BANYAK orang bersetuju bahawa
“tuan” hanya digunakan untuk orang lelaki manakala “puan” untuk orang perempuan.
Bagaimanakah pula keadaannya dengan frasa “tuan puteri”? Adakah “tuan puteri”
juga merujuk kepada golongan lelaki? Jawapannya sudah pasti tidak.
Memang benar bahawa “tuan”
digunakan bagi golongan lelaki akan tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu
sahaja. Penggunaan kata “tuan” yang pertama
merujuk kepada orang lelaki yang dihormati. Contohnya:
(i) “Tuan dipersilakan untuk menyampaikan
ucapan,” umum Pengerusi Majlis.
(ii) “Silakan masuk, tuan,” kata penyambut
tetamu itu dengan sopan.
Kata “tuan” juga digunakan untuk
panggilan bagi orang lelaki yang berpangkat dan patut dihormati.
Contohnya:
(i) Tuan Imam Masjid Semesta ialah Ustaz
Ibrahim Samat.
(ii) Tuan Pengetua disayangi oleh semua murid
kerana sifat dedikasinya.
“Tuan” juga digunakan untuk
merujuk orang lelaki berbangsa Eropah. Hal ini demikian kerana orang Melayu
merupakan bangsa yang amat menghormati dan memandang tinggi bangsa-bangsa lain
terutama bangsa Eropah. Contohnya:
(i) Tuan Robert dan Tuan William sedang
mengkaji tumbuhan di puncak Gunung Tahan.
(ii) Tuan dan memnya sedang berjoging di kawasan
taman itu.
Namun demikian, kata “tuan”
sebenarnya bukan merujuk golongan lelaki sahaja. “Tuan” boleh juga digunakan
untuk merujuk golongan perempuan.
Antara penggunaan “tuan” yang
bukan hanya terhad untuk golongan lelaki sahaja adalah untuk merujuk orang yang menjadi tempat menghambakan diri.
Orang yang menjadi tempat untuk
menghambakan diri tidak kira lelaki atau perempuan boleh digunakan kata tuan.
Contohnya:
(i) Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi sedang
bersiram di kolam itu.
(ii) Hamba sahaya itu sangat takut kepada
tuannya.
“Tuan” juga digunakan untuk
menggambarkan orang yang memiliki sesuatu atau pemilik sesuatu. Contohnya:
(i) Tuan rumah sewa itu telah mengarahkan Azam
agar mengosongkan rumahnya.
(ii) Kita perlu meminta kebenaran daripada tuan
tanah dahulu sebelum mengusahakannya.
“Tuan” juga digunakan sebagai
kata ganti diri kedua yang merupakan kata ganti diri yang halus bagi orang
lelaki atau perempuan yang dilawan bercakap. Hal ini demikian bermakna, kata
ganti diri “tuan” merupakan satu aspek kesantunan berbahasa yang diamalkan
dalam bahasa Melayu. Contohnya:
(i) “Mengapakah tuan masih belum mengerti
hasrat hati hamba?” tanya Andika kepada Ratna.
(ii) “Hamba begitu cemburu melihat tuan
beriringan dengan lelaki lain,” rintih Perwira kepada Kencana.
Dalam surat rasmi juga kita boleh
menggunakan kata panggilan “tuan” untuk merujuk penerima surat tanpa perlu
menyelidik dahulu sama ada penerima surat itu lelaki atau perempuan.
Kita tidak perlu menggunakan kata
panggilan “puan” jika penerima surat itu merupakan seorang perempuan kerana
“tuan” sudah merangkumi lelaki dan perempuan.
Di negeri Kelantan dan Terengganu
terutamanya, “Tuan” merupakan satu gelaran yang berkaitan asal keturunan.
Orang berketurunan “Tuan” terdiri
daripada mereka yang berdarah raja. Oleh sebab itu, sama ada lelaki atau
perempuan, mereka boleh menggunakan gelaran “Tuan” jikalau mereka berasal daripada suatu
keturunan yang ada kaitan dengan kerabat diraja.
Contohnya:
(i) Guru Bahasa Inggeris itu menjelaskan bahawa
Allahyarham datuknya bernama Tuan Mat.
(ii) Isteri Ramli bernama Tuan Norliza.
Banyak perkara tersembunyi
tentang bahasa Melayu yang perlu dikaji. Penggunaan kata “tuan” misalnya,
dianggap hanya sebagai kata ganti diri ketiga untuk merujuk kepada golongan
lelaki sedangkan maknanya lebih meluas.
Oleh sebab itu, marilah sama-sama
kita merungkai pelbagai ilmu tentang bahasa Melayu yang luas ini. Jikalau tidak
kita, siapakah lagi yang akan mendaulatkan bahasa Melayu?
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan