Rabu, 13 Julai 2016

ISU SOSIAL : AKIBAT HANGAT-HANGAT TAHI AYAM


OLEH : ZULKIFLEE BAKAR 

KEMALANGAN  jalan  raya melibatkan bas ekspres bukanlah isu baharu, malah sudah berlaku sejak bertahun-tahun lalu. Tetapi apabila sesuatu kemalang­an terjadi melibatkan kenderaan itu ketika itulah kita menyaksikan bagaimana pihak berkuasa dengan ‘penuh bangga’ memaparkan rekod kesalahan sama ada melibatkan bas terlibat atau pemandunya.

Begitulah juga apabila berlaku kemalangan sebuah bas ekspres yang merempuh 10 buah kenderaan di Kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Terowong Menora, Ipoh, Perak, kelmarin, pihak polis mendedahkan bagaimana pemandu terbabit mempunyai sembilan saman, manakala bas persiaran terlibat memiliki 63 saman! Persoalannya apakah setelah berlaku sesuatu kejadian barulah pihak terlibat kelam-kabut untuk mencari penyelesaian?

Dalam soal ini, pihak polis tidak terlibat, yang sepatutnya bertanggungjawab menangani permasalahan tersebut ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Orang ramai sudah pasti tertanya-tanya bagaimana mungkin pemandu dan bas yang mempunyai rekod sedemikian rupa masih lagi dibenarkan beroperasi di lebuh raya? Di manakah silapnya? Apakah undang-undang negara kita terlalu lemah untuk membanteras syarikat-syarikat bas yang tidak bertanggungjawab seumpama itu?

Ketika pulang ke Kedah pada 4 Julai, penulis melihat sendiri bagaimana bas-bas ekspres dipandu laju. Mereka memandu sesuka hati dan memotong di laluan laju seolah-olah lebuh raya, mereka yang punya. Tetapi itu bukanlah perkara luar biasa kerana itulah sikap pemandu bas ekspres kita. Soalnya kenapakah mereka boleh bertindak demikian?

Hakikatnya, kita bosan apabila melihat pelbagai pihak riuh sekampung memberi ulasan itu dan ini apabila kemalangan berlaku. Sepatutnya sejak dari awal lagi, langkah pencegahan dilakukan oleh JPJ dan SPAD bagi meng­atasi masalah tersebut.

Sebelum ini, kita sering dihidangkan dengan pelbagai langkah yang akan dilakukan oleh JPJ mahupun SPAD bagi memastikan bas ekspres atau bas persiaran berada dalam keadaan selamat dan bersih dari segi rekod sebelum dibenarkan berada di jalan raya mahupun lebuh raya. Hakikatnya semua itu ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Sepatutnya, JPJ dan SPAD le­bih prihatin dan serius dalam memastikan hanya bas ekspres atau bas persiaran yang ‘benar-benar bersih’ diizinkan beroperasi. Ini termasuklah memastikan ken­deraan itu bebas daripada sebarang saman manakala pemandu tidak mempunyai sebarang rekod sama ada kesalahan lalu lintas atau menagih dadah.

Adalah sesuatu yang memalukan apabila sebuah bas ekspres yang mempunyai 63 buah saman masih dibenarkan bermaharajalela di lebuh raya seolah-olah saman yang dikeluarkan ‘penyata tahunan’ semata-mata.

Itu baharu sebuah bas, penulis yakin beratus-ratus lagi bas di negara ini mempunyai saman tertunggak termasuklah melibatkan pemandu, tetapi apa yang JPJ dan SPAD lakukan? Adakah hanya ‘menegur dan menggesa’ sahaja agar syarikat bas melakukan pemeriksaan dan saringan terhadap pemandu?

Oleh itu bagi mengelakkan rakyat berasa mual dan bosan disebabkan sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ pihak berkuasa adalah wajar langkah drastik dan tindakan lebih tegas diambil oleh JPJ dan SPAD. Antaranya memastikan semua syarikat bas membayar saman tertunggak yang dimiliki. Selagi saman tersebut tidak dijelaskan, selagi itulah bas terlibat tidak dibenarkan beroperasi. Begitu juga dengan pemandu yang mempunyai saman, mereka juga sepatutnya dikenakan tindakan tidak boleh memandu selagi saman tidak dijelaskan.

Selain itu, peraturan pemeriksaan kesihatan secara berkala ke atas pemandu-pemandu bas ekspres juga perlu dilakukan secara serius bukannya ‘sekejap ada, sekejap tak ada’. Ini bagi memastikan mereka bebas daripada pe­ngaruh dadah.

JPJ dan SPAD seharusnya le­bih proaktif dalam soal ini kerana nyawa orang awam tidak boleh dipertaruhkan apabila mereka menggunakan perkhidmatan bas ekspres. Syarikat-syarikat bas yang ingkar mematuhi peraturan perlu dikenakan tindakan tegas terma­suklah digantung permit mereka.

Agak malang segala peraturan yang dibuat oleh JPJ mahupun SPAD dianggap ‘sekadar hiasan’ sehinggakan kemalangan melibatkan bas ekspres sering kali berlaku. Sesetengah syarikat bas ekspres pula seolah-olah tidak berasa gerun dengan apa juga peratur­an dan undang-undang sedia ada kerana mereka tahu pihak berkuasa hanya bercakap tetapi tiada tindakan.

Justeru walaupun mengetahui bas atau pemandu mereka bermasalah, syarikat bas tetap beroperasi seperti biasa seolah-olah tiada apa yang perlu dibimbangkan. Syarikat bas tidak bimbang kalau disaman lagi kerana mereka ‘boleh buat koleksi’ dan jumlah­nya hanya akan diketahui apabila kenderaan milik mereka terlibat dalam kemalangan.

Mungkin apa yang dinyatakan tidak menyenangkan hati pihak terlibat, tetapi itulah realiti yang berlaku di negara kita dari segi perkhidmatan bas ekspres. Sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ masih menebal dalam kalangan penguat kuasa sehingga memungkinkan nyawa orang ramai yang menggunakan perkhidmatan kenderaan tersebut sentiasa dalam bahaya.

Oleh itu adalah diharapkan kemalangan terbaru melibatkan bas ekspres pada musim Aidilfitri kali ini akan menyedarkan semua pihak terlibat, sekarang adalah masa untuk benar-benar bertindak, bukannya sekadar membuat kenyataan yang memualkan apabila tragedi berlaku.


Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pedofilia : Isu Jenayah Yang Wajib Dibanteras


Oleh : Muhammad Effendi Ismail 

KANAK-KANAK adalah anugerah tuhan yang terindah. Bagi kebanyakan ibu bapa, kanak-kanak adalah golongan yang menjadi penceria suasana apabila lahir ke dunia ini.

Menurut Prof Robert J. Waldinger (psikatris dari Harvard University), kanak-kanak adalah antara kelompok penting bagi merapatkan hubungan di dalam keluarga dan juga komuniti.

Suka atau tidak, realitinya kanak-kanak adalah golongan yang lemah dan memerlukan perhatian. Malangnya, wujud individu-individu dewasa yang mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka.

Golongan ini dinamakan Pedofilia – golongan yang suka kepada kanak-kanak (sama ada lelaki atau perempuan) sehingga kanak-kanak dijadikan objek seks semata-mata.

Menurut laporan Persatuan Psikiatri Amerika (APA), pedofilia adalah salah satu penyakit mental, berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah turut berlaku di seluruh dunia.

Di Malaysia sendiri, antara kes yang berlaku pada tahun 2007 adalah kisah Nurin Jazlin yang ditemui maut dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

Menurut laporan PDRM, pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa, menyebabkan rektum mangsa pecah sehingga dijangkiti bakteria dan menyebabkan kematian kepada kanak-kanak tersebut.

Selain kes adik Nurin, banyak lagi kes jenayah seksual kanak-kanak, misalnya kes rogol dan bunuh Nurul Huda Abdul Ghani yang berusia 10 tahun.

Bagi kes terbaru, lebih 200 kanak-kanak Malaysia telah didera secara seksual oleh seorang pedofilia Britain, Richard Huckle.

Dr. Ray Blanchard (pakar psikologi perkembangan manusia dari University of Toronto) menyatakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia bukan sahaja didera secara seksual malah akan mengakibatkan mereka trauma seumur hidup.

Lebih malang lagi, bagi sesetengah kes pedofilia ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri. Jika jenayah ini dibiarkan berterusan tanpa tindakan serius, bilangan kanak-kanak yang bakal menjadi mangsa akan terus meningkat.

Terdapat beberapa tindakan yang boleh kita lakukan bagi mencegah jenayah ini daripada terus berlaku.  Antaranya cadangan kerajaan mewujudkan akta khas kepada pesalah pedofilia perlulah disegerakan.

Malaysia seharusnya mencontohi negara-negara maju yang lain seperti United Kingdom yang sudah lama mengenakan hukuman berat ke atas pesalah pedofilia. Selain daripada tindakan undang-undang, Malaysia juga perlu mewujudkan pendidikan keselamatan dan seksologi bagi kanak-kanak di sekolah.

Apabila dari awal usia lagi kanak-kanak telah diberi pendedahan tentang perkara-perkara ini, lebih mudah jenayah pedofilia ini dapat kita elakkan. Selain pendidikan, ajaran agama perlu disuburkan ke dalam setiap diri individu di dalam masyarakat.

Jika tindakan ini diambil, jenayah pedofilia dapat dikurangkan malah kejadian sumbang mahram juga dapat dielakkan. Dalam isu ini, ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang penting. Antaranya ibu bapa perlu sentiasa prihatin tentang keadaan sekeliling anak-anak dan bina kepercayaan supaya menjadi tempat bercerita dan mengadu.

Kesimpulannya, jika semua pihak bekerjasama dengan baik, isu ini dapat kita elakkan. Kanak-kanak ini, biar siapa pun mereka, biar apa pun latar mereka, pada hakikatnya mereka juga adalah anak-anak kita.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia memahami dengan lebih mendalam tentang jenayah pedofilia ini dan membanterasnya demi masa depan anak-anak kita.

Penulis Penuntut Ijazah Sarjana Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/