Isnin, 14 Mei 2012

ISU SOSIAL : 33 warga Malaysia diburu Interpol



Oleh ANGELINA SINYANG


KUALA LUMPUR 13 Mei - Seramai 22 daripada 33 rakyat Malaysia yang nama mereka kini disenarai sebagai buruan polis antarabangsa (Interpol), dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah komersial.

Antara kesalahan tersebut adalah penipuan dokumen seperti memalsukan kematian dan kad kredit, penipuan dalam urusan pinjaman wang, kecurian maklumat serta penipuan dalam teknologi maklumat.

Sumber memberitahu, kebanyakan suspek dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia kerana melarikan diri ke luar negara bagi mengelak ditangkap selepas dikesan melakukan kesalahan tersebut.

Beliau berkata, selain jenayah komersial, terdapat lima rakyat Malaysia dikehendaki oleh Interpol kerana terlibat dalam jenayah pelarian, tiga orang berkaitan penyeludupan dadah dan masing-masing seorang berkaitan jenayah alam sekitar serta terorisme.

“Ketika ini, terdapat 33 rakyat Malaysia yang nama mereka disenarai sebagai individu dikehendaki oleh Interpol kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah serius.

“Daripada jumlah tersebut, 12 orang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia iaitu sama ada polis atau mahkamah, diikuti enam orang yang dicari oleh pihak berkuasa Brunei, Amerika Syarikat (lima), Vietnam (empat), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang diburu oleh Sweden, India serta Singapura," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, paling ramai diburu ialah lelaki iaitu seramai 28 orang dan lima lagi adalah wanita yang kesemua mereka berumur antara 22 dan 69 tahun.

Beliau berkata, antara rakyat Malaysia yang sudah lama diburu dan masih tersenarai dalam Interpol ialah suspek pengganas yang dikehendaki oleh Amerika Syarikat yang sebelum ini didakwa sudah mati dalam serangan tentera Filipina di Jolo, Filipina pada Februari lalu iaitu Zulkifli Abdul Hir @ Zulkifli Hir, 45.

Pada Februari lalu, tentera Filipina mendakwa pihaknya berjaya membunuh tiga orang militan Islam dikehendaki termasuk seorang pembuat bom dari Malaysia iaitu Zulkifli tetapi kesahihan kematiannya belum dapat dipastikan disebabkan mayatnya tidak ditemui sehingga kini.

Zulkifli yang juga dikenali sebagai Marwan berasal dari Muar, Johor merupakan rakyat Malaysia dan didakwa menjadi orang kanan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah.

Pada 2007 Amerika Syarikat menawarkan wang sebanyak AS$5juta (RM15 juta) sebagai ganjaran penangkapan suspek sekali gus menjadikannya antara orang yang paling dikehendaki oleh negara berkenaan.

“Selain Zulkifli, penjenayah lain paling dikehendaki dan masih gagal dikesan sehingga kini ialah seorang wanita, Rohaniza Aladib, 33, yang disyaki terlibat dalam kes penipuan berbentuk skim pelaburan dalam syarikat rokok antarabangsa membabitkan mangsa dalam kalangan artis terkenal tanah air seperti Amy Search, Hattan dan Misha Omar yang mencecah nilai RM400 juta pada 2008," katanya sumber itu.

Katanya lagi, antara yang turut diburu Interpol ialah tiga lelaki Malaysia iaitu Lim Leong Seng, 55; Chan Chee Sing, 38, dan Goh Mung Huat, 31, yang dikehendaki oleh polis Vietnam serta Goh Ming Huat, 31, dikehendaki di negara ini kerana terlibat dalam jenayah berkaitan pelarian.

Beliau berkata, tiga lagi yang diburu Interpol kerana terlibat dalam kes berkaitan dadah iaitu Yau Cheong Mun, 31, dan Diong Chee Meng, 29, iaitu dikehendaki oleh Indonesia manakala Lim Han Choo, 57, dicari oleh Mahkamah Majistret Pahang.

Katanya, turut dicari ialah Micheal Soosai, 48, yang dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Huat Yee Han, 22, (Sweden) kerana memalsukan kematian mereka serta William Chua, 48, dan Wong Kee Yew, 44, masing-masing diburu oleh Vietnam dan Brunei berkaitan jenayah seksual.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan