Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
1. Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu signifikan dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.
2. Pada
tahun ini, tema "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan
Negara" telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan
pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia
bahawa tahun 2012 merupakan
Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi
para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan
aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.
3. Sebagai golongan
profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif. Guru yang inovatif
berupaya menjana idea, konsep atau strategi
baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada
generasi anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi
menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen
sintesis yang memudah dan melancarkan
proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang inovatif juga
mempunyai tahap ketekunan yang tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun
dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung
mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan
yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi,
berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.
Warga pendidik yang diraikan sekalian,
4. Kesinambungan
sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui transformasi yang
berbentuk dinamik dan progresif yang
akan direalisasikan oleh para guru yang inovatif,
proaktif, berdedikasi, dan berdaya
saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan program bina upaya untuk meningkatkan amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong
usaha melaksana transformasi pendidikan secara keseluruhan. Objektif Pelan Pembangunan Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan secara khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak
profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.
Warga pendidik sekalian,
5. Pelbagai
ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan dan
kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan
kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui pemberian dan penganugerahan kepada
warga guru seperti dalam aspek perjawatan dan
perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan
keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya
perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru
untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia
pendidikan yang berkembang pesat di
samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.
6. Pihak
kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas guru yang semakin bertambah dan rencam.
Sehubungan itu, bermula pada tahun 2012,
Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah memberikan
tumpuan kepada lima fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru iaitu
menambah baik pelan operasi latihan
tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf sokongan untuk tugas
perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah;
mengurangkan bilangan ujian /peperiksaan dan meningkatkan penggunaan ICT dalam
pengurusan sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.
7. Justeru,
saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga pendidik di negara ini untuk menyatakan
setinggi penghargaan dan ucapan terima
kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kebajikan para guru.
Keprihatinan berterusan oleh kerajaan
ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus gigih, inovatif, berdedikasi dan
berintegriti dalam menggalas tanggungjawab
melahirkan generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing,
bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengamalkan nilai sejagat.
Anak-anak murid yang disayangi sekalian,
8. Saya
yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru di samping tekanan yang dihadapi
sedikitpun tidak melunturkan rasa kasih
dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di hadapan murid-murid semua adalah guru
penyayang. Kehadiran murid ke sekolah
tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di
mata dan hati seorang guru adalah
permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan
potensinya nescaya akhirnya mereka dapat
menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran kreatif dan kritis, berbudi pekerti
mulia dan sedar akan kepentingan amalan
berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru,
janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para
guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang
sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.
9. Akhir
kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus
melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi,
bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah
kepada proses transformasi sistem
pendidikan negara, warga pendidik mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang
tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan
amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban,
istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada
kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.
Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata
Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh
pendidikan di Mesir, "Kemuliaan ialah membangun umat yang telah binasa, membuka selubung
kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang
hilang, membangun umat dari tidur dan
kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk memperbaharui gerak langkah".
WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU "SELAMAT
HARI GURU"!
DATO' SRI ABD
GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia
Sumber : http://www.moe.gov.my/