Khamis, 22 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : 'Usah cuba hidupkan PPSMI'


Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com

Dasar MBMMBI turut tekankan bahasa Inggeris di kalangan pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tidak cuba menghidupkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan, bagi mengelakkan isu itu terus menjadi polemik yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Kerajaan telah membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu dan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang turut menekankan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata cubaan untuk menghidupkan semula PPSMI tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan memutuskan untuk melaksanakan ‘soft landing’ sehingga 2021 bagi membolehkan pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah sistem PPSMI meneruskan pengajian seperti biasa dalam dwibahasa atau Bahasa Inggeris.

“Kita telah putuskan untuk mansuhkan PPSMI, tetapi untuk bersikap adil kepada pelajar kementerian buat ‘soft landing’ hingga 2021 supaya pelajar di bawah PPSMI tidak terganggu pelajaran mereka.

“Sepatutnya perkara ini (cubaan untuk hidupkan PPSMI) tidak timbul kerana ia akan menimbulkan polemik saja.

“Kalau pihak terbabit bimbang mengenai penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, kerajaan melakukan penambahbaikan itu dalam MBMMBI. Pengajaran bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam dasar baru itu bagi memastikan anak-anak kita dapat menguasai bahasa itu tanpa meninggalkan bahasa kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Mohd Puad mengulas tindakan Pertubuhan Ibu Bapa Prihatin Selangor (CPS) menyerahkan lebih 12,000 surat yang didakwa rayuan ibu bapa pelajar dari sekitar Petaling Jaya, kelmarin yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan proses pemansuhan PPSMI.

Pengerusi CPS, Samsudin Hamid berharap Perdana Menteri menimbang semula pemansuhan itu kerana ia membabitkan agenda nasional dan masa depan generasi muda dan pembangunan negara dengan menekankan pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris tanpa mengetepikan peranan Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI adalah muktamad dan tidak akan tunduk kepada ugutan berbaur politik serta mahu polemik itu dihentikan demi kebaikan semua pihak.

Mohd Puad berkata, statistik terkini kementerian menunjukkan hanya lima peratus sekolah rendah di seluruh negara menggunakan bahasa Inggeris dalam kelas, manakala kurang 10 peratus sekolah menengah menggunakan bahasa itu sepenuhnya dalam kelas.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tingkatan Empat bukan masa berehat


TAHNIAH diucapkan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam. Kepada yang kurang berjaya, jangan putus asa.

Belajar dari kesilapan dan cuba untuk memperbaiki pencapaian anda dalam peperiksaan yang jauh lebih penting iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kumpulan pelajar yang memperoleh keputusan PMR ini akan melangkah masuk ke peringkat menengah atas.

Ramai yang berpendapat Tingkatan Empat ialah tahun 'honeymoon'. Tanggapan ini perlu diperbetulkan. Tiada istilah bulan madu atau 'honeymoon' dalam usaha memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seterusnya yang lebih mustahak.

Sebahagian soalan dikemukakan dalam peperiksaan SPM dalam semua mata pelajaran seperti Matematik, Sejarah, Biologi dan Sains ialah soalan dalam topik yang diajar ketika mereka berada dalam Tingkatan Empat walaupun peperiksaan SPM hanya diambil ketika mereka berada pada tahap Tingkatan Lima.

Justeru teruskan momentum kecemerlangan anda apabila melangkah masuk ke Tingkatan Empat. Dengan menguasai topik dalam apa jua mata pelajaran yang diajar ketika mereka berada dalam Tingkatan Empat, jadi beban untuk menguasai konsep sesuatu mata pelajaran yang diajar dalam Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima sedikit sebanyak dapat dikurangkan ketika mereka berada di Tingkatan Lima.

Di samping itu, strategi pembelajaran yang berkesan perlu dipraktikkan agar sesuatu konsep yang dipelajari dapat dikuasai untuk jangka yang panjang.

Pelajar Tingkatan Tiga yang bakal memasuki Tingkatan Empat kebiasaannya akan memilih aliran yang mereka minati. Kebiasaannya pelajar yang memperoleh keputusan yang baik dalam PMR lebih cenderung memilih aliran sains tulen dan kejuruteraan.

Pelajar yang berada dalam kumpulan yang kurang bernasib baik lebih cenderung untuk memilih aliran vokasional dan sebagainya. Justeru, pelajar perlu bijak memilih aliran mengikut tahap kebolehan dan minat mereka.

Jangan memilih aliran tertentu disebabkan mengikut kawan sedangkan diri sendiri tidak berminat dengan aliran berkenaan.

Banyak kajian yang membuktikan sikap mempengaruhi pencapaian pelajar dalam sesuatu mata pelajaran. Begitu juga terdapat sebilangan pelajar yang memilih aliran yang lebih ‘glamour’ seperti sains tulen dan kejuruteraan sedangkan aliran itu tidak sepadan dengan tahap kemampuan mereka. Jadi pelajar perlu ‘ukur baju di badan sendiri’ supaya aliran yang bakal dipilih tidak menjadi beban untuk diikuti sehinggalah ke peperiksaan SPM.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia,
Skudai, Johor.

Sumber: http : //www.bharian.com.my/

Datuk Hassan Ahmad, Sebuah Puisi Akhir


Dr Rajiee Hadi

(Al-Fatihah, kembali pada 31 0gos 2011)


Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Di penghujung hayat dalam degup kebangkitan rakyat
Nafas bara cintamu sebuah tamadun bahasa berdaulat
Tinta perjuangan tamadun bangsa mengangkat darjat
Di gedung dewan bahasa di persada dunia kata-katamu keramat.

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Anak jati Muar putera Johor Parit Sakai
Mewarisi jejak Abdullah Munsyi ,Zaaba Pendeta
Syed Nasir panglima bahasa pasal satu lima dua
Obor dinyalakan buat solidariti muda di saf hari muka.

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Gerakan mansuhkan sebuah minda yang dijajah
Dengan pena dan sinis lembut suara bernas hujahnya
Segala logika semantik kata makna sebuah pembinaan bangsa
Erat bahasa lestari jiwa resah Melayu yang kian rebah.

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Teknorat rakyat yang rela turun bersuara di jalan raya
Birokrat marhaen yang sejati kasih akan bahasa ibundanya
Kerdil tubuh degup usia dikemudikan bahtera nusa
Sebuah perjuangan anak bangsa buat selama-lamanya!

Muar, Johor.
31 0gos 2011.

Sumber : http : //www.harakahdaily.net/

ISU UMUM : Jangka hayat lelaki 71.9, wanita 77 tahun


PUTRAJAYA 22 Dis. - Purata jangka hayat untuk lelaki dan perempuan di Malaysia masing-masing meningkat daripada 70 tahun dan 74.7 tahun pada 2000 kepada 71.9 tahun dan 77 tahun pada 2010.

Ketua Perangkawan, Dr. Abdul Rahman Hasan berkata, wanita keturunan Cina mempunyai jangkaan hayat tertua iaitu 79.8 tahun, diikuti perempuan India (76.2 tahun), perempuan bumiputera (75.3 tahun), lelaki Cina (74.4 tahun), lelaki bumiputera (70.5 tahun) dan lelaki India (68 tahun).

''Indikator demografi menunjukkan bahawa 475,816 bayi dilahirkan pada 2010 berbanding 129,327 yang mati pada tahun sama, ini bermakna pertambahan semula jadi penduduk Malaysia adalah seramai 346,489 orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012 yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, kadar kesuburan atau kelahiran anak oleh pasangan di Malaysia telah merosot daripada purata tiga orang anak pada 2000 kepada 2.2 orang anak pada tahun 2010.

''Kadar kesuburan bumiputera adalah 2.6 anak, Cina (1.5 anak) dan India (1.7 anak).

''Antara faktor yang menyumbang kepada trend ini adalah peningkatan jumlah wanita yang bekerja, wanita tersebut juga boleh membuat keputusan untuk menentukan saiz keluarga mereka dengan menggunakan teknologi (mencegah kehamilan) yang ada," katanya.

Tambahnya, sebanyak 95 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia tinggal dalam kawasan PBT berbanding 89 peratus pada tahun 2000.

''Daripadanya, 67.5 peratus penduduk terdiri daripada kumpulan umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun berbanding 63.1 peratus pada tahun 2000.

''Bagi kumpulan umur melebihi 64 tahun, saiz penduduk ialah lima peratus dan umur kosong hingga 14 tahun sebanyak 27.5 peratus," katanya.

Mengulas isu berkaitan, Nor Mohamed berkata, Malaysia belum lagi mencapai tahap negara tua kerana hanya kira-kira lima peratus daripada rakyat berumur 65 tahun ke atas berbanding standard antarabangsa untuk negara tua iaitu tujuh peratus.

''Populasi Malaysia masih muda dan peratusan yang tergolong dalam kumpulan produktif adalah tinggi," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 34,271 Calon Dapat Gred A Dalam Semua Mata Pelajaran PMR 2011


PUTRAJAYA: Seramai 34,271 pelajar daripada 441,137 yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, berbanding 30,863 pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata ini merupakan peningkatan 0.75 peratus.

"Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR tahun 2011 dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71 mata," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini hari ini.

Katanya kementerian itu berterima kasih kepada guru dan pelajar serta semua pihak yang berkenaan atas usaha mereka membantu meningkatkan GPN tahun ini.

Abd Ghafar berkata bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 orang pada 2010 kepada 346 tahun ini.

Calon yang mendapat minimum D (tidak termasuk semua A) meningkat kepada 272,966 calon (61.88 peratus) berbanding 265,388 calon (60.39 peratus) pada 2010.

Abd Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran juga meningkat kepada 6,474 calon (4.28 peratus) berbanding 5,825 calon (3.81 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan 0.46 peratus.

Begitu juga dengan pencapaian pelajar bandar yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran terus meningkat 0.86 peratus, daripada 24,084 pelajar (8.86 peratus) pada 2010 kepada 26,189 pelajar(9.72 peratus) tahun ini.

Calon yang mendapat semua E menunjukkan trend penurunan -0.01 peratus bagi kedua-dua kategori iaitu daripada 249 calon (2010) kepada 216 calon (2011) bagi calon bandar dan daripada 132 calon (2010) kepada 121 calon 2011) bagi calon luar bandar.

"Nilai GPN calon bandar menurun sebanyak 0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Namun pada keseluruhannya, pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Datuk Khairil Awang berkata keputusan PMR di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh lapan tahun.

Beliau berkata pencapaian calon PMR bagi Wilayah Persekutuan meningkat berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 2.54 berbanding 2.59 pada tahun 2010 dan nilai GPN WP iaitu sebanyak 2.54 mengatasi GPN (2.71) yang juga pencapaian terbaik bagi peperiksaan PMR setakat ini.

Terdapat 22,449 calon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan jumlah yang mendapat A dalam semua mata pelajaran ialah 2,296 calon, meningkat daripada 2,103 pada tahun lepas.

Enam sekolah memperoleh kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah (Sains)Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria dan Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Di KUALA TERENGGANU, keputusan peperiksaan itu menyaksikan peningkatan 1.15 peratus berbanding tahun lepas dan daripada 23,630 calon, 1,746 (7.8 peratus)memperolehi A dalam semua mata pelajaran.

Di PERAK, tahun ini juga adalah yang terbaik dalam empat tahun berdasarkan Gred Purata Negeri 2.74 mata.

Timbalan Pengarah Pelajaran Perak Mohd Idris Ramli berkata, daripada 41,015 calon tahun ini, mereka yang berjaya mendapat semua A dalam PMR adalah seramai 3,513 orang berbanding 3,017 orang tahun lepas.

"Semua mata pelajaran menunjukkan kenaikan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) kecuali Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Iban dan Pendidikan Islam," katanya.

Di PULAU PINANG,Pengarah Pelajaran Negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata keputusan pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 2010 iaitu sebanyak 2,103 orang yang mendapat semua A dalam mata pelajaran diambil

"Gred Purata Negeri pula menunjukkan prestasi positif dengan mencatatkan 2.65 berbanding 2.70 tahun lepas," katanya.

Di ALOR SETAR, keputusan bagi Kedah menunjukkan peningkatan cemerlang apabila 23,697 daripada 35,829 calon mendapat pencapaian tahap minimum bagi semua mata pelajaran manakala peratusan pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan jurang yang kecil berbanding tahun lalu iaitu 12.70 peratus berbanding 18.63 peratus tahun lalu.

Di KANGAR, Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa, berkata kelulusan yang dicatatkan tahun ini ialah 63.70 peratus apabila 2,878 calon mencatat pencapaian gred A, B, C dan D berbanding 59.75 peratus tahun lalu manakala 76 calon mendapat 9A, 240 mendapat 8A dan 11 mendapat 7A.

Sebanyak 20 buah sekolah menghasilkan sekurang-kurangnya seorang calon mendapat semua A berbanding 17 buah sekolah tahun lalu.

Di MELAKA, Pengarah Pelajaran Melaka Datuk Mohamad Yusof Osman berkata pada keseluruhannya, pencapaian calon tahun ini dalam 14 mata pelajaran adalah terbaik.

Di KOTA BAHARU, peratus kelulusan calon dari sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran meningkat 0.98 peratus berbanding tahun lepas.

Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata sebanyak 67.73 peratus daripada 19,962 calon mendapat kelulusan minimum D bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 66.75 peratus pada tahun lepas.

Di SABAH, peratusan kelulusan di negeri itu meningkat kepada 63.06 peratus melibatkan 23,782 calon berbanding 59.14 peratus tahun lepas melibatkan 21,928 calon.

Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Dr Muhiddin Yussin berkata jumlah calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 1,025 orang berbanding 870 orang sebelumnya.

Di KUCHING, calon PMR dari Sarawak mencatat pencapaian yang terbaik bagi negeri itu, dengan kelulusan 68.97 peratus, berbanding empat tahun lepas.

Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam berkata 1,948 calon mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diduduki manakala 26,946 mencapai kelulusan minimum.

Di KUANTAN, Pengarah Pelajaran Pahang Yahya Zainal Abidin berkata daripada 25,658 calon yang mendaftar, 1,782 mendapat semua A manakala 16,340 berjaya menguasai semua mata pelajaran.

"Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 0.075 peratus kepada 0.004 peratus pada tahun ini," katanya.

Menurut Yahya keseluruhan pencapaian PMR di Pahang menunjukkan kenaikan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) kecuali Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Pendidikan Islam. - BERNAMA