Selasa, 30 April 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pakar akademik kita diiktiraf antarabangsa


Oleh :  Dr Zaini Ujang
 
Dakwaan pelantikan berasas sentimen politik jejaskan imej IPT

Mungkin ramai yang sudah menyedari bahawa Malaysia merupakan salah sebuah negara utama destinasi pengajian tinggi dunia ketika ini, selain Amerika Syarikat, Britain, Australia, Jerman, Perancis, China, Jepun dan Kanada.

Pada 2000, seramai 26,569 mahasiswa antarabangsa belajar di Malaysia dalam pelbagai disiplin ilmu. Jumlah tersebut meningkat dengan mendadak kepada 69,174 pada 2007 dan 91,670 pada 2011.

Kenapa hal ini berlaku? Pertama, kerana dasar proaktif Kerajaan Malaysia yang mendokong perkembangan akademik dengan cara memperluaskan akses, mendirikan pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang memenuhi standard antarabangsa dan penyediaan dana besar untuk pembangunan dan operasi tahunan, dan membenarkan IPTS bercambah termasuk kampus cawangan universiti luar negara.

Pada 2005, dana awam untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM6.9 bilion kemudian meningkat kepada RM13.7 billion pada 2013. Menurut kajian saya, Malaysia adalah antara negara paling tinggi menyediakan dana awam perkapita kepada mahasiswa IPTA tempatan berasaskan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).

Kualiti pengajian tinggi diiktiraf

Dengan dana awam yang besar itu maka perkembangan pengajian tinggi di Malaysia meningkat secara menyeluruh dari segi kualiti, akses dan reputasi. Kedua, kerana kualiti pengajian tinggi Malaysia mendapat pengiktirafan pelbagai agensi kelayakan antarabangsa termasuk bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, pergigian, perakaunan dan seni bina.

Dalam bidang kejuruteraan misalnya, graduan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Malaysia diiktiraf pelbagai negara yang menganggotai Washington Accord sejak 2011. Program akademik bukan profesional diselia menerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Hasilnya ramai graduan di negara ini diterima masuk dalam program ijazah lanjutan di universiti ternama seperti Cambridge, Oxford, Imperial College London, MIT, Kyoto dan Tokyo.

Ketiga, kepakaran akademik di kalangan profesor dan pensyarah di Malaysia diiktiraf oleh rakan sebidang pada peringkat antarabangsa. Pengiktirafan itu terserlah menerusi pelbagai cara. Paling menyerlah adalah menerusi keanggotaan dalam pelbagai jawatankuasa dan sidang peringkat antarabangsa, termasuklah sidang editorial jurnal ternama.

Sebagai contoh Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Zakri Abdul Hamid terpilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Biodiversiti.

Jurnal berimpak tinggi

Selain itu, pencapaian ahli akademik Malaysia dalam penerbitan makalah dalam jurnal berimpak tinggi juga semakin menggalakkan. Dalam tempoh 2007-2012, Malaysia mencatatkan pencapaian paling tinggi di dunia dengan peningkatan 310 peratus (daripada 3,711 kepada 11,507 makalah) berbanding Singapura hanya 152 peratus (daripada 6,675 kepada 10,154 makalah). Sementara China mencatatkan peningkatan 196 peratus, Korea Selatan 162 peratus, Australia 152 peratus, Taiwan 136 peratus, Switzerland 133 peratus, Hong Kong 133 peratus dan Kanada 106 peratus.

Memang benar kewibawaan Naib Canselor di Malaysia mungkin hanya setara ketua makmal di MIT. Namun, pencapaian sederhana itu semakin meningkat, setapak demi setapak. Mereka gigih menyumbang bakti untuk memartabatkan pengajian tinggi negara biarpun pelbagai cabaran terpaksa dilalui termasuklah sikap sebahagian warga yang hanya suka melihat dan menilai sesuatu menerusi keburukan, sekali gus menafikan kebaikan.

Dalam konteks sedemikian adalah amat memilukan jika ada pihak sewenang-wenangnya mendakwa pelantikan profesor dan pentadbiran universiti diasaskan kepada faktor tidak bersifat akademik, misalnya sokongan dan sentimen politik kepartian.

Sentimen politik memang diraikan dalam sistem demokrasi sebagai sebuah ideal kenegaraan tetapi tidaklah sampai dijadikan kayu pengukur utama dalam pelantikan ke jawatan tinggi dalam pentadbiran universiti atau kenaikan pangkat hakiki.

Dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, malah boleh menjejaskan rasa hormat masyarakat antarabangsa kepada IPT di Malaysia. Ia juga menjejaskan imej dan reputasi IPT tempatan yang sedang giat memartabatkan kecemerlangan akademik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi dunia.

Dakwaan itu mempersendakan pemimpin akademik dan profesor kanan. Dakwaan ini juga tidak menampakkan penghormatan terhadap budaya dan institusi ilmu yang menjadi resam orang beradab.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan penerima pertama Anugerah Merdeka (kecemerlangan akademik, 2009)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Jumlah Penjawat Awam Di Seluruh Negara Adalah Saiz Tepat Buat Masa Ini


KUALA LUMPUR : Jumlah penjawat awam seramai 1.42 juta orang ketika ini merupakan saiz yang sangat tepat atau mencukupi buat negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, katanya, bilangan itu perlu ditambah pada masa depan berdasarkan kepada permintaan terhadap perkhidmatan awam yang semakin meningkat khususnya dalam bidang tertentu.

"Sekarang kita guna konsep "re-deployment" atau memindahkan kakitangan daripada jabatan yang mempunyai lebihan pekerja ke jabatan yang sangat memerlukan.

"Bagaimanapun "re-deployment" ini tidak boleh dilakukan selamanya, sebab itulah kita perlu meningkatkan pengambilan penjawat awam pada masa akan datang," katanya dalam wawancara khas bertajuk "Bersama KSN" yang siarkan di TV 1 sempena dengan Hari Pekerja pada Rabu.

Selain itu, Ali yang menerajui perkhidmatan awam sejak 24 Jun 2012, berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan penjawat awam di seluruh negara terutama menerusi konsep 'turun padang' yang diperkenalkannya.

"Selain dapat maklum balas bagaimana untuk memperbaiki perkhidmatan awam, konsep turun padang ini juga dapat merakyatkan perkhidmatan awam dan program ini akan diteruskan," katanya.

Ali turut meminta penjawat awam supaya bekerja dengan gigih, cekap serta berintegriti untuk memajukan negara dan ekonomi dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju dalam tempoh tujuh tahun lagi. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Syukuri nikmat pendidikan di Malaysia


Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI

SEORANG gadis bersama dua rakannya sedang menaiki bas untuk pulang ke rumah dari sekolah, namun dalam perjalanan pulang, bas yang mereka naiki ditahan oleh seorang anggota militan Taliban.

Lelaki itu kemudian menaiki bas tersebut dan bertanyakan nama tiga gadis tersebut sebelum menembak salah seorang daripada mereka. Dua lagi gadis itu turut cedera, namun mereka tidak ditembak.

Dalam kejadian pada Oktober lalu itu, Malala Yousafzai (gambar), 15, cedera parah akibat ditembak di kepala. Dia terpaksa diterbangkan ke Britain bagi menjalani pembedahan dan setelah menjalani rawatan intensif dia kini beransur pulih.

Itu adalah secebis kisah seorang gadis Pakistan yang memperjuangkan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak perempuan dan wanita di negara itu.Perjuangan gadis itu dianggap oleh Taliban sebagai berfahaman sekular dan Malala dituduh sengaja menyebarkan ideologi Barat.

Malala mula menulis menerusi blognya untuk BBC Urdu sejak 2009, ketika baru berusia 11 tahun. Tulisannya pula berkisar tentang kehidupan seharian di bawah pemerintahan Taliban di Mingora, sebuah bandar di Lembah Swat, wilayah Khyber-Pakhtunkhwa.Dalam blognya, gadis itu pernah menulis tentang ketakutannya, tidurnya yang terganggu akibat bunyi bising tembakan meriam serta keazamannya untuk terus menerima pendidikan, walaupun ditegah Taliban.

Dalam satu daripada tulisannya pada 14 Januari 2009 bertajuk 'Saya mungkin tidak akan ke sekolah lagi', Malala berkata: "Angin saya kurang baik hari ini kerana esok akan bermula cuti sekolah musim sejuk. Guru besar mengumumkan tentang hari cuti, namun tidak pula menyebut bila sekolah akan dibuka semula.

"Rakan-rakan saya juga tidak gembira kerana mereka tahu jika Taliban menguatkuasakan arahan, mereka tidak boleh lagi bersekolah. Saya membayangkan sekolah pasti akan dibuka semula, tetapi ketika meninggalkan sekolah, saya melihat bangunan itu seperti saya tidak akan kembali lagi ke situ."

Isi hati gadis itu menunjukkan betapa dia dahagakan pendidikan, begitu juga dengan rakan-rakan perempuannya. Di bawah pemerintahan Taliban, kanak- kanak perempuan tidak dibenarkan ke sekolah. Sekiranya ada yang berbuat demikian, mereka akan diugut bunuh atau sekolah yang mereka hadiri akan diletupkan.

Sejak kerajaan Pakistan melancarkan operasi ketenteraan ke atas kumpulan militan itu di Lembah Swat, sebanyak 168 buah sekolah termasuk 104 yang dibina khas untuk pelajar perempuan, telah dimusnahkan.

Untuk itu, Malala yang mewakili rakan- rakannya, bangkit bersuara membantah tindakan Taliban yang menyekat akses pendidikan terhadap kanak-kanak perempuan Pakistan. Gadis itu menyifatkan, pendidikan adalah hak semua tanpa mengira jantina dan larangan ke sekolah boleh menjejaskan masa depan mereka.

Suara Malala pantas mendapat perhatian dunia kerana tidak banyak pihak berani bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Taliban kerana bimbang dengan ugutan bunuh kumpulan militan itu. Walaupun mengalami kecederaan parah akibat ditembak Taliban, insiden itu tidak mematahkan semangat gadis tersebut untuk terus memperjuangkan hak pendidikan terhadap wanita.

Selepas menjalani pembedahan dan menerima rawatan di Britain, Malala kembali ke sekolah di Birmingham. Dia juga kini lebih lantang memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan Pakistan, dibantu bapanya, Ziauddin, seorang aktivis yang turut memiliki sebuah sekolah swasta di Lembah Swat.

Sejak itu, usaha gadis tersebut mula diiktiraf ramai. Keberanian serta keazamannya mempertahankan hak pendidikan untuk kanak-kanak perempuan membolehkan dia menerima pencalonan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun ini.

Malala juga membuktikan bahawa dia bukan calang-calang gadis apabila dipilih sebagai seorang daripada individu berpengaruh oleh majalah Time, atas perjuangannya itu.

Ancaman Taliban yang mahu terus memburunya, tidak pernah melenyapkan agenda pendidikan Malala, yang satu hari nanti berhasrat menjadi seorang doktor.

Harga sebuah pendidikan tidak ternilai buat insan seperti Malala. Walaupun terpaksa bergelut dengan kekejaman Taliban, dia tidak pernah putus asa memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan.

Bagi penduduk Malaysia, rakyat di negara ini beruntung kerana sistem pendidikan terbuka di negara ini tidak pernah menyekat akses pendidikan kepada sesiapa tanpa mengira jantina, kaum dan agama, sebaliknya semua lapisan masyarakat berhak menerimanya. Sama seperti lelaki, golongan perempuan juga bebas bersekolah dan berhak menerima pendidikan yang sama, baik di peringkat pra, rendah, menengah, tinggi dan lanjutan.

Keberkesanan sistem pendidikan negara wajar dipuji kerana ia menjanjikan masa depan terbaik buat generasi masa depan tanpa mengira jantina dan kaum, menerusi asas pembelajaran yang kukuh.

Ibu bapa di negara ini juga tidak perlu risau dengan keselamatan anak-anak ke sekolah kerana tiada pihak akan menghalang mereka untuk menimba ilmu.

Jika ada yang berpendapat, kemiskinan adalah penghalang untuk ke sekolah, situasi itu juga tidak boleh dijadikan alasan di Malaysia kerana pelbagai kemudahan disediakan termasuk bantuan kewangan, serta inisiatif tanpa mengira kaum, khasnya bagi bidang pendidikan.

Sistem pendidikan negara ini yang terbuka, secara tidak langsung memberi peluang sama rata kepada golongan lelaki dan wanita bersaing secara sihat dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Di negara kita, bukan sahaja wanita diberi peluang pendidikan sama rata dengan kaum lelaki tetapi juga wanita diberi peluang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan banyak kemudahan pendidikan dan vokasional serta latihan dengan membina banyak universiti, pusat latihan, politeknik untuk rakyatnya melanjutkan pelajaran bagi melahirkan generasi pekerja yang mahir untuk membantu membangunkan negara.

Penduduk di negara ini, seharusnya bersyukur kerana kerajaan yang ada bukan sahaja menyediakan pendidikan yang baik kepada rakyat tetapi juga memberi peluang sama rata kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan jantina untuk mengejar ilmu setinggi mana tanpa sebarang masalah.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru disaran Terap budaya integriti dalam P&P

Datuk Sufa'at Tumin (tiga dari kiri) bersama pemenang Pertandingan
Pidato Integriti Piala Menteri Pelajaran Malaysia 2013 

Oleh Norizan Abdul Muhid

Guru disaran membudayakan elemen integriti dan etika secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sebagai satu usaha membina serta memelihara generasi masa depan yang berpekerti mulia.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan), Datuk Sufa'at Tumin berkata, pembudayaan integriti adalah satu proses berterusan yang turut melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, institusi pendidikan dan media massa yang kini semakin terhakis.

''Dalam Institut Pendidikan Guru (IPG), pembudayaan menuntut pemimpin bertindak sebagai suri teladan manakala anggota lain pula menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka.

"Penerapan integriti ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 agar setiap murid dipersiap untuk berani menghadapi cabaran dan menegakkan keadilan serta menyelesaikan konflik," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pertandingan akhir Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru (IPG) Piala Menteri Pelajaran Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Rektor IPG Malaysia, Dr. Lee Boon Hua dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Pertandingan yang bertemakan 'Integriti Asas Kelangsungan Generasi' itu kali keempat diadakan dan disertai 50 bakal guru mewakili 25 IPG.

Menurut Boon Hua, guru berperanan besar dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi Malaysia yang mengamalkan integriti dalam menjalankan tugas sama ada sektor awam, swasta atau bekerja sendiri.

"Guru berperanan menerapkan nilai murni yang berkaitan integriti supaya budaya yang mulia ini tersemai dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi." tegasnya.

Malah, katanya, sebagai role model kepada murid-murid dan masyarakat, sudah tentu guru-guru perlu menunjukkan nilai integriti yang tinggi untuk dicontohi.

''Sebagai bakal pendidik, pengetahuan tentang integriti ini amat berguna untuk diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) sebagai salah satu cabang ilmu yang merentas kurikulum," tambahnya.

Dalam pertandingan itu, johan disandang oleh penuntut IPG Kampus Datuk Razali Ismail, Hulu Terengganu, Muhammad Iqbal Zahamuddin manakala naib juara pula menjadi milik Ronald James dari IPG Keningau dan Syafiq A.Ghani dari IPG Perlis menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, Muhammad Iqbal ketika ditemui berkata, usahanya menyertai pertandingan itu buat kali ketiga tahun ini akhirnya membuahkan hasil.

"Walaupun pernah dua kali gagal, saya menjadikannya sebagai pendorong untuk membaiki kelemahan.

"Saya mengambil masa kira-kira seminggu untuk membuat persediaan menyertai pertandingan ini,'' kata pemuda kelahiran Pahang itu.

Kemenangan itu melayakkan Muhammad Iqbal membawa pulang wang tunai RM3,000, piala iringan, trofi dan sijil penyertaan.

Pemenang tempat kedua menerima RM2,000 manakala tempat ketiga pula menerima RM1,000.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/