Isnin, 14 Mei 2012

PERUTUSAN KPPM SEMPENA HARI GURU KEBANGSAAN 2012




"GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI  PENDIDIKAN NEGARA"


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi  sekalian,

1.            Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu  signifikan dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang  diraikan pada 16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai  pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang,  guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.

2.            Pada tahun ini, tema "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi  Pendidikan  Negara" telah dipilih   sebagai     galakan   kepada   guru menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat  Berhormat  Perdana  Menteri   Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi  dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.

3.            Sebagai  golongan  profesional   yang  menjana dan  menjuarai  perubahan, kita perlu peka dan bersedia  memperlengkapi diri  menjadi guru yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau  strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif juga  berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis  yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang inovatif juga mempunyai tahap ketekunan  yang  tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan  seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.

Warga pendidik yang diraikan sekalian,

4.            Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui  transformasi   yang berbentuk   dinamik     dan     progresif   yang      akan  direalisasikan oleh para guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi, dan  berdaya saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah  melaksanakan     program    bina   upaya    untuk  meningkatkan   amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi  pendidikan  secara keseluruhan. Objektif  Pelan Pembangunan  Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.

Warga pendidik sekalian,

5.            Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak  kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.  Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya  melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam aspek perjawatan   dan        perkhidmatan. Anugerah            dan  beberapa  penambahbaikan dalam skim  perkhidmatan   guru       menggambarkan  keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang  berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi  cabaran global.

6.            Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban  tugas guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu,  bermula pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu  Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik  pelan operasi latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus;  menambahkan staf sokongan untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian /peperiksaan dan meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.

7.            Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua  warga pendidik di negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan  ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang  tidak pernah meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan  oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik  terus gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas  tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran  agama serta mengamalkan nilai sejagat.

Anak-anak murid yang disayangi sekalian,

8.            Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para  guru di samping tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa  kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada  di hadapan murid-murid semua adalah guru penyayang. Kehadiran murid  ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu  dan mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang  guru adalah permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan  tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan potensinya nescaya akhirnya  mereka dapat menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing,  berfikiran kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia dan sedar akan  kepentingan amalan berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah  yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk  murid-murid semua.

9.            Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh  dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan.  Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses  transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik mempunyai  kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah  kita  teruskan  amalan   budaya  kerja cemerlang, sikap   kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap  daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.

Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad  Abduh, seorang tokoh pendidikan di Mesir, "Kemuliaan ialah membangun  umat yang telah binasa, membuka selubung kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang  terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun umat  dari tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk  memperbaharui gerak langkah".

WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN

TERIMA KASIH CIKGU  "SELAMAT HARI GURU"!

DATO' SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan