. Pada masa ini 1.4 bilion manusia mempunyai akaun Facebook. Sebuah buku baharu lahir setiap 30 saat. Kita diasak dengan jutaan data dan maklumat setiap masa melalui pelbagai sumber, lebih-lebih lagi melalui Internet.

Satu ketika dahulu, maklumat datang merangkak. Hari ini segala-galanya boleh didapati dengan pantas dalam sekelip mata. Perpustakaan dan arkib bukan lagi sumber mendapatkan ilmu dan maklumat. Ensiklopedia yang mahal dan tebal dianggap tidak relevan lagi. Hari ini Wikipedia memberikan laluan mudah untuk kita mendapat apa sahaja yang diperlukan. Maklumat kini di hujung jari.

Komputer saya yang pertama pada awal 80-an namanya Commodore 64 – sesuai dengan namanya hanya mempunyai 64 bit. Ini bermakna ia boleh menyimpan paling banyak lima fail untuk rencana seperti ini. Hari ini, BlackBerry boleh memuatkan maklumat sejuta kali lagi banyak. Ada yang meramalkan menjelang 2025, kita akan mempunyai komputer yang boleh memproses maklumat seperti otak manusia. Pada tahun 2045, komputer itu boleh mempunyai keupayaan memproses enam bilion otak.

Apakah kita berada dalam keadaan ‘sarat maklumat’? Dalam bahasa Inggeris, ungkapan yang tepat ialah ‘information overload’. Ada juga yang melabelkannya ‘infobesity’ atau ‘infoxication’. Apakah keadaan ini baik untuk manusia? Atau menjadikan kita terlalu bergantung pada maklumat atau data?

Nampaknya begitulah, kita berdepan dengan tsunami maklumat – sebahagiannya berguna, banyak juga sekadar sampah sarap yang tidak bermanfaat. Apakah manusia menjadi lebih cerdik dengan teknologi di tangannya?

Ledakan maklumat perlu dimanfaat

Belum tentu! Cara kita mengendalikan media sosial bertentangan dengan matlamat asalnya. Maklumat yang sepatutnya menguntungkan kita menjadi musuh utama kita. Ruang siber yang sepatutnya digunakan secara baik untuk tujuan ilmu dan penyebaran maklumat menjadi gelanggang caci mencaci, melepas geram malah menghina orang lain.

Apakah maklumat yang kita perolehi itu kita manfaatkan dengan baik? Dan apakah kita menilainya dengan betul, berhemah dan saksama? Atau kita sekadar menjadi tukang sebar dan edar apa sahaja fitnah, kebencian dan dendam orang lain?

Inilah sebenarnya cabaran utama era maklumat hari ini – menjadi manusia yang bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat. Keadaan sarat maklumat bermakna input atau kemasukan maklumat lebih daripada kemampuan kita memprosesnya.

Manusia lebih keliru

Satu waktu dahulu Marshal McLuhan menggunakan istilah ‘global village’ untuk menunjukkan bagaimana dunia menjadi kecil oleh runtuhnya tembok-tembok akibat ledakan maklumat. Hari ini globalisasi dan keadaan sarat maklumat telah mengubah dunia. Sayangnya kepantasan dan banyaknya maklumat tidak semestinya bermakna manusia lebih bermaklumat atau ‘informed’, sebaliknya lebih keliru.

Keupayaan memproses, mengurus dan menyebar maklumat bukan mudah. Selalunya manusia menjadi mangsa keadaan sarat maklumat – mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan, malah menjadikan mereka bingung dan keliru. Ini ada kaitannya dengan batas kemampuan manusia biasa menyimpan maklumat itu sendiri.

Manusia sentiasa berdepan dengan masalah mengendalikan peralatan teknologi. Dua puluh tahun yang lalu telefon ‘mobile’ masih terlalu baharu. Sistem pesanan ringkas (SMS) muncul bersama telefon mudah alih. Hari ini SMS mencorakkan perhubungan kita. Whatsapp kini memudahkan proses menulis teks di telefon pintar. Setiap masa kita menunggu datangnya teks yang dihantar. Di tangan kita letaknya peralatan yang sebenarnya menjadikan kita dilalaikan oleh teknologi. Malah merenggangkan nilai kekeluargaan dan sosial.

Jangan sampai teknologi mencorakkan hidup kita sebaliknya kitalah yang sepatutnya mengendalikan teknologi. Kita harus membuat pilihan sepanjang masa memetik keperluan daripada gelombang data dan maklumat sedia ada. Satu ketika dahulu tamadun dicorakkan oleh tradisi ilmu, kesarjanaan dan penerbitan buku. Hari ini kita menjadi hamba teknologi. Kemanusiaan sudah dicorakkan oleh kepantasan, keadaan sarat maklumat dan kecanggihan peralatan teknologi.

Kita harus menerima hakikat keadaan sarat maklumat sebenarnya belum tentu memguntungkan manusia. Malah ada bukti bahawa ia menjejaskan produktiviti serta menyebabkan kita membuat keputusan yang salah. Proses membuat keputusan menjadi lebih rumit dan membebankan.

Jadikanlah maklumat kawan dan bukan lawan. Manfaatkanlah data dengan betul bukan dengan semberono. Kita tidak akan menjadi lebih berilmu, lebih celik dan terbuka semata-mata dengan maklumat yang banyak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan