Penulis pernah ditanya seorang
rakan, benarkah jika kita belajar di institusi luar negara prestijnya lebih
tinggi berbanding melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan?
Sukar memberikan jawapan kerana
penulis tidak pernah melanjutkan pengajian di luar negara. Namun, berdasarkan
pemerhatian, pelajar institusi pengajian tinggi luar negara memang menerima
pelbagai kelebihan.
Malah, kelebihan itu adakalanya
diterjemahkan secara keterlaluan sehingga menenggelamkan kelebihan pelajar
institusi tempatan yang turut mempunyai pencapaian membanggakan.
Justeru, ramai yang sanggup
mengeluarkan belanja besar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara apabila
tidak mendapat penajaan, sedangkan sudah banyak institusi pengajian tinggi tempatan yang tidak kurang hebatnya.
Presiden Management and Science University
(MSU), Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, dalam hal ini tidak
perlu mewujudkan perbezaan taraf kerana kedua-duanya bermatlamat mendukung
aspirasi pendidikan.
Menurutnya, tanggapan pemilihan
institusi pengajian tinggi luar negara kerana status juga adalah sekadar
persepsi.
“Percayalah, jika institusi itu
adalah yang terbaik di dunia sekali pun, tetapi kemahuan pelajar untuk berjaya
tiada, ia tidak mungkin akan membawa kejayaan.
“Taraf sesebuah institusi bukan
jaminan kejayaan. Sebaliknya, individu sendiri yang menjadi penentu.
“Institusi berfungsi hanya
menjadi platfom untuk memberikan pendidikan. Perkara lain termasuk mencorakkan
keputusan adalah diri pelajar,” katanya.
Beliau juga menegaskan, adalah
tidak benar jika kemasukan pelajar ke institusi luar negara lebih mudah asalkan
sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri, walaupun ia membabitkan institusi
pengajian tinggi swasta.
“Dalam soal kualiti, saya percaya
setiap institusi tiada kompromi. Sama ada tempatan mahupun luar negara,
piawaian tertentu mesti dipatuhi kerana ia membabitkan penanda aras, imej serta
kredibiliti sesebuah institusi.
“Setiap kemasukan perlu mematuhi
syarat. Ini bukan soal mampu bayar atau tidak tapi lebih kepada nilai etika
pendidikan itu sendiri yang mesti mengekalkan prinsipnya,” katanya.
Menurutnya, walaupun sesiapa saja
mempunyai peluang yang luas untuk mengakses pendidikan di peringkat pengajian
tinggi, kata pemutus tetap terletak dalam bidang kuasa institusi berkenaan.
“Kita perlu sedar, bahawa
kemasukan pelajar ke mana-mana institusi ada tapisan. Bukan sewenang-wenangnya
institusi membuka pintu kepada pelajar jika mereka tidak memenuhi kelayakan.
“Biarpun akses pendidikan itu
tidak terhad, institusi juga perlu mematuhi prinsip dan piawaian sedia ada bagi
menjamin kualiti pelajar yang bakal dilahirkan,” katanya.
Pencapaian institusi tempatan
juga kata Dr Mohd Shukri, sudah terbukti mendapat pengiktirafan dari seluruh
dunia, malah modul dan program ditawarkan juga setanding dengan institusi luar
negara.
Menurutnya, penambahbaikan dalam
setiap modul dan program sentiasa disemak serta dilakukan bagi menjamin kualiti
pembelajaran.
“Kita sendiri juga sudah melihat
transformasi pendidikan ditawarkan menerusi pelbagai pengenalan kursus,
kemahiran dan sebagainya.
“Oleh itu, tidak wujud isu
institusi kita tidak setanding, malah mungkin sebenarnya lebih baik. Cuma kita
kurang maklumat mengenainya dan sering dimomokkan institusi luar lebih elit.
Kita perlu melihat bagaimanakah konteks elit ini,” katanya.
Beliau mengakui, institusi lama
dan tersohor seperti Cambridge dan Princeton University sebagai contoh
memang berada dalam kelas tersendiri, namun bagaimana pula dengan sesetengah
institusi lain?
“Adakah benar apa yang ditawarkan
bersifat elit atau lebih kurang sama institusi kita? Mungkin perbezaan wujud
dari segi kandungan dan cara pembelajaran. Namun, asasnya masih sama iaitu
memberi pendidikan agar mereka memperoleh ilmu,” katanya.
Menurutnya, kini institusi
pengajian tinggi tempatan juga giat menuju taraf antarabangsa dan berusaha
memperoleh seberapa banyak pengiktirafan, malah ia menjadi satu tanda komitmen
dan tanggungjawab yang sedang dilaksanakan dengan penuh dedikasi.
“Hal ini juga lambang komitmen
institusi kita untuk menjadi yang terbaik. Kita perlu bangga, biarpun ada yang
memberi reaksi berbeza.
“Institusi tempatan mampu
bersaing kerana kita juga saling belajar antara satu sama lain. Akses
pendidikan global memungkinkan pertukaran budaya ilmu berlangsung dengan
mudah,” katanya.
Beliau berkata, bagi MSU pihaknya
menggariskan beberapa cara menjana proses mengantarabangsakan institusi,
seperti melalui program ditawarkan, pelajar antarabangsa, kajian perbandingan,
akreditasi, kelayakan, fakulti dan tenaga pengajar serta kerjasama dengan
institusi luar negara.
“Usaha MSU ini merangkumi semua
aspek yang digabungkan secara menyeluruh dengan satu tujuan iaitu meneroka
konsep pendidikan terkini seiring globalisasi.
“Kepentingan MSU ialah pendidikan
yang mampu melahirkan aset serta keupayaan pelajar dalam semua bidang. Justeru,
apa yang dilaksanakan mestilah mempunyai kualiti yang mampu memperoleh
pengiktirafan,” katanya.
Katanya, apa yang dilakukan itu
menjadi kayu pengukur serta timbang tara MSU dalam melaksanakan misi
pengantarabangsaan dengan setiap aspek dilaksanakan juga menuju ke arah
pengukuhan jenama.
“Sejak 30 tahun penubuhan,
bermula sebagai sebuah kolej, kami sentiasa menetapkan matlamat untuk menjadi
yang terbaik dalam kalangan terbaik.
“Namun, ia bukan mudah kerana
perlu merentasi pelbagai halangan. Pengiktirafan sama ada tempatan mahupun
peringkat antarabangsa menjadi bukti komitmen kami memberi pendidikan terbaik
kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/