Rabu, 30 April 2014

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Menjaga adab-adab semasa bekerja


Oleh  : MOHD. ALI MUHAMAD DON

PEKERJA adalah aset yang sangat bernilai kepada negara. Tanpa pekerja yang komited dan berdedikasi dalam melakukan pekerjaan banyak keperluan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh golongan pengguna tidak dapat disempurnakan.

Lebih daripada itu, pekerjaan merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada golongan pekerja, tidak kira sama ada seseorang bekerja disektor kerajaan mahupun swasta. Malah amanah ini akan dipertanggungjawabkan di hari kemudian sekiranya gagal dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Syariat Islam yang suci sangat menggalakkan umatnya untuk bekerja terutama bagi menyara kehidupan diri dan keluarga selain membantu golongan marhaen yang memerlukan. Ini penting bagi mengelakkan perbuatan meminta-minta yang merendahkan maruah serta menjatuhkan air muka sendiri.

Dalam hal ini Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; “Lebih baik seseorang bekerja dengan mengumpulkan seikat kayu api di belakangnya berbanding dengan seseorang yang meminta-minta (mengemis) lantas ada yang memberi atau enggan memberi sesuatu padanya." (Riwayat al-Bukhari).

Dalam riwayat lain, disebutkan pula bahawasanya - “Tidak ada seseorang memakan suatu makanan yang lebih baik daripada makanan hasil kerja keras tangannya sendiri. Dan Nabi Daud 'alaihis salam makan daripada hasil kerja keras tangannya." (Riwayat al-Bukhari).

Sehubungan itu, tindakan sesetengah pihak yang menjadikan perbuatan meminta-minta sebagai pekerjaan harian seperti yang biasa dilihat di kawasan bank, stesen minyak dan tempat tumpuan awam lain wajar diberhentikan. Malah tindakan mempergunakan kanak-kanak dan pelajar sekolah adalah satu lagi kegiatan yang tidak bermoral dan boleh mencalar imej Islam yang wajib dipelihara.

Selain itu, setiap Muslim secara khususnya perlu memahami bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan mestilah selari dengan peraturan agama supaya dinilai sebagai ibadah dalam skop yang menyeluruh. Untuk itu juga syariat Islam melarang keras sebarang penglibatan umat Islam dalam kerja-kerja yang membabitkan minuman keras yang memabukkan. Begitu pula segala aktiviti maksiat seperti pelayan pelanggan (GRO), pelacuran, khidmat rumah urut dan lain-lain lagi.

“Daripada Annas bin Malik katanya: Bahawasanya Baginda Rasulullah SAW melaknat 10 golongan berkaitan arak iaitu : Yang memerahnya, yang minta diperahkannya, yang meminumnya, yang membawanya dan minta dibawa kepadanya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang makan harganya, yang membelinya dan yang minta dibelikan". (Riwayat al-Tirmizi)

Ini kerana terdapat segelintir individu Muslim yang seolah-olah tidak merasa bersalah memilih pekerjaan dalam bidang yang diharamkan. Ini mungkin tawaran gaji yang lumayan ataupun diselubungi kesempitan hidup dan dalam situasi terdesak memerlukan sumber kewangan tanpa mengira halal dan haram lagi.

Atau kemungkinan terdapat juga yang sengaja memilih pekerjaan yang tidak bermoral kerana keseronokan dan minat yang sememangnya jauh menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar.

Perlu difahami betapa penglibatan umat Islam dalam segala pekerjaan yang diharamkan hanya mengundang dosa dan kutukan daripada Allah SWT. Malahan pendapatan yang diperoleh walaupun kelihatan banyak tetapi tetap tidak akan pernah mencukupi kerana tiada keberkatan hasil usaha haram yang diceburi.

Selain itu seseorang pekerja hendaklah bersifat amanah lagi jujur dalam pekerjaan yang dilakukan. Perbuatan meminta rasuah ataupun suapan dengan sedikit kuasa yang ada hanya akan menggalakkan aktiviti tidak bermoral yang menyebabkan negara semakin mundur dan tidak bertamadun. Lebih daripada itu, pelaku rasuah sama ada yang memberi ataupun menerima tetap beroleh kutukan dosa yang akan dibawa bersama apabila meninggalkan dunia yang fana ini.

Aspek pergaulan di tempat kerja juga perlu diberi perhatian. Bagi yang sudah berumahtangga diingatkan agar tidak terlalu mesra dengan rakan sekerja kerana dikhuatiri akan mengundang kepada keruntuhan rumahtangga akibat kehadiran orang ketiga.

Pakaian yang dipakai ketika bekerja juga patut diberi perhatian. Kaum wanita terutamanya disarankan supaya sentiasa menjaga tata susila dan kesopanan diri dengan mengenakan pakaian yang menutup aurat ketika bekerja.

Usah juga terlalu berlebih-lebih dalam mengenakan alat solekan kerana dikhuatiri mengundang fitnah dan kesan buruk yang menyusahkan diri sendiri. Dalam hal ini etika pakaian ditempat kerja khususnya bagi umat Islam elok dipatuhi demi kebaikan bersama.

Umat Islam dinasihat supaya tidak lupa bekerja untuk Allah SWT yang merupakan tugas utama lagi perlu dititik beratkan. Usah lalai dengan tugasan seharian hinggakan ibadah khusus terabai.

Apa yang lebih penting setiap pekerja wajar mengikhlaskan niat ketika bekerja sehingga keseronokan dan motivasi bekerja dapat dipertingkatkan sepanjang masa.

Dengan cara itu individu Muslim akan memperoleh keberkatan dari pada rezeki yang diperoleh sehingga seluruh ahli keluarga dan ummah mendapat kesan sampingan yang baik akibat curahan rahmat Ilahi yang melimpah ruah dan tidak terhitung banyaknya.


PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 28 April 2014

ISU PENGAJIAN TINGGI : Menggelabah duit kering


Oleh : Ihsan Noorzali

Melihat gelagat sekumpulan siswa sebuah institusi pengajian tinggi bagaikan berlumba-lumba menayangkan model terbaru telefon pintar di tangan, penulis hanya mampu menggelengkan kepala.

Beriya-iya benar kumpulan lima siswa perempuan berkenaan memperagakan telefon bimbit yang berharga sekitar RM1,500 itu antara satu sama lain.

Ia ternyata hebat kerana penulis yang bekerja pun hanya mampu memiliki telefon bimbit berharga murah.

Melihat keghairahan golo­ngan muda terhadap gajet atau barangan berjenama mahal dengan harga ribuan ringgit, ia bukan fenomena luar biasa.

Namun yang menjadi luar biasa ialah mereka daripada golongan pelajar yang tentunya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Penulis percaya duit untuk membeli telefon bimbit itu pasti datang daripada wang pinjaman yang sepatutnya digunakan bagi tujuan menampung perbelanjaan.

Menyorot fenomena ini, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Syed Ismail Syed Mohamad berkata, pengaruh persekitaran terutama tarikan rakan dan media massa antara faktor utama golongan itu hilang pertimbangan.

Beliau berkata, mereka berani mengambil risiko kekurangan duit semata-mata mahu memenuhi keperluan naluri dan mung–kin juga mahu setanding rakan lain.

“Biarpun faham kegunaan wang itu adalah sebagai talian hayat mereka di universiti, tarikan persekitaran yang sangat kuat mampu menghilangkan pertimbangan dan kewarasan berfikir.

“Mereka sanggup ikat perut agar tidak ditertawakan rakan yang mungkin boleh menjatuhkan imej pada mata orang lain.

“Namun, apabila tersedar bahawa tindakan itu mengundang padah, barulah mereka akan menggelabah. Duit sudah hampir kering sedangkan semester masih ada lagi,” katanya.

Rentetan itu katanya, siswa akan menggunakan cara lain bagi memastikan mereka tidak terus dihimpit isu kekurangan duit.

“Mulalah timbul keadaan insiden meminta duit daripada ibu bapa yang diistilahkan sebagai FAMA (father mother), meminjam dengan rakan juga bekerja sambilan.

“Selepas itu, timbul juga masalah pencapaian merudum, kerja tidak mampu diselesaikan dan tidak hadir ke kuliah.

“Bayangkan, disebabkan kehilangan pertimbangan untuk berfikir dengan matang, banyak masalah lain berbangkit, sekali gus menghuru-harakan kehidupan siswa,” katanya tidak menafikan kebanyakan yang terjebak adalah siswa Melayu berusia 18 hingga 22 tahun.

“Meskipun tiada kajian khusus atau ilmiah, secara dasarnya inilah golongan yang paling banyak berbelanja tanpa had.

“Saya tidak kata semua (siswa Melayu boros), mungkin bangsa lain juga ada tapi memandangkan jumlah siswa ini paling ramai di institusi, tanggapan itu tidak dapat dielakkan.

“Apatah lagi jika kita lihat, betapa bergayanya mereka dengan rangkaian barangan mahal yang seharusnya hanya mampu dimiliki golongan bekerja,” katanya.

Beliau berkata, biarpun wang pinjaman itu adalah hak mereka, siswa perlu sedar ia adalah pinjaman dan perlu dibayar bila tiba masanya.

“Kebanyakan siswa tidak sedar mengenai hakikat itu atau jika sedar pun mungkin pura-pura buat tidak tahu.

“Saya tekankan, wang itu mesti dibayar balik bila sudah tiba masanya. Jadi bayangkan, alangkah ruginya jika ia digunakan dengan cara tidak betul.

“Wang itu diberikan dengan harapan dapat membantu siswa yang sedang belajar agar tidak terbeban dengan pembayaran yuran pengajian, asrama dan sebagainya. Bukan untuk bersuka ria,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa pun tiada hak menghalang jika siswa mahu menggunakan duit itu bagi tujuan memberi penghargaan pada diri selepas penat belajar.

“Memang boleh tapi biarlah berpada-pada dan disesuaikan ikut kemampuan. Anda masih belajar dan tiada punca pendapatan jadi ikut tahap status anda.

“Mengapa mesti berlagak seperti orang yang sudah bekerja. Orang bekerja ada pendapatan setiap bulan tapi anda perlu menuju setiap empat bulan atau lebih untuk memperoleh wang.

“Lebih menyedihkan, wang yang seharusnya digunakan bagi tujuan belajar disalahgunakan demi kepuasan peribadi,” katanya.

Ditanya kemungkinan sikap boros itu disebabkan tiada kesedaran diri, beliau mengakuinya.

“Pendapat saya, mereka kurang bijak memikirkan masa depan. Maksudnya, tindakan ini untuk hari ini saja manakala untuk hari lain, kita fikir pada hari itu.

“Jika mereka bijak membuat perancangan, duit diterima itu boleh disimpan. Walaupun sedikit, tapi jika dihimpun jumlahnya akan meningkat.

“Tamat pengajian, duit terkumpul itu boleh digunakan untuk tujuan lain seperti memulakan kerjaya keusahawanan, menampung keperluan semasa dan sebagainya,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian, cara itu katanya, banyak dipraktikkan siswa bangsa lain kerana secara dasarnya mereka lebih gemar berdikari berbanding meminta bantuan keluarga.

“Saya tidak kata siswa Melayu tiada inisiatif, tapi kebanyakannya tidak bijak dan kurang membuat persiapan awal.

“Bila tamat pengajian, mula menggelabah sebab tiada pendapatan dan belum mendapat pekerjaan.

“Nasihat saya, sesiapa jua perlu bijak membuat perancangan kewangan supaya tidak menyesal nanti. Jangan terlalu mengikut kata hati,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Jumaat, 25 April 2014

ISU BAHASA : INDONESIA, AUSTRALIA JUARA PABM 2014

Sally Jane Hill

Slamet Nur Anon

Oleh : KHAIRULANUAR YAHAYA

SERDANG 25 April - Peserta Indonesia, Selamet Nur Anon dan peserta Australia, Sally Jane Hill, masing-masing dinobatkan hari ini sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2014 bagi kategori alam Melayu dan antarabangsa.

Piala pusingan berserta hadiah wang tunai berjumlah AS$7,000 disampaikan kepada mereka berdua oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh sebaik pengumuman dibuat di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini malam tadi.

Bagi kategori antarabangsa peserta dari Yemen, Aiman Saleh Hasn Alammari muncel sebagai naib juara dan tempat ketiga dimenangi peserta China, Chen Nan.

Bagi kategori Alam Melayu pula, peserta negara Aiman Ariff Abdul Azij diumum sebagai naib juara dan tempat ketiga dimenangi peserta Thailand, Mahamat Yusof.

Naib Johan akan menerima piala iringan dan wang tunai AS$5,000, manakala tempat ketiga menerima piala iringan dan wang tunai AS$3,000  - UTUSAN ONLINE

Khamis, 24 April 2014

ISU BAHASA : Satu daripada 7,000 bahasa kecil mati setiap 14 hari


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Terdapat kira-kira 85 bahasa besar di dunia yang digunakan oleh 78 peratus penduduk dunia. Ini termasuklah bahasa Melayu/Indonesia dengan sekitar 300 juta penutur, bahasa Mandarin, bahasa Hindi, bahasa Inggeris dan sebagainya.

Di samping itu ada lebih kurang 7,000 bahasa lain di seluruh dunia, kebanyakannya di tempat yang terpencil, yang hanya digunakan oleh sejumlah 22 peratus penduduk dunia.

Contoh bahasa kecil termasuklah bahasa Tuvan di Rusia (235,000 penutur), bahasa Wintu di California, Siletz Dee-ni di Oregon, Ormuri di Pakistan-Afghanistan, Mamuju di Sulawesi Barat, serta 231 bahasa etnik asli yang bertaburan di seluruh Australia, termasuk bahasa Amurdak di Wilayah Utara Australia. Juga bahasa kelompok penduduk kecil di pulau-pulau serta belantara.

Sentiasa terumbang-ambing

Nasib 7,000 bahasa kecil ini sentiasa terumbang-ambing. Isu ini turut diangkat oleh National Geographic dalam sirinya Vanishing Voices. Satu bahasa akan mati setiap 14 hari. Kalau diibaratkan musim jerebu, bahasa kecil itu berada dalam analogi beberapa ‘titik panas’, yang akan terbakar hangus dan hilang atas beberapa sebab.

Sebab pertama, kerana jumlah penuturnya kecil. Apabila penduduknya meninggal dunia, jumlah penutur semakin sedikit. Sebab kedua, bahasa tersebut hanya berfungsi dalam lingkungan kehidupan etnik, flora dan faunanya, sehingga tidak dapat berkembang untuk kegunaan lebih luas.

Sebab lain, kerana bahasa itu tidak dipelajari dan diturunkan secara sistematik kepada generasi barunya. Situasi ini diburukkan lagi dengan tiadanya teks bertulis yang merakam khazanah bahasa tersebut, juga tiadanya media cetak dan media elektronik yang dapat berfungsi mengembangkan bahasa dalam masyarakat.

Daripada sejumlah sebab serta alasan hapusnya bahasa kecil itu, punca yang paling ketara adalah pengaruh bahasa lain yang lebih kuat. Sempadan bahasa lain itu akan meluas, termasuk menindih sempadan geografi bahasa kecil. Bahasa lain itu kuat kerana sekurang-kurangnya memiliki tiga kualiti berikut;

Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan atau graphization (sistem aksara/ejaan). Jadi, bahasa kecil yang belum mempunyai sistem tulisan atau ejaan, bahasa itu mudah terhapus dan dilupakan.

Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk ‘bahasa tinggi’ yang disebut a supradialectal form, maksudnya bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu, jadi bahasa kecil yang masih berada di peringkat dialek daerah, bahasa itu lama kelamaan akan hapus.

Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan modern form of discourse, maksudnya idea, ilmu dan pemikiran ‘moden.’ Bahasa itu sudah boleh menterjemahkan isi pemikiran atau ‘ilmu moden’ dari bahasa yang sudah maju – yakni maju dari segi fungsinya. Bahasa kecil tidak memiliki kualiti ini, oleh itu sukar berkembang.

Lambang kebijaksanaan

Kehilangan setiap bahasa, walau sekecil manapun bahasa tersebut, merupakan sesuatu yang mendukacitakan. Ini kerana bahasa merupakan produk budaya serta lambang kebijaksanaan para penuturnya. Bahasa kecil yang lenyap, yang tidak sempat dirakamkan khazanahnya, turut menghapuskan kearifan tempatan tentang flora, fauna, dan kebudayaan kelompok masyarakatnya.

National Geographic meramalkan, menjelang abad yang akan datang, separuh daripada 7,000 bahasa kecil di dunia ini akan lenyap begitu sahaja. Memetik kata-kata David Harrison, ahli bahasa dari Swarthmore College, “Kadar kepupusan bahasa kecil jauh mengatasi kepupusan burung, mamalia, ikan atau tumbuh-tumbuhan, dan kepupusan bahasa selalunya menyamai kelenyapan spesies-spesies biologikal.”

Kita tidak boleh membuat andaian bahawa bahasa Melayu tidak akan lenyap di Malaysia. Untuk menjadikan bahasa Melayu terus kekal, bahasa ini harus terus menjadi bahasa ilmu, digunakan dalam sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi; dan terus tersebar dalam penerbitan, media cetak dan media elektronik.

Perubahan zaman dan teknologi harus menyedarkan institusi perancang bahasa (seperti Dewan Bahasa dan Pustaka), ahli bahasa, penulis dan aktivis bahasa, untuk memanfaatkan peranti digital moden seperti aplikasi iPhone, video You Tube, laman Facebook dan sebagainya, untuk mengembangkan bahasa Melayu. Dengan cara itu khalayak dapat terus merasai denyut perkembangan bahasa Melayu.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 20 April 2014

ISU KENEGARAAN : Perpaduan nasional proses panjang, mencabar


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid

Perpaduan adalah isu yang sentiasa diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Tanpa perpaduan yang kukuh akan memungkinkan berlakunya konflik perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian hidup masyarakat dan keselamatan, seterusnya kemajuan dan pembangunan negara.

Perhatian dan usaha serius ke arah perpaduan kaum di negara ini boleh dikatakan bermula selepas tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Peristiwa hitam itu mendorong kerajaan menubuhkan Majlis Muhibah Negara dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra. Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Apabila Kerajaan berparlimen dipulihkan semula, Majlis Muhibah Negara digantikan dengan Majlis Perpaduan Negara (MPN) pada 23 Februari 1971. MPN kemudian ditukarkan kepada Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan ahlinya seramai 51 orang. Ia ditadbirkan bersama oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara.

Pada l Januari 1972, Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara digabungkan dan dijadikan Kementerian Perpaduan Negara.

Selepas Pilihan Raya Umum 1974, Kementerian Perpaduan Negara bertukar nama menjadi Lembaga Perpaduan Negara. Sebuah badan penasihat turut dibentuk, iaitu Panel Penasihat Lembaga Perpaduan Negara yang asalnya ialah Lembaga Perpaduan Negara. Penubuhannya dilancarkan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak (Allahyarham) pada 28 Oktober 1974.

Panel Penasihat itu ditubuhkan untuk membincangkan masalah perpaduan secara telus dan objektif supaya timbul idea baharu bagi menghapuskan perasaan perkauman dan mengelakkan daripada timbulnya konflik dan konfrontasi antara kaum. Pada tahun 2004, Jabatan Perpaduan Negara dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Ia adalah bukti kerajaan begitu komited untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu.

Matlamat bina perpaduan kaum

Membina masyarakat Malaysia yang bersatu bukan usaha mudah kerana pelbagai ranjau harus dibersihkan supaya jalan ke arah perpaduan dicapai. Polisi ‘pecah dan perintah’ yang dilaksanakan penjajah telah mewujudkan keadaan masyarakat yang bercampur tetapi tidak bersatu.

Keadaan itu boleh mengundang bencana kepada negara jika tidak dicari jalan penyelesaian jitu.

Justeru, peristiwa 13 Mei telah mendorong negara melaksanakan ‘kejuruteraan sosial’ dengan penekanan segala dasar dan agenda kerajaan bermatlamatkan membina perpaduan kaum.

Hakikatnya, perpaduan kaum adalah faktor penting dalam menentukan kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara. Ia tidak boleh dicapai dalam bentuk hubungan ‘fungsional’ semata-mata tetapi lebih penting dari itu ia menuntut hubungan ‘empatetik’ yang mendalam antara kaum.

Hubungan ‘fungsional’ tidak sukar dipraktikkan kerana sekadar perhubungan harian di tempat kerja atau premis jual beli. Sebaliknya, hubungan ‘empatetik’ adalah hubungan yang sukar dibina. Namun, ia tidak mustahil jika kita melihat merentasi tembok perkauman.

Kita mungkin dapat bertolak ansur dalam beberapa perkara tetapi sukar untuk membina hubungan ‘empatetik’ antara kaum jika masing-masing kekal dalam tembok perkauman yang tebal. Ia menuntut kita menghapuskan ego dan sentimen perkauman.

Semak kembali kelemahan

Memang selama ini konsep masyarakat majmuk kita difahami dalam kerangka konsep Furnival yang memperakukan perbezaan nilai, norma, budaya dan adat resam sesuatu kaum minoriti sehingga toleransi dalam konsep pluralisme yang diutarakan Furnival itu menjadi antara sebab kepada benih perkauman kekal bertapak. Akhirnya, ia tetap menjadi penghalang kepada usaha memperkasakan perpaduan kaum melalui pelbagai dasar dan program.

Memang pada permukaannya kelihatan ia memberikan impak positif kepada perpaduan kaum di negara ini. Namun, hakikatnya, ia gagal tetapi bukan kegagalan sepenuhnya. Lantas apa yang perlu dilakukan ialah menyemak kembali kelemahan yang ada supaya langkah memperbaiki dapat dilaksanakan.

Saya kira gagasan 1Malaysia yang menekankan kita melihat sesuatu itu merentasi tembok perkauman dengan menekankan elemen penerimaan dan empati boleh menjadi landasan memperbaikinya. Sayangnya, konsep dan gagasan itu disalahertikan dan dipolitikkan sehingga kebaikannya dilupakan.

Kesannya, perpaduan tetap menjadi isu sehingga kerajaan terpaksa menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) pada November tahun lalu. MKPN mempunyai hasrat murni, iaitu menyediakan pelan bertindak cadangan penyatuan nasional yang boleh direalisasikan bagi memperkukuh kembali perpaduan antara kaum di negara ini.

Justeru, kita berharap MKPN dapat meneliti isu ini dengan mendalam dari semua sudut secara berani, telus dan jujur, termasuk mengkaji kesan aliran pendidikan berasaskan kaum.

Memang cabarannya cukup besar seperti pernah disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa perpaduan nasional adalah proses panjang dan cabarannya besar sebab negara kita terlalu kompleks, tetapi ia bukan penghalang. Kesudahannya, perpaduan nasional akan berpunca daripada minda kita sendiri.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KEIBUBAPAAN : Program Sarana dapat sambutan positif


Oleh :  Faiza Zainudin dan Mohd Hamizar Hamid

Pembabitan ibu bapa dalam, luar sekolah satukan pihak berkepentingan

Serdang: Program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan Kementerian Pendidikan tahun lalu mendapat sambutan positif daripada semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru serta komuniti setempat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program bertujuan meningkatkan pembabitan ibu bapa dalam pembelajaran anak di dalam dan luar sekolah berjaya menyatukan setiap pihak berkepentingan bagi memberi tumpuan kepada modal insan penentu masa depan negara.

“Saya dapat melihat perkembangan positif di bawah program Sarana ini apabila ada ibu bapa yang prihatin dan datang melawat bilik darjah dan juga asrama, meninjau secara dekat perkembangan anak mereka dan melihat keperluan yang masih kurang di sekolah.

Ambil berat masalah disiplin

“Ibu bapa yang prihatin turut terbabit mengambil berat masalah disiplin di sekolah dan membantu meringankan beban tugas guru.

“Ada juga ibu bapa menggunakan kepakaran istimewa mereka termasuk kemahiran dalam bahasa Inggeris, perubatan dan kejuruteraan membantu pihak sekolah meningkat kecemerlangan pelajar,” katanya pada majlis Anugerah Cemerlang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Peringkat Kebangsaan 2012/2013 di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur diumumkan penerima Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Keseluruhan dan membawa pulang cek bernilai RM50,000, plak dan sijil penyertaan. Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Amir Sahudi menerima anugerah berkenaan daripada Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, melalui Sarana Sekolah, peranan PIBG diupayakan untuk menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang ditubuhkan bagi merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah.

Beliau berkata, sehingga kini, 62.3 peratus KSIB ditubuhkan di sekolah menengah, manakala 60.3 peratus di sekolah rendah seluruh negara.

“Sarana ini diperluaskan bagi memastikan interaksi ibu bapa dengan anak berada pada tahap maksimum, sekali gus memberi peluang ibu bapa menyumbang idea, tenaga, kepakaran dan kewangan kepada sekolah.

Bantu proses pembelajaran

“Hubungan sinergi yang padu dan jaringan komunikasi yang baik antara pentadbir sekolah dengan PIBG mampu melonjakkan keberhasilan yang memberi manfaat bersama,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata peranan komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan juga tidak kurang penting seperti usaha menambah baik keperluan asas pendidikan, membantu orientasi semula proses pembelajaran dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kecemerlangan anak dalam pendidikan.

Sementara itu, di ibu negara, Muhyiddin menyarankan semua Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) meningkatkan produktiviti dan kapasiti dengan menggunakan sumber terhad sama ada dari segi kewangan dan sumber manusia.

Katanya, dalam menghadapi cabaran, elemen kreativiti dan inovasi diperlukan supaya kecemerlangan jentera perkhidmatan awam dapat diperkukuh.

“Perkhidmatan awam hari ini berdepan cabaran yang cukup besar, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan permintaan pasaran yang dinamik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Perak Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan isteri, Puan Sri Rohani Abdullah serta Presiden Alumni PTD, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 17 April 2014

ISU SOSIAL : Kes gengster remaja tuntut perhatian serius semua pihak


Oleh : Mohd Ayob Abd Razid

Isu peningkatan gengsterisme dalam kalangan remaja hari ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa keselamatan negara. Pembabitan remaja dalam aktiviti itu jelas tidak bertanggungjawab.

Ia bercanggah dengan nilai yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara. Tindakan mereka menunjukkan kurangnya kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip berkenaan.

Lima prinsip Rukun Negara adalah tunjang penting yang perlu diamalkan oleh generasi kita bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Jika ramai remaja kita terbabit dalam aktiviti tidak sihat ini maka ia akan memberi kesan tidak baik kepada masyarakat.

Remaja yang membabitkan diri dalam kumpulan gengsterisme tidak mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi. Pastinya mereka tidak lagi menghormati undang-undang negara. Mereka juga dianggap menyimpang daripada tata susila kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan perpaduan.

Aktiviti tidak sihat ini juga akan mendorong mereka terbabit dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, alkohol, perjudian, peras ugut, kekerasan dan rogol.

Mengikut statistik, pembabitan remaja dalam jenayah menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun (2012-2013).

Peningkatan kes jenayah

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Jaafar, peningkatan dalam jenayah kekerasan yang dilakukan remaja membabitkan tujuh kategori iaitu bunuh, rogol, samun berkumpulan dengan senjata api, samun berkumpulan tanpa senjata api, samun bersenjata api, samun tanpa senjata api dan mencederakan.

Jenayah harta benda yang dilakukan remaja pula membabitkan curi motokar, curi motosikal, curi kenderaan berat, ragut dan lain-lain. Menurut Wan Junaidi, walaupun berlaku peningkatan kes jenayah yang serius agak terpencil serta tidak sampai ke tahap membimbangkan masyarakat (BH 9 April 2014).

Pada pendapat penulis, walaupun ia dianggap terpencil, namun berdasarkan statistik didapati setiap kategori jenayah itu meningkat hingga dua kali ganda. Contohnya, bunuh meningkat daripada 35 kes (2012) kepada 74 kes (2013), samun tanpa senjata api meningkat daripada 39 kes (2012) kepada 116 kes (2013), samun berkumpulan tanpa senjata api juga meningkat daripada 238 kes (2012) kepada 685 kes (2013) dan rogol daripada 386 (2012) meningkat kepada 824 kes (2013).

Tindakan tegas

Justeru, polis wajar memberi perhatian serius terhadap isu ini. Remaja yang terbabit dalam aktiviti gengsterisme ini mesti dipantau dan diambil tindakan tegas. Bagi remaja yang baru terbabit dalam aktiviti ini, tindakan awal dapat menyelamatkan mereka daripada terus tersasar daripada landasan dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

Tindakan awal juga boleh dilakukan oleh pihak sekolah dengan memberikan kaunseling dan bimbingan kepada pelajar yang sering mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah dan buli. Pelajar bermasalah ini mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk terbabit dalam kumpulan gengsterisme.

Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana kegagalan mereka memberikan didikan dan bimbingan yang sempurna antara punca anak mereka terbabit dalam pelbagai gejala sosial.

Diingatkan bahawa negara memerlukan remaja dan belia yang sihat bagi membolehkan mereka memperkukuh kemajuan dan pembinaan negara bangsa.

Kesimpulannya, pembabitan remaja dalam aktiviti gengsterisme perlu dibendung dan mereka yang terbabit wajar dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang ada di negara ini.

Sebagai pelapis kepada negara, mereka harus mempamerkan sikap terpuji dengan mematuhi undang-undang negara agar negara aman dan rakyat dapat hidup harmoni.


Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Implikasi kesalahan bahasa


Oleh : Dr Mohd Awang Idris

SEKIRANYA membaca mesej pesanan ringkas atau kiriman e-mel yang dihantar oleh golongan remaja, pastinya terdapat banyak bahasa baharu yang sukar difahami maksudnya. Ayat dan perkataan telah diringkaskan menjadi kosa kata yang baharu.

Anehnya, walaupun ia sukar difahami oleh kebanyakan yang sudah berumur, generasi muda mudah memahami penggunaan bahasa ringkas itu.

Walaupun tiada alasan yang menghalang manusia menggunakan pelbagai bahasa atau istilah yang mereka fahami, tetapi penularan bahasa baharu harus menjadi kebimbangan. Ia bakal merosakkan keindahan bahasa.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan masyarakat tidak lagi beranggapan bahawa bahasa merupakan suatu unsur penting dalam sesebuah budaya bangsa.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sesuatu bahasa juga akan pupus sekiranya tidak dipelihara. Ia bukanlah suatu hal yang aneh kerana banyak bahasa dunia telah pupus.

Seorang sarjana dalam bidang bahasa, Michael Krauss meramalkan bahawa separuh daripada 6,000 bahasa yang ada di dunia hari ini akan pupus dalam tempoh satu abad lagi.

Sebagai contoh, Marie Smith Jones adalah satu-satunya individu yang tahu berbahasa Eyak di Alaska, Amerika Syarikat. Bahasa Eyak merupakan satu daripada 20 bahasa yang ada di Alaska. Kematiannya pada Januari 2008 telah menyebabkan bahasa tersebut pupus ditelan zaman.

Sementara itu, hanya dua orang individu yang tahu berbahasa Warrwa di Kimberley, Australia Barat pada tahun 2009. Di selatan negara Vanuatu pula, hanya enam orang warga tua yang tahu dan fasih berbahasa Ura.

Sekitar tahun 1992, Tefvic Esenc manusia terakhir yang diketahui fasih berbahasa Ubykh (bahasa yang dituturkan di satu wilayah Rusia) telah meninggal dunia. Kematiannya sekali gus menamatkan sejarah bahasa Ubykh.

Lihatlah, bagaimana keindahan bahasa boleh sama sekali pupus apabila ia tidak dijaga atau digunakan sebaik-baiknya.

Walaupun kita tidak beranggapan bahawa bahasa Melayu bakal menghadapi nasib yang sama seperti bahasa-bahasa lain yang telah pupus, tetapi ia mungkin terjadi sekiranya manusia mula mengabaikan keindahan bahasanya.

Proses kepupusan

Hakikatnya, banyak bahasa yang sedang mengalami proses kepupusan di dunia masa kini. Ethnologue misalnya menganggarkan bahawa terdapat 204 bahasa yang kini hanya dituturkan kurang daripada 10 pengguna, 34 bahasa yang dituturkan hanya kurang daripada 99 orang dan 548 bahasa yang dituturkan oleh lebih 99 orang. Semua bahasa itu berpotensi dan bakal pupus.

Salahkah sekiranya kita sebagai rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu dengan cara yang betul? Mengapa harus digubah bahasa Melayu menjadi satu bahasa lain dan tiada maknanya lagi?

Sekiranya, kita melihat kepada bahasa-bahasa besar dunia, ia terus kekal sepanjang zaman bukan sahaja kerana jumlah penggunanya yang besar, malah mereka juga sangat mencintai bahasa mereka. Bahkan, dalam masyarakat tertentu, mereka tidak melayan orang lain yang berkomunikasi dengan mereka menggunakan bahasa asing.

Sayangnya, dalam masyarakat di Malaysia khususnya, kita beranggapan bahawa bahasa Inggeris adalah segala-galanya. Mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dianggap bijak dan hebat. Secara realitinya, ia hanyalah sekadar satu daripada bahasa yang ada di dunia.

Tidak menjadi kesalahan untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi bukanlah bermakna kita cenderung untuk tidak menghargai bahasa ibunda.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa utama dunia. Seorang sarjana bahasa yang ternama, David Graddol meramalkan bahawa terdapat seramai 10.5 juta pengguna bahasa Melayu pada tahun 2050.

Bahasa Inggeris juga bukanlah bahasa terbesar dunia. Ia hanya dituturkan di kebanyakan negara. Sebenarnya bahasa terbesar yang dituturkan manusia ialah bahasa Mandarin, dengan jumlah sekitar 873 juta pengguna.

Bahasa Inggeris hanya dituturkan oleh kira-kira 309 juta pengguna iaitu lebih rendah daripada penutur bahasa Sepanyol yang berjumlah kira-kira 322 juta manusia.

Ini bermakna, bahasa Melayu bukanlah suatu bahasa yang sepatutnya dipandang rendah. Pengguna bahasa Melayu bersamaan dengan pengguna bahasa Jerman.

Kesilapan

Oleh itu, kita tentu akan lebih gembira sekiranya anak muda di negara ini tidak melihat perbuatan mencipta istilah baharu atau meringkaskan sesetengah ayat sebagai sesuatu yang bersifat biasa sahaja.

Walaupun ia bukan satu bentuk kesalahan dalam konteks undang-undang, tetapi secara psikologikalnya kita mungkin sedang melakukan satu kesilapan. Masyarakat telah membiarkan khazanah pusaka bangsa diubah bentuk kepada sesuatu yang sangat aneh dan janggal.

Sayangilah bahasa kita. Janganlah hanya kerana ingin menjimatkan caj khidmat pesanan ringkas atau kesibukan melakukan perkara lain, kita telah melakukan sesuatu yang mencemarkan keindahan bahasa.

Mungkin kita tidak berasa apa-apa buat masa sekarang. Bayangkan dalam tempoh 100 tahun lagi, ada seorang sahaja manusia yang tahu dan boleh berbahasa Melayu. Perkara itu tidak mustahil untuk berlaku sekiranya kita tidak menghargai penggunaan bahasa yang betul.

Sumber : http : //www. kosmo.com.my/

Isnin, 14 April 2014

ISU PENDIDIKAN : Guru nilai prestasi pelajar


Ketika Penilaian Menengah Rendah (PMR) diperkenalkan pada 1993 bagi menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), ramai pihak memberikan reaksi berbeza.

Bukan saja masyarakat, malah pelajar dan pihak sekolah juga tidak ketinggalan kalut berdepan sistem peperiksaan nasional bentuk baru yang diperkenalkan pada waktu itu.

PMR dilihat lebih mesra kerana pelajar tidak berdepan masalah keciciran ­pembelajaran selepas ting­katan tiga manakala SRP pula memerlukan pelajar bersedia me­ngucapkan selamat tinggal kepada persekolahan andai kata tidak lulus subjek wajib.

Kini, senario sama sekali lagi melanda masyarakat apabila PMR ditamatkan ‘perkhidmatannya’ dengan pengenalan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

PT3 yang dianggap sentuhan terbaru daripada Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap sistem peperiksaan nasional terus dipersoalkan kemampuannya walaupun kejayaannya hanya boleh diperoleh sekitar akhir tahun ini selepas keputusan diumumkan.

Alasan diberikan ialah kebimbangan PT3 dikatakan mempunyai kaitan secara langsung dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang pernah dianggap satu sistem penuh polemik.

PT3 juga dikhuatiri akan mengulangi kembali sejarah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kecundang di tengah jalan sebelum kemampuannya dapat dibuktikan.

Justeru, tidak salah jika masyarakat melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan dan keberkesanan pelaksanaan PT3.

Lebih mendatangkan persoalan, adakah PT3 mampu melonjakkan lagi kejayaan pelajar agar bersikap lebih global, mampu berfikir pada aras tinggi, selain mencapai matlamat mengembalikan semula kuasa autonomi guru yang sudah sekian lama hilang?

Pengarah Pusat Penasihatan dan Penempatan Kerjaya Graduan, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Sahandri Gani Hamzah berkata, pengenalan PT3 bagi menggantikan PMR perlu dianggap fasa permulaan sistem peperiksaan nasional berorentasikan kepercayaan guru dan kemampuan guru-pelajar.

Menurutnya, jika sebelum ini semua kawal selia peperiksaan nasional terletak pada Lembaga Peperiksaan (LP), PT3 pula bakal menjadi simbol pengembalian semula kuasa kepada guru untuk menilai prestasi pelajar.

“Bermakna, PT3 melakar sejarah sebagai satu sistem peperiksaan nasional yang menjadi perintis kepada guru menentukan pencapaian pelajar bermula dari tingkatan satu hingga menduduki peperiksaan.

“Jika dulu semuanya di bawah LP, kini guru dan sekolah sendiri yang akan memantau sebahagian besar perjalanan sistem peperiksaan itu.

“Dengan kata lain, kita memartabatkan kedudukan guru dan sekolah serta pada masa sama mengang­kat keupayaan pelajar dalam bidang akademik, jasmani, sosial dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun PT3 terkait secara langsung dengan PBS, hakikatnya ia tetap mempunyai matlamat lebih besar untuk jangka panjang, selain memenuhi piawaian keperluan semasa.

“Contohnya SRP, ketika diperkenalkan pada 1960 bertujuan menggantikan LCE (Lower Certificate of Education) yang diperkenalkan pada 1957.

“Selepas itu PMR dan kini PT3. Setiap rentetan pengenalan sistem peperiksaan nasional mempunyai matlamat dan visi tertentu yang disasarkan bagi mengisi keperluan ­semasa.

“Cuma kemampuan PT3 dipersoalkan kerana ia ­diperkenalkan selepas ­konflik dan polemik PBS yang memeningkan ma­syarakat. Tiada kaitan lain,” katanya yang tidak menolak persepsi mengenai PT3 sukar ditepis.

Katanya, penolakan, pertikaian dan persepsi adalah perkara biasa jika pembaharuan terhadap sesuatu sistem diperkenalkan.

“Malah, ketika PMR menggantikan SRP, ramai mengandaikan ia tidak mampu bertahan kerana mereka sudah biasa dengan sistem peperiksaan sebelumnya.

“Namun, penambahbaikan yang dilakukan dari semasa ke semasa mampu memantapkan PMR sehingga bertahan lebih dua dekad. Dan itulah juga yang harus dilakukan untuk PT3,” katanya.

Menerusi PT3, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar tingkatan tiga seperti PMR sebelum ini.

PT3 membuka ruang lebih luas kepada pihak sekolah untuk mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran itu berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang ketara disediakan LP.

LP dan pentaksir luar yang dilantik akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

Beliau berkata, PT3 masih menekankan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sama seperti PMR.

“Manakala Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazan dusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis saja.

“Sejarah dan geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes,” katanya.

Biarpun tidak wujud perbezaan ketara, instrumen pelbagai seperti bertulis, ujian amali dan projek memberi peluang kepada pelajar untuk mengembang­kan kemahiran sedia ada.

“Semua instrumen itu pada asasnya adalah untuk melahirkan pelajar yang bukan saja memberi penumpuan pada akademik ­semata-mata, malah mempunyai kemahiran untuk mempelbagaikan kemampuan.

“Kemampuan setiap pelajar tidak sama. PT3 yang diperkenalkan adalah sebagai pemangkin kepada PBS untuk melengkapi keperluan tertentu yang mungkin tiada pada seorang pelajar dengan pelajar lain,” kata­nya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak andaian bahawa kepincangan masih boleh berlaku menerusi pemberian markah mahupun ketika membuat ­penilaian pelajar oleh guru.

Namun katanya, ia masih boleh diatasi dari semasa ke semasa di samping menyuntik elemen etika serta profesionalisme dalam tugasan.

“Ketidakadilan kerana sikap berat sebelah memang tidak boleh dielakkan, namun guru masih boleh dididik supaya berpegang pada prinsip ketelusan.

“Kepercayaan masyarakat kepada guru juga sangat tinggi dan agak mustahil seorang guru yang beretika mahu melangkaui profesionalisme perguruan.

“PT3 dan PBS ibarat mengembalikan semula kepercayaan kepada guru yang sudah sekian lama tercalar. Inilah masanya untuk membuktikan guru mempunyai ‘kuasa’ dalam hidup pelajar,” katanya.

PT3 juga memperlihatkan aspek pengukuhan pelajar dalam mempelbagaikan kemahiran ­menerusi proses pembelajaran.

“Jika PMR menilai kepandaian dan prestasi pelajar menerusi akademik semata-mata, PT3 mencakupi aspek menyeluruh.

“Prestasi pelajar dinilai mengikut tahap yang disokong melalui pencapaian ‘band’ juga kemahiran sosial tertentu seperti kemampuan komunikasi.

“Ini menjadikan PT3 satu sistem peperiksaan lengkap kerana semua kemampuan pelajar sama ada akademik mahupun kemahiran dirangkumkan menjadi satu,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Ahad, 13 April 2014

ISU BAHASA : Tuan belum tentu lelaki


Oleh : MUHAMMAD DAUD

BANYAK orang bersetuju bahawa “tuan” hanya digunakan untuk orang lelaki manakala “puan” untuk orang perempuan. Bagaimanakah pula keadaannya dengan frasa “tuan puteri”? Adakah “tuan puteri” juga merujuk kepada golongan lelaki? Jawapannya sudah pasti tidak.

Memang benar bahawa “tuan” digunakan bagi golongan lelaki akan tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Penggunaan kata “tuan” yang pertama  merujuk kepada orang lelaki yang dihormati. Contohnya:

(i)    “Tuan dipersilakan untuk menyampaikan ucapan,” umum Pengerusi Majlis.
(ii)    “Silakan masuk, tuan,” kata penyambut tetamu itu dengan sopan.

Kata “tuan” juga digunakan untuk panggilan bagi orang lelaki yang berpangkat dan patut dihormati.

Contohnya:

(i)    Tuan Imam Masjid Semesta ialah Ustaz Ibrahim Samat.
(ii)    Tuan Pengetua disayangi oleh semua murid kerana sifat dedikasinya.

“Tuan” juga digunakan untuk merujuk orang lelaki berbangsa Eropah. Hal ini demikian kerana orang Melayu merupakan bangsa yang amat menghormati dan memandang tinggi bangsa-bangsa lain terutama bangsa Eropah. Contohnya:

(i)    Tuan Robert dan Tuan William sedang mengkaji tumbuhan di puncak Gunung Tahan.
(ii)    Tuan dan memnya sedang berjoging di kawasan taman itu.

Namun demikian, kata “tuan” sebenarnya bukan merujuk golongan lelaki sahaja. “Tuan” boleh juga digunakan untuk merujuk golongan perempuan.

Antara penggunaan “tuan” yang bukan hanya terhad untuk golongan lelaki sahaja adalah untuk merujuk  orang yang menjadi tempat menghambakan diri.

Orang yang menjadi tempat untuk menghambakan diri tidak kira lelaki atau perempuan boleh digunakan kata tuan. Contohnya:

(i)    Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi sedang bersiram di kolam itu.
(ii)    Hamba sahaya itu sangat takut kepada tuannya.

“Tuan” juga digunakan untuk menggambarkan orang yang memiliki sesuatu atau pemilik sesuatu. Contohnya:

(i)    Tuan rumah sewa itu telah mengarahkan Azam agar  mengosongkan rumahnya.
(ii)    Kita perlu meminta kebenaran daripada tuan tanah dahulu sebelum mengusahakannya.

“Tuan” juga digunakan sebagai kata ganti diri kedua yang merupakan kata ganti diri yang halus bagi orang lelaki atau perempuan yang dilawan bercakap. Hal ini demikian bermakna, kata ganti diri “tuan” merupakan satu aspek kesantunan berbahasa yang diamalkan dalam bahasa Melayu. Contohnya:

(i)    “Mengapakah tuan masih belum mengerti hasrat hati hamba?” tanya Andika kepada Ratna.
(ii)   “Hamba begitu cemburu melihat tuan beriringan dengan lelaki lain,” rintih Perwira kepada Kencana.

Dalam surat rasmi juga kita boleh menggunakan kata panggilan “tuan” untuk merujuk penerima surat tanpa perlu menyelidik dahulu sama ada penerima surat itu lelaki atau perempuan.

Kita tidak perlu menggunakan kata panggilan “puan” jika penerima surat itu merupakan seorang perempuan kerana “tuan” sudah merangkumi lelaki dan perempuan.

Di negeri Kelantan dan Terengganu terutamanya, “Tuan” merupakan satu gelaran yang berkaitan asal keturunan.

Orang berketurunan “Tuan” terdiri daripada mereka yang berdarah raja. Oleh sebab itu, sama ada lelaki atau perempuan, mereka boleh menggunakan gelaran “Tuan”  jikalau mereka berasal daripada suatu keturunan yang ada kaitan dengan kerabat diraja.

Contohnya:

(i)    Guru Bahasa Inggeris itu menjelaskan bahawa Allahyarham datuknya bernama Tuan Mat.
(ii)    Isteri Ramli bernama Tuan Norliza.

Banyak perkara tersembunyi tentang bahasa Melayu yang perlu dikaji. Penggunaan kata “tuan” misalnya, dianggap hanya sebagai kata ganti diri ketiga untuk merujuk kepada golongan lelaki sedangkan maknanya lebih meluas.

Oleh sebab itu, marilah sama-sama kita merungkai pelbagai ilmu tentang bahasa Melayu yang luas ini. Jikalau tidak kita, siapakah lagi yang akan mendaulatkan bahasa Melayu?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Jumaat, 11 April 2014

ISU SOSIAL : Peningkatan kes juvana : Di manakah nilai seorang remaja?


Oleh :  FAIZATUL NADIA MOHD. TAHIR

SABAN hari, pelbagai krisis akhlak dan moral terus menular, merebak dalam masyarakat kita terutamanya yang melibatkan remaja.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencatatkan bahawa pertambahan sebanyak 5,305 kes juvana iaitu 3,399 kes pada tahun 2012 dan 8,704 kes pada tahun 2013.

Lebih membimbangkan apabila remaja terlibat dalam kes seperti samun, kongsi gelap dan penyalahgunaan dadah.

Mengapakah peningkatan kes ini berlaku? Tidakkah kita terfikir bahawa dengan bertambahnya kes juvana sebegini akan memberi kesan terhadap semua pihak termasuk masyarakat dan negara ini?

Ternyata pendidikan moral dengan 16 nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya masih jauh untuk menangani masalah ini.

Hal ini kerana keutamaan untuk memuaskan nafsu, ingin membebaskan diri daripada kemiskinan, kongsi gelap, penyalahgunaan dadah dan sebagainya lebih kuat cengkaman pengaruhnya daripada asuhan institusi sedia ada.

Ketua Program Psikologi , Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Fatimah Yusuff dalam kenyataannya memberitahu, antara faktor yang menyebabkan remaja mudah terpengaruh dengan gejala sosial adalah perasaan ingin tahu di mana perasaan itu akan menimbulkan masalah apabila mereka tiada tempat untuk berkongsi perasaan dan tiada penasihat yang setia daripada ibu bapa, keluarga dan lain-lain.

Jadi perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.

Cuba kita renungkan, nilai remaja seseorang hanya sekali, kerana remaja tidak akan kekal muda bahkan mereka akan menjadi dewasa dan bakal melalui hari tua.

Oleh itu, pada diri remaja tersandar satu harapan dan tanggungjawab yang besar iaitu memantapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam membentuk jati diri yang unggul untuk menjadi generasi yang cemerlang.

Ya, pada usia sebegini remaja terlalu mudah untuk mencuba, membuat sesuatu seperti orang lain, memiliki jiwa dan semangat yang kuat sehingga kadang-kala timbul perasaan ingin memberontak. Sekiranya sifat ini berlarutan berlandaskan acuan negatif, maka akan pudarlah masa depan mereka.

Sebaliknya jika sifat-sifat ini dibentuk dengan nilai-nilai kesedaran dan pengorbanan yang positif, ia bakal membimbing seseorang remaja itu menjadi seorang dewasa yang sangat berpotensi untuk berjaya dan terus maju dalam hidup.

Justeru, penekanan terhadap kepentingan adab, teladan yang baik, kesantunan, budi bahasa dan agama harus diterapkan di peringkat awal lagi dengan memberi pendekatan ilmu. Hanya ilmu yang mampu memberi kekuatan kepada anak-anak supaya apabila dewasa, mereka akan dapat berfikir secara matang dan rasional.

Institusi kekeluargaan amat penting untuk mengelakkan remaja daripada te­rus terjebak dengan jenayah yang sema­kin parah dari semasa ke semasa.

Pendidikan yang paling penting adalah pendidikan yang berteraskan agama dan moral. Dengan adanya asas agama yang teguh dan moral yang mantap, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus ke arah perkara yang negatif.

Dalam hal ini, peranan ibu bapa sa­ngat penting untuk dijadikan contoh yang terbaik bagi anak-anak. Kesibukan dalam kerjaya tidak layak untuk dijadikan alasan sehingga mengetepikan tanggungjawab pendidikan anak-anak.

Jika terdapat masalah, janganlah kita mudah untuk menghukum sebaliknya jadilah pendengar yang setia, berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Ingatlah, remaja hari ini adalah harapan bangsa dan pewaris pada masa hadapan. Jika remaja pada hari ini cemerlang, maka negara juga akan mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Jika remaja pada hari ini adalah remaja yang rosak akhlaknya dan cetek ilmu pengetahuannya, maka sudah pasti akan menjadikan sesebuah negara itu semakin lemah dan merencatkan kecemerlangan bangsa.

Kita mengimpikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bukan hanya dari segi pembangunan teknologi dan industri, tetapi dalam masa sama menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi yang cemerlang, produktif serta memiliki sahsiah yang mantap kerana remaja pada hari ini bakal pemacu masa depan dan hala tuju negara.

PENULIS ialah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 8 April 2014

ISU BAHASA : Laras bahasa bantu rungkai punca tragedi MH370


Oleh : Profesor Teo Kok Seong

Penerbangan MH370 yang sepatutnya ke Beijing dan kini dianggap hilang di Lautan Hindi, bukan sahaja tersasar jauh, tetapi menimbulkan pelbagai soalan. Mudahan-mudahan semuanya terjawab dengan sejelas-jelasnya apabila perakam kedua-dua data penerbangan dan suara kokpit, yang lebih dikenali sebagai kotak hitam, ditemui kelak.

Kotak hitam didapati berjaya merungkai kebanyakan punca nahas pesawat yang telah berlaku setakat ini. Dari perakam data penerbangan, segala maklumat mengenai sesuatu penerbangan itu dapat diketahui. Ini termasuk prestasi dari segenap fungsi, selain keupayaan enjin.

Daripada perakam suara kokpit pula, segala percakapan sepanjang penerbangan, khususnya oleh mereka yang berada di dalam kokpit dengan pihak menara kawalan udara dan sesama mereka dapat diketahui. Bukan itu sahaja, segala bunyi di sekitar kokpit, termasuk bunyi enjin, amaran dan kecemasan turut dirakamkan.

Semua rakaman ini berlaku secara automatik sebaik sahaja enjin pesawat dihidupkan dan berakhir apabila ia dimatikan. Seperkara yang penting tentang kotak hitam ini ialah ia tidak boleh dimanipulasi sembarangan, sama ada secara manual atau sebaliknya.

Ini antaranya kerana ia tidak memiliki suis. Dengan itu, ia sentiasa dalam keadaan sulut. Ia juga dipasang dengan kuat dalam kalangan beberapa buah komputer di bahagian ekor pesawat.

Analisis rakaman suara

Pengajian bahasa atau linguistik sering juga dirujuk untuk menyelesaikan punca nahas pesawat. Ini dilakukan dengan menganalisis rakaman suara kokpit dari pelbagai aspek bahasa. Antaranya penyebutan, pembinaan ayat dan prinsip perbualan.

Justeru, percakapan pada perakam suara kokpit didengar berkali-kali untuk mengenal pasti tahap kewaspadaan dan kecekapan juruterbang dari sudut kebahasaan. Ini dilakukan pada setiap masa atau segmen tertentu sepanjang sesuatu penerbangan itu.

Didapati kebanyakan percakapan ketika penerbangan berlaku pada awal perjalanan, yakni di darat ketika menanti untuk berlepas dan dalam proses pelepasan ke udara.

Perkara yang sama berlaku ketika proses pendaratan dan di darat sebelum pesawat betul-betul berhenti.

Bentuk bahasa penerbangan didapati istimewa sifatnya. Ia bersifat amat ritual, yakni perlu mengikuti pola bahasa tertentu dengan ketat. Ini penting untuk kepastian makna mesej yang diterima dan identifikasi yang perlu dilakukan, seperti yang dimohon menara kawalan.

Bahasa penerbangan ada gaya tersendiri

Semua ini bukan sahaja penting agar segala apa yang diperkata itu difahami dengan jelas. Ia juga mementingkan penggunaan laras bahasa penerbangan, khususnya ketika komunikasi antara juruterbang dengan menara kawalan. Laras ini ada gaya tersendiri yang disarati oleh istilah penerbangan.

Sehubungan ini, percakapan dalam kokpit dianalisis untuk melihat tahap pematuhan kepada penggunaan laras bahasa ini. Sebarang penyelewengan yang berlaku diselidiki. Ia bukan norma wacana yang digunakan.

Selain itu, gangguan pada cara berbahasa juruterbang, yang kadangkala tercermin pada kesalahan pelik pada ayat digunakan, bunyi yang disebut, prinsip perbualan yang tidak dipatuhi, ikut diselidiki.

Pendekatan analisis linguistik begini mempercayai bahasa adalah perkara pertama yang terkesan, apabila manusia menghadapi tekanan, baik yang bersifat mental, misalnya ketika diugut, mahupun sebaliknya, misalnya dipengaruhi bahan beracun seperti gas.

Dalam keadaan begini, kebolehan seseorang itu membina ayat yang gramatis menjadi terhad dan kadangkala hilang langsung. Selain itu, topik yang diperkatakan yang tidak selalunya dibicarakan dalam konteks komunikasi juruterbang dengan pihak di darat, adalah ranah lain yang diselidiki.

Tahap kompleks ayat juruterbang adalah ukuran lain yang penting dalam hal ini. Sehubungan ini, didapati kebolehan juruterbang menghasilkan ayat yang strukturnya kompleks adalah terhad atau terjejas sekiranya beliau berada dalam keadaan tertekan.

Penyebutan adalah aspek analisis lain yang amat penting. Dalam hal ini, penyebutan bunyi bahasa yang sukar dilafazkan walaupun dalam keadaan tidak tertekan, akan menjadi lebih susah penyebutannya atau gagal disebutkan langsung, dalam keadaan begini.

Kekerapan penggunaan bentuk bahasa yang menandakan keraguan, misalnya aa, er dan um akibat keadaan tertekan, adalah petunjuk penting lain dalam analisis sebegini.

Dalam usaha merungkai tragedi MH370, pengajian bahasa dengan penerapan beberapa disiplin di dalamnya, melalui pendekatan dan kaedah tertentu, boleh diikut sertakan jika didapati perlu.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/