Ahad, 25 Disember 2011

ISU SOSIAL : PERANAN KELUARGA DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL REMAJA


Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa menghiasi lembaran akhbar. Gejala sosial yang semakin meruncing telah menggusarkan masyarakat. Fenomena ini diibaratkan duri dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Tampaknya, masalah gengsterisme, vandalisme, samseng jalanan, pembuangan bayi, remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan keluarga amat signifikan untuk mengekang sindrom sosial terutamanya masalah remaja.

Salah satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang segala godaan maksiat . Senario ini dapat membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah agama. Ketua keluarga perlu membimbing anggota keluarga untuk menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab. Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.

Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar. Jika rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia, remaja yang setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya. Lantaran itu, pergaulan anak-anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak yang mulia sehingga berjaya.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Suri teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Bak kata peribahasa, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Ibu bapa perlu menjauhi kegiatan yang negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses laman web lucah dan lain-lain lagi. Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, materialistik, dan bongkak akan mencanai generasi muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.

Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna dan kamil amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian ini berlaku kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Ibu bapa perlu sentiasa melayani anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Sementelahan, ibu bapa perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang betul. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka bersedia mendengar rintihan jiwa mereka. Ternyata keluarga yang harmoni berdominan untuk membanteras kegiatan negatif.

Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan masalah anak-anak. Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anak-anak perlu memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan mereka. Dengan itu, setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa supaya mengeratkan silaturahim sekeluarga.

Secara tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinah.

Sumber : http://twoohiok.wordpress.com/

ISU SOSIAL : GEJALA SAMSENG DAN CIRI-CIRI PELAJAR BERMASALAH


DR ISMAIL ZAIN

SALAH laku dan tindakan ganas para pelajar masih lagi berleluasa walaupun pelbagai langkah telah diambil untuk mengetatkan disiplin pelajar.

Kalau hendak dikatakan kegiatan samseng hanya melibatkan pelajar yang tidak berpendidikan atau yang kurang didikan agama, peristiwa-peristiwa yang berlaku jelas menunjukkan kegiatan samseng wujud di semua peringkat sekolah.

Apakah dengan mengenakan kawalan disiplin yang ketat dapat menyelesaikan segala masalah tingkah laku di kalangan pelajar sekarang?

Langkah terawal untuk mengawal disiplin adalah dengan mengkaji punca yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin tersebut.

Berdasarkan pengalaman saya, rata-rata pelajar yang bermasalah tidak berminat atau kurang tumpuan dalam pembelajaran serta kurang melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum secara aktif - di samping beberapa punca lain.

Pelajar-pelajar ini kebiasaannya boleh dikenal pasti melalui beberapa ciri yang akan menjadi bibit-bibit ke arah salah laku mereka selanjutnya.

Antara ciri yang dapat diamati adalah seperti berikut:

Pakaian: Ada pelajar yang berpakaian tidak kemas seperti berbaju lepas keluar atau rambut yang tidak terurus. Manakala ada pelajar yang kelihatan berpakaian kemas tetapi gaya pakaian dan rambut tidak memperlihatkan imej seorang pelajar, tetapi lebih kepada imej muda-mudi lepasan sekolah yang gemar mengikut aliran fesyen masa kini.

Intelek: Mereka boleh terdiri daripada pelajar yang intelektual ataupun tidak, tetapi rendah dari segi kematangan berfikir. Kebiasaannya apa yang difikirkan adalah untuk jangka masa yang pendek tanpa memikirkan risiko yang bakal ditanggung pada jangka masa yang panjang.

Sosial: Kebanyakan pelajar ini lebih suka berada dalam kumpulan kecil. Dalam kelas atau dalam perhimpunan, mereka lebih suka berada di barisan belakang.

Ada yang pasif di dalam bilik darjah.

Ada juga yang aktif apabila berinteraksi dengan guru tetapi jawapan yang diberikan apabila ditanya lebih bersifat `loyar buruk'.

Ini adalah sebagai satu cara untuk mendapat perhatian dan menjadi bahan ketawa pelajar lain sementara itu menimbulkan pula kemarahan dari pihak guru.

Rohani: Golongan pelajar ini kebiasaannya tidak teguh kerohaniannya iaitu mudah menjadi berang atau cepat marah apabila dicabar atau merasai kedudukan mereka tergugat.

Mereka kurang bersifat simpati, enggan menghormati dan mematuhi peraturan. Manakala sifat ego, tidak mahu mengalah dalam penentuan keputusan serta mementingkan diri sendiri amat tebal di jiwa mereka.

Daripada beberapa ciri yang tersebut di atas yang wujud di jiwa mereka maka ia akan mempengaruhi tingkah laku serta membentuk sikap yang negatif yang boleh membawa kepada keruntuhan moral.

Apakah pula punca terbentuknya ciri-ciri yang ada pada pelajar-pelajar ini?

Walaupun kegiatan samseng ini kadangkala tidak menampakkan sebarang petanda awal tetapi sekurang-kurangnya beberapa petanda yang saya sebutkan itu mampu menjadi panduan kepada guru atau pelajar ke arah berwaspada dan mengambil tindakan untuk membendungnya.

Kenapa agaknya kegiatan samseng ini terus berlaku di sekolah? Tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan samseng ini berlaku disebabkan kurangnya didikan serta pengaruh rakan sebaya. Tetapi terdapat beberapa kemungkinan lain yang menyumbang ke arah kegiatan samseng.

Saya ingin mengemukakan dua faktor dalaman yang berkaitan dengan guru dan pelajar untuk kita renung bersama.

Pelajar tertekan: Kawalan yang ketat, jadual waktu yang padat, masalah pelajaran yang tidak dapat diselesaikan, sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan mungkin menjadi seseorang pelajar itu tertekan emosinya.

Faktor lain yang turut menyumbang ialah jurang komunikasi antara guru dan pelajar, infrastruktur yang tidak lengkap, serta kurangnya keselesaan di tempat belajar Oleh itu sedikit pertengkaran atau ketidakpuasan boleh menyemarakkan perasaan marah yang berakhir dengan tragedi yang tidak diingini.

Kurang minat belajar
: Pelajaran yang berkesan adalah pelajaran yang menyeronokkan (Dick & Reiser, 1998). Kurangnya minat untuk belajar mungkin disebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang tidak mampu menarik minat pelajar. Peranan guru amatlah penting.

Walaupun dalam sistem pendidikan masa kini guru dianggapkan sebagai fasilitator, tetapi pada hakikatnya guru harus membimbing pelajar, menggerak minda, dan mempelbagaikan kaedah pembelajaran supaya mampu menarik minat pelajar.

Di sekolah berasrama penuh misalnya guru tidak boleh menganggap bahawa pelajar-pelajar ``cream'' yang mereka terima itu boleh berusaha sendiri tanpa terlalu banyak bimbingan daripada guru.

Di sini bukan masalah sama ada pelajar itu ``cream'' atau tidak, tetapi sebagai seorang guru tugasnya ialah mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu serta mengimbanginya dengan aspek intelek, rohani dan jasmani.

DR. Ismail ialah penasihat Portal Pendidikan Utusan dan pakar motivasi pendidikan dan organisasi

Sumber : http://www.tutor.com.my/

ISU SOSIAL : Tanda-Tanda Samseng dalam Kalangan Remaja


Pakaian
Memakai pakaian yang bertema atau mempunyai gabungan warna yang khusus seperti kemeja-T hitam dan seluar jean hitam setiap hari.

Cakap besar
Anggota baru kumpulan samseng biasanya gemar bercakap besar tentang rakan-rakan mereka dalam kumpulan yang sama tanpa mengakui bahawa mereka turut serta dalam kumpulan itu.

Barang baru
Anak anda mula memiliki barangan berjenama sedangkan dia masih bersekolah dan tidak bekerja sambilan. Anda pula tidak memberinya wang saku yang banyak.

Isyarat tangan atau bahasa sulit

Anggota kumpulan samseng mungkin menggunakan isyarat tangan atau bahasa sulit untuk berhubung, lebih-lebih lagi apabila ingin mengutarakan sesuatu yang penting seperti kehadiran kumpulan lain atau polis.

Kelakuan negatif

Anda perlu prihatin apabila melihat perubahan negatif yang timbul mendadak dalam diri anak anda seperti lebih ganas apabila berinteraksi dengan adik-beradik di rumah, kurang ajar atau tidak mahu mendengar kata.

Hilang minat pada sekolah
Anda sering menerima maklum balas daripada guru di sekolah yang memberitahu bahawa anak anda tidak membuat kerja rumah, kerap ponteng sekolah dan hilang minat belajar.

Merahsiakan kegiatan

Anda perlu bersikap lebih prihatin, lebih-lebih lagi jika anak anda sering merahsiakan tempat tuju atau kegiatan hariannya daripada anda.

Tatu

Lambang fizikal ini mungkin bukti yang paling kukuh bahawa anak anda terlibat dalam kegiatan samseng.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/