KEINSAFAN
Luasnya rahmat-Mu tidak terjangkau
Dalamnya kasih-Mu tidak tergapai
Indahnya cinta-Mu tidak terlukis
Damainya belaian-Mu tidak terungkap
Melimpahnya kurniaan-Mu tidak tersukat
Suatu ketika diri ini
Belum disebut apa-apa
Belum diketahui di alam mana
Belum teruji beriman atau mendusta
Belum terbongkar setia atau derhaka
Dengan iradah dan qudrahMu jua
Diri ini tercipta
Dilahirkan daripada tiada
Lalu diberi nama manusia
Makhluk-Mu
Yang dimuliakan
Yang dibentuk seindah kejadian
Yang dibahunya amanah kekhalifahan dipikulkan
Dengan rahmat-Mu jua
Diri ini bisa
Mengenal dunia
Melihat indahnya mayapada
Mendengar merdunya suara
Kicauan mergastua
Deruan ombak di pesisiran
Desiran angin nan sepoi-sepoi Bahasa
Dengan limpah kurnia-Mu jua
Aku disimbahi cahaya hidayah
Menyuluh jalan lurus yang membawa ke syurga
Dan aku mengenali
Nama-nama-Mu Yang Maha Indah
Nabi-Mu yang rahmah
Kitab-Mu yang barakah
Syari’ah-Mu yang mutakamilah
Dengan cinta-Mu nan Agung
Engkau limpahkan segala
Berdosa, Engkau ampunkan
Kesepian, Engkau hiburkan
Kelaparan, rezeki Engkau curahkan
Sakit, Engkau sembuhkan
Sempit, Engkau lapangkan
Engkau terlalu hampir
Engkau selalu mampir
Ampuni daku Ya Rabbku
Aku sedang menunggu waktu
Untuk pulang ke asalku
Mengharap redha dan rahmatMu
Engkau Ilahku
Satu-satunya tiada sekutu
Shah Alam
18031441
15112019
Khamis, 4 Jun 2020
Sabtu, 9 Mei 2020
ISU UMUM : Mengubah Cara Berfikir Saat Menghadapi Dugaan Getir
Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran
Dugaan yang dihadapi masyarakat manusia akibat arus deras penyebaran virus
Covid-19 yang sedang melanda dunia hari ini sememangnya luar biasa. Walaupun
dari segi jumlah, virus ini masih belum menyamai penyakit Spanish Influenza
seabad lalu yang menjangkiti hampir 500 juta orang, dan dari segi bahaya ia
tidak seganas virus e-bola yang merenggut
nyawa 40% dari mereka yang dijangkiti, namun sekiranya kita melihat dari segi
kepantasan virus Covid-19 ini merebak dan keluasannya berkembang, ternyata ia mengatasi kedua-dua
penyakit di atas.
Akibatnya tiada negara di dunia ini yang terlepas dari serangannya,
sementara epicentre atau pusat serangan jangkitannya juga boleh berubah dari
satu negara ke satu negara lain dengan pantas. Tanpa simpati, jumlahnya terus
berkembang pantas setiap hari.
Virus baharu ini juga telah melumpuhkan ekonomi banyak negara, menjadikan usahawan dan saudagar jatuh bangkrap dan meragut nyawa hatta pemimpin, ahli sukan dan selebriti dunia.
Yang juga bahaya, penyebaran virus ini bakal memberi kesan kepada tahap
kesihatan jiwa manusia yang sememangnya telah tergugat dengan pelbagai faktor
kerumitan hidup. Hari ini, apabila hampir keseluruhan penduduk dunia dipaksa
untuk tinggal di rumah, dibatas pergerakan, dijarakkan hubungan dan dinafikan
kebebasan yang selama ini menjadi sebahagian dari fitrah kehidupan, pastinya
akan menambah tekanan kepada ketenteraman
jiwa manusia.
Sekiranya mereka yang tinggal di rumahpun kadangkala ada yang menunjukkan
maklum balas yang menggambarkan tekanan perasaan, bayangkan apa yang dilalui
oleh pesakit Covid-19 sendiri dan juga petugas perubatan dan barisan hadapan
(frontliners) yang terpaksa diasingkan dengan segala peralatan yang mencengkam
dan menyesakkan jiwa dan raga.
Tidak hairanlah kajian di Wuhan Cina misalnya menunjukkan bahawa terdapat penambahan kes
tekanan mental yang tinggi selepas bermulanya penyebaran virus Covid-19. Begitu juga berita seorang state minister
sebuah negara Eropah membunuh diri akibat tertekan dengan kesan wabak ini
terhadap negaranya beberapa minggu yang lalu juga membuktikan suasana ini.
Bagi mengatasi persoalan tekanan jiwa ini mungkin kita memerlukan sedikit
‘game changer’ atau perubahan dari segi berfikir bagi menghadapi cabaran di
tahap ini. Sekurang-kurangnya ada tiga bentuk perubahan cara berfikir yang
boleh diambil saat kita menghadapi saat
getir ini.
Pertama, dengan mengubah sudut pandang kita dalam menanggapi keseluruhan
cabaran serangan virus ini dengan melihatnya sebagai salah satu babak kecil
dalam rantaian kehidupan panjang insan yang Tuhan jadikan keseluruhannya dengan
hikmah “untuk menguji siapa diantara kamu yang lebih baik amalannya.” (al-Mulk,
ayat 2). Ayat ini menjelaskan bahawa hakikat keseluruhan kehidupan ini Allah
jadikan sebagai ujian kepada manusia.
Sama seperti keadaan apabila kita sedang mengambil ujian atau peperiksaan
ketika berada di sekolah atau universiti, pasti ada soalan-soalan peperiksaan
yang lebih sukar berbanding yang lain. Maka anggaplah dugaan Covid-19 ini
sebagai sebahagian dari soalan-soalan yang sukar dalam ‘peperiksaan’ yang kita
sedang lalui. Insha’ Allah, sekiranya kita benar-benar berikhtiyar mengelakkannya,
sabar, tenang dan tawakkal dalam menghadapi dugaan covid-19 ini, maka kita
sebenarnya telah berjaya menyelesaikan soalan sukar dalam peperiksaan dengan
jayanya.
Perubahan kedua yang boleh dilakukan ialah dengan mengubah perhatian kita
kepada perkara yang lebih kekal dalam kehidupan. Dugaan penyakit, sebagaimana
dugaan-dugaan lain dalam kehidupan, adalah sebahagian dari perkara-perkara yang
mendatang dalam kehidupan. Ia datang dalam tempoh tertentu, ia juga akan
meninggalkan kita apabila sampai tempoh tertentu. Mungkin ia mengambil sedikit
masa, akan tetapi masih lagi bersifat sementara.
Namun sebagai yang diajar oleh akidah Islam ada perkara-perkara yang lebih
kekal dan mutlak dalam kehidupan yang sememangnya kita perlu tumpukan sentiasa
tanpa kecuali seperti Ketuhanan dan Hari Kemudian. Dengan kembali menumpukan
perhatian kepada perkara yang kekal, perkara sementara yang mendatang tidak
akan menguasai dan menekan perasaan kita. Lebih-lebih lagi apabila kita yakin
bahawa perkara yang berubah itu sendiri berada dalam kekuasaan Yang Maha Kekal tersebut.
Justeru, ingatan kita yang berterusan kepada Tuhan Yang Maha Kekal dan
keyakinan bahawa Dialah yang Maha Berkuasa menyelamatkan kita dari segala
penyakit bakal menjadikan jiwa lebih tenang, sebagaimana yang diingatkan oleh
al-Qur’an, “Sesungguhnya dengan mengingati Allah akan menenangkan jiwa.”
(al-Ra’d, ayat 28).
Perubahan pemikiran ketiga ialah dengan mengubah tumpuan kita kepada
pendalaman ilmu-ilmu yang dapat menyakinkan jiwa terhadap nilai-nilai abadi
dalam kehidupan seperti ilmu agama dan akhlak. Ilmu-ilmu agama dan akhlak
adalah contoh ilmu yang mengajar kita mengenai sifat-sifat keutamaan (fadha’il)
yang bakal membina jiwa keinsanan dengan lebih kuat. Contohnya sifat-sifat
mahmudah seperti mujahadah, ikhtiyar, sabar, redha, tawakkal, syukur dan
lain-lain.
Pastinya dengan mengetahui dan berusaha menanamkan sifat-sifat ini ke dalam
diri, ia akan membantu kita menghadapi cabaran wabak ini dengan lebih kuat.
Pastinya sifat-sifat ini harus difahami dengan seimbang terutama antara aspek
ikhtiyar dan kesungguhan dalam menghadapi dan menjauhi penyakit dengan aspek penerimaan
dan keredhaan kita dalam menghadapi ketentuan Allah.
Ternyata ketiga-tiga perkara di atas merupakan perkara yang tidak begitu sukar untuk dilakukan semasa pergerakan terbatas ini. Ini kerana ia adalah perkara dalaman yang bersifat ruhaniyah dan akliyah dan tidak memerlukan banyak pergerakan. Untuk mereka yang telah sedia kuat pegangan akidah dan mantap nilai-nilai akhlakiyah, perkara-perkara yang disebutkan di atas adalah sebagai satu ingatan yang perlu diulang dalam diri melalui tazkirah dan muhasabah diri.
Ternyata ketiga-tiga perkara di atas merupakan perkara yang tidak begitu sukar untuk dilakukan semasa pergerakan terbatas ini. Ini kerana ia adalah perkara dalaman yang bersifat ruhaniyah dan akliyah dan tidak memerlukan banyak pergerakan. Untuk mereka yang telah sedia kuat pegangan akidah dan mantap nilai-nilai akhlakiyah, perkara-perkara yang disebutkan di atas adalah sebagai satu ingatan yang perlu diulang dalam diri melalui tazkirah dan muhasabah diri.
Sumber : http : //www.ikim.gov.my//
Khamis, 23 Januari 2020
Puisi Pilihan : Tak Faham
TAK FAHAM…
(Kepada yang tak faham faham)
Sekali tersungkur, kami tak faham
Tersungkur lagi, masih tak faham
Lagi-lagi tersungkur, memang tak faham faham
Tak faham
Cakap bagai faham
Tapi buat bak tak faham
Acuan sama tindak serupa
Manakan hasil tak serupa?
Tak faham
Dikaburi kuasa atau dilamun empuk kerusi?
Terputus realiti atau dilitupi jangkaan sendiri?
Bagai terhadang gerak kaki
Dalam selut ciptaan sendiri
Berlari setempat tanpa daya bebas diri
Tak faham
Bergelut dalam selut sesama diri
Kau punya angkara, kau punya muslihat
Dari subuh ke tengah hari
Hulu dinihari bagai faham
Bila fajar menyinsing mula tak faham
Sampai tengah hari masih tak faham faham
Adakah mungkin datang fahamnya
Atau tak faham hingga ke senja
Dan hilang dalam pekatnya gelap malam
Tak faham
Penyakit apa melanda
Bagai dapatnya tongkat sakti
Persis lupa diri lupa haluan
Dari dulu memang begini
Sorak riang menyambut jaya
Bertukar menjadi hiruk-pikuk
Watak tersingkir jadi tok dalang
Meniup mantera ceritera menjadi
Gegak gempita di sana sini
Watak-watak teraju yang alpa
Tersepit sengketa sesama diri
Penting diri seolah dicari
Warga praja tempiaran lari
Tak faham
Adakah akan berubah diri
Atau terus cakar bercoreng-coreng
Sampai karam biduk yang tiris
Menyiksa watan yang beri segala
Bagai pengkhianat segala cita
Fahamlah
Sudah terhantuk elok tergadah
Janganlah terus porak peranda
Sucikan niat betulkan langkah
Amanah diberi dijulang tinggi
Jangan lagi mempamer bebal
Cukuplah tak faham sampai ke sini
Rasa semacam faham,
Gurcharan Singh
PJ
23 Januari 2020
(Kepada yang tak faham faham)
Sekali tersungkur, kami tak faham
Tersungkur lagi, masih tak faham
Lagi-lagi tersungkur, memang tak faham faham
Tak faham
Cakap bagai faham
Tapi buat bak tak faham
Acuan sama tindak serupa
Manakan hasil tak serupa?
Tak faham
Dikaburi kuasa atau dilamun empuk kerusi?
Terputus realiti atau dilitupi jangkaan sendiri?
Bagai terhadang gerak kaki
Dalam selut ciptaan sendiri
Berlari setempat tanpa daya bebas diri
Tak faham
Bergelut dalam selut sesama diri
Kau punya angkara, kau punya muslihat
Dari subuh ke tengah hari
Hulu dinihari bagai faham
Bila fajar menyinsing mula tak faham
Sampai tengah hari masih tak faham faham
Adakah mungkin datang fahamnya
Atau tak faham hingga ke senja
Dan hilang dalam pekatnya gelap malam
Tak faham
Penyakit apa melanda
Bagai dapatnya tongkat sakti
Persis lupa diri lupa haluan
Dari dulu memang begini
Sorak riang menyambut jaya
Bertukar menjadi hiruk-pikuk
Watak tersingkir jadi tok dalang
Meniup mantera ceritera menjadi
Gegak gempita di sana sini
Watak-watak teraju yang alpa
Tersepit sengketa sesama diri
Penting diri seolah dicari
Warga praja tempiaran lari
Tak faham
Adakah akan berubah diri
Atau terus cakar bercoreng-coreng
Sampai karam biduk yang tiris
Menyiksa watan yang beri segala
Bagai pengkhianat segala cita
Fahamlah
Sudah terhantuk elok tergadah
Janganlah terus porak peranda
Sucikan niat betulkan langkah
Amanah diberi dijulang tinggi
Jangan lagi mempamer bebal
Cukuplah tak faham sampai ke sini
Rasa semacam faham,
Gurcharan Singh
PJ
23 Januari 2020
Langgan:
Catatan (Atom)