Khamis, 30 April 2009

HARI MEMPERLIHATKAN KUALITI, KECEMERLANGAN


SABAN tahun, 1 Mei disambut sebagai Hari Pekerja, dan hari tersebut menjadi cuti umum kepada rakyat di negara ini. Kebiasaannya hari ini berlalu dengan tiada apa-apa yang istimewa atau kegiatan yang memperlihatkan kehebatan seorang pekerja melainkan ia diisi dengan bersiar-siar, membeli-belah, balik kampung atau apa-apa amalan yang lebih bersifat kekeluargaan atau kemasyarakatan.

Sebenarnya alam kehidupan seorang pekerja adalah alam yang sangat penting kerana ia membentuk sikap, tanggapan terhadap kehidupan, dan juga budaya hidup seseorang. Lebih-lebih lagi dalam persaingan hidup masa kini, budaya kerja yang sihat dengan mutu pengeluaran yang tinggi sangat dituntut dalam setiap pekerjaan yang diceburi.

Mungkin 1 Mei adalah antara hari yang terbaik untuk kita menilai kembali sejauh mana kebaikan dan kecemerlangan yang telah kita capai. Kecemerlangan dan kebaikan boleh dirujuk sebagai sejumlah sifat-sifat atau ciri-ciri yang unggul. Di mana kebaikan boleh ditakrifkan sebagai ciri kesempurnaan, dan kecemerlangan pula boleh difahami sebagai tahap yang tertinggi bagi suatu kebaikan.

Juga harus difahami bahawa kebaikan dan kecemerlangan tidak hanya terletak kepada keupayaan pengurusan yang baik, tetapi ia lebih banyak bergantung kepada unsur kemanusiaan dan sikap manusia itu sendiri terhadap pekerjaannya.

Kita sedia maklum bahawa manusia merupakan sejenis makhluk yang memiliki jiwa, perasaan, fitrah dan akal yang cukup istimewa. Untuk meningkatkan daya pengeluaran atau hasil pekerjaan yang baik, manusia tidak boleh diperlakukan seperti kuda atau lembu.

Begitu juga kecemerlangan dan kebaikan mutu kerja yang terbaik tidak akan terhasil jika sistem bekerja 'seperti pahat dengan penukul' diamalkan, kerana pahat (pekerja) tidak akan senang dengan kerjanya apabila dipukul bertalu-talu oleh penukul yang boleh diibaratkan sebagai majikan.

Apa yang pasti ialah kerja yang baik dan cemerlang lebih banyak ditentukan oleh sikap seseorang terhadap pekerjaannya. Oleh itu manusia memerlukan dorongan yang secukupnya untuk melaksanakan kerjanya dengan rela hati yang seterusnya dapat melahirkan hasil kerja yang baik.

Ada pihak yang beranggapan dorongan untuk bekerja akan terhasil apabila adanya ganjaran-ganjaran atau tawaran-tawaran yang menarik pada sesuatu pekerjaan. Memang perkara ini tidak dapat dinafikan kerana manusia sememangnya cenderung kepada ganjaran. Namun begitu harus diingat bahawa ganjaran-ganjaran yang dilihat menarik itu akan menjadi perkara biasa sahaja setelah masa berlalu dan akan hilang daya tarikannya.

Yang paling penting ialah dorongan yang seharusnya ditimbulkan dalam diri manusia itu sendiri terhadap pekerjaannya dengan memanfaatkan dorongan-dorongan yang terdapat dalam agama dan juga segala nilai yang ada dalam amalan budayanya.

Kerana itulah kita mendapati ada kajian yang mengatakan negara-negara di sebelah rantau Timur ini berupaya untuk memajukan perindustriannya kerana adanya dorongan-dorongan agama yang terdapat di Timur seperti Buddhisme dan Konfusianisme. Tidak ketinggalan juga negara-negara Barat yang berusaha untuk menerapkan kerja Kristian dalam pengurusan dan budaya kerjanya.

Apa yang pasti ialah agama dilihat sebagai unsur yang sangat berperanan dalam mendorong manusia untuk memajukan kehidupannya.

Dalam hal ini umat Islam dilihat mampu untuk mencipta budaya kerja yang sangat baik dan cemerlang sekiranya mereka berupaya memanfaatkan semangat dan nilai unggul agamanya dengan menyalurkannya ke dalam budaya kerja mereka.

Ini adalah kerana semangat kecemerlangan memang cukup terserlah dalam segala ajaran Islam. Allah menyifatkan manusia sebagai makhluk yang tinggi (ahsani taqwim - ciptaan terbaik); sementara umat Islam pula diangkat martabatnya sebagai khayran ummah - umat terbaik; sementara orang mukmin yang paling berjaya dan mulia di sisi Tuhannya ialah yang paling tinggi takwanya (atqakum).

Bahkan jika diteliti erti hidup dan mati seorang Muslim seperti yang diunggapkan oleh al-Quran adalah berasaskan kepada dan kecemerlangan amal - ayyukum ahsanu amala. Maka dengan itu manusia yang bergelar seorang Muslim yang mengerti hakikat serta tujuan hidup dan mati tentunya akan bekerja keras agar hidup dan matinya cemerlang dan baik.

Inilah antara dorongan ajaran Islam yang selamanya menjurus kepada pembinaan umat yang sentiasa memiliki daya saing yang cukup tinggi yang seterusnya menjana kecemerlangan dan kebaikan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Jelasnya, seorang Muslim memperolehi dorongan kecemerlangan terhadap pekerjaannya dengan memanfaatkan dorongan-dorongan yang terdapat dalam agamanya kerana agama Islam meletakkan pekerjaan sebagai suatu yang sangat bernilai dan penting. Dengan keyakinan bahawa segala usahanya akan dinilai dengan diberi ganjaran pahala oleh Tuhannya, maka seorang Muslim akan menghargai dan mencintai kerja dan pekerjaannya.

Hal ini pastinya berbeza dengan pandangan yang meletakkan dorongan kecemerlangan sepenuhnya dikaitkan dengan pengiktirafan daripada pihak majikan, mahupun gaji yang lumayan. Harus difahami bahawa tidak mungkin semua kerja yang dilakukan akan mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada pihak majikan, kerana pengiktirafan manusia itu tidak selalunya adil dan tepat.

Dalam hubungan inilah perlunya dorongan keagamaan yang berupa harapan bahawa amal dan kerja yang tidak dinilai oleh manusia akan tetap dinilai oleh Allah dengan adil dan saksama.

Bagi seorang Muslim, kejayaan dan kecemerlangan sebenar ialah apabila pekerjaan dan amalnya diredai oleh Tuhannya. Dengan itu, amal dan kerjanya haruslah memenuhi akhlak yang telah digariskan oleh agamanya di samping memenuhi peraturan akhlak yang digariskan oleh majikannya.

PENULIS ialah Felo Pusat Sains & Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia

PROGRAM PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU CEMERLANG DAERAH KUANTAN 2009



Program Peningkatan profesionalisme Guru Cemerlang Daerah Kuantan 2009, anjuran bersama Majlis Guru Cemerlang Daerah Kuantan dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan telah diadakan di Hotel Cititel Express, Kuala Lumpur pada 28 - 30 April 2009. Program ini dihadiri oleh seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru cemerlang lama dan yang baru dilantik pada tahun 2008.Antara objektif program ini adalah untuk membentuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan guru cemerlang di Daerah Kuantan dan memberi kefahaman akan tanggungjawab serta peranan guru cemerlang dalam memartabatkan pendidikan.

Di sepanjang program berkenaan, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian yang disampaikan oleh penceramah yang berwibawa. Program tersebut dimulakan dengan Majlis Suai Mesra yang dikendaikan oleh Kaunselor Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Encik Badaruddin bin Shukur. Program diteruskan dengan pengisian kedua yang merupakan pendedahan tentang Terma Tugas Guru Cemerlang oleh Guru Cemerlang Gred Khas C, Datin Mariam binti Mehad. Antaranya, beliau telah menekankan bidang tugas yang sepatutnya menjadi Sasaran Kerja Tahunan guru cemerlang. Selanjutnya, pengisian ketiga bertajuk SKPM 9 dan Tanggungjawab Guru Cemerlang telah disampaikan oleh Encik Januddin bin Jamrin, wakil daripada Jemaah Nazir Negeri Pahang. Sesi diteruskan pada sebelah malam dengan Mesyuarat Agung Majlis Guru Cemerlang Daerah Kuantan yang menyaksikan pelantikan ahli-ahli jawatankuasa yang baharu. Dalam mesyuarat tersebut, Encik Mohd Nazeri Abd Rahman terpilih sebagai Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Daerah Kuantan Sesi 2009-2010. Syabas atas pelantikan tersebut.

Sesi pada hari ketiga dimulakan dengan perkongsian oleh dua orang guru cemerlang yang telah memenangi Anugerah Inovasi peringkat negeri Pahang dan di peringkat kebangsaan. Encik Lan Foo Huat, selaku pembentang pertama telah membentangkan hasil inovasinya yang bertajuk "Powergraph". Tuan Syed Adnan Syed Alwi pula berkongsi pengalaman beliau membimbing pelajar dalam menghasilkan rekacipta bertajuk ROSPIN (Rostrum Pitar) sehingga berjaya merangkul Anugerah Inovasi di peringkat kebangsaan.

Sesi diteruskan dengan pembentangan Amanat PPD Kepada Guru Cemerlang yang disampaikan oleh Encik Che Zainun Bin Shafie, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan. Beliau menggariskan 12 perkara yang sepatutnya dilaksanakan oleh guru-guru cemerlang di sekolah iaitu:

i.Menghasilkan dan melaksanakan Rancangan Pelajaran Tahunan.
ii.Merancang kecukupan latihan setahun.
iii.Melibatkan diri secara aktif dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Daerah khusus bagi mata pelajaran kepakaran.
iv.Menjadi guru pembimbing(mentor) bagi mata pelajaran kepakaran di sekolah.
v.Mewujudkan kumpulan pelapis.
vi.Menghasilkan bahan bantu mengajar yang dapat dikongsi oleh semua guru di peringkat daerah.
vii.Mewujudkan media komunikasi yang berkesan( penggunaan E-Group Yahoo) untuk kumpulan guru cemerlang.
viii.Memiliki dokumentasi pencapaian yang lengkap bagi setiap ujian dan peperiksan.
ix.Menghasilkan perancangan strategik guru cemerlang.
x. Mewujudkan GC Task Force untuk khidmat bantu bagi sekolah-sekolah berprestasi rendah.
xi.Menghasilkan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran.
xii.Mewujudkan Pusat kepakaran Akademik PPD Kuantan ( sebuah sekolah satu kepakaran).

Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan, Encik Rosli Bin Abdul Rahman.

Sesungguhnya, Program Peningkatan Profesionalisme Guru Cemerlang 2009 ini amat bermanfaat terutama dalam kerangka untuk melahirkan guru-guru cemerlang yang komited dan bertanggungjawab dalam memartabatkan pendidikan negara.

Isnin, 27 April 2009

GUBAL PENDIDIKAN PERPADUAN


Oleh ANUAR AHMAD

Malaysia, kata banyak sarjana pendidikan merupakan makmal yang paling sempurna untuk mengkaji tentang perpaduan. Pandangan ini ada benarnya kerana populasi dalam negara ini yang memberikan satu landskap demografi kaum yang sangat unik.

Orang Melayu sebagai kumpulan utama hanyalah sekitar 55 peratus sahaja jumlahnya, tidak termasuk kumpulan bumiputera yang lain manakala bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dan India mencapai sekitar 40 peratus. Dengan kata lain majoriti mutlak tidak pernah wujud di negara ini khasnya di kalangan orang Melayu.

Maka itu memiliki perpaduan bukanlah satu anugerah tetapi harus dicari, dibina, diurus dan dikawal dengan baik agar kestabilan dan keharmonian dapat dicapai. Bagi tujuan itu, peranan pendidikan merupakan satu-satu komponen yang sangat penting, berkesan dan ampuh untuk memulakan perpaduan di negara ini.

Sejak zaman berzaman asas utama kepada tujuan pendidikan adalah untuk membina sebuah masyarakat. Maka itu masyarakat bersetuju supaya setiap ahlinya disosialisasi dengan nilai, resam dan norma positif kehidupan bersesuaian dengan amalan masyarakat tersebut.

Hanya selepas revolusi perindustrian di Eropah pada abad yang ke-17, tujuan pendidikan dikembangkan untuk perkara yang lebih materialisme, individualisme dan berteraskan ekonomi. Maka pendidikan mulai berubah daripada asas-asas humanisme kepada kehendak pragmatisme.

Perubahan tujuan pendidikan ini kemudian mulai mengaburi tujuan asal pendidikan untuk pembinaan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Maka ini ramai pemikir pendidikan sejak lama dahulu menimbulkan kerisauan mereka jika sesebuah masyarakat gagal memahami dan mengimbangi antara humanisme dan pragmatisme maka tujuan pendidikan yang syumul akan lama-kelamaan akan lenyap dan cair.

Dipercayai juga bahawa sebagaimana hebat kualiti pendidikan untuk pembangunan material tetapi apabila kurang penekanan diberikan kepada pembangunan masyarakat, pada akhirnya masyarakat tersebut akan hilang upaya sosial dan akhirnya akan lemah dan lumpuh keseluruhannya.

Tanda-tanda kelumpuhan pendidikan untuk pembangunan masyarakat banyak sekali di sekeliling kita pada hari ini. Sekadar menyebut beberapa contoh, kegagalan pendidikan Islam menerapkan ketakwaan yang tinggi kepada para pelajar menyebabkan bukan sedikit pelajar beragama Islam hilang moral Muslimnya.

Kisah pembuangan bayi menjadi semakin menyayat hati. Jika dahulu bayi ditinggalkan di surau dan masjid dengan selimut buat pemanas badan bayi, tetapi kini bayi dibuang di tepi jalan dan di dalam tong tong sampah, ada yang dibuang di longkang-longkang hingga menjadi makanan gagak liar. Malah ada yang dibuang di tengah jalan raya hingga menjadi mangsa tayar kereta yang tidak mengenal mangsa.

Seperkara yang paling utama dalam transformasi pendidikan untuk tujuan membina perpaduan negara, suka tidak suka, kita kena juga akui bahawa kita sedang menghadapi masalah perpaduan kaum dalam negara ini.

Masalah ini pula tidaklah begitu menonjol dalam bentuk konflik fizikal tetapi lebih kepada soal persepsi. Maka rasa prejudis dan saling mencurigai mula membina, desakan-desakan kumpulan etnik mula kedengaran.

Bagaimanapun di negara ini perpaduan masih terkawal dan belum menggugat kestabilan akar umbi masyarakat kerana pergolakan perpaduan kaum lebih terjurus kepada 'perangai' serampang dua mata ahli politik tertentu untuk meningkatkan populariti mereka dan juga cuba mengaut keuntungan melalui desakan supaya kaum yang diwakilinya mendapat lebih banyak habuan melebihi daripada apa yang telah dipersetujui oleh masyarakat umum negara ini.

Oleh itu, kedengaranlah desakan seperti penelitian semula pengagihan konsep Dasar Ekonomi Baru (DEB), menghapuskan ketuanan Melayu dan menyamakan agama Islam selaku agama rasmi dengan agama lain sejak setahun yang lalu.

Terbaru, desakan supaya dimasukkan peranan dan sumbangan kumpulan minoriti di dalam mata pelajaran Sejarah negara dan 'membuang' sebahagian sejarah perjuangan orang Melayu sebagai tanda mengimbangi bahawa negara ini milik bersama.

Semua ini nampaknya menuntut satu penelitian semula secara menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang semakin hari sudah hilang upaya untuk membina jati diri.

Terdapat dua faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam menguruskan perpaduan negara. Pertama, sindrom mencari populariti politik yang semakin ketara, kebebasan media, tekanan gerakan masyarakat sivil dan persaingan ekonomi akibat globalisasi.

Jika dahulu soal perpaduan hanya berlegar sekitar soal agihan kuasa politik dan ekonomi, kini perpaduan membentuk spektrum baru dan memerlukan kemahiran baru di pihak kerajaan untuk menguruskannya.

Sebagai contoh, dulu jika sesuatu isu yang berkaitan orang Cina, orang Melayu dan India jarang sekali campur tangan dengan alasan biarlah kaum Cina sendiri menyelesaikan masalah mereka. Hal yang sama juga apabila jika kaum India berhadapan dengan keputusan kerajaan yang mereka tidak suka, orang Melayu dan Cina tidak begitu 'terangsang' untuk menyertainya.

Kini suasana sudah berubah, jika sesuatu isu melanda kaum India, maka sudah ramai orang Melayu dan Cina yang akan memberikan sokongan bukan atas sebab untuk perpaduan tetapi lebih mendapatkan sokongan politik semata-mata.

Oleh itu secara mudah dapat difahami bahawa isu kaum tidak lagi bersifat etnosentrik tetapi isu kaum sudah menjadi kompleks dan lebih sukar diuruskan berbanding dahulu.

Kedua, pengaruh perbandaran dan modenisasi akan menjadikan masyarakat Malaysia tidak lagi dominan dalam zon etnik mereka sahaja tetapi kini mula cair dan berbaur dengan etnik lain.

Sebagai contoh jika dahulu orang Melayu di kampung, orang Cina di bandar dan orang India di ladang, kini dijangka pada tahun 2020 jumlah populasi yang akan tinggal di bandar akan mencecah 70 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Dengan erti kata lain perbauran antara kaum akan menjadi satu gambaran biasa dalam masyarakat Malaysia sangat berbeza berbanding 50 tahun lalu.

Oleh demikian, pendidikan untuk perpaduan perlu dikaji dan dirancang semula secara teliti khasnya untuk mendidik anak-anak Malaysia pasca merdeka memahami konsep dan peri penting perpaduan diamalkan dalam kehidupan mereka.

Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) nampaknya gagal mencapai matlamat secara menyeluruh perpaduan etnik di negara ini. Begitu juga dengan pengajaran mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Kewarganegaraan yang agak longgar membina hubungan etnik seperti yang diharapkan.

Aktiviti ko-kurikulum juga nampak tidak menonjolkan keupayaan perpaduan di kalangan pelajar. Beberapa kajian berkaitan hubungan etnik di institusi pengajian tinggi IPT menunjukkan bahawa pelajar lepasan sekolah jelas tidak mempunyai tahap perpaduan yang memuaskan apabila mereka meninggalkan bangku sekolah.

Dengan itu, satu kursus Modul Hubungan Etnik telah diperkenalkan di IPT supaya pelajar dapat meningkatkan keupayaan perpaduan apabila telah menjadi graduan. Tinggal lagi pelaksanaan kursus ini nampaknya tidak pula memanfaatkan sepenuhnya pendekatan yang dapat membina perpaduan di kalangan pelajar IPT.

Sepatutnya tiga perkara paling asas dalam pendidikan untuk perpaduan dilaksanakan. Pertama, pengetahuan fakta sejarah negara secara jelas dan mendalam, kedua kemahiran kewarganegaraan seperti memiliki kemahiran dan keupayaan tingkah laku menghormati dan bertolak ansur.

Ketiganya, mendidik nilai-nilai positif yang dapat menimbulkan rasa benci kepada perlakuan atau tindakan individu atau kumpulan yang menggunakan perkauman bagi tujuan meraih sokongan, populariti dan juga atas kepentingan peribadi.

Bagaimanapun, penelitian terhadap kursus hubungan etnik di universiti nampaknya hanya cenderung untuk menambahkan pengetahuan sejarah semata-mata tetapi mengabaikan aspek kemahiran kewarganegaraan serta penerapan nilai positif terhadap perpaduan.

Sebenarnya semua pelajar yang memasuki IPT telah melalui pembelajaran sejarah negara sejak tingkatan satu hinggalah tingkatan lima. Mereka bukan sahaja diajar tetapi juga telah dinilai dalam peperiksaan.

Seharusnya modul hubungan etnik di IPT lebih menjurus kepada aspek pembinaan kewarganegaraan dan juga pengukuhan nilai positif perpaduan.

Misalnya separuh bahagian pelaksanaan kursus ini diberikan melalui pengajaran dalam kuliah manakala separuh lagi melalui pengalaman secara hands on kepada pelajar melalui projek khidmat masyarakat, penyelidikan tindakan, aktiviti pembelajaran penyelesaian masalah dan juga melalui penyertaan dalam program dan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.

Walaupun banyak faktor luar pendidikan yang sedikit sebanyak akan mengganggu pelaksanaan pendidikan untuk perpaduan seperti pengaruh politik kaum, sejarah etnik 'yang tidak selari dengan sejarah kebangsaan', fokus yang keterlaluan kepada peperiksaan, kaedah pengajaran yang tidak berkesan dan sebagainya, sekurang-kurangnya dengan melalui satu sistem pendidikan untuk perpaduan yang lebih teratur dan selaras, para pelajar akan mempunyai common memory berkaitan sejarah kenegaraan kita.

Apa yang lebih penting melalui pendidikan untuk perpaduan ini, kita bukan sahaja berharap wujudkan perpaduan yang sebenar tetapi lebih jauh dan penting ialah pada akhirnya gagasan 'Satu Malaysia' akan menjadi kenyataan.

Tentu memberikan pandangan dan cadangan lebih mudah daripada merealisasikannya. Oleh itu pihak Kementerian Pelajaran dan juga Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya mula menggerakkan perbincangan akademik, merangka kembali struktur kurikulum serta memastikan unsur penilaian dijalankan bagi memastikan wujud atau tidak penambahbaikan perpaduan kepada para pelajar.

Masanya sangat sesuai sekarang untuk pihak kementerian memulakan langkah membina pendidikan untuk perpaduan masyarakat.

Anuar Ahmad ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 10)


BAGAI MELUKUT DI TEPI GANTANG

Peribahasa ini bermaksud seseorang yang tidak mempunyai sebarang pengaruh atau kedudukan dalam masyarakat. Kehadiran mereka dalam sesebuah kumpulan tidak dirasakan oleh orang lain dan tidak membawa sebarang erti.

Melukut ialah benda halus yang terhasil dari sekam padi setelah ditumbuk dan ditampi bagi diasingkan daripada beras. Oleh sebab itu, sekiranya tercampur dalam segantang beras, melukut akan dibuang juga apabila beras hendak ditanak. Nilai melukut atau ’antah’ ini memang tidak sama dengan beras. Jika berguna sekalipun melukut hanya sesuai untuk makanan ayam sahaja.

Dalam erti kata lain, melukut memang tidak bernilai sehinggakan kalau diisi di dalam gantang pun tidak bermakna beras bertambah, kalau dibuang pun, beras tidak berkurangan. Demikianlah halnya kehidupan seseorang yang tidak berpengaruh atau berkedudukan dalam masyarakat.

Dalam kehidupan masyarakat di negara kita, tidak dapat disangkal lagi, sememangnya terdapat perbezaan apabila seseorang itu berkedudukan, berilmu dan berharta. Mereka yang memiliki sifat-sifat ini biasanya mempunyai pengaruh yang besar dalam kumpulan masyarakatnya. Oleh sebab itulah, anak-anak digalakkan mencari ilmu bagi membolehkannya mencapai kedudukan atau status yang tinggi dalam masyarakat dan tidak menerima nasib seperti melukut.

Walau bagaimanapun, amalan membeza-bezakan seseorang mengikut status sosialnya dalam masyarakat tidak sepatutnya timbul kerana setiap anggota masyarakat berkewajipan memainkan peranan mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Agama Islam sendiri meletakkan kayu ukur bahawa kedudukan manusia di sisi-Nya adalah serupa kecuali mereka yang bertakwa. Dalam hal ini, sebenarnya setiap anggota dalam sesebuah masyarakat saling memerlukan antara satu sama lain bagai aur dengan tebing.

Rasa persaudaraan dan kekeluargaan dalam masyarakat lama patut kita jadikan contoh dan teladan serta perbandingan, terutama dalam hal yang berhubung dengan perasaan tanggungjawab bersama antara mereka. Setiap anggota masyarakat tidak akan diketepikan atau merasai diri mereka dipinggirkan atau melarikan diri daripada memikul tanggungjawab dan menunaikan kewajipan bersama. Sifat demikian terlukis dalam kata-kata berirama yang berbunyi:

Yang capik datang bertongkat,
Yang buta meraba-raba,

Yang tuli leka bertanya,
Yang kecil terambil lintang,


Yang jarak tolak-tolakan,
Yang pendek tinjau-tinjauan,
Yang kurap mengekor angin.

Ahad, 26 April 2009

PEMBELAJARAN DI TINGKATAN ENAM: MASIH RELEVAN ATAU MEMBUANG MASA?

Bukan Buang Masa

Oleh : Suliati Asri

JIKA tahun 1970-an dan 80-an, apabila mendapat tawaran ke tingkatan enam selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia ibarat anugerah kerana berpeluang melanjutkan pelajaran lagi.

Malah, pelajar tingkatan enam dianggap senior di sekolah kerana ia tempoh dua tahun terakhir sebelum memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga melayakkan mereka mendapat keutamaan memasuki IPT.

Namun, itu kisah 10 atau 20 tahun lalu. Kini, dengan kebanjiran institusi pengajian tinggi swasta (IPTA), keghairahan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam semakin lesu.

Ini ditambah kesukaran memasuki IPT berikutan jumlah pemohonan terlalu banyak, sedangkan kuota untuk menempatkan mereka terhad.

Pelajar di tingkatan enam turut merungut kerana perlu belajar mata pelajaran yang membebankan tetapi apabila mendapat keputusan STPM, mereka tiada peluang ke IPT.

Selain itu, untuk mendapat pekerjaan sukar kerana majikan atau sektor industri gemar mengambil mereka yang berkelulusan SPM.

Pelajar lulusan STPM dikatakan tidak kekal lama kerana mereka mempunyai kelulusan lebih tinggi.

Justeru, dengan perkembangan semasa, adakah pembelajaran di tingkatan enam masih relevan atau membuang masa?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, tidak bersetuju belajar di tingkatan enam merugikan dan membuang masa.

Beliau berkata, pelajar lepasan SPM yang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam mengambil langkah bijak.

"Pelajar di tingkatan enam bertuah, malah sebelah kaki sudah terjamin ke IPTA.

"Mereka juga lebih bersedia sebelum meneruskan pengajian di universiti kerana sudah mendapat pendedahan awal di tingkatan enam," katanya.

Azam yang juga bekas pelajar tingkatan enam berkata, pelajar yang memilih mengikuti pengajian peringkat diploma di IPTS berbanding tingkatan enam itulah merugikan masa belajar mereka.

"Dilihat keputusan STPM yang diambil pelajar tingkatan enam, mereka terus mendapat tawaran di peringkat ijazah dan hanya mengambil masa dua tahun.

"Ini berbeza dengan pengajian di peringkat diploma yang memakan masa tiga tahun dan jika mahu mengambil kursus ijazah, mereka perlu belajar setahun atau dua tahun lebih berbanding pelajar tingkatan enam.

"Ini membuktikan belajar di tingkatan enam menjimatkan masa," katanya.

Cuma bezanya, pelajar tingkatan enam, mereka masih pelajar sekolah dan wajib memakai seragam sekolah seperti pelajar di tingkat satu, tiga atau lima.

Namun, katanya, ia tidak bermakna cara pengajaran dan pembelajarannya di tingkatan enam sama dengan pembelajaran di sekolah menengah.

"Walaupun berpakaian seragam sekolah, suasana pembelajaran di tingkatan enam berbeza kerana di peringkat ini, mereka diajar dan diasuh seperti pelajar universiti.

"Pemikiran pelajar tingkatan enam jauh lebih matang, malah dalam banyak aktiviti, mereka menjadi tonggak sekolah seperti debat, sukan atau aktiviti sosial," katanya.

Jika kegagalan seseorang pelajar STPM dijadikan ukuran dan melabelkan pembelajaran di tingkatan enam membuang masa, itu tidak tepat.

Azam yang juga Pengetua Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Seremban berkata, pelajar tingkatan enam mempunyai usaha dan motivasi tinggi untuk berjaya ke peringkat lebih tinggi.

"Tiada istilah kegagalan bagi mereka kerana tingkatan enam ibarat prauniversiti dan bukan masa belajar sambil lewa.

"Memang ada pelajar tingkatan enam yang gagal dalam peperiksaan STPM tetapi ia salah mereka sendiri kerana tidak belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masterskill Education Group Berhad, Datuk Edmund Santhara,berkata jika mereka ingin melanjutkan pelajaran di IPTA, melanjutkan pelajaran di tingkatan enam berbaloi.

Katanya, mereka yang ingin mengikuti bidang yang mempunyai kos pengajian mahal seperti perubatan tetapi tidak ditawarkan tempat di IPTA selepas SPM, tingkatan enam adalah tempatnya.

"Tetapi, jika mereka ditawarkan melanjutkan pelajaran di luar negara atau IPTS, pembelajaran di tingkatan enam membuang masa.

"Ini kerana, jika mereka tidak mencapai kriteria atau Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) yang ditetapkan untuk sesuatu bidang, mereka tetap gagal mendapat peluang memasuki IPTA," katanya.

Sumber:http://www.hmetro.com.my/

Sabtu, 25 April 2009

TEMA PERAYAAN HARI GURU 2009

Tema hari guru yang dipilih untuk Perayaan Hari Guru 2009 ialah Guru Pembina Negara Bangsa.

Rasional pemilihan tema tersebut ialah:

a.Guru sebagai pendidik terbukti telah memainkan peranan utama dalam memperjuang dan mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara melalui sistem pendidikan dan seterusnya membangunkan negara sehingga dikagumi oleh dunia luar.

b.Guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat seterusnya menjadi warganegara glokal yang mampu bersaing dengan kepesatan dunia luar.

c.Kecekapan dan keberkesanan guru menerusi sistem pendidikan membina negara bangsa yang berjaya.

d.Peranan guru dalam mewujudkan pembangunan dan modal insan.

Sumber:( http://www.moe.gov.my/)

Nota kaki:
Negara bangsa ialah satu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat bagi satu-satu bangsa sebagai sebuah (unit) wilayah yang berdaulat. "Negara" (atau negeri) ialah entiti politik dan geopolitik, manakala "bangsa" ialah entiti budaya dan/atau etnik. Istilah "negara bangsa" menandakan bahawa kedua-duanya (negara dan bangsa) sebagai sama, dan ini membezakannya dengan bentuk kenegaraan yang lain, yang telah wujud sebelumnya. Jika berjaya dilaksanakan, hal ini menandakan bahawa rakyatnya berkongsi satu bahasa, budaya dan nilai - yang bukan merupakan ciri-ciri negara yang telah wujud sebelumnya. Sebuah dunia dengan negara-negara bangsa juga akan melaksanakan tuntutan terhadap penentuan nasib sendiri dan autonomi bagi setiap bangsa, yang menjadi fokus utama fahaman nasionalisme. ( Wikipedia Bahasa Melayu)

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA


Festival Hari Guru sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan yang akan diadakan bermula 14 Mei sehingga 17 Mei 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) dijangka diadakan secara besar-besaran. Antara yang menarik ialah Terowong Masa (Time tunnel) yang akan memaparkan sejarah pendidikan negara dan perguruan di negara ini.


Selaras dengan tema Hari Guru iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, terowong berkenaan akan memaparkan gambar-gambar era pendidikan sejak 1800 iaitu permulaan pendidikan sekolah pondok sehinggalah pendidikan alaf baru.Selain itu lebih banyak gambar bersejarah tentang era pendidikan guru termasuk tokoh-tokoh pendidik yang belum pernah dipertontonkan kepada orang ramai akan dipamerkan pada festival tersebut.

Evolusi sejarah profesionalisme perguruan juga akan dipamerkan yakni bermula dengan pendidikan guru di maktab yang menganugerahkan sijil sehinggalah institusi tersebut menganugerahkan diploma dan ijazah.Terowong Masa itu turut mempamerkan gambar-gambar perkembangan pendidikan setiap abad termasuk perkembangan guru alaf baru dengan wujudnya Prasekolah, Sekolah Wawasan, Sekolah Integrasi, Sekolah Sukan, Sekolah Seni, Sekolah Integriti dan Sekolah Kluster.Buat pertama kalinya, festival tersebut akan mempamerkan hasil inovasi guru-guru yang memenangi pelbagai pertandingan inovasi mengenai pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pameran dan Pelancaran Buku sempena perayaan Hari Guru yang bermesyuarat di Kementerian Pelajaran menjangka pameran itu akan menarik minat guru dan pelajar sekolah di sekitar pantai timur.Hal ini demikian kerana banyak perkara yang boleh dipelajari oleh warga pendidikan contohnya mengenai sejarah dan perkembangan dasar-dasar pendidikan negara ini.

Oleh itu, seluruh warga pendidikan di sekitar pantai timur perlu mengambil peluang untuk datang melawat festival berkenaan.Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ini adalah
kali kedua diadakan di Terengganu.Sambutan kali pertama telah diadakan di negeri tersebut pada tahun 1996 di Wisma Darul Iman.

Jumaat, 24 April 2009

BENTUK TULISAN TANGAN CERMINAN DIRI PENULIS

Dalam artikel yang pernah saya tulis sebelum ini, saya menekankan betapa bentuk tulisan seseorang calon itu boleh memberi kesan kepada keputusan kertas peperiksaan yang didudukinya, lebih-lebih lagi bagi soalan berbentuk esei. Hal ini demikian kerana persembahan tulisan tersebut menjadi satu-satunya "duta" yang mewakili diri calon di mata pemeriksa kertas peperiksaan yang tidak pernah calon kenali. Secara tidak langsung sebenarnya tulisan tersebut datang bersama perasaan anda. Oleh yang demikian, bagi memastikan jawapan anda dapat disemak dengan sempurna, tulislah dengan kemas, bersih, jelas dan terang.

Analisis yang pernah dibuat oleh pakar tulisan tangan dan pakar-pakar motivasi terkenal seperti Datuk Doktor Fadzilah Kamsah menunujukkan wujud perkaitan yang jelas antara bentuk tulisan dengan perwatakan seseorang. Antaranya, bentuk tulisan yang condong, rapat dan kelam menggambarkan seorang yang pemalu dan tidak berkeyakinan. Tulisan berbentuk kecil dan halus pula menggambarkan seorang yang pendiam, rendah diri, dan kurang berketerampilan. Seterusnya, bentuk tulisan yang buruk dan cakar ayam menggambarkan seorang yang tidak fokus dan tidak bersemangat. Selain itu, tulisan yang berbunga-bunga dan berpintal-pintal menunjukkan seorang yang tidak matang dan suka mempengaruhi orang lain manakala tulisan yang terang, kemas, dan selesa dibaca menggambarkan seorang yang berpendirian, berdisiplin tinggi, dan berkemampuan untuk berkomunikasi dengan baik.

Bagi calon yang bentuk tulisannya dalam kategori hodoh, usaha untuk memperbaiki bentuk tulisan perlu dilakukan supaya jawapan yang ditulis tidak akan sia-sia dan dapat difahami oleh pemeriksa. Antara tip yang boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki tulisan ialah :

i. Gunakan pen berwarna hitam yang mempunyai mata pena gel bersaiz 0.7 ke atas.
ii.Tulis dengan saiz tulisan sederhana besar yang selesa dibaca oleh guru.
iii.Tulis abjad yang berbentuk bulat dengan sempurna.
iv.Tulis secara tegak dan tidak condong ke kiri atau ke kanan.
v.Biasakan diri dengan tidak menggunakan pemadam cecair.
vi.Latih diri menulis dengan kemas satu perenggan setiap hari.
vii.Minta guru, ibu bapa, dan rakan-rakan untuk menilai dan memberikan pandangan tentang bentuk tulisan anda.
viii.Pamer setiap helai latihan menulis di bilik anda.

Kesimpulannya, kesempurnaan bentuk tulisan seseorang calon amat penting bagi memastikan jawapan yang ditulis dalam peperiksaan dapat difahami untuk dinilai dengan sewajarnya oleh pemeriksa. Kesempurnaan serta kejelasan bentuk tulisan bagi jawapan berbentuk esei merupakan aspek yang tidak boleh diabaikan. Oleh yang demikian, bagi calon yang menghadapi masalah ini, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memperbaikinya supaya hal ini tidak akan menjadi faktor penggagal diri mereka dalam peperiksaan. Berpeganglah kepada peribahasa Melayu alah bisa tegal biasa.

Rabu, 22 April 2009

MAKLUMAN UNTUK AHLI MGC DAERAH KUANTAN

KURSUS PENINGKATAN PROFESINALISME GURU-GURU CEMERLANG DAERAH KUANTAN 2009

Kursus tersebut akan diadakan sebagaimana maklumat berikut:

Tarikh : 28 - 30 APRIL 2009.
Tempat : Hotel Cititel Express, Kuala Lumpur.

Kehadiran semua Guru Cemerlang Daerah Kuantan amat dialu-alukan.
(Rujukan surat PPD Kuantan 01/04/17/1/03)

Pendekatan Menjawab Soalan Aspek Novel SPM

Soalan novel di peringkat SPM terdiri daripada dua soalan iaitu, 4a dan 4 b. Soalan 4a ialah soalan berdasarkan satu novel manakala soalan 4 b ialah soalan perbandingan antara dua novel. Soalan yang dikemukakan berupa soalan langsung yang menekankan reaksi, tanggapan, pandangan, alasan, atau pendapat calon tentang sesuatu aspek kesusasteraan dalam novel yang dikaji. Gabungan dua soalan aspek novel ini diperuntukkan 15 markah.

Untuk memastikan markah penuh diperoleh dalam peperiksaan, beberapa pendekatan menjawab yang berikut perlu dipatuhi:


i.Calon mesti menjawab soalan novel dalam bentuk esei. Jika tidak, calon akan kehilangan markah bahasa.

ii.Oleh sebab ada banyak novel yang tersenarai, maka calon perlu menyatakan dengan jelas nama novel yang dikaji.

iii.Seterusnya, jawapan calon perlu menjurus kepada aspek komsas yang ditanyakan dalam soalan.

iv.Setiap isi jawapan perlu dihuraikan dan disokong dengan contoh-contoh atau bukti-bukti yang bersesuaian berdasarkan novel yang dikaji ( bukan rekaan).

v.Calon perlu mempertimbangkan bilangan isi jawapan berpandukan peruntukan markah yang diberi.


CONTOH SOALAN:

Jelaskan empat nilai murni dalam novel yang anda pelajari. [8 markah]


Contoh jawapan 1:

(Tiada markah kerana menyebut nama watak dalam isi, bukan dalam bukti/ contoh)


Novel yang saya kaji ialah `Seteguh Karang’. Berdasarkan novel itu, Awanis menonjolkan nilai ketabahan. Contohnya, dia reda akan ketentuan takdir bahawa ayah dan ibunya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Selain itu, Kak Maysarah pula seorang wanita yang insaf. Dia menyedari perbuatannya yang selalu bermurung dan menyalahkan diri sendiri adalah sia-sia. Pak Oni pula seorang bapa saudara yang mempunyai nilai keprihatinan kerana dia mengambil berat akan anak-anak saudaranya. Kak Nor seorang ibu yang mempunyai nilai kasih sayang kerana sangat sayang akan anak-anaknya iaitu Ijam dan Farah.


Contoh jawapan 2:

(50 peratus markah kerana menjawab dalam bentuk poin)


Ketabahan:

Awanis tabah menghadapi kematian ibu dan ayahnya dalam kemalangan jalan raya.

Keinsafan:

Maysarah sedar akan sikapnya yang suka menyalahkan diri sendiri tidak wajar diteruskan.

Keprihatinan:

Pak Oni mengambil berat akan anak-anak saudaranya.

Kasih sayang:

Kak Nor sangat sayang akan anak-anaknya iaitu Ijam dan Farah.

4

Contoh jawapan 3 :

(Markah penuh kerana ada isi dan bukti / contoh yang sesuai dan ditulis dalam bentuk esei)


Novel yang saya kaji ialah `Seteguh Karang’. Novel ini memaparkan nilai kasih sayang. Buktinya, Awanis sangat mengasihi Anita walaupun Anita hanyalah adik angkatnya.

Selain itu, nilai kegigihan turut ditonjolkan dalam novel ini. Buktinya, Budi mengorbankan masa remajanya dengan bekerja keras di ladang kelapa sawit untuk menyara kehidupan keluarganya di Indonesia.

Dalam novel ini terdapat juga nilai keprihatinan. Buktinya, Pak Oni ialah seorang bapa saudara yang prihatin kerana dia mengambil berat akan anak-anak saudaranya.

Nilai keinsafan turut dipaparkan. Buktinya, Maysarah akhirnya sedar bahawa perbuatannya yang selalu bermurung dan menyalahkan diri sendiri hanya sia-sia.