Oleh : Khairuddin Mohd. Zain
GUNAKANLAH apa sahaja
terminologi, penyatuan nasional, konsensus nasional, kesepakatan nasional - pokok pangkalnya rakyat sedang mengharapkan amalan dan
tingkah politik yang lebih positif, pasca PRU-13 yang lalu. Kepada penulis,
Perdana Menteri punya jiwa besar untuk menawarkan idea penyatuan nasional ini.
Menyusur sejarah, penulis
terjumpa ucapan lama Almarhum Tun Razak sewaktu merasmikan Majlis Perpaduan
Negara sekitar tahun 1971. Ucapan Tun Razak ini punya aura luar biasa. Terkesan
dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969, negara amat-amat memerlukan sifir
politik yang baru.
"Kejayaan
Majlis ini bergantung kepada keikhlasan hati dan kesediaan saudara-saudara
menyatakan pendapat secara jujur dan berterus terang dengan memandang
semata-mata untuk kepentingan dan faedah negara keseluruhannya. Hanya dengan mengadakan perbincangan dengan jujur dan memberi pandangan-pandangan
yang objektif, kita boleh memberikan makna penuh kepada Majlis Perpaduan Negara
ini."
Ada beberapa kata kunci dalam bait
ucapan Tun Razak ini. Keikhlasan, kesediaan, jujur, berterus terang,
kepentingan dan faedah negara - adalah antara yang dapat jelas dicerna.
Soalnya, rentak penyatuan nasional mesti ada sauh dan asasnya. Kepada penulis,
pendidikan adalah asas yang paling wajar dijadikan prioriti.
Kepentingan pendidikan di dalam
arus pembangunan negara ini jelas, apabila titah Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong sewaktu Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen
awal minggu lalu menyentuh perkara sama. Titah Tuanku, menggaris harapan agar
agenda transformasi pendidikan dapat dijayakan dengan sepenuhnya oleh kerajaan,
sejajar dengan niat dan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Mungkin di atas semangat yang
sama, antara soalan-soalan awal yang ditanya pada Sidang Parlimen 2013 adalah
berkenaan isu pendidikan. Soalan daripada Ahli Parlimen Lenggong (rujuk Hansard
Parlimen, 26 Jun 2013), Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (rujuk hansard
Parlimen, 27 Jun 2013) dan banyak lagi soalan berkait isu pendidikan.
Di Parlimen juga, idea dan
matlamat Sekolah Wawasan
dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen Langkawi. Garis masa transformasi
Tingkatan 6, dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas. Isu pendidikan dalam
kalangan kumpulan miskin bandar diangkat juga oleh Ahli Parlimen Setiawangsa.
Untuk berlaku adil, wakil rakyat Bukit Katil dan Pandan juga ada menyentuh isu
pendidikan.
Ternampak jelas, isu pendidikan
ini sudah meruntuh sempadan ideologi dan ego politik. Kebanyakan wakil rakyat
mahu ia ditangani dengan baik, sekali gus meletakkan mutu pendidikan Malaysia
di tahapnya yang terbaik.
Penulis melihat ini suatu ruang
yang sangat strategik
untuk dijadikan asas kepada penyatuan nasional. Mungkin, kalangan pihak
berkepentingan, seperti Majlis Profesor Negara, NGO berteraskan pendidikan
seperti Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) untuk menjemput kalangan
Ahli Parlimen mengadakan diskusi meja bulat yang ikhlas.
NGO Melayu yang berorientasi dan
berteraskan pendidikan tidak boleh bergerak dengan model lama. Konvensyen
dengan resolusi panjang berjela, akhirnya tinggal menjadi hebat di atas kertas
dan tidak diterjemah dalam bentuk pragmatisme dasar dan polisi.
Kalangan Ahli Parlimen wajar
dirapati, bagi mencambahkan idea mereka yang kadangkalanya punya asas dan wajar
dijayakan oleh kerajaan. Sebagai misal, Ahli Parlimen Limbang sewaktu
membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat
(4 Julai 2013), mempunyai idea yang sangat bernas dalam memastikan bidang sains
dan teknologi serta kejuruteraan diberikan tumpuan yang lebih bersungguh.
Cadangan ini ada akar kajian
akademiknya. Kajian yang dilakukan Direktorat Sains, Teknologi dan Industri
OECD, menggariskan beberapa kelemahan Malaysia dalam membangun ekonomi
berteraskan inovasi. Antara kelemahan ketara - kualiti sistem pendidikan,
kekurangan tenaga pakar dan kurangnya linkage antara penyelidikan awam dan
industri.
Isu ini perlu teliti secara jujur
dan strategik. Yang pasti, ia tidak lagi boleh berlegar di atas kertas resolusi
yang panjang berjela. Strateginya apa? Garis masa? Apa bidang tumpuan? Usaha
yang sedemikian besar, sudah memerlukan usaha rentas
kementerian dan bukan lagi di atas bahu
Kementerian Pendidikan semata-mata.
Dalam kajian OECD yang sama,
antara ancaman terbesar kepada Malaysia adalah kemajuan berganda negara Asia
lain dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan industri kreatif.
Penubuhan Singapore University of
Technology and Design (SUTD), dengan kerjasama Massachusetts Institute of
Technology (MIT) dan Zhejiang University diangkat oleh kajian OECD sebagai
model masa hadapan yang perlu dihambat oleh negara lain.
MIT institusi pendidikan ulung di
dunia. Zhejiang University berada dalam Liga C9 (C9 League - sembilan
universiti terhebat di China) dan berada kedudukan ketiga dalam Sina Ranking
tahun 2009. Kerjasama ini amat dipuji oleh kajian OECD.
Debat pendidikan kita, baik di
dalam media perdana mahupun alternatif, masih menjurus kepada soal keperluan
sekolah vernakular, pengwujudan semula sekolah aliran Inggeris dan sebagainya.
Negara lain, sudah mula jauh melangkah ke hadapan dengan model pendidikan nasional yang tidak boleh diperdebatkan.
Ada juga soalan di Parlimen yang
menjurus kepada usaha meliberalisasi bidang pendidikan secara total. Wakil
Rakyat Ayer Hitam ada bertanya tentang status pengiktirafan ijazah di 820 buah
universiti di Republik Rakyat China dan 157 buah universiti di Taiwan.
Itu belum lagi diambil kira
pendirian NGO pendidikan Cina, Jiao Zong, yang sama sekali menentang cadangan
penambahan masa mengajar Bahasa Malaysia daripada 180 kepada 270 minit seminggu
di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Penentangan seperti ini merencatkan
semangat pelan strategik
pendidikan yang dicadangkan oleh kerajaan.
Bila agaknya NGO Melayu
berteraskan pendidikan, mampu duduk semeja dengan Dong Zong, Jiao Zong, Hindu
Sangam dan sebagainya - dan mula berdialog sebagai bangsa
Malaysia sebenar dalam merencana isu pendidikan.
Pendidikan tidak boleh menjadi
permainan bersifat zero-sum.
Menang semua. Kalah semua. Jalan hadapan mestilah bersifat sederhana dan
mendahulukan fikrah dan ideal negara. Kerajaan, kementerian tidak wajar
ditekan-tekan dengan isu dan permasalahan sama.
Dialog dan pandang balas
sememangnya boleh dan dibenarkan. Namun, ia juga mesti ada had dan limitasinya.
Jika semua yang dicadang oleh kerajaan, walaupun setelah mendapat pandangan
umum, kemudiannya ditolak semula oleh swadaya pendidikan, kita tidak akan bergerak
ke mana.
Negara memerlukan kalangan NGO
berteras pendidikan yang mempunyai fokus, program yang baik, keterbukaan dalam
berdialog, akar hujah yang tuntas dan bersederhana dalam mempertahan pendirian
dan prinsip. Mengemukakan pandangan politik mungkin dibolehkan, namun perlulah
selektif.
NGO berteraskan pendidikan perlu
lari daripada imej membuat laporan
polis dan lebih fokus dalam usaha mempengaruhi polisi.
Hijrah ini rasanya tidak mudah,
ketika mana aktif atau tidaknya NGO diukur dengan berapa laporan polis yang
telah dibuat untuk tahun itu. Selagi polis mendahului polisi,
mungkin perjalanan kita jauh.
PENULIS ialah penganalisis
politik dan sosial.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/