Rabu, 24 Ogos 2016

ISU BAHASA : Perlu tegas kuatkuasakan bahasa Melayu

Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev
Oleh : ABD. AZIZ ITAR

PENGALAMAN selama 15 tahun Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev sebagai pensyarah bahasa Melayu dan bahasa Rusia di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah merumuskannya banyak perkara tentang jati diri rakyat negara ini. Beliau antara lain mendapati penggunaan bahasa Melayu semakin lemah bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia pada hari ini, tetapi ia turut berjangkit ke peringkat lain termasuk dalam sistem pendidikan dan pentadbiran kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak terutama kerajaan mengambil berat, mengkaji semula dasar penggunaan bahasa Melayu serta menguatkuasakannya di semua peringkat sesuai dengan peruntukan Perkara 152 dalam Perlembagaan. Dr. Victor yang menamatkan kontraknya sebagai pensyarah bahasa di Fakulti Liguistik UM pada hujung bulan lalu berkata, jika tiada usaha serius dilakukan dalam waktu terdekat dikhuatiri bahasa Melayu akan hilang dominasi di negara sendiri.

“Saya dapati penggunaan bahasa Melayu semakin lemah di Malaysia. Kerajaan tidak tegas menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di semua peringkat terutama dalam sistem pendidikan. Ini adalah proses awal dan ia amat penting dalam usaha tersebut.

“Kalau tiada usaha serius, saya yakin bahasa Melayu akan terus tenggelam di dalam bahasa lain seperti Inggeris yang semakin dominan. Mungkin tidak sampai 50 tahun bahasa ini akan hilang ‘kekuasaannya’ di negara ini,” katanya.

Pensyarah dan pejuang bahasa Melayu berusia 70 tahun ini melahirkan rasa kebimbangannya itu kepada Mingguan Malaysia sewaktu ditemui di pejabatnya di UM pada hari terakhir beliau berkhidmat di universiti itu yang beliau telah menyumbangkan jasanya sejak 2001. Dr. Victor dalam perbualan selama hampir dua jam itu tidak henti-henti bercakap tentang banyak isu yang menjurus kepada usaha-usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia sejak negara mencapai kemerdekakaan pada 1957.

Penipisan

Sebagai bekas pelajar bahasa Melayu dan pernah menuntut di UM pada 1970, beliau melihat perjalanan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rakyat negara ini seakan-akan tidak dipedulikan oleh semua pihak secara perlahan-lahan tanpa disedari. Berdasarkan pengalamannya sebagai pensyarah di UM banyak perkara yang berlaku di depan matanya sendiri memperlihatkan senario itu, dan ia sedang dan akan terus berlaku. Maka proses ‘penipisan’ penggunaan bahasa Melayu perlu disekat.

“Saya pernah mengajar dalam sebuah kuliah yang dihadiri kira-kira 30 pelajar yang majoritinya pelajar tempatan, manakala dua dari China. Tetapi saya terpaksa mengajar dalam bahasa Inggeris semata-mata kerana dua pelajar ini tidak faham bahasa Melayu.

“Sepatutnya mereka perlu memahami bahasa Melayu sebelum memasuki kuliah seperti itu. Ini kerana, kalau di Rusia mahasiswa asing perlu mempelajari bahasa Rusia selama setahun dan selepas itu baru boleh masuk kuliah diajar dalam bahasa Rusia,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan salah seorang ahli dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu yang mewakili Rusia berkata, kerajaan perlu mencontohi negara-negara lain seperti Jerman, Indonesia dan Jepun dalam memartabatkan bahasa Melayu. Antaranya dengan mengetatkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan-urusan rasmi negara seperti dalam surat menyurat, mahupun ke atas rakyat asing yang mahu belajar ataupun bekerja di negara ini ini.

“Contohnya kalau di Jerman, setiap pekerja asing yang mahu bekerja di sana dimestikan mengikuti kursus dalam bahasa Jerman sebelum diambil bekerja. Begitu juga di Indonesia yang amat menekan penggunaan bahasa mereka.

“Malah, di Rusia sendiri setiap urusan rasmi membabitkan jabatan kerajaan diwajibkan menggunakan bahasa Rusia, kalau tidak mereka yang terlibat akan didenda ataupun urusan-urusan mereka itu tidak akan dilayan. Tetapi semua itu tidak berlaku di sini,” katanya.

Dalam pada tegas untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini, namun itu tidak bermakna beliau menafikan 100 peratus kepentingan dan penguasaan bahasa-bahasa lain terutama bahasa Inggeris. Bapa kepada tiga orang anak dan dua cucu ini berkata, bahasa Inggeris perlu difahami untuk komunikasi warga asing atau sewaktu berada di luar negara tetapi penggunaan bahasa Melayu dalam urusan seharian di negara ini perlu mengutamakan bahasa Melayu.

“Tiada alasan tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam apa juga bidang termasuk sains dan teknologi. Buktinya bangsa Jepun, Perancis dan Jerman boleh maju dalam sains dan teknologi dengan menggunakan bahasa mereka, mengapa di sini tidak boleh?

“Malah, banyak kamus dalam bahasa Melayu yang telah menterjemahkan bahasa-bahasa lain termasuk yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi ke dalam bahasa Melayu yang sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

Dr. Victor misalnya, antara individu yang proaktif dalam mengembangluaskan penggunaan bahasa Melayu termasuk dengan menterjemahkan bahan-bahan bacaan daripada bahasa Rusia ke dalam bahasa Melayu bagi mencapai matlamat tersebut.

Turut diusahakannya adalah penyusunan perkataan dan terjemahan daripada bahasa Rusia ke dalam bahasa Melayu dan daripada bahasa Melayu ke dalam bahasa Rusia agar lebih banyak perbendaharaan kata diserap dalam usaha memperkasakan lagi bahasa rasmi ini.

Sepanjang menetap di Malaysia, banyak pengalaman manis yang dilalui oleh Dr. Victor terutama dalam bercampur gaul dengan masyarakat negara ini terutama orang Melayu.

Selain banyak menulis artikel dalam pelbagai jenis penulisan, beliau juga banyak menulis puisi dalam bahasa Melayu termasuklah berjudul Abdullah.

Berikut adalah sajak kegemaran beliau yang bertajuk Namaku Abdullah

Namaku Abdullah

Namaku Abdullah.
Bapa angkat aku tinggal di Pahang Tua,
Ibu angkat aku tinggal di Pahang Tua,
Saudara angkat aku tinggal entah di mana.
Namaku Abdullah.
Bayu memanggil Abdullah,
Ombak memanggil Abdullah,
Hutan belantara memanggil Abdullah,
Bulan purnama memanggil Abdullah.
Namaku Abdullah.
Di sinilah hati aku,
Di sinilah jiwa aku -
Tanah yang suci,
Tanah yang murni.
Malaysia -Rumahku yang kedua.
Malaysia -Cintaku yang pertama.

- Sumber : http://www.utusan.com.my/ ( 21 Ogos 2016)