Isnin, 18 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : e-disiplin akan diperluas ke semua sekolah secara berperingkat

PUTRAJAYA - Sistem Kawalan Disiplin Murid atau e-Disiplin yang dilancarkan hari ini untuk mengesan dan mengawal tingkah laku murid secara dalam talian, akan diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata melalui e-Disiplin iaitu aplikasi maklumat komunikasi dan teknologi (ICT) berasaskan web, guru disiplin akan melapor salah laku pelajar secara dalam talian.

Ini sekali gus memudahkan kementerian mengukur, mengesan dan mengawal selia disiplin murid sebelum melaksanakan tindakan selanjutnya dan akan dilaksanakan sebagai program pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke-10, pada tahun ini, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan komputer riba kepada 97 buah sekolah menengah Felda seluruh negara yang terlibat dalam pelaksanaan e-disiplin serta pelancaran e-Disiplin, di sini hari ini.

Sejak 2009 sehingga kini, e-disiplin hanya dilaksanakan di 317 sekolah termasuk 97 sekolah menengah Felda di seluruh negara yang mendapat maklum balas positif daripada guru-guru kerana mencatatkan penurunan masalah disiplin murid yang begitu signifikan, katanya.

Ia dibangunkan oleh Majlis Aspirasi Pemangkin Nasional (Mapan) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk membantu usaha kementerian memantapkan pengurusan disiplin murid.

"Kita seru supaya pihak sekolah sentiasa mengisi maklumat dengan jujur. Kita akan lihat juga mana sekolah yang rekodnya nampak mungkin kita akan tanya soalan atau kita hantar pasukan ke sekolah itu (untuk menyiasat), katanya kadang-kadang sekolah tidak lapor tetapi ada masyarakat yang laporkan (kes disiplin), katanya.

Mengenai tindakan yang akan diambil kepada sekolah-sekolah yang mencatatkan banyak kes salah laku pelajar, Abd Ghafar berkata kementerian akan turun padang untuk melihat sendiri keadaan di sekolah itu supaya ia dapat diatasi segera selain mengadakan kursus motivasi untuk pelajar.

Sementara itu beliau berkata sumbangan komputer riba itu adalah usaha kementerian dan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid untuk memudahkan tugas guru-guru disiplin sekolah menengah Felda dalam melaksanakan pembangunan disiplin murid dengan lebih fokus dan tersusun.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

ISU KENAIKAN TARIF ELEKTRIK : Perlu Lebih Cekap Tenaga

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana dua siri ini menyentuh isu kenaikan tarif elektrik termasuk dari sudut kepenggunaan.Ini bahagian pertama daripada dua bahagian.

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Sewaktu kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik pada 1 Jun lalu, mereka yang menggunakan elektrik pada kadar kurang daripada 300 kWj sebulan atau RM77 ke bawah pastinya menarik nafas lega.

Ini kerana kenaikan itu hanya memberi kesan kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 301 hingga 1000 kWj sebulan.

Bagaimanapun, keadaan ini mungkin tidak akan berterusan selama-lamanya seperti yang dijelaskan Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, bahawa kos bahan api akan semakin meningkat dan ia adalah kos tertinggi bagi industri elektrik.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan Imbangan Tenaga Kebangsaan (NEB) 2008.

"Menurut NEB, campuran bahan api untuk penjanaan elektrik adalah 56.6 peratus gas asli, 33.4 peratus arang batu, 8.1 peratus hidro, 1.2 peratus diesel dan 0.7 peratus fuel oil," katanya.

KOMPONEN UTAMA

Daripada statistik NEB itu jelas dapat dilihat dua komponen utama yang mempengaruhi tarif elektrik iaitu gas asli dan arang batu.

Menurut Piarapakaran, gas asli dibekalkan oleh Petronas pada harga subsidi berdasarkan harga formula kerajaan.

Sementara itu arang batu pula dibeli daripada luar negara dan berdasarkan harga pasaran antarabangsa.

"Kenaikan harga arang batu masih diserap oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas permintaan kerajaan persekutuan," kata Piarapakaran kepada Bernama semasa mengulas impak kenaikan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan Jun lepas.

Beliau berkata kenaikan tarif elektrik itu adalah untuk mengurus kenaikan harga gas asli dan pelaksanaan "Feed-in Tariff" (FiT).

Jelasnya, FiT ialah mekanisme "Feed-in Tariff" (FiT) yang diperkenal kerajaan untuk mempromosi pembangunan Tenaga Diperbaharui (RE).

Usaha itu, kata beliau, dibuat melalui penubuhan Sustainable Energy Development Authority (SEDA).

TENAGA DIPERBAHARUI

Menurut Piarapakaran, antara fungsi SEDA ialah untuk menguruskan Dana RE yang dikumpul melalui tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna.

"Satu peratus daripada tarif kita disumbangkan kepada Dana RE. Bagaimanapun keperluan ini dikecualikan bagi pengguna domestik yang penggunaan elektriknya di bawah 300 kWj sebulan," jelasnya.

Piarapakaran menjelaskan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan bercadang meningkatkan campuran tenaga RE yang kini kurang daripada 1 peratus kepada sekitar 5.5 peratus pada tahun 2015.

SEDA, katanya, dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2011 dan mempunyai masa empat tahun untuk mencapai sasaran seperti yang ditetapkan di bawah RMK-10.

"AWER berharap SEDA akan fokus kepada tujuan penubuhannya," kata Piarapakaran.

TERUS MENINGKAT

Dari segi penggunaan tenaga asas (semua bentuk sumber tenaga), Malaysia mencatat peningkatan pada kadar 6.1 peratus antara tahun 2000 hingga 2008.

Peningkatan permintaan tenaga bukan sahaja mempunyai kaitan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga pertambahan jumlah penduduk negara.

Menurut Piarapakaran, keadaan itu membuktikan bahawa permintaan tenaga di Malaysia akan sentiasa meningkat daripada nilai anggaran purata dunia.

Dalam keadaan itu, beliau berkata kerajaan perlu menjamin industri elektrik masih mampu memberikan tarif yang saksama kepada semua masyarakat pengguna.

"Ini penting untuk perkembangan ekonomi yang berterusan. Kebimbangan AWER adalah untuk kerajaan memastikan Malaysia kekal sebagai pasaran yang berdaya saing untuk pelabur.

"Disebabkan kerajaan sedang merasionalisasi subsidi, tarif elektrik menjadi parameter yang penting untuk dikaji.

"Kita sudah pun mula hilang tahap kompetitif kepada Thailand dan Korea Selatan," katanya.

Dalam hal yang berkaitan, Piarapakaran berkata pihaknya ingin mencadangkan supaya proses penetapan tarif yang telus dengan pembabitan rakyat dapat dilaksanakan.

Melalui proses yang sedemikian, rakyat, katanya boleh memahami serta menerima sebarang kenaikan tarif tanpa sebarang keraguan dan dapat memainkan peranan mereka secara lebih bertanggungjawab.

Pihak peniaga serta pelabur pula, tambahnya boleh merancang operasi mereka dengan lebih teliti.

ISU PPP

Setiap kali berlaku pelarasan tarif elektrik, isu utama yang sering dibangkitkan ialah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara TNB dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Lazimnya perkara yang menjadi tumpuan untuk PPA ini ialah kos bahan api.

Menurut Piarapakaran mekanisme penyaluran kos bahan api yang dipraktikkan sekarang di bawah PPA adalah tidak jelas.

Rakyat, katanya perlu dimaklumkan dengan lebih jelas bagaimana kos bahan api yang disalurkan memberi impak kepada tarif.

"Daripada kajian kami IPP mengambil masa kurang daripada 10 tahun untuk memperoleh kembali perbelanjaan modal. Ini menunjukkan IPP tidak mempunyai sebarang risiko dalam perniagaan elektrik.

"IPP juga mendapat pinjaman kewangan untuk melaksanakan projek-projek mereka dan semua kos ini akhirnya disalurkan kepada rakyat sebagai tarif.

"Sektor penjanaan elektrik mesti dikawal selia dan kita tidak boleh membiarkan pihak-pihak tertentu yang hanya mengutamakan keuntungan dan mengabaikan kesejahteraan rakyat terus bermaharajalela," tegas Piarapakaran.

AWER, katanya, telah menyediakan satu laporan mengenai masa depan industri elektrik negara yang antaranya menggariskan isu-isu berkaitan industri elektrik negara.

Laporan itu dihantar kepada semua anggota kabinet, anggota parlimen dan agensi-agensi kerajaan terbabit pada 2 Jun 2011. Laporan penuh ini boleh dibaca di laman sesawang AWER www.awer.org.my .

CEKAP TENAGA

Dalam masa yang sama, Piarapakaran mempunyai saranan untuk semua rakyat Malaysia termasuk mereka yang tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik.

"Jadilah lebih cekap tenaga kerana kita juga mempunyai tanggungjawab kepada generasi akan datang," katanya.

Menurut beliau, kecekapan tenaga adalah cara untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, sebagai contoh, pembelian alat elektrik yang cekap tenaga, tidak membiarkan peralatan dalam mod sedia dan menggunakan bila perlu.

Menyelenggara alat-alat elektrik secara berkala juga dapat membantu alat-alat ini berfungsi dengan cekap.

Alat seperti pendingin hawa, ketuhar mikro, peti sejuk dan alat-alat 'yang banyak guna tenaga' biasanya perlu penyelenggaraan.

"Bagi AWER, menjadi cekap tenaga adalah satu-satunya cara untuk kita melangkah ke hadapan.

"Kegagalan kita untuk berbuat demikian akan hanya mengundang krisis," tambahnya.

Bagi mereka yang biasa membayar bil elektrik yang tinggi dan masih mampu berbuat demikian, mereka mungkin tidak ambil peduli dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik.

Namun untuk pengguna yang mungkin berdepan dengan kesulitan kewangan, ada cara untuk mengurangkan beban kenaikan.

Pengguna sepatutnya dapat mengenal pasti alat yang banyak menggunakan tenaga elektrik.

Menurut Piarapakaran, sebarang peralatan yang memanaskan, menyejukkan dan berputar, menggunakan lebih banyak tenaga.

"Jika kita menggunakan peralatan seperti pendingin hawa, pemanas air, peti sejuk dan pam air tangki ikan, kita akan menggunakan tenaga elektrik dengan banyak.

"Mengurangkan penggunaan alat-alat ini atau menggunakan alat-alat yang cekap tenaga dapat mengurangkan impak kepada bil elektrik," jelasnya.

PILIH YANG SESUAI

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian berat oleh pengguna ialah peralatan yang berusia lebih daripada 10 tahun menggunakan hampir tiga kali ganda penggunaan tenaga elektrik berbanding model terkini di pasaran.

Di mana sesuai, pengguna yang memiliki peralatan yang seperti itu dinasihatkan membeli barangan baru yang cekap tenaga.

Piarapakaran menjelaskan bahawa sebagai permulaan, kerajaan persekutuan memberikan rebet untuk pendingin hawa sebanyak RM100 dan peti sejuk sebanyak RM200 yang cekap tenaga serta mempunyai label 5 Bintang.

Tawaran itu, katanya adalah untuk jenama-jenama yang menyertai program ini di lokasi-lokasi terpilih sehingga akhir 2011.

Dalam masa yang sama kaedah penggunaan atau pemasangan peralatan dengan betul adalah penting untuk memastikan tidak berlaku kenaikan mendadak bil.

Piarapakaran memberikan contoh penggunaan alat hawa dingin mestilah di bilik yang tertutup dan bersesuaian saiznya.

"Jika kita memasang pendingin hawa di lokasi tanpa pintu seperti ruang makan atau bilik yang lebih besar daripada kapasiti reka bentuk pendingin hawa sudah pasti kita akan mencatat penggunaan elektrik yang tinggi," jelasnya.

Menurut beliau, terdapat banyak langkah untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Langkah terbaik, katanya, adalah menggunakan sesuatu peralatan itu apabila diperlukan sahaja serta menggunakan peralatan yang cekap tenaga.

"Kecekapan tenaga dicapai melalui reka bentuk dan peralatan yang menggunakan tenaga itu sendiri.

"Elak juga meninggalkan peralatan dalam mod sedia kerana 10 peratus hingga 30 peratus tenaga elektrik penggunaan biasa digunakan dalam mod sebegini," jelas Piarapakaran.

AWAS PENIPUAN

Dalam keterujaan untuk mengurangkan kos penggunaan elektrik, pengguna bagaimanapun dinasihatkan supaya berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Menurut Piarapakaran, terdapat banyak produk yang didakwa boleh mengurangkan penggunaan elektrik termasuk 'mengurangkan pembacaan meter'.AWER, katanya, telah berulang kali menimbulkan isu itu dengan agensi kerajaan yang terbabit.

"Dakwaan yang dibuat oleh jurujual bahawa Suruhanjaya Tenaga, TNB dan SIRIM telah memberi pengiktirafan kepada barangan seperti itu tidak benar.

"Sekiranya ada orang awam atau peniaga didatangi jurujual-jurujual ini, segera laporkan kepada Suruhanjaya Tenaga," tegasnya.

Piarapakaran berkata pihaknya telah memulakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pasar raya-pasar raya besar supaya tidak membenarkan jurujual berkenaan membuka kedai di lokasi mereka.

"Kami berharap rakyat tidak terpedaya dengan taktik serta tipu-helah untuk memasang peralatan yang didakwa boleh mengurangkan penggunaan elektrik.

"Hanya ada satu sahaja cara untuk mengurangkan penggunaan elektrik iaitu dengan menggunakan produk yang cekap tenaga," katanya.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

ISU KESIHATAN : Tiga langkah elak keracunan makanan

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif menganjurkan kempen keselamatan makanan dalam usaha untuk melindungi orang ramai terutamanya murid sekolah rendah daripada bahaya kesihatan berpunca daripada makanan, penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Noraini Mohd. Othman berkata, pihaknya memandang serius isu-isu berkaitan keselamatan makanan yang berlaku di dalam negara.

"Pelbagai langkah telah dan sedang diambil oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dalam menjalankan aktiviti promosi keselamatan makanan bagi memberi maklumat dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat terutamanya murid-murid," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sehubungan itu jelasnya, pelbagai aktiviti telah dan sedang dijalankan di sekolah antaranya kempen keselamatan makanan "Lihat, Hidu, Rasa" yang disasarkan kepada murid sekolah rendah berumur tujuh hingga 12 tahun.

"Tema Lihat, Hidu, Rasa telah dilancarkan pada Ogos 2010 dan kempen yang berterusan ini memperkenalkan tiga langkah mudah untuk mengenali makanan rosak atau basi.

"Tingkah laku ini dipilih memandangkan ia amat mudah untuk dilakukan dan tidak melibatkan kos tetapi hanya menggunakan deria yang telah dianugerahkan untuk membuat penilaian sebelum membeli atau mengambil makanan," katanya.

Menurut beliau, pemilihan makanan boleh dibuat dengan langkah mudah seperti melihat makanan dari segi berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya.

"Langkah kedua ialah dengan menghidu makanan tersebut untuk memastikan tiada bau yang tidak menyenangkan atau berbeza daripada biasa.

"Langkah ketiga pula ialah dengan merasa makanan itu bagi mengenal pasti sama ada ia sudah basi atau busuk.

"Sekiranya makanan didapati mempunyai ciri-ciri seperti yang tersebut, ini menunjukkan makanan itu telah rosak atau basi dan tidak boleh dimakan," terang beliau.

Tambah Noraini lagi, selain memberi kesedaran dan pengetahuan tentang bahaya-bahaya kesihatan disebabkan makanan yang basi atau rosak, matlamat kempen ini adalah untuk membantu menggalakkan murid memilih makanan yang bersih serta selamat.

"Ia juga melatih murid menggunakan kemahiran deria lihat, hidu dan rasa semasa memilih makanan serta mendorong ibu bapa dan guru mengambil perhatian dalam memastikan anak mereka memilih makanan yang bersih dan selamat," jelasnya.

Katanya lagi, KKM berharap melalui pendekatan "Lihat, Hidu, Rasa" yang diperkenalkan itu dapat membantu murid-murid mengenal pasti dan mengelak daripada mengambil makanan yang rosak atau basi melalui deria mereka.

"Langkah ini seterusnya dapat mengelakkan mereka daripada mengalami keracunan makanan terutamanya ketika di sekolah," ujarnya.

Selain itu, KKM juga telah menubuhkan Skuad Germ Buster yang merupakan sebuah van khas yang dilengkapi dengan bahan-bahan pendidikan untuk mengadakan aktiviti di sekolah-sekolah secara terancang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Ke mana bahasa Melayu?

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Tindak-tanduk menidakkan wibawanya bawa padah

MESKIPUN sejarah bahasa Melayu itu sudah bermula berdekad lampau dan diiktiraf sebagai bahasa kerajaan sejak abad Ke-13, menjelang alaf baru, kedudukan bahasa Melayu benar-benar tercabar dalam negaranya sendiri. Malah sejak 50 tahun selepas merdeka, kedudukannya sebagai bahasa ilmu sudah merosot.

Kenyataan itu amat pedih, tetapi itulah hakikat yang ditegaskan bekas Ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada ceramah umum di Ibu Pejabat DBP, Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-55 badan itu, baru-baru ini.

Malah titik kemerosotan itu semakin membesar apabila kerajaan sendiri pada 2003 mengubah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dengan alasan orang Malaysia tidak akan maju jika tidak belajar kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa penjajah!

“Krisis ini berlaku setelah dasar yang asal itu berjaya menghasilkan ratusan ribu, bahkan beberapa juta pelajar yang mempelajari Sains dan Matematik dengan jaya dalam bahasa kebangsaan sejak 1970-an. Dasar itu juga telah melahirkan ratusan profesor dan pensyarah yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan, selain ratusan ahli sains dan pakar bidang lain termasuk perubatan,” katanya.

Dr Hassan menegur sikap sesetengah pihak berkenaan yang terlalu mudah melupakan kenyataan bahasa Melayu sudah pun digunakan untuk mengajar dan mempelajari ilmu ‘moden’ seperti linguistik umum, sosiologi, antropologi, selain bahasa dan kesusasteraan Melayu di Jabatan Pengajian Melayu sejak Universiti Malaya di Singapura pada 1954.

Lebih membanggakan tenaga pengajar pada masa itu ialah di kalangan sarjana Belanda dan Inggeris seperti Jesselin de Jong, Dr CC Mees, Dr MBSwift dan CC Skinner yang menguasai ilmu dalam bahasa Melayu dengan baik, selain berkesungguhan mengajarnya.

Beliau yakin bahawa kemerosotan itu berpunca daripada enam faktor, iaitu dasar bahasa yang ada selama ini tidak kuat atau lemah; pelaksanaan dasar itu lemah atau tidak tegas; perancangan bahasa atau cara membina dan mengembangkan bahasa sebagai bahasa kebangsaan Malaysia tidak cekap atau tidak kena atau tidak sesuai dengan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa yang sudah maju sebelum 1957.

Tidak ketinggalan, pendidikan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan di sekolah gagal melahirkan generasi pasca kemerdekaan yang tertarik untuk terus menggunakan bahasa Melayu sebagai alat kemajuan negara dalam semua bidang selepas meninggalkan bangku sekolah.

Begitu juga pusat pengajian tinggi awam dan menteri atau Perdana Menteri yang sepatutnya melaksanakan dasar bahasa kebangsaan tidak berpengetahuan, semangat dan komitmen yang kuat untuk mendukung dasar itu sepenuh hati atau tiada ‘model’ pengguna bahasa kebangsaan yang terbaik di kalangan pemimpin negara, menteri, pegawai kerajaan dan ahli korporat perniagaan yang dapat diteladani atau dicontohi anggota masyarakat atau rakyat.

“Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sektor pendidikan dan pentadbiran kerajaan yang lemah akan merebak ke DBP menjadikan tugas mereka sia-sia. Apa perlunya DBP menggubal ratusan ribu istilah baru pelbagai bidang ilmu, jika tidak digunakan atau penulisan dan penerbitan buku ilmu tinggi dalam bahasa ini kian lama kian merosot?,” soalnya.

Justeru, DBP perlu kuat dan memperkukuhkan tugasnya seperti diamanahkan sejak 1959 dan diperkemaskan lagi melalui Akta DBP (Pindaan) 1995, iaitu amanah untuk mengembangkan dan memperkukuh bahasa Melayu melalui pembinaan sastera dalam bahasa kebangsaan melalui penulisan dan penerbitan karya ilmu yang besar dalam bahasa ini.

“DBP jangan lari daripada tugas asal. Saya juga mengingatkan orang DBP bahawa mereka semua diamanahkan untuk ‘memajukan’ bahasa dan sastera Melayu yang sudah maju beratus tahun sebelum 1957. Janganlah kita merosakkan ‘martabat’ bahasa yang sudah maju ini dengan melakukan kaedah ‘perancangan bahasa’, ‘perancangan sastera’ dan ‘perancangan penerbitan’ seolah-olah bahasa ini bahasa yang mundur, bahasa tidak maju, bahasa yang tidak pernah meninggalkan tradisi sastera dan penulisan ilmu yang tinggi,” tegasnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/