Rabu, 3 April 2013

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Institusi pendidikan mesti bijak manfaat ICT


Oleh : Mohamad Abdullah
 
Mantap daya saing hadapi cabaran globalisasi

Satu daripada cabaran institusi formal atau sukarela ialah bergerak seiring perubahan. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), misalnya berkembang amat pantas dan tidak ada yang dapat menghalang berlaku proses globalisasi yang memberi kesan besar kepada cara hidup, kaedah penyampaian, cara berkomunikasi, budaya dan nilai hidup manusia keseluruhan yang  mendapat kesan langsung atau tidak daripadanya.

Ini termasuk dalam proses pengaajaran dan pembelajaran formal atau tidak formal, malah juga pembelajaran kendiri. Hakikatnya tidak ada siapa pun yang harus menafikan keperluan ini, malah cuba hidup terasing daripada gelombang yang berlaku.

Sesebuah institusi menjadi tidak relevan, tertinggal atau terasing daripada arus kemajuan dan perkembangan jika mengabaikannya. Mereka yang bijak memanipulasi atau memanfaatkannya pula berada di hadapan walaupun ia mungkin hanya institusi kecil yang tidak mendapat perhatian.

Matlamat pendidikan

Jika tidak berhati-hati, ia boleh pula menyumbang kepada penyalahgunaan, lalu timbul keperluan perundangan lebih berkesan dan kaedah kawalan sesuai termasuk dalam memberikan pengiktirafan dan kemungkinan memalsukan dokumen seperti yang pernah berlaku di negara ini atau di seluruh dunia.

Ini penting apabila kita melihat matlamat pendidikan tinggi negara untuk “Memenuhi tuntutan negara bagi menyediakan sumber tenaga manusia mahir dan berkelayakan, sesuai dengan keperluan negara yang baru merdeka dan sedang membangun” seperti laporan jawatankuasa mengkaji semula hala tuju pengajian tinggi (2006) usaha meningkatkan keberkesanan prosesnya harus dilihat dengan teliti.

Apatah lagi jika melihat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan dengan jelas “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Idealisme ini perlu didukung proses pembelajaran yang lebih terbuka dan anjal tanpa perlu menubuhkan jawatankuasa khas mengkajinya. Semua pihak yang terbabit dengan proses penyampaian pengajian tinggi perlu meneliti dan merungkai bukan saja dasar institusi tetapi keupayaan individu yang sesetengahnya mungkin ketat serta rigid pemikirannya tanpa melihat impak yang diberikan selain mengeluarkan graduan yang berijazah saja.

Sesetengah dasar, peraturan, prosedur atau proses yang berlaku mungkin sudah lama berjalan tanpa sedar yang tentu dibuat dengan tujuan murni untuk mengawal selia bagi memastikan kualiti dan piawaian terkawal serta terpelihara. Namun, sesetengah proses dan cara pelaksanaannya boleh dilihat semula. Mungkin juga dasar dibuat dengan baik, tetapi proses dan kaedah penyampaian perlu penambahbaikan. Sesetengah mereka yang terbabit melihat peraturan yang ada dengan begitu ketat hingga terpaksa berdebat panjang dalam mencapai sesuatu keputusan

Tingkat kreativiti, inovasi

Semua ini harus dilihat dalam konteks keperluan meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam pengajian tinggi demi memastikan mereka yang lahir daripada sistem yang ada benar-benar menguasai ilmu dan memiliki keupayaan untuk memenuhi matlamat pendidikan tinggi dan falsafah yang ditetapkan.

Pengajian tinggi sebagai sebahagian daripada proses sosialisasi tidak harus dilihat terasing daripada kehidupan. Bagaimana misalnya internet dan teknologi komunikasi maklumat dapat dimanfaatkan dalam proses penyampaian ilmu secara terbuka tetapi terkawal. Apatah lagi dalam konteks kebebasan akademia dan menggalakkan pemikiran terbuka dan komunikasi yang berakauntabiliti dan bertanggungjawab.

Pengajian jarak jauh misalnya, perlu manfaatkan teknologi komunikasi dalam penyampaian ilmu yang tentu berbeza daripada pengajian sepenuh masa. Baik kursus yang ditawarkan mahu pun kaedah perbincangan bersemuka yang berbeza antara pensyarah dan pelajar perlu diteliti. Begitu juga bebanan dan cara kerja pensyarah serta pengajar juga perlu dilihat secara berbeza antara masa ini dengan sebelumnya.

Keanjalan masa, kursus, pembolehubah kaedah penilaian dan peraturan yang mengekang untuk seseorang mengikuti pengajian serta memperoleh ilmu, selaras dengan kepesatan keperluan guna tenaga termasuk dalam kalangan mereka yang bekerja dan mengikuti pengajian pada peringkat ijazah tinggi membantu mereka memperoleh ijazah dan ilmu pengetahuan yang diinginkan.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen