Rabu, 14 Disember 2011

ISU SOSIAL : Undang-undang rasuah lebih tegas


Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

PERUBAHAN status Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009 merupakan satu usaha positif kerajaan dalam usaha menjadikan agensi itu sebagai sebuah agensi yang bebas, telus dan profesional dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan pencegahan rasuah di negara ini.

Antara inisiatif yang diambil bagi menambah baik fungsi agensi ini agar dilihat sebagai sebuah agensi yang telus, lima badan pemantau telah ditubuhkan bagi menjamin mekanisme Check and Balance dalam perlaksanaan undang-undangnya.

Secara jelasnya, SPRM dipantau oleh lima badan ini iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (LPPR).

Bagi setiap laporan operasi yang dijalankan oleh SPRM, ia akan dijawab terus kepada Parlimen melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Antara isu menarik dalam laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dibentangkan di Parlimen Malaysia 29 November lalu, soal perundangan dan pendakwaan turut diberi perhatian.

Menyentuh mengenai kes-kes rasuah, seringkali isu perundangan membabitkan kes-kes rasuah disalah tafsirkan oleh masyarakat apabila sabitan ke atas kes-kes berprofil tinggi dilihat agak kurang berbanding kes-kes lain.

Perlu dingat bahawa kes-kes rasuah dan penyelewengan kuasa agak kompleks dan terdapat perbezaan dari sudut pembuktian dengan kes-kes jenayah am yang lain. Persoalan fakta undang-undang termasuk pembuktian bagi sesuatu kesalahan rasuah memerlukan kemahiran.

Ini turut diakui oleh JKMR apabila dalam Laporan JKMR 2010 turut menyatakan tumpuannya dalam aspek pendakwaan dan perundangan. (2.2, 2.3, 2.4), cadangan JKMR (2.3.1) ada membuktikan bahawa kes-kes rasuah ini sememangnya kes yang boleh diklasifikasikan sebagai jenayah rumit dan kompleks.

Ini kerana jenayah berbentuk begini bersifat merentasi sempadan negara dan berhubung kait dengan jenayah lain seperti jenayah bersindiket, jenayah ekonomi, kewangan, keganasan, penggubahan wang haram, penyeludupan manusia yang dibantu oleh perkembangan pesat teknologi maklumat.

Tidak dapat dinafikan, tafsiran terhadap sesuatu perlakuan rasuah dalam konteks undang-undang dan moral sering kali menyebabkan kekeliruan masyarakat, ambil saja contoh isu pemberian hadiah, bagaimana ia ditafsirkan oleh masyarakat walaupun telah dijelas berkali-kali.

Bagi kes-kes berprofil tinggi sering kali isu 'ikan besar, 'ikan kecil' menjadi perdebatan utama dalam memperlihatkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang berkaitan rasuah.

Anggapan bahawa ikan-ikan besar sering terlepas dari disabitkan kesalahan rasuah berbanding ikan-ikan kecil seolah-olah sudah sinonim dengan persepsi masyarakat.

Satu yang dilihat secara jelas dan diakui oleh JKMR sendiri ialah kekalahan kes-kes berprofil tinggi bukan disebabkan oleh SPRM tidak berkemampuan dan terikat dengan kerajaan tetapi sebaliknya disebabkan oleh kemahiran pengamal undang-undang (peguam pembela), saksi, serta salah tafsir terhadap peruntukan undang-undang berkaitan rasuah itu sendiri.

Kes Datuk Norza Zakaria contohnya, bagaimana ia memperlihatkan keterangan saksi yang bercanggah berbanding keterangan ketika diberi kepada SPRM mampu membuatkan sesuatu kes itu tamat dengan keputusan yang memihak kepada tertuduh.

JKMR ada menyatakan bahawa kebanyakan kes-kes yang disiasat dan dituduh oleh pihak SPRM secara menyeluruh adalah membabitkan individu yang berprofil tinggi. Mereka ini berpengetahuan dalam cara-cara mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang atau seperti kebiasaannya mereka yang berprofil tinggi ini akan sentiasa diwakili oleh barisan peguam yang ternama dan berpengalaman luas.

Pandangan JKMR bahawa bagi kes-kes berprofil tinggi, SPRM perlu diwakili oleh beberapa Timbalan Pendakwaraya (TPR) Kanan yang berpengalaman dan berkemahiran untuk mewakili SPRM bagi berhadapan peguam-peguam yang berpengalaman dan handal ini dalam kes-kes berprofil tinggi.

Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah (MKR) adalah satu lagi bukti bahawa perlaksanaan undang-undang berkaitan rasuah dan penyelewengan di negara ini semakin tegas.

Ini diperlihatkan daripada susulan penubuhan SPRM apabila sebanyak empat MKR mula beroperasi pada Oktober 2009 (dua di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam) bagi mengendalikan kes-kes berkaitan rasuah sepenuhnya.

Kewujudan MKR di setiap negeri ini secara tidak langsung menunjukkan peningkatan kes yang berjaya disabitkan di mahkamah rendah iaitu daripada 54 peratus pada 2009 kepada 71 peratus pada tahun 2010.

Bagaimanapun, tidak dinafikan walau pun usaha awal mensabitkan pesalah rasuah telah dibuat di peringkat Mahkamah Rendah, tetapi masih banyak, yakni kira-kira 70 peratus keputusan perbicaraan kes-kes rasuah akan berakhir dengan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Namun ia bukanlah sesuatu yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan undang-undang yang tegas dan segera. Ini kerana kebanyakan keputusan Mahkamah Tinggi akhir-akhir ini berpihak kepada pihak pendakwaan seperti kes penyelewengan bon jutaan ringgit membabitkan dua pegawai PUNB pada 5 Disember lalu.

Keputusan nyata berpihak kepada pihak pendakwaan apabila hakim Mahkamah Tinggi memutuskan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

Tidakkah ia merupakan satu titik tolak kepada perubahan pelaksanaan undang-undang rasuah yang lebih tegas di negara ini?

Sumber : http : //www.utusan.com.my/