Sabtu, 14 November 2009

FOKUS PRAPEPERIKSAAN SPM 2009

BM KERTAS 1:

1. Pelancongan Domestik / Pelancongan Kesihatan - kepentingan dan langkah.

2. Perpaduan kaum di Malaysia - kepentingan dan langkah.

3. Isu alam sekitar di Malaysia- tanah runtuh, hakisan tanah, banjir kilat, penebangan hutan secara tidak terkawal.

4. Isu kemelesetan ekonomi dunia - masalah pengangguran dan langkah mengatasi.

5. Memulihara warisan bangsa - bangunan bersejarah, permainan tradisional.

6. Kepentingan mempelajari bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan sebagainya - persaingan di pasaran pekerjaan.

7. Sistem pengangkutan - kelemahan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya, kepentingan pengangkutan moden, keperluan lebuh raya.

8. Amalan membaca – kepentingan dan cara-cara menggalakkan.

9. Kesan alat komunikasi - telefon bimbit, internet.

10. Pemanasan global- kerjasama antarabangsa untuk mengatasi masalah tersebut.

11. Kepentingan amalan menabung / pelaburan untuk masa depan.

12. Program Penghayatan Sastera - Faedah.

13. Aktiviti kokurikulum di sekolah - kepentingan dan langkah.

14. Isu warga tua / orang kurang upaya - punca dan langkah.

15. Program Motivasi / Kaunseling di sekolah – kepentingan.


BM KERTAS 2:

TEKS KOMSAS ( ANTOLOGI ANAK LAUT DAN KERUSI)

Cerpen (2b)
1. Lambaian Malar Hijau (Anak Laut)
2. Annyys Sophillea (Anak Laut)
3. Virus Zel Untuk Abah (Kerusi)

Drama (2b)
1. Serunai Malam (Anak Laut)
2, Jangan Bunuh Rama-Rama (Kerusi)

Prosa Klasik (2c)
1. Cerita Bayan… (Anak Laut)
2. Pertarungan Tuah Dengan Jebat (Anak Laut)
3. Asal Usul Raja Kecil (Kerusi)
4. Kisah Kepahlawanan Tun Beraim Bapa (Kerusi)

Sajak (2d)
1. Anak Laut (Anak Laut)
2. Jalan- Jalan Raya Kotaku (Anak Laut)
3. Derita Pertama (Anak Laut)
4. Duhai Pentafsir (Kerusi)
5. Di Ruang Gemanya (Kerusi)

Puisi Tradisional (2d)
1. Seloka Pak Kaduk (Anak Laut)
2. Syair Kelebihan Ilmu (Kerusi)
3. Pantun Enam Kerat (Kerusi)


KAJIAN NOVEL:

1. Teknik plot

2. Perbandingan peranan watak sampingan

3. Faedah mengkaji novel

4. Kaitan antara tajuk novel dengan isi cerita

5. Perbandingan latar masa


NOTA HUJUNG:

#Senarai isu dan topik yang dinyatakan hanya sebagai garis panduan dalam usaha penulis membantu pelajar untuk menghadapi peperiksaan.

#Penulis BUKAN panel penggubal yang membina soalan di Lembaga Peperiksaan Malaysia, justeru apa-apa yang dipaparkan di sini hanyalah berdasarkan analisis ISU dan TOPIK yang dibuat oleh penulis dan rakan-rakan guru BM.

#Bagi penulis, selagi anda belum memasuki dewan untuk menjawab kertas peperiksaan yang akan dijalankan pada hari RABU (18 NOVEMBER 2009), selagi itu masih ada ruang untuk anda membuat persiapan yang terbaik.

#Penulis mendoakan semoga anda BEROLEH KECEMERLANGAN dalam SPM yang bakal diduduki. Amin!

Sisa hidup usah berakhir di rumah kebajikan

Oleh Shaidah Shafie

Ikatan kekeluargaan semakin rapuh punca ramai anak abai, lepas tanggungjawab terhadap ibu bapa

MENJELANG 2035, Malaysia akan menjadi 'negara tua' kerana ketika itu, mengikut perkiraan statistik Jabatan Perangkaan, dijangka 15 peratus penduduk negara ini adalah warga tua atau disebut juga warga emas.

Ini bermakna dalam masa 25 tahun lagi, sebahagian besar penduduk negara ini merangkumi warga emas berusia lebih 60 tahun dan dijangka wanita mengatasi lelaki berikutan jangka hayat wanita yang mencapai 76 tahun berbanding lelaki, 72 tahun.

Perhimpunan mengenai usia tua di Vienna, Austria beberapa tahun lalu, mendefinisikan warga tua sebagai mereka yang berusia lebih 60 tahun. Justeru, berpandukan kepada garis panduan itu, perangkaan sama dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan Malaysia kini mempunyai tujuh peratus warga tua dan menjelang 2020, jumlah itu akan meningkat kepada 10 peratus.

Peningkatan jumlah warga emas akan menimbulkan pelbagai masalah, termasuk penyakit yang dikaitkan dengan usia tua, pertambahan bilangan individu yang tidak berumah atau lebih memburukkan keadaan, ada ibu bapa yang dinafikan hak mereka oleh anak sendiri seperti berlaku ketika ini.

Ada pelbagai keadaan membuatkan warga tua terpaksa menjalani kehidupan sengsara pada usia senja sedangkan hakikatnya, mereka ketika itu wajar menjalani kehidupan yang membahagiakan di samping insan tersayang, terutama anak atau pasangan masing-masing. Agak menyedihkan apabila ada yang terpaksa menghabiskan sisa hidup menumpang kasih di rumah kebajikan khusus menempatkan warga tua seperti Rumah Sri Kenangan (RSK) atau Rumah Ehsan.

Sehubungan itu, perlu ada satu mekanisme khusus bagi mencari cara terbaik menangani isu peningkatan warga tua supaya hari tua dapat dinikmati dengan selesa, selain mengurangkan beban kerajaan menanggung kos rawatan yang dijangka meningkat dua kali ganda ketika itu.

Selain itu, perancangan juga perlu mengambil kira aspek ekonomi dengan memastikan warga tua dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam arus pembangunan negara berikutan peningkatan jumlah golongan berkenaan nanti.

Berdasarkan statistik dikeluarkan pada 2005, kemasukan penghuni rumah kebajikan warga tua di RSK yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) ialah 1,664, namun bagi 2009 jumlah warga tua ditempatkan di 10 RSK di seluruh negara sehingga September lalu mencecah 2,249. Peningkatan hampir dua kali ganda itu amat membimbangkan, jika diambil kira jumlah warga tua yang dijangka akan bertambah sekali ganda dalam masa 10 tahun akan datang.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM, Mohd Fazari Mohd Salleh, berkata perubahan struktur masyarakat ketika ini dikatakan antara punca menyebabkan timbul pelbagai masalah membabitkan warga tua nanti.

"Bentuk keluarga yang wujud di Malaysia kini ialah keluarga nukleus, iaitu keluarga yang dianggotai ibu, bapa dan anak. Berbanding 20 tahun lalu, bentuk keluarga yang ada ialah keluarga besar dianggotai ramai ahli keluarga seperti ibu, bapa, anak, datuk dan nenek, malah sikap saling mengambil tahu juga wujud ketika itu.

"Corak keluarga nukleus itulah menyebabkan ramai warga tua mengalami kehidupan yang sunyi tanpa anak di sisi atas alasan tertentu seperti keluarga bekerja dan pendapatan rendah sehingga terpaksa menghantar ibu bapa ke rumah penjagaan warga tua," katanya ketika ditemui di JKM, baru-baru ini.

Selain itu, penghijrahan generasi muda dari kampung ke bandar bagi mencari rezeki juga dikenal pasti antara punca masalah warga tua meningkat apabila kini hanya generasi berusia menghuni kawasan luar bandar.

Sehingga kini ada sembilan RSK dan dua Rumah Ehsan di seluruh negara untuk warga tua berlindung sementara hayat masih ada. RSK adalah kediaman yang dikhaskan untuk warga tua yang masih berupaya berjalan dan menguruskan diri dengan bantuan petugas, manakala Rumah Ehsan adalah untuk warga tua yang terlantar dan tidak mampu berbuat apa-apa hatta menguruskan diri sendiri.

Kebanyakan pakar sosiologi berpendapat, keruntuhan institusi kekeluargaan antara punca anak enggan bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka. Antaranya, kesibukan bekerja dan kehadiran pembantu rumah asing menggantikan peranan ibu dikenal pasti sebagai punca hubungan antara keluarga tidak begitu rapat.

Ibu bapa yang memberi sepenuh perhatian terhadap anak dan keluarga tentu akan mendapat balasan setimpal apabila anak dewasa nanti, tetapi sebaliknya jika ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan sendiri akan menyebabkan anak rasa terpinggir sehingga tiada rasa kasih atau tanggungjawab terhadap mereka nanti.

Akhirnya, anak tidak akan rasa bersalah untuk menghantar ibu bapa yang sudah tua dan tidak mempunyai upaya untuk menguruskan diri sendiri ke rumah kebajikan. Sehubungan itu, fungsi institusi kekeluargaan yang semakin rapuh hari ini perlu dikembalikan supaya setiap ahli keluarga dapat menjalankan tanggungjawab sewajarnya.

Mohd Fazari berkata, jika masalah itu dapat diatasi, jumlah warga tua yang terpaksa menghabiskan usia tua di rumah kebajikan dapat dikurangkan.

"JKM seboleh-boleh tidak menggalakkan anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah perlindungan kerana rumah perlindungan adalah ikhtiar terakhir, tetapi JKM tetap bersedia menerima mereka sekiranya tiada jalan penyelesaian.

"Begitupun, JKM tetap menjalankan tanggungjawab seperti memberi penjagaan kepada warga tua. Apa yang ditekankan kini ialah pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti untuk sama-sama gembleng tenaga bagi mengatasi masalah warga tua," katanya.

Antara yang dilakukan ialah menggalakkan NGO atau individu mengendalikan pusat penjagaan atau perlindungan warga tua kerana keadaan berkenaan dilihat mampu mengecilkan jurang antara warga tua dan generasi muda.

Pusat berkenaan juga tidak hanya menumpukan kepada penjagaan semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai tempat riadah sihat untuk warga tua menjalani kehidupan sosial dengan lebih bermutu bersama individu sebaya atau mungkin berkongsi minat pada sesuatu masa.

Dalam erti kata lain, JKM bertanggungjawab memastikan rumah seperti RSK berfungsi sebagai pusat perlindungan warga tua, tetapi pada masa sama apabila ada komitmen daripada NGO mahupun orang perseorangan, keadaan akan menjadi lebih baik kerana sikap prihatin masyarakat terhadap warga tua.

Beliau berkata, bagi menggalakkan pembabitan NGO dalam isu perlindungan warga tua, kerajaan menyediakan dana khas bagi menjalankan pelbagai aktiviti di pusat penjagaan.

"JKM juga memperuntukkan dana pada jumlah tertentu bagi menggalakkan NGO dan orang perseorangan mengadakan pusat penjagaan warga tua, tetapi mereka juga hendaklah berusaha mencari dana lain bagi menguruskan warga tua ini.

"Melalui komitmen inilah mungkin anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah penjagaan warga tua boleh membantu meringankan beban pusat penjagaan. Sama ada menjenguk orang tua mereka sekerap mungkin atau memberi bantuan lain, ia wajar dilakukan," katanya.

Hari warga tua yang diraikan setiap tahun, mengenal pasti keperluan golongan berkenaan dengan memastikan pelbagai isu membabitkan kehidupan bermutu dapat diketengahkan.

Sumber : http:// www.bharian.com.my/