BENCANA banjir nampaknya sudah
berlalu. Kemudian negara dilanda cuaca dingin yang ganjil yang sebelumnya tidak
pernah berlaku. Menggelikan hati juga apabila dilaporkan di setengah-setengah
kawasan ada yang terpaksa menggunakan jaket tebal untuk ke ladang bagi menoreh
getah.
Dilaporkan juga banyak peniaga
pakaian terpakai terutama di Kelantan mendapat durian runtuh apabila pakaian
yang sebelum ini terperuk tidak laku sudah menjadi rebutan dan mampu dilupuskan
dengan untung lumayan daripada stok lamanya.
Inilah yang dikatakan sebagai
rahmat daripada Allah yang meskipun kadangkala dianggap sebagai bencana atau
musibah tetapi mengandungi hikmah dan nikmat yang tersembunyi bersamanya jika
kita mampu membuka mata bagi menilainya secara positif.
Kini nampaknya suasana sekali
lagi berubah. Cuaca dingin berubah menjadi panas berbahang sebaik sahaja tamat
perayaan Tahun Baru Cina. Meskipun tahun ini adalah tahun kuda tetapi nampaknya
ia sangat berbahang umpama kuda api.
Perkara pertama yang dikhuatiri
bakal berlaku akibat perubahan cuaca ini bukan lagi ancaman bencana banjir
tetapi sekarang beralih pula kepada ancaman cuaca panas yang keterlaluan.
Mungkin tidak lama lagi kita akan berhadapan dengan kes kebakaran hutan dan
tanah gambut dan diserang jerebu pula.
Apa sahaja yang bakal berlaku,
tentu ia mendatangkan kesan kepada rakyat negara ini yang rata-ratanya amat
sensitif terhadap sebarang perubahan semasa.
Paling sinis apabila membaca
komen di beberapa blog, kumpulan WhatsApp dan facebook yang menyindir seruan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk beralih kepada produk
dingin beku daripada membeli produk segar seperti kebiasaan mereka.
Saranan Muhyiddin ini adalah
berdasarkan kepada dua motif dan fakta utama iaitu produk berkenaan jauh lebih
murah dan kualitinya setanding dan bahkan kadangkala lebih baik daripada yang
segar dijual di pasar basah seluruh negara.
Reaksi yang diterima dalam media
alternatif berkenaan memang kadang-kala di luar batas akal waras apabila
membaca komentar yang dilontarkan sehingga ke tahap mencemuh dan mengeji tanpa
meneliti fakta saintifik terhadap saranan berkaitan.
Memang benar, budaya pengguna di
negara ini sangat terkebelakang jika dibandingkan dengan negara lain kerana
lebih bersifat tanggapan semata-mata. Kurangnya ilmu pemakanan menyebabkan
kejahilan berleluasa dan mengongkong budaya amalan pemakanan yang lebih sihat
diamalkan.
Bahan makanan sejuk beku
sebenarnya jauh lebih bersih, segar dan selamat berbanding dengan produk yang
dikatakan segar yang didapati di pasar basah yang terbuka. Ini disebabkan bahan
berkenaan tidak dicampur dengan bahan pengawet bagi mengekalkan kesegarannya.
Teknologi pembekuan segera
menyebabkan kesegaran produk dapat dikekalkan dan berupaya mencegah virus dan
kuman daripada memasuki produk berkaitan berbanding dengan produk yang
dibiarkan terdedah dan hanya diletakkan ketulan ais bagi mencegah daripada
busuk. Sedangkan kuman dan virus mudah membiak dengan suasana terdedah itu.
Teknologi blast freez dan deep
freezing menyebabkan bahan mentah seperti ikan dan daging tahan bertahun
lamanya dan masih sangat segar sehingga tidak akan dapat dibezakan dengan
produk yang baru diproses disebabkan pengawalan lembapan mampu dikurung bersama
ais yang dibentuk sebaik sahaja proses sejuk beku dilaksanakan.
Kita akan melihat bahawa mata
ikan yang menjalani proses ini masih berwarna asal berbanding ikan di pasar
segar yang sudah bertukar merah. Malahan daging ayam atau lembu juga masih
lembut dan mudah untuk diuruskan serta dimasak berbanding daging segar biasa
Kerana itu kita melihat para
pengguna di Eropah, Jepun, Korea, Taiwan dan pelbagai negara lain sangat kontra
dengan kita dan sentiasa menerima produk sejuk beku ini dengan sangat positif
dan menjadi budaya kepenggunaan di negara mereka. Dengan kata lain, sekiranya
budaya serupa diterima pakai oleh pengguna di sini maka mereka akan mendapat
produk yang lebih murah dengan kualiti lebih baik dan pada masa sama dapat
berjimat sehingga mampu mengekang inflasi.
Sebagai pengguna, kita patut
mengambil langkah bestari dan tidak mengikut perasaan dan pengaruh orang
semata-mata. Kita patut berani berubah dan mencari fakta daripada hanya
mendengar ocehan dan omongan kosong daripada mereka yang punya kepentingan
peribadi dan sentiasa mencari kesempatan untuk menangguk di air keruh.
Mungkin tidak lama lagi para
pengguna juga bakal berhadapan dengan isu bekalan air kerana sudah ada
indikator ke arahnya. Sudah diberi maklumat oleh media beberapa empangan
tadahan dan pusat memproses air mula susut dengan sangat drastik. Maka para
pengguna kena pantas bertindak secara proaktif bagi mengurangkan impak atau
menghalang satu lagi krisis bekalan air daripada melanda kita.
Tidak mustahil isu ini pun bakal
dipolitikkan dan kita percaya sudah direncanakan kepada siapa jari akan
dituding. Sama ada banjir, empangan pecah ataupun kontang air di tadahan maka
ia akan menjadi pelantar oleh pihak tertentu mempengaruhi masyarakat pengguna
supaya menyalahkan kerajaan. Walhal sesiapa sahaja yang menjadi pemerintah
tidak dapat lari daripada menghadapi masalah yang serupa.
Paling untung agaknya para
pengguna dan peniaga di dua tempat yang bakal menyambut hari raya iaitu pilihan
raya kecil yang impaknya bukanlah pula kecil. Meskipun kecil tetapi sebenarnya
sangat besar maknanya. Orang Kajang dan Kuching tentu sudah tidak sabar-sabar
lagi menanti masa berkenaan.
Apa yang penting, maksimumkan
pulangan sebagai pengguna dan pengundi. Kerana kuasa di tangan kita semua.
Kalau tangan yang mencincang tentu bahulah yang bakal memikulnya. Gunakanlah
akal dan kebijaksanaan bukannya hati nafsu dan perasaan sebagai panduan.
Sudah tentu dengan formula
berkenaan para pengguna negara ini akan menjadi pengguna bestari dan pada masa
sama mampu menangani sebarang cabaran ekonomi peribadi, keluarga dan komuniti.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan