Rabu, 8 Februari 2012
ISU BAHASA : Bahasa celupar yang memisahkan
NORDEN MOHAMED
Akhir-akhir ini kita biasa terbaca, mendengar atau berdepan dengan orang yang berbahasa celupar. Orang sekarang kata, bercakap lepas. Malah orang bercakap lepas juga dikenali sebagai orang berlidah laser ini sudah menjadi suatu sikap yang boleh diterima.
Memanglah bahasa yang celupar, kasar atau kesat ini menyakitkan hati. Namun, mereka yang berbahasa kasar dan kesat ini semakin ramai kita dapati jika kita menelusuri Facebook, Twitter, forum, blog, ataupun komen-komen mereka di laman berita dalam talian. Patah perkataan yang dipilih boleh membuat darah kita mendidih dan otak kita menggelegak.
Apa nak jadi dengan masyarakat kita hari ini? Kalau mereka bercakap dengan nada kasar, kesat dan marah-marah, tentu orang yang mendengar atau membacanya boleh tutup telinga atau pejam mata. Komunikasi yang celupar ini terjadi antara ibu bapa dan anak; ketua dan anak buah; pemimpin dan pengikut serta penguasa dan rakyat.
Pihak yang dikuasai, berkomunikasi dengan bahasa yang kasar dan kesat hingga membuatkan pihak yang berkuasa rimas lalu tidak mahu melayan apa sahaja desakan mereka yang dikuasai. Sekali pandang, kita berasa seolah-olah mereka yang berbahasa kasar dan kesat ini bagai orang yang tidak sayang mulut. Dan pihak yang berkuasa pula berperangai sombong pula.
Saya suka untuk melihat mereka yang berbahasa celupar ini sebagai golongan yang kurang perbendaharaan kata. Oleh kerana kurangnya perbendaharaan kata yang terkumpul di minda mereka, hanya perkataan yang kasar sahaja yang diucapkan. Hinggakan kita rasa bahasa kesat itu seolah-olah mencerminkan peribadi mereka.
Saya cenderung untuk mengatakan mereka kurang perbendaharaan kata kerana kurang bergaul dan juga kurang membaca. Kurang bergaul dalam erti kata, bergaul dan menyelami adab bertutur tutur kata golongan profesional, ilmuwan, sasterawan, bangsawan dan pelbagai golongan selain daripada kelompok mereka.
Pergaulan yang luas boleh mempelbagai pemilihan kata agar mampu menggunakan istilah yang lebih halus. Kurangnya membaca juga khususnya bahasa akhbar, bahasa buku, jurnal ataupun laporan menjadikan bahasa mereka ini lebih kasar dan tidak tersusun.
Kerana kurang bergaul dan membaca, mereka hanya punyai perasaan yang ekstrim. Mereka hanya tahu perasaan cinta atau benci serta gembira atau duka. Segala istilah di antara suka atau benci dan gembira atau duka itu tiada di dalam perbendaharaan kata mereka.
Seseorang yang cinta akan seorang gadis itu sebenarnya bukan sahaja suka, tetapi bahagia, sayang, seronok, kasih, kasihan atau prihatin pada seseorang itu. Seseorang yang benci pula sebenarnya mungkin iri hati, cemburu, meluat atau rimas. Seseorang yang gembira pula sebenarnya mungkin riang, ria dan teruja. Dan tentu sekali orang yang berduka itu, mungkin muram, susah hati, merana atau kecewa.
Malangnya, mereka yang berkuasa seperti ibu bapa, ketua, pemimpin dan penguasa iaitu mereka yang kaya dengan perbendaharaan kata pun, terlupa akan realiti ini. Mereka menganggap pihak yang dikuasai ini, oleh kerana kurang perbendaharaan kata adalah golongan yang kurang ajar dan tidak perlu dipandang dengan sebelah mata pun.
Oleh kerana dunia komunikasi hari ini sudah begitu terbuka sekali, maka golongan yang bijak pandai tidak boleh lagi mengetepikan golongan yang dilihat sebagai mereka yang punyai bahasa yang kesat ini. Dengarlah isi hati mereka ini, bukan luahan kata.
Jangan baca apa yang tertulis, tetapi apa yang tersirat kerana di situ ada rintihan dan raungan yang ingin diperdengarkan.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)