Khamis, 15 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Keputusan SPM ulangan Rabu ini


KUALA LUMPUR,  15 Ogos - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2013 akan dikeluarkan Rabu ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Calon juga boleh membuat semakan melalui perkhidmatan mySMS 15888 dengan menaip SPMU RESULT, nombor kad pengenalan dan hantarkan ke 15888.

Seramai 12,520 calon menduduki peperiksaan dan daripada jumlah itu, 7,148 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 2,932 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik dan 2,440 lagi bagi kedua-dua mata pelajaran.

Sebanyak 232 pusat peperiksaan dibuka pada 11 dan 12 Jun di seluruh negara. - BERNAMA

ISU GLOBAL : Kaherah bermandikan darah


Oleh : Mohd. Shauki Abd. Majid

Kaherah sudah diisytiharkan darurat sedangkan masih ramai penuntut Malaysia yang tidak pulang berhari raya atas sebab-sebab tertentu kini diselubungi rasa cemas. Sampai bilakah pelajar kita mampu bertahan dengan bekalan makanan yang ada dan perlu berwaspada kerana penunjuk perasaan yang marahkan tentera merampas kuasa, tetap tidak mahu berganjak.

Setelah gagal mengehadkan penyokong-penyokong bekas presiden yang digulingkan menerusi campur tangan tentera, Mesir terus menerus menerima tekanan daripada kumpulan penyokong Dr. Mohammed Mursi yang hanya sempat memerintah selama setahun lima hari sejak memenangi pilihan raya demokratik pertama selepas berundurnya bekas presiden selama tiga dekad, Hosni Mubarak pada awal tahun 2011.

Menurut laporan media, lebih dua ribu orang terbunuh dalam usaha pihak polis dan tentera ‘menghapuskan’ penyokong-penyokong Mursi di beberapa buah bandar sekitar Kaherah setelah mereka mula mendesak kerajaan sementara mengembalikan kuasa selepas dirampas pada 3 Julai lalu.

Para penyokong Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhawanul Muslimin berikrar akan terus mempertahankan kemenangan yang mereka peroleh dalam pilihan raya presiden yang diadakan pertengahan Jun 2012 - hingga ke titisan darah terakhir dan sanggup berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan termasuk ‘penghapusan beramai-ramai.’

Dalam kejadian yang berlaku selepas waktu subuh ketika suasana Aidilfitri 1434 masih hangat disambut oleh umat Islam yang memasuki hari kelima (13 Ogos 2013), pihak tentera dan polis telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk keganasan (melakukan tembakan peluru) dan jengkaut untuk merobohkan khemah-khemah yang dihuni oleh penyokong Mursi.

Penyokong presiden yang digulingkan itu menuntut pengembalian kuasa awam sejak rampasan kuasa di Dataran Rabiah al-Adawiyah dan an-Nahda di Kaherah kini menyebabkan krisis di Mesir memasuki fasa baharu, iaitu menghampiri perang saudara dan hampir menyamai dengan apa yang sedang berlaku di Syria.

Jika di Syria kumpulan penentang Bashar al-Assad telah dibunuh menggunakan pelbagai jenis senjata berat termasuk kimia, kemungkinan yang sama akan berlaku di Mesir. Ini kerana penyokong Ikhwanul Muslimin semakin kental semangat juangnya dan pengalaman sedemikian sebenarnya sudah lama mereka alami, iaitu sejak pertubuhan yang diasaskan oleh Hasan al-Banna dilihat sebagai ancaman besar terhadap kepimpinan sekular yang dibayangi oleh kepentingan Barat.

Apabila pihak tentera merampas kuasa setelah beberapa rusuhan yang berlaku sejak bulan Jun lalu oleh kumpulan anak muda yang dikenali sebagai Tamarod gagal ditangani oleh Dr. Mursi, Mesir terus menerima kecaman pemimpin antarabangsa kerana “cuba menamatkan semangat revolusi rakyat" yang lahir daripada kegelisahan awam terhadap pemerintah yang mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam kebangkitan semula penyokong Mursi yang berlaku selepas rampasan kuasa tentera, pihak tentera tidak bertindak dengan cara yang sama, sebaliknya menggunakan kekerasan bagi mengekang bantahan penyokong Ikhwanul Muslimin. Berdasarkan situasi itu, ramai pemerhati memberikan reaksi - sepatutnya pihak tentera dan polis tidak melakukan kekerasan, kerana masih banyak cara untuk menyelesaikan bantahan.

Akibat penggunaan kekerasan itu, Dr. Mohamad el-Baradei yang dilantik sebagai Naib Presiden dalam kabinet sementara yang dipengaruhi oleh tentera telah meletakkan jawatan dan mengecam keputusan Jeneral al-Tutsi sebagai orang yang bertanggungjawab “membunuh semangat revolusi" menerusi kekerasan.

Keadaan ini, walaupun membawa kepada pengisytiharan darurat dijangka bakal menyukarkan lagi rundingan dengan penyokong Ikhwanul Muslimin meskipun beberapa hari sebelumnya, seorang tokoh al-Azhar bercadang untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik.

Pihak tentera juga dikatakan turut terkorban setelah penyokong-penyokong bangkit membantah kekejaman penggunaan jentera berat ketika meruntuhkan khemah-khemah manakala tiga orang wartawan yang hadir membuat liputan menjadikan angka kematian bertambah ramai. Jangkaan pihak Ikhwanul Muslimin, ia sudah mencapai lebih 2,500 orang sejak Mursi digulingkan manakala puluhan ribu orang lagi cedera terkena tembakan, gas pemedih mati dan dipukul oleh angkatan bersenjata.

Kemungkinan itu memperlihatkan Mesir sedang menuju konflik yang lebih besar dan lama, kerana tekad penyokong Ikhwanul Muslimin tetap mahukan Mursi diberikan semula tampok pemerintahan, kerana ia adalah pilihan rakyat dan mendapat sokongan 51.7 peratus pengundi.

Seharusnya pihak tentera tidak begitu cepat melakukan rampasan kuasa, dan memberikan kerjasama penuh kepada Mursi untuk menentukan masa hadapan Mesir kerana di awal kemenangannya, sudah ada percubaan untuk menafikan pilihan rakyat. Mursi berhadapan dengan kelengahan “kerajaan sementara" yang dibentuk oleh tentera manakala ekonomi Mesir sedang berada dalam keadaan parah akibat kelumpuhan setelah kemasukan pelancong belum pulih akibat revolusi, dan sumber kewangan yang ditinggalkan oleh Hosni hampir negatif.

Percubaan kelompok sekular yang masih membayangi Hosni Mubarak inilah sepatutnya ditentang oleh pihak tentera memandangkan Jeneral al-Tutsi yang dilantik oleh Mursi menganggotai kabinet perlu bertindak sebagai ‘pengimbang’ yang setia kepada prinsip demokrasi. Jeneral al-Tutsi tidak wajar memberikan sokongan kepada kelompok yang ingin menjatuhkan Mursi, kerana kelompok tersebut sebenarnya terlalu rapat hubungannya dengan kehendak Barat, termasuk mereka yang pernah membolot kekayaan ketika Hosni berkuasa.

Puak yang menaja kebangkitan revolusi kedua yang dilancarkan oleh golongan muda itu sebenarnya mempunyai hubungan langsung dengan Israel, kerana mereka sedang dibayangi oleh cerita-cerita buruk mengenai Mursi sejak beliau berusaha mengeluarkan Dikri Presiden pada bulan November 2012, bagi menjamin keputusan Presiden tidak dipertikaikan, dan menentukan Perlembagaan Mesir yang sedang dirangka tidak dicabuli dengan mudah.

Nasib malang yang menimpa Mursi telah melemahkan posisi politik yang menjadikan Islam sebagai ideologi, dan ini telah diakui oleh penganalisis politik Barat, dengan tersungkurnya Mursi, maka politik Islam telah kehilangan ideologi. Kehendak politik sekular walaupun penuh kekurangan, kecaman dan lumpuh tahap keinsanannya akan tetap mendominasi sistem pemerintahan sepanjang sejarah moden, dan itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh protocol yang telah digubal oleh tokoh Yahudi, Theodor Herzyl sejak berjaya mencipta ilusi kekejaman Hitler dalam tragedi Holocaust dan pembersihan etnik pada era pemerintahan Nazi di Jerman.

Bagaimanapun, dalam kekalutan rakyat Mesir meneruskan hidup, sebagai seorang bapa yang mempunyai dua orang anak yang masih berada di Kaherah, Muhammad Qassim dan Abdullah kerana menyambung pelajaran setelah tergendala akibat kemelut politik di Syria, penulis amat mengharapkan ketegangan yang berlaku segera dapat dipulihkan.

Harapan itu bukan merupakan harapan saya seorang, kerana lebih 500 orang pelajar Malaysia masih berada di Kaherah manakala lebih 10,000 orang lagi bakal kembali ke Mesir pada bulan September ini bagi meneruskan pengajian masing-masing setelah pulang di tanah air selepas bercuti selama tiga bulan.

Tentunya, jika memikirkan keselamatan, tidak ada ibu bapa yang tidak resah dan gelisah, kerana anak-anak itulah harapan yang disandarkan untuk masa depan, dan menerusi pendidikanlah bakal mengubah segala-galanya.

Semoga keadaan pelajar Malaysia selamat, begitulah juga dua orang anak penulis. Semoga Allah SWT jauhkan Mesir daripada kancah perang saudara dan segera reda.


PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Mencari imbangan pembangunan ekonomi, kerohanian


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

BULAN Ogos dan September setiap tahun merupakan bulan penting dalam kalendar negara kita, kerana dalam tempoh ini, rakyat Malaysia pelbagai kaum menyambut kedatangan Hari Kemerdekaan.

31 Ogos adalah merupakan tarikh bersejarah yang harus diingati oleh setiap lapisan masyarakat kerana tarikh inilah negara kita mencapai kemerdekaan, bebas daripada belenggu dan cengkaman penjajah British.

Dengan tibanya tarikh bersejarah ini membawa ingatan kepada kita untuk mengenang kembali perjuangan yang telah dilakukan oleh  tokoh-tokoh negara yang berjuang membebaskan negara kita daripada belenggu penjajah.

Kemerdekaan sewajarnya menyedarkan rakyat bahawa negara kita bebas daripada penjajahan tanpa melibatkan pertumpahan darah. Rakyat Malaysia haruslah bersyukur dengan kemerdekaan yang dicapai, kerana melalui kemerdekaanlah rakyat dapat mencapai kegemilangan dalam semua aspek kehidupan.

Sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ke-56 mempunyai makna yang mendalam dan hanya mereka yang mengerti dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksud ulang tahun kemerdekaan ini dengan tepat.

Generasi muda hari ini perlu menghayati semangat kemerdekaan ini. Pengetahuan sejarah melalui pembelajaran sejarah di sekolah adalah amat penting bagi meningkatkan pengetahuan remaja hari ini tentang semangat dan erti sebenar kemerdekaan.

Sesungguhnya 31 Ogos adalah satu tarikh yang begitu bermakna yang tidak ada bandingannya. Amatlah wajar bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, memahami dan menghayati kepentingan kemerdekaan ini.

Tarikh 31 Ogos perlu disambut dengan penuh kesyukuran dan semangat patriotik. Hal ini kerana kemerdekaan itu adalah kemegahan dan kebanggaan semua rakyat yang perlu dikongsi dan dihayati bersama.

Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang Ke-56 pada tahun ini diharap dapat memantap dan memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Hal Ini menjadi lebih penting berikutan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Perpaduan negara sangat penting dan menjadi kunci kejayaan Malaysia. Sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 bergantung kepada beberapa faktor yang penting, terutama sekali perpaduan rakyat. Perpaduan hendaklah menjadi asas kepada semua aktiviti dan rancangan dalam semua sektor dan masyarakat di negara ini.

Perkauman dan apa juga bentuk polarisasi yang lain merupakan halangan terbesar kepada perpaduan negara dan haruslah menjadi keazaman semua pihak untuk memerangi polarisasi kaum secara yang serupa seperti mana kita telah mengisytiharkan perang terhadap ancaman dadah dan jenayah.

Bagi membolehkan proses tersebut terhindar daripada rintangan, pembuat-pembuat dasar, perancang-perancang dan mereka yang melaksanakannya hendaklah memastikan bahawa pemikiran dan amalan mereka sentiasa tertakluk kepada tujuan-tujuan dan nilai-nilai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang teragung.

Segala rancangan pembangunan, perindustrian dan sebagainya bagi mencapai imbangan sosial dan mewujudkan keadilan sosial hanya akan mendatangkan makna jika rakyat berbilang kaum di negara ini dapat memperkukuhkan kepentingan bersama ke arah perpaduan.

Usaha saling bekerjasama rakyat Malaysia hendaklah berterusan bagi tujuan memelihara dan menguatkan semangat cinta dan kesetiaan kepada negara dan kebanggaan menjadi warga Malaysia. Semangat patriotisme haruslah sentiasa dipupuk dan dipelihara. Keharmonian kaum dan toleransi beragama di setiap peringkat harus terus diperkukuhkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa hari kemerdekaan memang meninggalkan kesan mendalam pada kita semua, terutama dalam kalangan generasi yang pernah berjuang untuk mencapainya.

Nilai murni menjadi asas penting kepada masyarakat Malaysia terutama dalam usaha mencapai taraf sebuah negara maju. Nilai ini penting kerana konsep Wawasan 2020 itu sendiri telah menyebut dengan jelas hasrat negara untuk mencari titik keseimbangan antara pembangunan kebendaan dan kerohanian.

Hal yang perlu ditekan sekarang ialah kita harus menyeimbangkan pencapaian ekonomi dengan pembangunan kerohanian dan akhlak, di samping berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai integrasi kaum dan perpaduan negara dalam gagasan 1Malaysia.


Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kefahaman dalam mengajar, belajar


Oleh :  Profesor Dr Sidek Baba

Kefahaman adalah kunci-kata dalam proses mengajar dan belajar. Ia adalah natijah akhir dalam suatu proses mengajar-belajar. Teori pembelajaran memberikan asas kefahaman sebagai puncak proses ini. Tidak faham memberi makna proses pengajaran-pembelajaran tidak berlaku.

Setiap ilmu diajar perlu cara  berkesan untuk disampaikan kepada pelajar. Pelajar akan menjadi manusia yang sangat gembira apabila menerima kefahaman daripada sesuatu pengajaran. Pengajaran bukan asal sampai. Pendidikan sendiri natijah akhirnya membawa pelajar tahu dan berpengetahuan.

Lebih jauh daripada  itu maklumat dan pengetahuan tidak cukup. Bagaimana pendidikan dapat mengolah pengajaran sehingga kefahaman membawa kepada perubahan diri iaitu sikap, watak, tindakan dan amalan?

Suatu kaedah yang baik dalam memberikan kefahaman ialah menerusi hujah dan penjelasan baik. Sesuatu hujah disampaikan memerlukan kupasan dan huraian mudah diterima oleh pelajar. Apalagi sekiranya huraian itu disertai contoh-contoh.

Dalam hal berkaitan benda ghaib, keupayaan pendidik mengaitkan bukti  ciptaan ALLAH dengan ayat-ayat al-Quran supaya wujud hubungan antara yang nyata dengan ghaib, supaya difahami bahawa yang dicipta itu bukanlah sesuatu yang sifatnya semula jadi tetapi terkandung banyak hikmah kepada manusia dan kehidupan.

Pendekatan mengajak para pelajar berfikir dan berzikir mengenai kebesaran ALLAH ini berupaya menghubungkan kefahaman seimbang. Berfikir bermakna bagaimana daya taakulan terjadi dan ia terhubung dengan perkara-perkara yang nampak dan berzikir dalam erti kata luas bagaimana faktor yang nampak (tangible) dikaitkan dengan perkara ghaib.

Melihat tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok daripada segala jenis adalah fenomena alamiah. Mengkaji hikmah di sebalik hadirnya tumbuh-tumbuhan dan pokok mengajak manusia berfikir tentang Pencipta. Betapa tumbuh-tumbuhan dan pokok terkandung rahsia besar untuk alam dan umat manusia. Memahami hakikat ini menyebabkan manusia menghubungkan fikir dan zikir dalam satu tautan bahawa semua itu tidak terjadi dengan sendiri. Ia terjadi dengan kehendak Pencipta dan terkandung rahsia serta hikmah bagi orang yang berfikir dan berzikir.

Pemahaman secara integratif ini membimbing pelajar mencari makna akan sesuatu. Makna akan sesuatu tidak saja difahami secara zahiri tetapi dilihat secara batini. Tumbuh-tumbuhan adalah penting untuk suasana kehijauan dan terkait dengan faktor persekitaran.

Memelihara persekitaran adalah sesuatu yang amat dituntut. Memusnahkan tumbuh-tumbuhan boleh menyebabkan persekitaran terancam. Kepanasan dunia (global warming) yang terjadi kini adalah akibat kerakusan manusia merosakkan tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok dan ia memberi kesan terhadap iklim.

Kefahaman menerusi proses fikir dan zikir, iaitu upaya taakulan manusia dengan proses merenung dengan jiwa tadabbur sentiasa menghubungkan apa yang dicipta dengan maksud penciptaan itu sendiri. Kalau apa yang dicipta tidak dihargai hikmah di sebalik penciptaannya, kerosakan kepada kehidupan akan terjadi.

Proses menerima makna adalah puncak daripada proses faham. Sekadar tahu dan manusia memiliki maklumat tidak memadai. Menghubungkan apa manusia tahu dan maklumat dikutip sebagai sumber ilmu yang benar dan bermanfaat bakal membimbing akal-budi pelajar menghargai apa diciptakan.

Justeru kefahaman terhadap sesuatu membawa makna sebenar kepada diri dan kehidupan apabila ia terkait dengan Pencipta. Al-Quran umpamanya terkandung pertunjuk dan pedoman kepada orang-orang yang bertaqwa.

Takwalah yang membezakan antara manusia dengan lainnya di sisi ALLAH. Jiwa muttaqeen ini sangat penting bagi manusia kerana ia adalah pedoman terbaik meletakkan diri manusia memiliki karamah insaniah. Manusia terbilang dan cemerlang, memiliki kualiti ihsan yang tinggi dan selalu mensejahterakan diri serta sekitarnya.

Selalunya kefahaman manusia hanya bersifat zahiri semata. Pengetahuan diterima, maklumat didapati belum tentu menjadi sumber ilmu. Apabila ia terhubung dengan ALLAH apalagi al-Quran, ilmu menjadi  cahaya yang menerangi akliah dan hati budi.

Darinya akan terbentuk sikap yang sentiasa memiliki jiwa kehambaan dan kekhalifahan yang sentiasa akur pada ketentuan ALLAH.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Penghawa dingin atau pendingin hawa?


Ada seorang rakan mengajukan persoalan kepada saya tentang penggunaan bahasa yang tepat, sama ada ‘penghawa dingin’ atau ‘pendingin hawa’. Persoalan dikemukakan oleh rakan saya tadi mungkin juga menjadi persoalan bagi banyak pihak yang lain.

Kemungkinan persoalan-persoalan lain yang timbul ialah sama ada:

i.    ‘pisang goreng’ atau ‘goreng pisang’
ii.    ‘sos tomato’ atau ‘tomato sos’

Kesemua persoalan di atas berkaitan dengan Peraturan D-M (Hukum D-M). D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan atau hukum ini, unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua. Hal ini bermaksud, perkara yang menjadi fokus utama disebut terlebih dahulu manakala unsur yang berfungsi menerangkan fokus utama hadir pada kedudukan kedua.

Contohnya, perkataan ‘kereta lembu’. Unsur yang diterangkan ialah ‘kereta’ kerana menjadi inti atau  fokus utama. Manakala ‘lembu’ hanyalah berfungsi menerangkan tentang ‘kereta’. Hal ini demikian kerana perkara yang hendak difokuskan dalam perkataan ini ialah ‘kereta’ dan bukannya ‘lembu’.

Berdasarkan definisi dinyatakan maka penggunaan perkataan yang tepat bagi ketiga-tiga persoalan di atas ialah:

i.    ‘pendingin hawa’ (kerana yang difokuskan ialah alat untuk mendinginkan hawa)
ii.    ‘pisang goreng’ (kerana yang difokuskan ialah pisang yang digoreng)
iii.  ‘sos tomato’ (kerana yang difokuskan ialah bahan cecair atau pekat digunakan  untuk menyedapkan makanan serta diperbuat daripada tomato)

Namun, perkataan ‘goreng pisang’ dan ‘tomato sos’ masih boleh digunakan tetapi membawa maksud berbeza. Contohnya:

i.    ‘goreng pisang’ (menunjukkan perbuatan menggoreng pisang)
ii.    ‘tomato sos’ (menunjukkan sejenis tomato yang digunakan untuk membuat sos)

Penggunaan bahasa Melayu yang melanggar Peraturan D-M ini terjadi salah satunya disebabkan pengaruh bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, unsur menerangkan hadir pada kedudukan pertama manakala unsur diterangkan hadir pada kedudukan kedua. Contohnya:

i.    ‘school bus’
ii.    ‘football player’
iii.    ‘English teacher’
iv.    ‘boarding school’
v.    ‘pretty woman’

Beberapa pelanggaran Hukum D-M dapat dilihat di beberapa tempat, khususnya pada papan-papan tanda serta dalam beberapa penggunaan bahasa harian. Sebagai contohnya:

i.   Nik Ali Noordin Syarikat Pembinaan (sepatutnya Syarikat Pembinaan Nik Ali Noordin)
ii.  Wan Amiruddin dan Norazian Restoran(sepatutnya Restoran Wan Amiruddin dan Norazian)
iii.  Lain-lain hal (sepatutnya hal-hal lain)

Bagaimanakah pula dengan perkataan-perkataan di bawah? Yang mana satukah tepat dari segi Peraturan D-M?

i.    ‘ayam telur’ atau ‘telur ayam’?
ii.    ‘biru laut’ atau ‘laut biru’?
iii.   ‘delima merah’ atau ‘merah delima’?
iv.   ‘daging lembu’ atau ‘lembu daging’?
v.    ‘anak baju’ atau ‘baju anak’?

Kedua-dua pilihan dalam kesemua contoh di atas boleh digunakan tetapi bergantung kepada unsur inti yang hendak diterangkan. Sebagai contohnya ‘ayam telur’ merujuk  sejenis ayam yang menghasilkan telur manakala ‘telur ayam’ merujuk telur yang dihasilkan oleh ayam. Begitulah juga dengan contoh-contoh lain tersebut.

Namun demikian, terdapat beberapa kekecualian Peraturan D-M, iaitu sesuatu yang berfungsi untuk menerangkan (M) mendahului sesuatu unsur yang diterangkan (D). Hal ini demikian berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan, nama-nama jawatan, gelaran dan penjodoh bilangan. Sebagai contohnya:

i.   perdana(M) menteri(D)
ii.   ibu(M) pejabat(D)
iii.  Haji(M) Ahmad Shahru(D)
iv.  naib(M) presiden(D)
v.   lima ekor(M) kambing(D)

Sebagai penutup bicara, dapatlah disimpulkan bahawa kita semua perlu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul. Kita tidak boleh memandang mudah dalam aspek penggunaan bahasa Melayu kerana kadangkala akan menimbulkan salah faham dalam berkomunikasi.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/