Oleh : Profesor Dr. Teo Kok Seong
Usaha Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) untuk ikut membangunkan kawasan di sekeliling Kuala Lumpur harus
disambut baik. Ini bermakna satu kawasan besar di Lembah Klang bukan saja akan
ikut dibangunkan bersekali dengan Kuala Lumpur. Tetapi lebih penting lagi ialah
bersama-sama dengan bandar raya Kuala Lumpur, kawasan ini yang terdiri daripada
beberapa bandar, akan membentuk dan dikenali sebagai satu entiti baru.
DBKL memanggilnya Greater Kuala
Lumpur. Ia juga dipanggil Greater Kuala Lumpur-Klang Valley (KL-KV). Entiti
sebegini, yakni pengembangan bandar raya yang ikut merangkumi kawasan
bersebelahannya, bukan perkara baru dalam pembangunan sesebuah bandar raya. Hal
ini berlaku di beberapa tempat. Buktinya adalah Greater London dan Greater New
York sebagai nama dalam ilmu perancangan bandar.
Persoalannya dalam kes Kuala
Lumpur ialah mengapa DBKL tidak menggunakan nama bahasa Melayu. Sehubungan ini,
penggunaan nama bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini bukan saja lebih
afdal, tetapi nama itu memperlihat kita mempunyai jati diri, yakni identiti
sendiri.
Oleh itu, DBKL perlu mencari nama
bahasa Melayu untuk Greater Kuala Lumpur. Mungkin nama Kuala Lumpur Raya atau
Kuala Lumpur-Lembah Klang (KL-LK) Raya boleh digunakan. Perkataan raya
mengungkap makna besar dan agam. Makna ini dapat dilihat pada ungkapan jalan
raya, lebuh raya, pasar raya, rimba raya dan angkasa raya.
Elak guna bahasa asing
Penggunaan bahasa Melayu dalam
hal ini dan lain-lain sesungguhnya adalah usaha kita untuk melestarikan bentuk
asli dan mengurangkan penggunaan bentuk asing secara berwenang, dalam bahasa
negara kita. Dengan ini, kita hendaklah memastikan bahasa Melayu tidak terlalu
mudah, selain sangat banyak dipengaruhi bahasa asing, khususnya bahasa
Inggeris, walaupun dalam bidang yang paling remeh.
Penggunaan nama Kuala Lumpur Raya
juga berkait dengan soal nasionalisme. Dari sudut ini, nama bahasa Melayu
dipilih bukan kerana ia lebih baik daripada bahasa lain. Bahasa Melayu dipilih
kerana ia bahasa negara kita.
Sebagai bahasa negara, bahasa
Melayu adalah sangat istimewa dan unggul kepada kita semua sebagai warga negara
Malaysia. Dalam konteks nasionaliti Malaysia, nilai bahasa Melayu adalah
teramat mulia. Oleh itu, bahasa Melayu tidak boleh sekali-kali ditukar ganti
dengan mana-mana bahasa lain.
Sehubungan bahasa Melayu sebagai
bahasa negara ini, ia bukan saja bahagian penting dalam kebudayaan kebangsaan,
tetapi bahasa Melayu adalah jati diri nasional itu sendiri. Oleh itu, ia
hendaklah sentiasa wujud dalam bentuk aslinya pada kadar yang sebanyak mungkin.
Ini bukan saja boleh memupuk jati diri nasional, tetapi melestarikannya.
Dengan ini, menjadi tanggungjawab
rakyat jelata dan kewajipan nasional untuk golongan pemimpin, untuk mewariskan
bentuk bahasa Melayu asli kepada generasi muda. Ini penting bukan saja untuk
menghubungkan mereka, tetapi memberi pengenalan diri yang utuh sebagai etnik
Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya, pada zaman mendatang.
Kecuali untuk mendukung makna
kepakaran dan ikhtisas dalam bidang ilmu, wacana sosial harian kita hendaklah
disarati bentuk asli bahasa Melayu. Oleh itu, ungkapan angin ahmar, darah
tinggi dan kencing manis perlu dikekalkan penggunaannya dan tidak perlu pun
digantikan dengan strok, hipertensi dan diabetes daripada bahasa Inggeris.
Cetus kebanggaan
Secara unggulnya, martabat bahasa
Melayu perlu meliputi penggunaan bentuk aslinya pada setiap masa dalam apa-apa
juga bidang. Penggunaan sedemikian bukan saja mampu mengekalkan struktur bahasa
Melayu dari segi ciri dan sifatnya yang asli. Tetapi yang lebih penting ialah
kita megah menggunakan bentuk daripada bahasa kita sendiri.
Semangat sebegini bukan saja
boleh dikaitkan dengan kebanggaan, kecintaan dan kesetiaan terhadap bahasa
Melayu. Ia juga dapat menambahkan kimah (nilai) martabat bahasa Melayu selaku
bahasa negara.
Natijah yang ingin disampaikan
ialah kehilangan martabat sesebuah bahasa itu boleh berlaku apabila bahasa
berkenaan amat mudah, selain berleluasa pula, menggunakan bentuk asing,
walaupun sesuatu konsep dan entiti itu boleh dengan senang dan cepat ditemui
kata aslinya dalam bahasa sendiri.
Oleh itu, Kuala Lumpur Raya
adalah namanya. Ia dicipta melalui daya fikir kita sendiri. Yang penting ia
nama bahasa Melayu!
Penulis ialah Profesor
Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
Sumber : http
://www.bharian.com.my/