Rabu, 26 Disember 2012

ISU SOSIAL : Budaya 'jaga tepi kain orang' perlu dipandang positif


Oleh : Akhbar Satar

Di Malaysia secara keseluruhan setiap hari sembilan kanak-kanak didera atau seorang bagi setiap tiga jam. Penderaan kanak-kanak di negara ini menunjukkan peningkatan yang ketara dan semakin kronik. Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 9,474 kes dera dilaporkan dalam tempoh tiga tahun ini. Kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana takut diugut, bimbang menjejaskan nama keluarga dan juga demi masa depan kanak-kanak terutama kanak-kanak perempuan.

Penderaan bermaksud perbuatan zalim yang dilakukan terhadap golongan kanak-kanak yang berusia kurang daripada 18 tahun. Kajian menunjukkan, kebanyakan mangsa mengenali pendera. Faktor hubungan erat ini sering dieksploitasikan sebagai jalan keluar, malah aduan anak kecil perlu diberi perhatian oleh ahli keluarga. Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 40 peratus daripada pelaku adalah daripada kalangan ibu bapa dan 19 peratus membabitkan pengasuh. Kanak-kanak yang didera adalah dalam lingkungan umur satu hingga tujuh tahun dan 41 peratus daripadanya adalah lelaki.

Pendera dikategorikan sebagai tidak berperikemanusiaan kerana ada antara pendera adalah ibu bapa kandung, tiri, kekasih dan keluarga terdekat. Kes terbaru berlaku ke atas Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, dua tahun, meninggal dunia dengan kesan lebam di muka dan kecederaan pada testis dipercayai akibat didera teman lelaki ibu kandungnya.

Kanak-kanak sering didera sama ada dari segi fizikal, mental atau seksual. Penderaan dari segi fizikal ialah penderaan yang meninggalkan kesan akibat dipukul, diterajang, dicucuh puntung rokok dan lain-lain. Penderaan dari segi mental berlaku akibat kritikan berterusan, ugutan serta ketiadaan kasih sayang dan diabaikan penjaga. Mangsa akan mengalami kesan psikologi seperti tekanan jiwa, gangguan emosi dan mental.

Stres antara penyebab penderaan

Penderaan secara seksual adalah apabila seseorang kanak-kanak digunakan untuk mencapai kepuasan seks, seperti menyentuh bahagian sulit kanak-kanak, sumbang mahram, dirogol, diliwat dan eksploitasi komersial menerusi produksi bahan lucah.

Peningkatan kes penderaan kanak-kanak dilihat mempunyai korelasi dengan masalah stres akibat sikap kebendaan masyarakat yang rela dibebani hutang demi keinginan menjalani gaya hidup mewah. Masalah ekonomi juga mendorong ibu bapa untuk berkerja dan menghabiskan waktu lebih lama di pejabat. Apabila tertekan, kecewa dan marah akan mudah diterjemahkan dalam bentuk keganasan. Biasanya mereka yang lemah dan tidak berupaya untuk melawan iaitu kanak-kanak sering menjadi mangsa.

Tambahan pula tabiat anak yang masih kecil memang suka merengek dan menangis kerana mereka perlukan perhatian sedangkan ketika itu ibu bapa dalam keadaan stres menyebabkan mereka melepaskan geram terhadap anak mereka.

Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak mereka kerana krisis rumah tangga kerana terlalu cemburu atau pertengkaran disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih. Apabila ibu bapa bergaduh, mereka tidak mempunyai pertimbangan yang baik di mana anak menjadi mangsa. Suami tidak boleh memukul isteri dan sebagai ganti, suami akan memukul anak yang tidak mampu melawan.

Denda RM20,000

Perpisahan atau perceraian ibu bapa menjadi salah satu faktor berlakunya kes penderaan kanak-kanak yang menunjukkan trend peningkatan di negara ini. Pakar kriminolgi berpendapat faktor alam sekitar iaitu ‘crime is learned’ juga mempunyai kaitan dengan kes dera. Jika sekiranya kanak-kanak selalu diperlakukan dengan tindakan negatif seperti didera ketika kecil, mereka akan menjadi ganas apabila meningkat dewasa dan melakukan perkara yang sama kepada anak mereka kerana sudah biasa dengan perlakuan sedemikian.

Mana-mana pihak yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak dan disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 31(1) (a) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Mahkamah wajar mengenakan hukuman maksimum kepada sesiapa saja yang mendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan juga pendera berasa takut hukuman yang bakal mereka hadapi dan tidak akan melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

Ibu bapa penting mengenal pasti tanda-tanda penderaan seksual seperti perubahan tingkah laku, berahsia, marah, menyisihkan diri, takut kepada gelap dan mengigau. Ahli keluarga, jiran serta masyarakat memainkan peranan penting membuat laporan segera kepada pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika mengesyaki penderaan kanak-kanak berlaku. Talian Nur 15999 dikendalikan 24 jam menerima laporan kes penderaan dan lain lain. Bagaimanapun, JKM perlu mencari jalan, menghebahkan kepada masyarakat luar bandar cara yang sesuai dan mudah untuk melaporkan kes-kes penderaan kepada JKM.

Budaya ‘menjaga tepi kain orang’ seharusnya dipandang secara positif oleh masyarakat dalam usaha membendung masalah penderaan, khususnya membabitkan kanak-kanak.

Penulis ialah pakar kriminologi

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KEMUDAHAN AWAM : Jalan berlubang di sana sini, bila mahu selesai?


ISUNYA, isu lama dan masih sama yang sering dilalui oleh kebanyakan pengguna jalan raya - jenuh mengelak jalan berlubang.

Lebih-lebih lagi dalam musim hujan ini, pengguna-pengguna jalan raya pasti merungut dan bosan meredah jalan-jalan berlubang di sana sini tidak kira di jalan utama, jalan negeri, jalan persekutuan atau jalan-jalan di kawasan perumahan.

Akhbar pun sudah kerap kali menyiarkan berita dan laporan khas tentang jalan-jalan yang berlubang di seluruh negeri, dan tidak terkecuali bandar metropolitan Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang, yang memang panjang senarai jalan-jalannya yang rosak.

Jalan berlubang, berlopak dan tidak sekata bagaikan sudah menjadi satu pemandangan yang biasa di bandar raya ini. Kita juga sudah biasa melihat kerja-kerja mengorek dan menurap jalan yang sering dilakukan di sana-sini sehingga membuatkan kesesakan jalan raya walaupun dilakukan pada malam hari dan kita juga sudah biasa melihat jalan yang sama yang sudah ditampal itu rosak semula tidak sampai beberapa bulan.

Pun begitu dalam melalui semua keluh kisah itu, Kuala Lumpur dikhabarkan sedang mengejar status antara 20 bandar raya terbaik di dunia pada tahun 2020. Maka timbul satu persoalan yang amat besar setelah melihat keadaan jalan raya yang asyik dikorek dan ditampal ini, bolehkah sasaran itu dicapai? Inilah menjadi cabarannya.

Sekiranya mahu memenuhi impian yang tinggi-tinggi dan menjadi yang terbaik, perkara asas seperti penyelengaraan dan kualiti jalan raya sewajarnya diberi fokus utama dan didahulukan. Sedangkan, ciri-ciri terbaik itu menuntut kepada memenuhi soal keselesaan dan keselamatan orang ramai. Barulah warga kota berpuas hati dan tidak mempertikaikan mengapa bandar raya ini dikatakan yang terbaik.

Sakit mata yang memandang jalan raya yang berlubang seperti yang dikatakan oleh seorang teman saya - ''sampai keluasannya boleh buat mini kolam memancing'' , sakit lagi pemilik kenderaan yang menanggung.

Bukan sahaja terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih kerana menanggung kos memperbaiki kenderaan yang rosak kerana terbabas atau terlanggar lubang dan lopak, tetapi berisiko menjadi mangsa kemalangan yang mengancam nyawa. Lebih-lebih lagi kepada penunggang motosikal.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) turut mendapati faktor kemalangan jalan raya bukan hanya tertumpu kepada faktor manusia, tetapi juga faktor keadaan jalan raya.

Maka, selain menumpukan kepada kempen mengenai keselamatan jalan raya dan menekankan kepada aspek-aspek kecuaian manusia disamping melaksanakan penguatkuasaan, aspek penyelenggaraan jalan raya janganlah terlepas pandang.

Bila jalan raya yang sudah diturap, rosak semula, timbul tanda tanya, macam mana kerja-kerja penurapan ini dilakukan, sekejap sahaja okey. Apakah kerja-kerja menurap dilakukan sekadar menutup bahagian permukaan sahaja. Soal kualiti penurapan ini siapa yang jaga? Kalau tiada kualiti kenapa pilih kontraktor terbabit?

Aspek kualiti turapan ini sepatutnya tidak boleh dikompromi atau dipandang mudah kerana ia membabitkan reputasi sistem jalan raya di negara ini dan yang lebih penting keselesaan dan keselamatan orang ramai yang menggunakan kemudahan tersebut.

Mungkin ada wajarnya, kontraktor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak tahu dan tidak mahir membuat serta menyelenggara jalan raya dengan baik dikenakan saman ratusan juta ringgit seperti yang dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, dan Jepun.

Dalam pada itu, penguatkuasaan juga perlu lebih tegas. Lori-lori bermuatan berat sepatutnya dilarang melalui jalan-jalan yang tidak dapat menampung keupayaan berat melebihi 80 metrik tan misalnya. Jika dibenarkan juga, sampai bila-bila pun kerja korek dan tampal ini kerap kali dibuat.

Sekiranya keadaan jalan raya di negara ini berterusan begini, mungkin kenderaan yang paling sesuai dan selamat digunakan adalah kenderaan pacuan empat roda, yang cukup lasak tetapi tidak semua orang mampu memilikinya.

PBT di lokasi-lokasi yang terbabit sepatutnya peka terhadap aduan orang ramai atau menjalankan pemantauan yang lebih kerap terhadap jalan-jalan di kawasan pentadbiran mereka.

Tidak perlulah menunggu pihak media melaporkan dan menyiarkan gambar kerosakan- kerosakan jalan raya tersebut baru mahu bertindak atau bertindak selepas jalan terbabit mengundang insiden tragik kepada pengguna, yang membabitkan kehilangan nyawa, ini lagi haru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/