Isnin, 21 Mac 2011

JENAYAH TANPA WAJAH

DEFINISI

Jenayah tanpa wajah adalah jenayah di alam maya, iaitu sama ada melalui panggilan telefon, sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), emel, atau melalui ruangan sosial.

Kita tidak mengenali muka penjenayah itu tetapi kita boleh percaya dengan apa yang diperkatakan.

JENIS

Penipuan melalui SMS

Penipuan melalui e-mel atau laman sosial

Skim cepat kaya

STATISTIK

Mengikut statistik, pada 2009, 75 kes penipuan melalui perbankan Internet dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM200,000 dan ia terus meningkat dengan 353 kes dan kerugian kira-kira RM1.2 juta, pada tahun lalu.

LANGKAH MENANGANI

1.Jangan dedahkan nombor kad pengenalan anda

2.Jangan dedahkan nombor pada kad bank

3.Jangan sewenang-wenangnya memberikan nombor akaun bank anda

4.Jangan dedahkan alamat rumah anda

5.Jangan dipaksa membuat keputusan

6.Jangan mudah percaya terhadap pakej yang ditawarkan

7.Minta seberapa banyak maklumat syarikat yang mereka wakili

8.Buat pemeriksaan nama syarikat tersebut

9.Letakkan telefon semasa mereka cuba memujuk anda

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KEMUDAHAN ASAS : Meniti jejak tapak air

Oleh Shaharudin Idrus

SEMPENA Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac 2011 (hari ini) dengan temanya Air Untuk Bandar: Keperluan dan Cabaran, ia akan memberi cabaran besar terhadap bandar-bandar di dunia ini termasuklah Malaysia.

Jumlah penduduk bandar di negara ini kian meningkat saban hari. Dianggarkan sebanyak 14.5 juta penduduk negara ini akan menetap di bandar-bandar utama di negara ini menjelang tahun 2020. Proses urbanisasi dengan jumlah penduduk bandar ini akan terus-terusan meningkat. Di sinilah letaknya keperluan dan cabaran yang dihadapi dalam memastikan seluruh penduduk bandar dan juga luar bandar mendapat bekalan air bersih yang secukupnya dan secara berterusan.

Bagi setiap satu saat, jumlah penduduk bandar bertambah sebanyak dua orang. Sementara itu, hampir 95 peratus daripada perluasan kawasan bandar akan berlaku di negara-negara membangun termasuklah Malaysia dan rantau ini. Peningkatan jumlah penduduk yang mendadak ini akan membawa bersama-sama bukan sahaja masalah ekonomi dan alam sekitar tetapi juga keperluan bekalan air bersih dituntut dengan lebih tinggi.

Cabaran utama yang perlu digalas adalah terhadap infrastruktur paling asas yang perlu ada dalam setiap kehidupan manusia tanpa gangguan iaitu sumber air yang bersih dan terjamin seiring dengan kepesatan pembangunan kawasan perumahan yang meningkat akibat langsung daripada peningkatan jumlah penduduk yang menghuni kawasan perbandaran tadi. Malahan bukan itu sahaja, kawasan ruang pejabat, rekreasi, institusi ibadat dan seluruh kawasan bandar itu menuntut sumber air bersih untuk digunakan penduduknya sepanjang masa menurut keperluan masing-masing.

Hubung kait di antara sumber air dan bandar adalah amat kritikal sekali. Bandar menuntut sumber air bersih yang begitu banyak jumlahnya untuk menampung keperluan bandar yang semakin mendesak. Hampir semua bandar di negara ini dialiri oleh sungai-sungai utama yang mampu membekalkan sumber air bersih. Namun begitu, ketiadaan etika yang baik menyebabkan segala sampah sarap malahan mayat manusia juga dihumban ke dalam sungai yang mengalir di hadapan mata warganya.

Kesemua ini mengundang keadaan sungai yang tercemar dengan begitu teruk. Tindakan ini sebenarnya bermula dari kawasan perumahan yang begitu banyak dibina. Sampah sarap dibuang ke dalam longkang dan kemudiannya mengalir ke sungai yang berhampiran dan seterusnya menuju ke lautan. Jika kesemua sungai telah mengalami pencemaran yang berterusan maka, hidupan dan ekosistem sungai dan lautan juga terganggu dan akhirnya mendatangkan kerugian yang besar kepada manusia itu sendiri.

Salah satu cabaran yang jarang diberikan perhatian dalam isu sumber air ini ialah daripada segi jejak air (water footprint) yang digunakan setiap individu. Data yang dipetik daripada Hoekstra, A.Y. and Chapagain, A.K. (2008) menunjukkan bahawa purata jejak air bagi negara ini ialah sebanyak 2,344 m3 perkapita setiap tahun. Jumlah ini adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada purata jejak air global yang dicatatkan iaitu berjumlah 1,243 m3 perkapita bagi setiap tahun. Ini menunjukkan bahawa penggunaan air bagi setiap individu di negara ini adalah lebih tinggi daripada yang dianggarkan di peringkat global.

Secara umumnya, sumber air di negara ini diperoleh dari air permukaan dari air hujan. Manakala sekitar 10 peratus sahaja air yang diambil dari sumber air bawah tanah. Sekali imbas dan secara logiknya, Malaysia sepatutnya tidak berhadapan dengan masalah sumber air yang bersih kerana jumlah hujan mencukupi untuk menampung penduduk seramai lebih 28 juta orang. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, berlaku perubahan dalam jumlah dan lokaliti hujan akibat daripada fenomena alam yang berlaku di peringkat global. Hal ini ditambah pula dengan sikap pengguna yang membazir air dan tidak mengendahkan tentang keperluan dan kepentingan air.

Jumlah hujan yang banyak itu perlu ditakung dan digunakan untuk menyiram bunga- bungaan dan membasuh kenderaan. Walaupun begitu, usaha ini menuntut pula kesungguhan untuk membersih dan mengawal air yang ditakung agar tidak mengundang nyamuk aedes yang membawa penyakit demam denggi dan penyakit-penyakit lain bawaan air.

Bandar-bandar juga tidak akan dapat dilestarikan kewujudannya sekiranya kesampaian terhadap keperluan sumber air yang bersih dan sistem sanitasi yang baik tidak dapat dipenuhi. Masyarakat bandar tidak akan dapat berkompromi jika keperluan sumber air yang bersih ini terganggu dalam masa yang begitu lama. Pengalaman semasa berlakunya krisis air pada sekitar tahun 1997/1998 dahulu mengajar kita bahawa sistem pengurusan dan governans air yang baik perlu diberikan perhatian yang serius.

Hal ini termasuk tarif air yang sepatutnya dikenakan kepada masyarakat yang perlu juga diberikan penekanan serius. Isu-isu seumpama ini akan memberi peluang kepada pihak tertentu untuk menangguk di air yang keruh dan mampu menggugat kestabilan politik di negara ini. Jika perkara seumpama ini berlaku, amatlah malang bagi kerajaan yang memerintah kerana akan sentiasa berhadapan dengan kekacauan yang berterusan.

Shaharudin Idrus

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Keputusan SPM Diumumkan Rabu Ini

PUTRAJAYA: Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 akan diadakan pada 9 pagi Rabu ini di Aras 6, Blok E8, Kementerian Pelajaran di sini.

Menurut satu kenyataan pada Isnin, calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas 10 pagi hari berkenaan.

Calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos, atau boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat mereka mendaftar sebelum ini.

Kenyataan itu menyebut Kementerian turut memperkenalkan perkhidmatan semakan keputusan SPM melalui mySMS di talian 15888, mulai tahun ini.

Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai 10 pagi Rabu ini dan ditamatkan pada 12 tengah malam hari yang sama. - BERNAMA

ISU ALAM SEKITAR : Apabila alam tunjuk kehebatan, tiada kuasa manusia dapat menghalang

Oleh Abdul Latif Abu Bakar

TATKALA gempa bumi paling kuat dan paling hebat dalam sejarah moden manusia melanda perairan Aceh pada 26 Disember 2004, ia dikatakan gempa bumi paling menggerunkan dalam sejarah moden manusia. Dengan kekuatan 9.1 magnitud, gempa di dasar laut itu mencetuskan ombak besar tsunami.

Di Indonesia saja, sekitar 220,000 orang maut. Bumi Aceh diranapkan dan sehingga ke hari, masih ada kerja pembangunan semula Aceh dilaksanakan.Gempa berukuran 9 magnitud dan menjadikannya gempa bumi kedua paling hebat dalam sejarah manusia serta kekuatannya dikatakan 1,500 kali lebih hebat daripada kekuatan bom atom yang menjadikan Hiroshima, Jepun bagai padang jarak padang terkukur yang membunuh ratusan ribu manusia dan membawa kepada kekalahan Jepun di Asia dalam Perang Dunia Kedua.

Badai besar atau tsunami dari gempa bumi Aceh bergerak sangat hebat sehingga ke Thailand, membunuh ratusan manusia yang berada di tengah-tengah laluannya.

Tsunami itu juga bergerak ke Lautan Hindi dan singgah di kawasan pulau Andaman, India dan meranapkan segala binaan di sana. Badai juga menghentam pinggir pantai Sri Lanka dan menjejaskan teruk ibu negara Colombo.

Jumlah maut sebegitu besar dikatakan kerana negara terbabit tidak menyediakan sistem amaran awal bagi menggerakkan mereka yang tinggal di kawasan kritikal meninggalkan kawasan tempat tinggal.

Negara terbabit termasuk Indonesia, Thailand, Malaysia, India dan Sri Lanka adalah kelompok negara membangun yang kekuatan ekonomi dan teknologi pastinya tidak setanding Jepun.

Tiba-tiba igauan 2004 berlaku lagi dan kali ini di Jepun, ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China. Gempa bumi berukuran 9 magnitud, hampir sama dengan kekuatan gempa yang melanda Aceh.

Gempa mencetuskan tsunami yang tidak pernah dilihat manusia sejak tsunami 2004 di Aceh. Seluruh dunia terkejut dan bersimpati.

Pihak berkuasa Jepun dalam kenyataan terbaru menganggarkan lebih 15,000 orang dikhuatiri sama ada terbunuh atau hilang dalam bencana tsunami yang melanda negara itu minggu lalu. Selain itu, 387, 000 orang lagi terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka dan ditempatkan di sekitar 2,000 pusat pemindahan sementara.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana pula mengumumkan bangunan atau binaan yang sama ada sebahagian atau keseluruhannya terbakar dalam bencana itu sudah mencecah 100,396 buah. Kekuatan dan kehebatan fenomena alam yang berlaku pada 11 Mac 2011 dikatakan sudah merubah kedudukan pulau utama Jepun kira-kira 2.4 meter dan seperti gempa bumi Aceh 2004, gempa di utara Jepun ini juga dikatakan turut merubah kedudukan paksi bumi seperti yang dicatatkan oleh Jabatan Ukur Geologi Amerika Syarikat (USGS). Institut Kebangsaan Geofizik dan Gunung Berapi Itali menganggarkan gempa bumi berukuran 9 magnitud itu mengalih kedudukan paksi bumi kira-kira 10 sentimeter.

Nilai sebenar kemusnahan di wilayah utara Jepun itu masih dalam penghitungan tetapi anggaran awal menunjukkan kos pembinaan semula rumah, kilang, jalan raya dan jambatan yang musnah itu mungkin mencecah AS$200 bilion.

Ramai khuatir kemusnahan ekonomi akibat gempa bumi kali ini mungkin meninggalkan impak besar dan berlarutan di Jepun. Jika ini berlaku, rantaian kerosakan ekonomi akan berlaku di banyak tempat dunia, termasuk Malaysia. Pemerhati yakin kemusnahan kali ini jauh lebih hebat berbanding gempa bumi Kobe pada 1995. Betapa tidaknya kerana gempa bumi Kobe dicatatkan pada kekuatan 7.2.

Jepun antara negara paling bersedia hadapi bencana berdasarkan perkiraan ilmu manusia menggunakan kemudahan teknologi paling canggih. Menurut pakar tsunami di Universiti Southern California AS, Costas Synolakis, Jepun sudah membina sistem amaran awal menghadapi tsunami.

Kesilapan utama, kata pakar itu kerana Jepun tidak menjangkakan gempa dan tsunami sehebat itu.

Begitulah, apabila alam menunjukkan kehebatannya tidak ada kuasa manusia dapat menyekatnya. Kalau begitu kehebatan fenomena alam, ini membawa kita untuk menginsafi dan akur dengan kehebatan pencipta-Nya.

Manusia mesti menerima hakikat kehebatan alam kerana jika manusia lupa, kehebatan alam tiada tolak ansur. Manusia mesti menerima ketetapan bahawa mereka dan alam wujud sandar -menyandar dan mesti saling berkompromi. Jangan mencabar alam dengan pembangunan tidak terancang dan kerakusan sehinggakan manusia ingin menjadi kuasa menentukan ketetapan alam.

Kita pernah melihat alam menempiaskan kemarahannya dengan kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa dan keruntuhan Highland Towers. Fenomena alam di Jepun ini banyak mengajar kita dan kita perlu duduk dan banyak-banyak merenung dalam diri.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/