Isnin, 11 Mac 2013

TEKS UCAPAN PM SEMPENA MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KETIGA BELAS (MAPPA XIII)


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia,

YB Menteri-Menteri

YBhg. Dato' Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara,

YBhg. Datuk Farida Mohd. Ali, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan),

YBhg. Datuk Omar Osman, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS

Tuan-tuan dan puan-puan

1.     Terlebih dahulu, marilah sama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, kita dapat bertemu dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ketiga belas pada pagi ini.

2.     Seterusnya, penghargaan dan ucapan terima kasih ditujukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Tadbiran Awan Negara atau INTAN atas penganjuran Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA dalam agenda utama tahunan untuk saya menyampaikan amanat dan hala tuju kepada semua penjawat awam.

3.     Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Omar Osman dan CUEPACS, kerana menjadi rakan kongsi Kerajaan dalam pembangunan negara dan proses mensejahterakan perkhidmatan awam.

4.     Pertama-tamanya jua, marilah kita yang beragama Islam menghadiahkan Ummul Kitab dan bagi yang bukan beragama Islam untuk bertafakur seketika, demi mengenang para pahlawan negara yang telah pergi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan negara tercinta di bumi Sabah baru-baru ini. Al-Fatihah.

Saudara dan saudari,

5.     Kita sentiasa menginsafi bahawa, tidak mungkin Malaysia berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti kala dan ketika ini, tanpa perjuangan mulia para patriot dari pasukan, agensi dan perkhidmatan keselamatan negara. Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara.

6.     Makanya, kelapan-lapan wira negara yang telah gugur di medan juang, adalah sebuah manifestasi terbaik iltizam para penjawat awam terhadap negara dan amanah yang dipikul. Mereka meneruskan tradisi mulia generasi demi generasi yang telah menyarung uniform perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

7.     Iltizam mereka itulah yang telah membolehkan kita warga Malaysia menjalankan kegiatan seharian tanpa rasa bimbang dan takut, membolehkan anak-anak kita selamat di sekolah, membolehkan kita mencari rezeki dan pada akhir setiap hari pulang ke rumah kepada keluarga tercinta. Hakikatnya mereka telah membolehkan negara ini terus maju dan makmur.

8.     Terbukti, pengorbanan mereka bukan pengorbanan yang biasa, ia amat besar maknanya. Hari ini anak bongsu Allahyarham ASP Zulkifli bin Mamat yang masih dalam kandungan tidak berpeluang mengenal bapanya manakala anak-anak yang lain tidak lagi dapat bermanja dengan ayah mereka. Begitulah ibu bapa Koperal Mohd Azrul bin Tukiran yang tidak berpeluang menyaksikan Allahyarham menaiki jinjang pelamin. Termasuklah enam orang pahlawan negara lain yang telah terkorban. Putus sudah kasih sayang di antara anak dan bapa, suami dan isteri, ibu dan anak, saudara–mara serta sahabat taulan. Yang tinggal abadi hanyalah kenang-kenangan.

Saudara dan saudari,

9.     Yakinlah... Yakinlah bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

PENGUMUMAN INSENTIF/FAEDAH KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

Saudara dan saudari,

10.   Seperti kita maklum, sepanjang empat tahun pentadbiran, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan telah digembleng dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020. Pastinya Kerajaan akan terus merencana pelbagai program bagi meningkat produktiviti serta motivasi penjawat awam. Jelasnya, sebagai sebuah Kerajaan yang cakna, kita komited kepada keperluan semasa dalam memberi nilai tambah kepada skim-skim perkhidmatan seiring arus perdana.

11.   Maka, dengan mengambil kira Perkhidmatan Awam Am telah ditambah baik di bawah Sistem Saraan Baru iaitu SSB dan Sistem Saraan Malaysia yakni SSM, sukacita saya mengumumkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, Kerajaan bersetuju bahawa, pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji. Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM. Sebagai contoh:

        11.1      Pertama: Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau     gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am. 

        11.2      Kedua: Sarjan dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 27, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 29 Perkhidmatan Awam Am.

        11.3      Ketiga: Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 44 Perkhidmatan Awam Am.

        11.4      Keempat : Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji baru iaitu 46A.

        dan;

        11.5      Kelima: Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am.

Saudara dan saudari,

12.   Sesungguhnya, kesetaraan ini dibuat bagi mempastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan.

Saudara dan saudari,

13.   Menelusuri realiti hubungan pentadbiran awam dan Kerajaan, sebagai sebuah negara, Malaysia tidak pernah statik berdepan dengan arus global yang berubah-ubah. Sejarah telah membuktikan, kita senantiasa dinamik dalam menangani cabaran untuk meletakkan negara pada barisan hadapan keluk perubahan. Terbukti, pencapaian yang dikecapi hari ini menjadi testimoni terbaik kejayaan kita dalam merencana dan mengemudi hala tuju negara semenjak merdeka.

14.   Bagaikan aur dengan tebing, bak irama dengan lagu, anggota pentadbiran dan penjawat awam telah bertindak seia dan sekata membawa perubahan positif dalam tempoh 5 dekad. Secara berterusan, hembusan angin perubahan ini terasa di setiap ceruk dan pelosok negara melibatkan segenap lapisan masyarakat.

15.   Hari ini negara akan terus belayar digerakkan angin Dasar Transformasi Negara menuju ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Dasar Transformasi Negara yang ditunjangi prakarsa Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, Pelan Transformasi Politik dan Pelan Transformasi Sosial ini sedang giat diatur gerakkan melalui pelbagai program yang disusun rapi.

Saudara dan saudari,

16.   Selanjutnya, berpayungkan falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan, program dan sasaran ETP, GTP, PTP dan PTS ternyata telah memberikan impak yang sangat positif kepada rakyat seluruhnya. Kekuatan usaha kolektif kerajaan, pentadbiran awam, pihak swasta dan rakyat ini telah membolehkan kita secara tali-menali melawan arus kemerosotan ekonomi global dengan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang secara purata pada kadar lebih 5% sejak tahun 2010. Sehubungan itu, InsyaAllah pada 19 haribulan Mac ini saya akan membentangkan sebuah “report card” atau kad laporan kepada rakyat Malaysia.

Saudara dan saudari,

17.   Sesungguhnya penjawat awam menyumbang secara besar kepada kejayaan penggubalan sebarang dasar oleh anggota pentadbiran. Begitu juga dalam mempastikan kejayaan pelaksanaan setiap inisiatif yang dicetuskan. Untuk pengorbanan serta profesionalisme mereka yang tidak mengenal penat lelah mahupun kepentingan peribadi ini, saya bagi pihak Jemaah Menteri, anggota pentadbiran yang lain serta rakyat Malaysia ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih.

PENCAPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Saudara dan saudari,

18.   Di bawah payung falsafah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan juga, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memaksimakan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

19.   Dua contoh terbaik ialah pertamanya, melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu prakarsa Pusat Transformasi Bandar atau UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC yang mengumpulkan pusat perkhidmatan dan ekonomi secara sehenti yang telah menjadi kenyataan dalam tempoh begitu singkat dengan perbelanjaan minimum. Khidmat yang memberi kemudahan kepada rakyat ini dibuka selepas waktu bekerja sehingga malam. Keduanya, pengenalan 1MOCC atau 1Malaysia One Call Centre bagi memudahkan hubungan rakyat dengan pihak penjawat awam tanpa mengira jabatan mahupun kawasan.

20.   Pengenalan inisiatif-inisiatif baru ini menandakan pergerakan dalam pemikiran serta falsafah tentang bentuk perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat. Jadinya, kerangka baru pemikiran perkhidmatan awam harus menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

SISTEM NILAI BARU PERKHIDMATAN AWAM

21.   Kerajaan juga tanpa jemu senantiasa menyeru penjawat awam agar memberikan khidmat terbaik menepati peredaran dan kehendak masa. Sesungguhnya, penjawat awam diukur keberkesanannya bukan sahaja melalui kecanggihan peralatan digunakan bahkan merangkumi budaya, nilai, budi bahasa serta motivasi dalam menjalankan dan menyampaikan tugas.

22.   Tentunya, matlamat utama penjawat awam ialah kesejahteraan rakyat. Semboyan utama Perkhidmatan Awam adalah perkhidmatan untuk rakyat. Rakyat mestilah terus didekati dan disusuri, difahami dan difahamkan, didengar keluh kesahnya serta dirasai setiap denyut nadinya supaya dapatlah bagi kita memberikan perkhidmatan terbaik untuk mereka.

23.   Setiap penjawat awam adalah agen transformasi paling hadapan dalam perantaraan di antara rakyat dan Kerajaan. Perkhidmatan Awam yang bertunjangkan dan berpaksikan rakyat diikat hubungan dengan tersemainya kebolehpercayaan dalam memberikan khidmat paling murni tanpa mengira tempat, masa dan rupa.

CABARAN PERKHIDMATAN AWAM

Saudara dan saudari,

24.   Tahun 2020 sudah semakin menghampiri kita. Sebagai warga global yang berdepan dengan realiti ledakan maklumat serta kemajuan komunikasi era terkini kita perlukan kebijakan untuk menanganinya. Sering saya ulang-ulangkan, era di mana kerajaan mengetahui segalanya serta memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir. Perkembangan teknologi pada hari ini telah merubah segala bentuk kefahaman, amalan, akses serta budaya yang mendasari hubungan di antara rakyat dan kerajaan.

25.   Mendakap realiti semasa, kehendak dan jangkaan rakyat adalah perkhidmatan yang bersifat 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Kehadiran fizikal di bangunan-bangunan Kerajaan secara progresif digantikan dengan akses ke portal dan aduan melalui e-mel manakala pendekatan berterusan di luar kawasan fizikal pejabat dan di luar waktu urusan maklumat perkhidmatan berlaku melalui media sosial.

26.   Penjawat awam mestilah menguasai teknologi hari ini untuk mempastikan kekal relevan dengan peredaran masa. Kemahiran komunikasi baru ini hendaklah menjadi teras setiap penjawat awam terutama yang tugasnya berhadapan dengan rakyat secara langsung.

27.   Hakikatnya, kita kini hidup dalam dunia bermaklumat yang aksesnya tiada sempadan. Reka bentuk kerangka kehidupan pada hari ini diacukan dan dipacukan oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang kita terima. Untuk itu, penjawat awam seharusnya bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketepatan tanpa melanggar peraturan atau rule of law agar perjalanan sistem pentadbiran tidak dikompromikan keabsahannya.

Saudara dan saudari,

28.   Secara sedar ataupun tidak, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisa serta dikritik bukan sahaja secara dalaman malah di luar negara melalui kanta alam maya. Oleh itu dalam era maklumat terbuka ini tidak ada individu, jabatan, kementerian mahupun institusi yang terlepas daripada pemerhatian mereka.

29.   Namun integriti kita sebagai penjawat awam mestilah dipelihara bagi mempastikan ketirisan wang atau ketirisan maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku. Janganlah sampai diibaratkan pepatah lama, membaling batu sembunyi tangan atau menjadi gunting dalam lipatan terhadap negara. Saya ingin mengingatkan, jauhilah tiga penyakit yang boleh menjejaskan wibawa dan keberkesanan sektor awam. Penyakit-penyakit tersebut adalah rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan maklumat.

30.   Setiap tahun Kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet yang besar untuk belanja pembangunan. Jika dibelanjakan dengan betul dan menepati jadual yang telah direncanakan, maka ia akan mendatangkan manfaat yang maksimum kepada rakyat dalam mencerminkan Kerajaan telah menunaikan tanggungjawabnya.

31.   Namun, apabila membuat tinjauan-tinjauan mesra, turun padang mendekati rakyat, sering kali sampai kepada saya rungutan orang ramai bahawa permohonan-permohonan mereka kepada agensi-agensi berkaitan telah ditolak atas alasan bajet tidak mencukupi. Walaupun memang benar ada kekangan kemampuan kewangan Kerajaan, apa yang menghairankan terdapat peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan dipulangkan semula kerana tidak diuruskan mengikut jadual.

32.   Oleh yang demikian, setiap penjawat awam hari ini berdepan dengan cabaran untuk mencari titik keseimbangan antara membangunkan kapasiti, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang baru dengan konsep yang lama.

33.   Keberkesanan perkhidmatan awam bukan sahaja terletak kepada keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar semata-mata tetapi juga bergantung pada kejayaan berkomunikasi yang menentukan sejauh mana penerimaan masyarakat kepada sesuatu dasar itu dan kejayaan menangani kesan-kesan dari dasar tersebut.

34.   Sungguhpun, kejayaan pelaksanaan sesuatu dasar akan meningkatkan wibawa penjawat awam, akan tetapi yang lebih mustahak, tahap kefahaman dan penerimaan masyarakatlah yang akan memperkukuhkan lagi keberkesanan juga keabsahan sesuatu dasar yang digubal.

35.   Dalam era terbuka hari ini, dengan maklumat yang bersifat “real time”, kepimpinan sektor awam tidak boleh lagi mengelak daripada berhadapan dengan media atau orang ramai. Seorang pemimpin sektor awam yang baik adalah seorang mampu untuk berkomunikasi dengan berkesan, dan mampu menimbulkan keyakinan umum terhadap dasar-dasar, prakarsa dan tindakan Kerajaan.

36.   Pemimpin Perkhidmatan Awam juga mestilah bijak membuat keputusan untuk memimpin bila perlu, untuk memperkasakan rakyat bila perlu dan menggalakkan kepimpinan mereka yang berkepentingan bila perlu demi membuahkan hasil terbaik. Maka, Pemimpin Perkhidmatan awam mestilah seseorang yang mampu belajar dari yang lain, dapat membina jambatan kepercayaan dengan yang lain sekaligus mengupayakan yang lain.

37.   Lantaran itu kepimpinan sektor awam mestilah mempelajari dan menguasai bagaimana untuk mencedok kebijaksanaan kolektif rakyat demi menambahkan korpus ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang kemunculan reka bentuk atau tingkah laku masyarakat mutakhir. 

PENYUSUNAN SEMULA PRIORITI BANDAR DAN LUAR BANDAR

Saudara dan saudari,

38.   Apabila kita mula-mula mencapai kemerdekaan hampir 70% peratus penduduk Malaysia tinggal di luar bandar dan lebih 60% warganegara berada di bawah garis kemiskinan. Hasil usaha berterusan Kerajaan, kemiskinan tegar telah berjaya diletakkan dalam lipatan sejarah manakala kemiskinan relatif sentiasa ditangani secara sistematik. Perancangan rapi disertai dengan pelaksanaan yang bijaksana membolehkan pembangunan dinikmati segenap lapisan rakyat di bandar mahupun di desa.

39.   Kejayaan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan lebuh raya serta pembukaan tanah rancangan FELDA dan FELCRA telah meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan yang dinikmati majoriti rakyat Malaysia di samping mempercepatkan proses urbanisasi. Sebilangan besar agensi-agensi Kerajaan pasca merdeka telah ditubuhkan untuk menyampaikan perkhidmatan kepada kawasan luar bandar dan pendalaman di mana majoriti penduduk Malaysia tinggal.

40.   Hari ini hampir 70% warga Malaysia merupakan penduduk bandar. Realiti baru hasil kejayaan kita ini memerlukan penyusunan semula keutamaan kita dalam menangani isu mengkhidmati bandar dan luar bandar. Penyusunan semula keutamaan ini juga memerlukan perubahan yang selari dari segi set minda dan pemikiran penjawat awam. Ini juga menuntut perubahan struktur dalam organisasi.

41.   Jika di kawasan luar bandar, mekanisma penyampaian pembangunan Kerajaan sudah begitu sistematik dan lengkap, begitu juga struktur sokongan sosial yang teratur, maka kita turut ingin mewujudkan mekanisma yang sama serta struktur sokongan masyarakat yang sedemikian di bandar. Ini akan mewujudkan penyertaan lebih menyeluruh di kalangan rakyat seterusnya melambangkan perubahan demografik.

42.   Selanjutnya, dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang bertugas di kawasan bandar, saya telah mengarahkan pihak PR1MA supaya menyediakan skim rumah mampu milik  yang akan dibina di atas tanah-tanah Kerajaan. Secara amnya, ia ditawarkan pada harga minimum 20% lebih rendah daripada harga pasaran. Diharapkan ini dapat meringankan beban penjawat awam.

Saudara dan saudari,

43.   Pepatah berbunyi, lidah itu tidak bertulang. Baru-baru ini, ada janji dibuat oleh pihak tertentu dalam manifesto mereka  kononnya hendak melihat dan menyusun semula perkhidmatan awam. Hatta, ada ura-ura mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Kata lainnya, mereka mahu memberhentikan sebahagian besar penjawat awam. Siapakah yang mereka mahu berhentikan? Mahu berhentikan para guru? Anggota polis? Anggota tentera? Pensyarah? Para doktor? Jururawat? Kumpulan pelaksana? Siapa?

44.   Pokoknya, biarlah saya tegaskan di sini, dalam usaha untuk menambahbaik perkhidmatan awam ini, mereka baru setakat nak berjanji sedangkan hakikatnya Kerajaan ini telah pun dan sedang berbuat yang terbaik untuk perkhidmatan awam supaya perkhidmatan awam terus bersifat inovatif, kreatif, produktif lagi berprestasi tinggi.

MENGHARGAI PENJAWAT AWAM

Saudara dan saudari,

45.   Kerajaan senantiasa peka terhadap beban dan tanggungan penjawat awam apabila berdepan dengan cabaran hidup semasa. Dalam tempoh antara 2007 hinggalah 2012 gaji asas penjawat awam gred 1 hingga 40 telah dinaikkan kepada 48%; sementara kumpulan 41 hingga 54 telah merasai peningkatan sebanyak 28% dan di peringkat JUSA 14.5%. Sekali lagi saya nak nyatakan, ini bukan sekadar janji atau seumpama menanam tebu di bibir. Ini bukan sekadar memintal impian-impian kosong. Tetapi inilah janji-janji kita yang telah dikotakan.

46.   Seperkara penting lagi, Kerajaan senantiasa menekankan pembangunan sumber manusia terutamanya di kalangan penjawat awam. Justeru, pembangunan kepimpinan di setiap lapisan bagi setiap skim perkhidmatan sektor awam mestilah selari dengan perubahan yang menekankan kualiti, kemahiran serta kompetensi. Bagi negara kita yang sedang rancak menjalani proses transformasi, pemimpin perkhidmatan awam juga mestilah bergerak senada dengan peralihan dalam pembangunan kepimpinan yang semakin mencabar.

47.   Selain itu juga, perubahan struktur dan institusi mestilah dilakukan dalam sektor awam supaya selari perkembangannya dengan sektor lain. Program penambahbaikan kepimpinan di kalangan pemimpin sektor awam sewajarnya bukan sahaja bersifat sekadar memenuhkan kuota kursus tetapi perlu dijadikan mekanisme penilaian yang berterusan dan menyeluruh guna mendedah dan mempersiap pimpinan masa hadapan sektor awam.

48.   Dalam hal ini, saya percaya kepada peranan yang mampu dimainkan oleh institusi latihan lanjutan seperti Razak School of Government. Jika INTAN bertanggungjawab menyediakan latihan permulaan kepada para penjawat awam, RSOG pula bertindak sebagai sekolah lanjutan atau dalam istilah dunia ketenteraan sebagai “Command and Staff College” yang akan melatih barisan tertinggi kepimpinan sektor awam pada masa-masa mendatang.

Saudara dan saudari,

49.   Institusi Perkhidmatan Awam yang utuh dan padu seharusnya mempunyai modal insan kompeten seiring dengan peta panduan dalam merealisasikan wawasan negara. Selaras waktu, landskap Perkhidmatan Awam bakal berubah di mana Kerajaan bersetuju secara prinsipnya supaya kelayakan masuk minimum ke Perkhidmatan Awam ditambah baik dan ditetapkan pada kelayakan Penilaian Menengah Rendah atau PMR.

50.   Saya dimaklumkan bahawa JPA telah mula mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat bagi penambahbaikan 22 skim perkhidmatan yang berkaitan daripada segi perluasan skop, fungsi dan tugas yang sewajarnya. Skim-skim perkhidmatan yang terlibat adalah kelompok gred jawatan dan gred gaji 1 hingga 10 yang akan dinaikkan taraf ke gred jawatan atau gred gaji yang setaraf dengan kelayakan masuk PMR.

51.   Contoh skim perkhidmatan yang terlibat antaranya Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3. Proses perbincangan dalam memuktamadkan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan tersebut dijangka akan selesai sebelum akhir tahun ini. Dengan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan berkenaan, maka daripada segi jangka panjang seramai 166,541 penyandang akan menerima manfaat dari segi laluan kerjaya yang lebih baik dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji mereka.

52.   Dalam usaha berterusan bagi menyediakan kerangka kukuh yang relevan dan menyeluruh, serta seiring dengan Program Transformasi Perkhidmatan Awam, Kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula skim-skim perkhidmatan dalam sektor awam. Sebagai permulaan, 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingkan semula dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat. JPA telah pun mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang melibatkan antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim perkhidmatan Pegawai atau Penolong Pegawai dan Pembantu Galian, serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

53.   Seterusnya, Kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Pelaksanaan penambahbaikan ini adalah berasaskan kecemerlangan yang akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 penjawat yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam yang menjadi asas untuk pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat ini, akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan.

54.   Di samping itu, Kerajaan juga secara prinsip bersetuju bagi meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu, Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka panjang. Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan.

55.   Dengan mengambil kira terdapat seramai 182,434 penjawat awam yang berada di gaji maksimum pada tahun 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan, maka Kerajaan bersetuju berkuat kuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak 3 KGT.

56.   Ini bagi membolehkan semua pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah Pergerakan Gaji Tahunan mulai tahun 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa. Pendekatan ini sebagai menghargai penjawat-penjawat awam yang masih produktif dan berprestasi. Semoga inisiatif ini dimanfaatkan oleh penjawat-penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara.

Saudara dan saudari,

57.   Memahami permasalahan struktur dan anomali gaji yang dihadapi dalam SSM, antaranya kadar KGT Gred 1 hingga Gred 11 yang sama, dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, secara prinsipnya Kerajaan bersetuju penambahbaikan dilaksanakan sebelum akhir tahun 2013 berpandukan kepada prinsip-prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja, relativiti dan pariti perkhidmatan serta “pay for performance”.

58.   Mengambil kira pula usaha-usaha penambahbaikan tersebut hanya akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini, maka Kerajaan bersetuju untuk memberi kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT yang diawalkan pada 1 Julai 2013. Maknanya setiap penjawat awam akan mendapat antara RM80 hingga RM320. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 1.5 billion. Ini sejajar dengan falsafah dipegang oleh Kerajaan yang senantiasa menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada negara.

59.   Sebagai satu dasar, sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, Kerajaan dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3% diberi kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

60.   Kepada para pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50 ribu orang, saya mendengar keluh kesah tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kerajaan ini adalah Kerajaan yang prihatin terhadap tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju, bagi pegawai yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, kontrak mereka akan disambung selama setahun lagi, sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

61.   Semua inisiatif-inisiatif yang saya umumkan tadi adalah merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang sedang dilaksanakan. Sebuah suruhanjaya juga telah ditubuhkan untuk mengkaji Perkhidmatan Awam Malaysia secara menyeluruh ke arah melahirkan perkhidmatan awam yang berwibawa dan dihormati. Berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan, dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, sukacita saya umumkan sistem saraan yang baru ini dinamakan Sistem Saraan Transformatif atau SST

PENUTUP

Saudara dan saudari,

62.   Tidak lama lagi sebagai rakyat Malaysia yang telah mendaftar, kita akan diminta menunaikan amanah sebagai warganegara bagi memilih Kerajaan yang diingini. Para penjawat awam sebagai warganegara Malaysia juga bebas memilih namun saya ingin menyeru kepada para penjawat awam khasnya dan rakyat Malaysia amnya agar menggunakan kuasa ini dengan sebijak mungkin.

63.   Amat sukar untuk menilai keikhlasan, namun kita berupaya untuk mengukur kejujuran dengan melihat prestasi rekod mereka yang berjanji. Kalau sejarah menunjukkan janji yang lama pun tidak mampu ditepati atau ditunaikan, maka berhati-hatilah dengan janji baru. Kita perlu lebih berjaga-jaga apabila pihak-pihak ini sering menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala. Begitulah kalau mana-mana pihak mencanangkan itu dan ini secara percuma maka kita perlu bertanya kepada mereka dari manakah pembiayaan tersebut datang. Jawapan mereka kononnya kekanglah ketirisan. Di sini saya ingin jelaskan, mana mungkin, kerana premis kepada anggaran ketirisan yang cuba mereka tunjukkan, dibuat secara berwenang dan semberono, tanpa berasaskan kewajaran fakta.

64.   Soalnya, sebagai pihak yang mahu memperoleh kepercayaan bagi membentuk Kerajaan mereka perlu berterus terang dengan rakyat, bahawa, tidakkah pembiayaan semua program mereka memerlukan kepada cukai dinaikkan?

65.   Lantas, kalau dilihat rekod mereka yang lepas dari segi menepati janji ia amatlah buruk. Bagi mereka manifesto bukannya janji. Dari yang demikian, kalau manifesto bagi mereka bukannya boleh dianggap janji, maka buat apa kita percaya dengan kandungan manifesto mereka itu.

Saudara dan saudari,

66.   Sebaliknya, jika mahu, Kerajaan Barisan Nasional boleh saja mengambil sikap populis dengan menjanjikan pelbagai perkara seperti kenaikan gaji dan elaun yang tinggi tanpa mengira kemampuan kewangan Kerajaan. Ya, tentunya Kerajaan ini akan menjadi lebih popular. Ya, semua pihak akan merasa seronok, semua orang akan berasa teruja, tetapi itu hanyalah buat seketika. Sebenarnya, kita perlu berfikir dengan waras apa akan terjadi kemudian hari nanti akibat daripada tindakan populis itu. Oleh yang demikian, pucuk pangkalnya, kita akan istiqamah menjadi sebuah Kerajaan yang adil dan penuh bertanggungjawab, tanpa memperjudikan apa-apa keputusan yang boleh merosakkan kedudukan dan kewangan negara.

Saudara dan saudari,

67.   Marilah kita bersama-sama untuk menjayakan Malaysia, marilah kita bersama-sama membina sebuah negara yang boleh dibanggakan. Malaysia untuk semua. Yang tua dan yang muda, yang berpendapatan rendah, yang sederhana dan tinggi. Ringkasnya, dari semua segmen serta strata masyarakat Malaysia yang ada.

68.   Kalau kita bersatu hati, bahu membahu, ganding berganding, Insya-Allah, dengan izin Tuhan, kita akan mampu membina kehidupan masa depan jauh lebih baik dari hari ini untuk anak-anak cucu. Janganlah kita pandang rendah kejayaan yang ada. Kita hari ini, ialah sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi di atas landasan yang kemas untuk menuju status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

69.   Tanyalah juga saudara dan saudari, apakah masa depan Malaysia menjanjikan prospek yang lebih cerah. Jika jawapannya ya, ayuhlah bersama-sama kerajaan hari ini untuk meneruskan dan menambahbaik kejayaan yang sedia ada. Bingkaslah membentuk barisan dan saf yang lurus. Beringatlah, bahawa masa depan kita, anak-anak cucu kita dan keluarga kita terlalu penting untuk dipertaruhkan sebagai bahan eksperimen.

Saudara dan saudari,

70.   Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah di atas segala usaha gigih semua penjawat awam bagi mempastikan kejayaan Dasar Transformasi Nasional. Tanpa Tuan-Tuan dan Puan-Puan, tidak mungkin kita akan berjaya meneruskan agenda nasional yang mulia ini.

71.   Ketahuilah, bukan semua Kerajaan sama. Ada Kerajaan yang bertanggungjawab ada yang tidak, ada Kerajaan yang berkesan dan cekap dan ada juga Kerajaan yang tidak, ada Kerajaan yang memanfaatkan rakyat dan ada Kerajaan yang mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat. Renung-renung dan fikir-fikirkanlah. Buatlah keputusan yang sebetulnya. Mudah-mudahan kita diberi petunjuk-Nya.

Sumber : http://www.pmo.gov.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Penjawat Awam Dapat Satu Kenaikan Gaji Tahunan


PUTRAJAYA: Kerajaan pada Isnin bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata,  ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.

"Langkah itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020', di sini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata semua insentif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).

Perdana Menteri juga berkata berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.

"Ini bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada peraturan yang berkuatkuasa.

"Semoga insentif itu dimanfaatkan penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara," katanya.

Najib berkata, dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

Perdana Menteri turut menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 bakal disambung setahun lagi sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat kumpulan pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun.

"Ia akan memanfaatkan lebih 17,000 penjawat awam yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam yang menjadi asas pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat itu akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan," katanya.

Beliau berkata kerajaan secara prinsipnya turut bersetuju bagi melunaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.

"Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah mula mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat bagi penambahbaikan 22 skim perkhidmatan yang berkaitan daripada segi perluasan skop, fungsi dan tugas sewajarnya. - BERNAMA

ISU BAHASA : Ungkapan 'demi untuk' kurang tepat, bersifat lewah

Anggota pasukan keselamatan rela berkorban demi keamanan negara

DALAM sesetengah tulisan, dapat kita temukan penggunaan ungkapan demi untuk. Dalam lirik lagu, ungkapan demi untuk ini menjadi pilihan pencipta lagu. Tujuan penggunaan demi untuk dalam binaan ayat ialah apabila ayat itu mengandung unsur penegasan. Perhatikan ayat-ayat contoh seperti yang berikut ini:

1. Demi untuk watan, kami rela berjuang bermati-matian.

2. Aku rela berbuat apa-apa sahaja demi untuk kebahagiaan kita.

3. Tindakan tegas pengetua sekolah ini wajar demi untuk kebaikan pelajar.

Betulkah ungkapan demi untuk dalam ketiga-tiga ayat tersebut itu?

Sebelum dipastikan betul atau salah penggunaan demi untuk tersebut, eloklah difahami akan maksud kata demi itu. Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, demi mempunyai empat pengertian. Makna pertama berkaitan dengan perbuatan bersumpah, misalnya "demi Allah". Yang kedua membawa pengertian "kerana" atau "untuk", misalnya "demi kepentingan rakyat".

Dalam ayat 1, terdapat unsur "bersumpah". Dalam konteks ini, sesuatu penegasan itu menjadi lebih berat dan berkesan lantaran adanya tanggapan seakan-akan sumpah. Selain itu, semacam ada rasa lebih sedap jika dilafazkan bersama-sama kata untuk bagi memberikan penekanan yang lebih. Ayat 1 dirasakan lebih bertenaga jika kita hanya menggunakan demi atau untuk seperti ayat 1a dan 1b.

1. (a) Demi watan, kami rela berjuang bermati-matian.

1. (b) Kami rela berjuang bermati-matian untuk watan.

Demikian juga halnya dengan ayat (2) dan (3). Ayat-ayat itu akan menjadi lebih persis jika menggunakan salah satu demi atau untuk, seperti yang berikut:

2. (a) Aku rela berbuat apa-apa sahaja demi kebahagiaan kita.

atau

2. (b) Untuk kebahagiaan kita, aku rela berbuat apa-apa sahaja.

3. (a) Tindakan tegas pengetua sekolah itu wajar demi kebaikan pelajar.

atau

3. (b) Untuk kebaikan pelajar, tindakan tegas pengetua sekolah itu wajar.

Oleh itu, ungkapan demi untuk itu kurang tepat dari segi tatabahasa kerana kehadirannya secara berpasangan menghasilkan bentuk bahasa yang lewah sifatnya.

Dari segi makna pula, kata sendi demi sama maknanya dengan kata sendi untuk. Oleh itu, sekiranya digunakan kedua-dua kata sendi demi untuk ini, samalah halnya dengan penggunaan dua perkataan yang bersinonim, seperti kita mengatakan saya saya atau aku ku, atau "*Dia berjaya lantaran kerana dia berusaha dengan gigih", atau "*Dia menangis kerana oleh sebab wangnya hilang" atau "*Dia akan gagal jika sekiranya dia tidak berusaha bersungguh-sungguh".

Bentuk ungkapan demi untuk itu sebenarnya menggugat kesempurnaan bahasa. Dalam berbahasa, kita perlu menitikberatkan kepersisan bahasa. Dalam hal ini, ungkapan demi untuk lebih baik diperbetul menjadi demi sahaja atau untuk sahaja, kerana demikian itu cara pengungkapan yang betul.

Dua pengertian demi yang lain ialah, yang pertama, membawa maksud sebaik-baik sahaja atau selepas, dan yang kedua ialah lepas satu, satu. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut ini:

4. Dia terus menangis demi mendengar berita buruk itu. (maksud sebaik-baik sahaja atau selepas)

5. Direnungnya orang itu seorang demi seorang untuk mengenal pasti orang yang mencerobohi rumahnya. (maksud satu lepas satu)

Begitulah huraian tentang penggunaan demi untuk dalam berbahasa. Oleh itu, bertukarlah kepada penggunaan bentuk yang lebih persis dan betul, iaitu demi sahaja atau untuk sahaja, tetapi bukan demi untuk.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : Episod sejarah kedaulatan Sabah


Oleh : PROF. SALLEH BUANG

SUKAR bagi kita yang sayang akan keamanan dan kesejahteraan, membicarakan episod berdarah yang berlaku di Sabah kebelakangan ini tanpa emosi.

Apa tidaknya? Bukan satu perkara biasa kita melihat penjenayah bersenjata menceroboh kampung halaman kita, menangkap jiran tetangga kita, menahan mereka sebagai tebusan, menyiksa dengan kejam dan membunuh anggota keselamatan kita - semuanya kerana, kata mereka, "Sabah adalah milik nenek moyang mereka pada satu ketika di zalam silam".

Apakah benar Sabah milik nenek moyang penceroboh dan pengganas ini?

Mengikut pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim walaupun wilayah ini pada satu ketika dahulu adalah sebahagian daripada wilayah Sultan Sulu, syarikat Borneo Utara British telah menguasainya sejak 1882.

Mengikut Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan bekas peguam) di bawah undang-undang antarabangsa, Sabah adalah sebahagian Malaysia, satu negara yang berdaulat dan telah lama diiktiraf oleh seluruh dunia.

Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1963 (pada akhir saat referendum) mendapati majoriti orang Sabah mahu menjadi sebahagian Malaysia.

Nampaknya pakar sejarah setuju kesultanan Sulu adalah sebuah negara yang berdaulut sejak tahun 1457, di mana wilayahnya meliputi sebahagian Mindanao di sebelah timur, Borneo Utara di sebelah barat, dan Palawan di sebelah utara.

Sultan Sulu memperolehi Borneo Utara sebagai hadiah daripada Sultan Brunei selepas menolongnya mempertahankan negara itu daripada serangan musuh dan pemberontak. Perkara itu berlaku di sekitar tahun 1704.

Pada tahun 1878, Baron Von Overbeck (warga Austria) dan Alfred Dent (seorang British) memperoleh apa yang dipercayai ramai sebagai satu "pajakan" wilayah Borneo Utara daripada Sultan Sulu. Perjanjian ini dimeterai antara Sultan Sulu (pada satu pihak) dan Overbeck serta Dent (pada pihak yang lain), kedua-duanya ini bertindak atas nama East India Company.

Sebagai balasan, syarikat itu berjanji akan membayar Sultan Sulu sejumlah wang yang dipersetujui sebagai "sewaan tahunan".

Saya belum lagi berpeluang meneliti terma sebenar yang terkandung dalam perjanjian 1878 itu. Tetapi saya ada melihat kandungan perjanjian bertarikh 6 Jun 1800 antara Sir George Leith, Lieutenant-General of Penang (bagi pihak English East India Company) dan Yang di-Pertuan Raja Muda Perlis dan Kedah (bagi pihak Sultan Kedah) - yang dinamakan "Triti Persahabatan dan Perikatan" (Treaty of Friendship and Alliance).

Perjanjian atau triti ini berkuasa "di laut dan di darat, selagi matahari dan bulan memancarkan cahayanya" (on sea and on land, as long as the Sun and the Moon retain their motion and splendour).

Jika kita boleh ambil iktibar daripada perjanjian yang melibatkan Pulau Pinang itu, Fasal 1 dalam Perjanjian itu ada menyebutkan bahawa sejumlah wang akan dibayar kepada Sultan Kedah dan Perlis selama mana orang Inggeris "ada milikan" (continue in possession) Pulau Pinang dan Prai.

Dalam perjanjian atau triti yang mengandungi 14 Fasal itu, kita tidak jumpa istilah "pajakan" (lease). Dalam bahasa mudah, hak yang diberi oleh Sultan Kedah adalah hanya hak menduduki, bukan hak milik mutlak.

Sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian antara Overbeck dan Dent dengan Sultan Sulu, Sultan Kedah juga dijanjikan akan dibantu oleh Francis Light melawan musuhnya sebagai balasan kepada persetujuan Sultan membenarkan syarikat Inggeris itu menduduki Pulau Pinang. Sebenarnya ini hanya satu janji kosong, dan tidak ditunaikan oleh Francis Light.

Tidak mustahil bila Overbeck dan Dent menandatangani perjanjian yang bersejarah itu dengan Sultan Sulu pada tahun 1878, terma dan syarikat yang serupa seperti yang terkandung dalam perjanjian 1800 melibatkan Pulau Pinang itu digunakan. Saya tidak yakin istilah moden seperti "pajakan" sudah digunakan pada masa itu.

Apa pun istilah sebenar yang digunakan, syarikat British North Borneo itu kemudian telah gagal atau enggan meneruskan bayaran kerana ia tidak pasti siapa waris Sultan Sulu yang sebenar. Akibatnya satu tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada 1939 terhadap kerajaan Borneo Utara dan syarikat.

Mahkamah memutuskan bayaran hendaklah terus dibayar kepada waris Sultan Sulu yang sah, dan mahkamah mengenal pasti dan menamakan siapa mereka.

Tujuh tahun kemudian, pada 10 Julai 1946 kerajaan British mengisytiharkan Sabah sebagai satu jajahan takluk British. Kita perlu ingat kembali apa yang dilakukan oleh British kepada Pulau Pinang. Jika pada mulanya Francis Light hanya dibenarkan menduduki (continue in possession) pulau itu, kerajaan British kemudian telah mengisytiharkan pulau itu sebagai satu jajahan takluk - sebagai Negeri-Negeri Selat bersama Melaka dan Singapura.

Ini amalan dan perangai buruk penjajah - mengisytiharkan wilayah dan negara yang bukan milik mereka sebagai tanah jajahan mereka! Disebabkan kuasa ketenteraan mereka, tidak ada sesiapa pun yang dapat melawan mereka.

Pada 12 September 1962, Sultan Sulu, Sultan Muhammad Esmail E. Kiram 1, secara formal menyerahkan (ceded) Sabah kepada Kerajaan Filipina. Peristiwa penting ini berlaku dalam zaman pemerintahan Presiden Macapagal. Berbeza dengan hak menduduki atau "hak milikan" sahaja, satu "penyerahan" (cession) adalah pemindahan hak milik dan kedaulatan atas suatu wilayah oleh satu pemerintah kepada pemerintah yang lain.

Dari sudut undang-undang, antara Sultan Sulu dan Kerajaan Filipina, hak milik terhadap Sabah sudah bertukar tangan.

Oleh yang demikian, jika masih timbul persoalan "Sabah siapa punya?" pihak-pihak yang layak mengemukakan isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague, Belanda adalah Filipina, bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya lagi.

Ini membawa kita kepada persoalan berikutnya. Apakah penceroboh bersenjata yang mengganas di Sabah itu waris-waris sah Sultan Sulu? Tanpa bukti yang kukuh dan meyakinkan, sukar bagi kita membuat sebarang andaian atau keputusan.

Saya sempat bertanyakan isu ini kepada seorang pakar undang-undang antarabangsa, pengamal undang-undang Datuk Dr. Tunku Sofiah Jewa. Menurut beliau, daripada apa yang kita pelajari dalam kes Batu Putih (yang mana kita kalah dengan Singapura), asal usul sejarah sesebuah wilayah itu tidak penting lagi.

Yang lebih penting dan diberi keutamaan ialah siapakah yang telah memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatannya di wilayah itu untuk satu jangka masa yang lama? Dalam kes Batu Putih, memang tidak ada ragu-ragu pulau kecil itu pada asalnya adalah milik Sultan Johor. Pun begitu, kita kalah kepada Singapura kerana untuk sekian lama kita membiarkan Singapura mentadbir dan melaksanakan kuasanya (mempamerkan kedaulatannya - exercising its sovereignty) di pulau kecil itu.

Dalam kes Sabah, kita telah sekian lama (sejak 1963) memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatan kita - bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya, sementara Kerajaan Filipina pula (setakat ini) belum memfailkan apa-apa tuntutannya di ICJ. Nampaknya kerajaan itu lebih mengutamakan kerangka kerjasama dalam ASEAN.

Keturunan Sultan Sulu dan pengikut-pengikutnya yang menceroboh Sabah sejak sebulan yang lalu itu tidak lebih sebagai pengganas. Mereka bukan wira atau pejuang seperti yang mereka dakwa, "dalam perjalanan pulang ke wilayah asal mereka."

Penulis ialah ialah penganalisis undang-undang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru dahulu bebas corak pelajar


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Dahulu, guru ibarat nadi dan penyambung kehidupan masyarakat hingga profesyen itu diiktiraf mempunyai kedudukan paling tinggi dan mulia.

Besarnya peranan dan jasa guru menyebabkan masyarakat tidak pernah mempersoalkan tindak-tanduk guru dan mempercayai tindakan itu bertujuan demi kebaikan.

Malangnya, di tengah masyarakat hari ini yang menggelarkan diri mereka berfikiran terbuka, maju dan moden, peranan guru seolah-olah semakin diperkecil dan dipertikaikan.

Guru kini bukan saja tidak lagi diibaratkan sebagai lilin yang menerangi kehidupan, malah pelajar, ibu bapa mahupun masyarakat seperti galak menghentam dan menghukum golongan berkenaan.

Dilema guru yang semakin terikat dikhuatiri akan menimbulkan tekanan sekali gus mengganggu urusan perjalanan sistem pendidikan dan ilmu.

Pengetua Kirkby International College, Bismillah Abdul Kader berkata, guru perlu menganggap tekanan dihadapi sebagai satu cabaran kerjaya untuk mempertingkatkan lagi kualiti diri.

Beliau berkata, tekanan bukan saja akan berlaku dalam kalangan guru malah mana-mana kerjaya juga mempunyai cabarannya sendiri.

“Mereka yang berada dalam bidang perguruan cabarannya berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang berada dalam kerjaya lain.

“Kita tidak boleh mengelak namun sebagai guru, mereka perlu akur dan menyematkan dalam diri bahawa inilah cabaran seorang guru yang mahu mendidik anak bangsa.

“Bukan senang,  kerana kita mendidik mereka yang bakal bergelar pemimpin. Tapi inilah bakti guru yang tidak pernah berubah biarpun zaman semakin jauh ke depan,” katanya.

Mengakui bahawa cabaran guru dulu dan kini berbeza namun dari segi tanggungjawab tetap sama.

“Tugas hakiki guru adalah memberi ilmu dan mendidik, inilah tanggung jawab mereka.

“Bezanya, cabaran dan sistem yang perlu berubah selari perubahan zaman, komposisi pelajar, permintaan dan piawaian dunia moden.

“Memang tidak adil jika kita membandingkan mereka kerana kedua-duanya hidup dalam zaman tidak sama,” katanya yang tidak menafikan guru dulu mempunyai kekentalan semangat yang tinggi untuk mendidik anak bangsa.

“Hasilnya, lihatlah bagaimana pelajar yang datang daripada keluarga miskin atau tidak berpendidikan boleh berjaya,” katanya.

Guru hari ini, akuinya, semakin hebat berdepan tekanan kerana ada ibu bapa suka mencari sebab menyalahkan guru walaupun perkara remeh-temeh.

“Guru dulu biarpun keadaan prasarana kurang namun mereka mempunyai kebebasan mencorakkan pelajar. Ibu bapa pula memberi sokongan yang padu dan tidak mengambil hati sekiranya anak dihukum.

“Sekarang, ibu bapa pula yang berlebih-lebihan mempertahankan tindakan anak (pelajar) apabila dihukum.

“Sudahlah tangan terikat dengan pelbagai peraturan dan kekangan, campur tangan ibu bapa menambah ‘kesengsaraan guru,” katanya.

Malah anggapan mengatakan kerjaya guru mudah, gaji menarik, banyak masa santai dan dianugerahkan cuti banyak sudah tidak relevan pada masa ini.

Katanya, bidang tugas guru hari ini terlalu banyak sehingga merangkumi kerja-kerja perkeranian selain senarai kursus yang perlu dihadiri.

“Jadi bagaimana mereka mahu fokus sedangkan lambakan tugasan lain juga banyak.

“Percaya atau tidak, masa bagi guru sebenarnya tidak cukup 24 jam sehari apatah lagi dengan pengenalan pelbagai sistem sekarang malah ada yang terpaksa berjaga hingga jam 2 pagi untuk menyelesaikan tugasan,” katanya.

Beliau turut memuji langkah pelbagai pihak membantu menaikkan imej guru, sekali gus memperkasakan lagi sektor serta sistem pendidikan negara.

Menurutnya, penawaran pelbagai insentif  perlu sebagai mekanisme penghargaan kepada golongan itu.

“Kita tidak boleh membeli nilai bakti mereka tapi insentif ini boleh menjadi penawar atas bebanan ditanggung itu.

“Pada masa sama, berikan ruang kebebasan dan kepercayaan untuk guru mencorakkan idea bagi mendidik pelajar. Percayalah, mereka ada banyak idea tapi kerana kekangan, ia tersekat,” katanya.

Guru moden juga disarankan bijak menggabungkan pelbagai idea untuk menjadikan sistem pembelajaran lebih seronok.

“Mereka perlu menjadikan konsep pembelajaran lebih menarik, efektif, kreatif dan kritis, bukannya statik.

“Guru juga perlu mengambil kira faktor perubahan persekitaran seperti sains dan teknologi kerana proses pendidikan bukan melalui buku semata-mata.

“Rugi jika tidak menggunakannya bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Usaha melahirkan guru berkualiti juga katanya perlu dilaksanakan tanpa kompromi bagi memastikan pelajar dan sistem pendidikan memperoleh impak paling maksimum.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna mahu memperlekeh atau mempertikaikan kemampuan guru sedia ada. Mereka tetap yang terbaik.

“Cuma pastikan, mereka yang mahu menjadi guru benar-benar mempunyai azam tinggi serta mampu memberi komitmen terhadap tugas,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/