Sabtu, 19 Mei 2012

ISU SOSIAL : Manusia Gemar Bias Balik Diri


SETIAP daripada kita tahu bahawa agama melarang kita mengumpat atau memperkatakan hal buruk orang lain. Bagaimanapun, menceritakan keburukan orang lain selalu sahaja terjadi dalam kehidupan manusia.

Kita cenderung untuk membincangkan keburukan pihak lain. Sebaliknya, jarang sangat manusia membincangkan keburukan diri sendiri.

Dalam psikologi, hal ini dikenali sebagai bias balik diri (self-serving bias). Semua ini merupakan lumrah bagi sesiapa sahaja. Apabila kita dipuji majikan atau dinaikkan pangkat kerana prestasi yang baik, kita percaya bahawa penilaian yang dibuat majikan itu betul. Sebaliknya, kalau kita dinilai buruk, kita percaya bahawa majikan melakukan hal yang silap.

Ahli sukan seperti pemain bola sepak terkenal dunia pun ada kecenderungan bias balik diri. Apabila mereka menjaringkan gol walaupun dalam keadaan ofsaid, tetapi dipersetujui oleh pengadil, mereka yakin bahawa pengadil membuat keputusan yang betul. Mereka seolah-olah percaya bahawa apa yang dilakukannya itu memang betul, apatah lagi apabila pengadil telah mengesahkannya.

Begitu juga dengan pelajar. Apabila mereka lulus cemerlang, mereka tidak merasa sebarang cacat celanya dengan soalan peperiksaan.

Mereka cenderung menerima keputusan itu. Sebaliknya, jika gagal mereka akan mengkritik pihak lain, misalnya guru yang tidak mengajar dengan baik. Ada juga yang menyatakan bahawa soalan peperiksaan yang diberikan terlalu susah. Banyak kajian dilakukan bagi melihat fenomena itu.

Contoh kajian global

1. Majoriti usahawan merasakan mereka melakukan urusniaga mengikut etika yang betul, walaupun kenyataannya mungkin tidak begitu.

2. Di Australia, 86 peratus pekerja menilai prestasi mereka lebih baik daripada kebanyakan orang. Hanya 1 peratus sahaja menilai diri di bawah paras purata.

3. Di Belanda, kebanyakan pelajar sekolah tinggi menilai diri mereka sebagai lebih jujur, amanah, mesra dan boleh dipercayai berbanding purata pelajar lain.

4. Kebanyakan pemandu, bahkan mereka yang sedang berada di hospital kerana kemalangan jalan raya merasakan diri mereka lebih cekap dan selamat berbanding rata-rata pemandu lain.

5. Ramai orang percaya bahawa diri mereka lebih cerdik, kurang prejudis dan merasakan diri mereka lebih menarik berbanding ahli masyarakat lain.

Perasaan dan ilusi

Hakikatnya, ia hanya ilusi atau sebuah perasaan semata-mata. Semua ilusi ini sedang kita alami setiap hari lalu menjadikan manusia cenderung mencari kesalahan orang lain, berbanding mencermin diri sendiri.

Kajian juga mendapati manusia tidak adil dalam menilai diri sendiri. Manusia cenderung menilai diri sendiri sebagai berubah-ubah mengikut keadaan, sebaliknya menilai orang lain sebagai bersifat kekal dalam sebarang keadaan sekalipun.

Misalnya, apabila melihat salah laku atau kesilapan orang lain, manusia cenderung menyatakan bahawa orang tersebut mempunyai sifat negatif tadi dan ia wujud secara berkekalan.

Sebaliknya, apabila diminta menilai diri sendiri, manusia akan menyatakan bahawa sifat negatif tersebut hanya wujud dalam keadaan tertentu.

Sebagai contoh, sifat pemarah. Kita cenderung menyatakan bahawa kita hanya menjadi pemarah dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Semua ini menjadikan, dalam kehidupan sebagai manusia, kita lebih banyak menghabiskan masa dengan membincangkan keburukan pihak lain berbanding mencari kebaikan mereka. Manusia juga sibuk memperkatakan mengenai kehebatan diri sendiri berbanding memperkatakan tentang sifat buruk yang ada.

Mengapa hal ini terjadi?

Ini diasaskan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah ilusi positif iaitu manusia cenderung untuk mempunyai ilusi positif terhadap diri sendiri.

Misalnya, kita tidak akan mati muda, walaupun kita tahu ramai orang lain yang mati muda.

Kita juga percaya tidak akan diserang kanser walaupun kita kuat merokok. Bagaimanapun, kalau diminta menilai orang lain yang merokok, kita cenderung berkata mereka akan diserang penyakit.

Kita juga cenderung menilai kita sebagai orang baik, walaupun orang lain mungkin menilai kita sebagai sombong. Sebaliknya kita menilai orang lain sebagai sombong, walaupun orang itu menilai diri mereka baik.

Faktor kedua ialah penolakan majmuk. Misalnya, manusia cenderung untuk tidak mahu berkawan dengan orang asing (walaupun orang asing itu mahu berkawan dengannya) kerana manusia cenderung untuk menjangkakan bahawa orang asing itu tidak berminat dengan persahabatan.

Namun begitu, pada masa yang sama, kita pula berkata bahawa kita ini sebenarnya seorang yang ingin bersahabat, cuma terpaksa tidak memulakannya kerana bimbang hasrat itu ditolak.

Sebenarnya itulah yang telah terjadi dalam diri kita sebagai manusia.

Sebab itulah, sebagai manusia kita tidak perlu terlalu berbangga dengan diri sendiri dan menghukum orang lain dengan label yang buruk.

Hakikat sebenarnya, kita sebagai manusia hanyalah sebuah ilusi yang dimainkan oleh perasaan sendiri.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU KESIHATAN : Cukai jawapan kepada obesiti



Kajian syor makanan, minuman tidak sihat dicukai lebih tinggi


INDIANA : Pakar kesihatan yang memerangi obesiti di Amerika Syarikat sejak sekian lama mencadangkan cara baru mengatasi masalah yang semakin membimbangkan iaitu mengenakan cukai ke atas makanan dan minuman yang dianggap menjejaskan kesihatan.

Satu kajian baru menunjukkan, langkah mengenakan cukai ke atas makanan dan minuman berkenaan dapat membantu mengurangkan bilangan penduduk yang menghadapi masalah kegemukan atau obesiti.

Menurut laporan, lebih 60 peratus rakyat Amerika memiliki berat badan berlebihan. Jika cukai itu dilaksanakan, burger keju berharga AS$4 (RM12) akan dikenakan kos tambahan 80 sen (RM2.40), lapor stesen televisyen RTV6.

Sebahagian penduduk pula menganggap cukai itu sukar diterima.

“Saya rasa kita tak perlu mengenakan cukai ke atas penduduk dan gaya hidup mereka,” kata seorang lelaki.

Namun, ada juga yang menyambut baik cadangan itu.

“Saya sanggup bayar 20 peratus. Ia berbaloi. Saya akan makan dengan cara lebih sihat untuk menjimatkan wang,” kata seorang wanita.

Penyelidik berkata, cukai itu boleh mengurangkan kadar obesiti sebanyak 3.5 peratus dan menghalang 2,700 kematian kerana serangan jantung setahun.

Kajian juga menggesa subsidi diberi kepada makanan yang membantu penduduk lebih sihat termasuk sayur-sayuran bagi menjadikannya lebih murah.

Ketua Jabatan Kesihatan Awam Sekolah Perubatan Universiti Indiana, Dr Eric Wright, berkata cukai itu selari dengan produk pengguna lain.

“Kita mengenakan cukai ke atas alkohol dan tembakau dan jelas banyak kajian menunjukkannya dapat menurunkan bilangan orang yang obes. Jadi, ada logiknya mengenakan cukai ke atas makanan berlemak dan bukti awal di Eropah menunjukkan ia amat berkesan,” katanya.

Penyelidik berkata, Indiana memperuntukkan AS$3.5 bilion (RM10.5 bilion) setahun untuk kos perubatan berkaitan obesiti.

“Realitinya, dengan dua pertiga penduduk gemuk berlebihan atau obes, itulah yang menaikkan kos penjagaan kesihatan dan anda sama ada memilih untuk membayar sekarang atau kemudian,” kata Wright.

Pengkritik cukai berkata, orang ramai yang memilih makanan yang menyihatkan sepatutnya tidak perlu membayar cukai dan menerima insentif lain. Agensi

ISU PENGAJIAN TINGGI : Transformasi pendidikan perlu menyeluruh




Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

GELOMBANG pendidikan yang dulunya berskala kecil, kini semakin berubah hingga menjadikannya pelaburan lumayan kepada industri dan institusi yang berani menyahut cabaran.

Dengan pelbagai transformasi global, pendidikan menjadi agenda baru kepada masyarakat dunia untuk mengangkat martabat kehidupan ke landasan penyebaran ilmu baru dan perkongsian maklumat terkini juga menyamaratakan taraf mutu pendidikan agar setara institusi lebih terkemuka.

Meskipun perubahan itu dicerminkan sebagai usaha proaktif dan positif, ada pula memberi reaksi kontra dengan tanggapan institusi hanya melakukannya akibat terpengaruh dengan budaya ikutan serta tidak mahu dianggap ketinggalan.

Institusi berkenaan dituduh sanggup memperjudikan nasib semata-mata ingin memahat nama di peringkat antarabangsa sedangkan tiada kemampuan melaksanakannya.

Itukah budaya yang sedang membelenggu institusi pendidikan dunia hari ini?

Rektor Universiti Pertanian Bogor, Indonesia, Profesor Dr Herry Suhardiyanto berkata, transformasi pendidikan perlu dinilai secara menyeluruh bagi menjadikannya kompetitif untuk memenuhi kehendak serta keperluan globalisasi.

Menurutnya, perubahan itu tidak boleh dilakukan secara terburu-buru atau hanya ikutan kerana membabitkan kapasiti keseluruhan institusi untuk diberi penilaian oleh masyarakat.

“Transformasi bermaksud sesebuah institusi itu bersedia melaksanakan perubahan lebih besar dan melakukan anjakan paradigma dalam semua segi. Dengan kata lain, bersedia melonjakkan kemampuan dan bersaing dengan institusi lain.

“Ini bukan tugas mudah atau semata-mata hanya mahu mewujudkan situasi ikutan. Setiap institusi perlu ada perancangan tertentu bagi pembangunan jangka panjang kerana perubahan itu tidak hanya tertumpu pada satu pihak, malah membabitkan satu organisasi.

“Justeru perancangan penting bagi menilai kemampuan sama ada sudah bersedia atau tidak. Namun keperluan dunia hari ini memang memerlukan institusi pendidikan melakukan perubahan bukan atas dasar glamor tapi penambahbaikan taraf serta mutu pendidikan masa depan,” katanya yang ditemui ketika Forum Presiden Universiti yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, baru-baru ini.

Majlis itu acara tahunan berprestij yang dianjurkan institusi pendidikan tinggi untuk membincangkan kepelbagaian isu pendidikan global oleh institusi pendidikan dunia dalam menentukan hala tuju institusi masa depan.

Transformasi pendidikan tidak hanya menyasarkan matlamat membina nama, status dan penjenamaan, malah memberi timbal balas kepada penjanaan kemahiran diri dan insaniah pensyarah-mahasiswa.

Era pendidikan dunia  kini juga bukan lagi membudayakan kepelbagaian jurusan ilmu semata-mata, malah membuka pintu kepada jalinan kerjasama antara institusi merentasi pelbagai negara.

Dengan aspirasi memajukan pendidikan setara permintaan global, pelbagai institusi pendidikan terutama peringkat tinggi mula mencari rakan baru dan menjalin hubungan dua hala strategik bagi bertukar kepakaran serta teknologi.

Menjadikan program pengantarabangsaan sebagai asas lonjakan, institusi seluruh dunia mula melaksanakan pembaharuan dasar, utiliti dan mentaliti bagi memenuhi kapasiti permintaan yang semakin melonjak.

Katanya, perubahan itu bagi memenuhi kehendak permintaan dan penawaran global hingga institusi pendidikan perlu melakukan transformasi bagi menjadikan kemampuan lebih kompetitif serta mendapat pengiktirafan institusi lain.

“Dalam konteks pendidikan hari ini, siapa yang mahu menerima perubahan serta mempunyai visi jelas, akan muncul sebagai pemenang dan menjadi pilihan. Perubahan ini bukannya statik malah bergerak kepada satu matlamat sama.

“Mereka yang tidak berani berubah pasti tidak mampu bersaing. Masyarakat dunia hari ini suka menilai dan melihat pendidikan sebagai aset perlu ditambah setiap masa.

“Dengan kata lain, setiap institusi menjadikan kepakaran dan ilmu sebagai cagaran untuk mendapatkan pulangan dengan pendidikan global merentasi semua disiplin ilmu adalah sasarannya,” katanya menegaskan institusi pendidikan tidak boleh memberi penilaian terhadap kemampuan diri tapi perlu dinilai menerusi mata masyarakat.

“Tidak dinafikan ada institusi seolah-olah mendabik dada mengatakan dia yang terbaik, namun adalah lebih baik jika penilaian itu datang daripada masyarakat. Itu baru adil dan lebih diperakui.

“Namun, tidak salah institusi memberi kredit kepada diri sendiri sebagai perangsang untuk menjadikan institusi lebih fokus dan berdedikasi,” katanya.

Beliau mengakui ketaksuban dalam melaksanakan perubahan boleh mendatangkan impak sampingan yang boleh mendatangkan konflik dalaman kepada institusi dan warganya.

Ketidakupayaan pensyarah dan pelajar untuk memenuhi piawaian, katanya, bukan saja boleh menjejaskan emosi, malah menjadikan mereka keliru dan ketinggalan.

“Pastinya usaha melakukan transformasi gagal jika golongan ini tidak jelas mengenai matlamat institusi atau berasa ‘tertindas’. Sebagai tulang belakang, mereka aset penting yang perlu dihargai.

“Perancangan perlu dilakukan secara menyeluruh dan teliti dengan tidak meminggirkan pihak tertentu semata-mata teruja mencapai keinginan menjadi institusi terkenal. Jika silap percaturan, reputasi institusi akan tercemar sekelip mata dan mungkin sukar dipulihkan,” katanya.

INFO

PENDIDIKAN bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan sesebuah negara dari segi kualiti, kuantiti, standard dan kecemerlangan yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia.

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang  sesebuah negara atau  institusi membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan  dan kemajuan dinamis melalui aspek:

1. Pembangunan tenaga manusia

2. Kepesatan pertumbuhan ekonomi

3. Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial

4. Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat

5. Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual

6. Pembangunan teknologi dan sains

7. Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Tiga bidang utama yang perlu dibangunkan untuk menuju universiti bertaraf dunia iaitu penyelidikan, kebebasan akademik dan kepemimpinan akademik.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Kehancuran bangsa dalam karya sastera wajar jadi teladan



KUALA LUMPUR 17 Mei - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia menjadikan sejarah kehancuran bangsa dan negara yang banyak dipaparkan dalam karya-karya sastera klasik Melayu serta tamadun lain sebagai teladan.

Menurutnya, kisah seumpamanya harus dijadikan peringatan agar Malaysia tidak terjerumus dalam kancah perebutan kuasa yang tidak demokratik terutama melalui pelbagai muslihat kotor dan tidak beretika.

Beliau turut menyeru rakyat negara ini agar menolak segala bentuk anasir dan tindak tanduk melampau yang sengaja dicetuskan oleh sesetengah pihak yang cemburu terhadap keharmonian rakyat pelbagai keturunan di negara ini.

''Peristiwa ini banyak dipaparkan dalam buku seperti Hikayat Tiga Negara dan sejumlah karya klasik Melayu dan kita lihat banyak pihak yang akan mengambil kesempatan menangguk di air keruh apabila timbul huru-hara. Justeru sewajarnya kita jadikan ia sebagai teladan ,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran buku karya Agung, Hikayat Tiga Negara yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan dan Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif), Goh Hin San di DBP, di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat negara ini agar tidak memandang ringan keutuhan perpaduan agar ia tidak mudah dimusnahkan oleh gerakan atau tindakan yang tidak bertanggungjawab.

''Banyak pihak yang mencemburui kejayaan Malaysia sehingga ada yang beria-ia hendak menidakkannya dengan pelbagai gelagat yang berniat jahat dan tohmahan yang tidak berasas,'' katanya.

Justeru beliau berkata, rakyat harus memastikan ia tidak dirosakkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

''Tolak apa juga bentuk ketaksuban dan ekstremisme demi memastikan bangsa dan negara kita tetap aman, stabil dan maju,'' katanya.

Sementara itu beliau berkata, nilai kesetiaan kepada Raja dan Negara yang diolah dalam karya-karya klasik Melayu dan China seperti Hikayat Tiga Negara merupakan nilai luhur yang seharusnya dipertahankan.

''Ia adalah nilai dan amalan abadi untuk kestabilan masyarakat dan negara, dan sebarang usaha untuk menidakkan kesetiaan kepada raja dan negara hendaklah dihindari oleh semua pihak yang cinta kepada kestabilan negara,'' tegas beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin mencadangkan agar para cendekiawan dan budayawan bekerjasama dengan DBP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperbanyakkan wacana intelektual berkaitan falsafah dan pemikiran bangsa-bangsa dunia yang terdapat dalam karya agung masing-masing.

Beliau yakin melalui wacana, hasil kajian dan gagasan yang menjurus pembinaan kegemilangan negara bangsa dapat dijana sebaik mungkin.

Sementara itu, buku Hikayat Tiga Negara ialah terjemahan novel San Guo Yan Yi, sebuah karya agung dalam kesusasteraan klasik China yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa pelbagai seperti Perancis, Jepun , Itali, Rusia dan Thailand.

Buku itu berkisar fakta dan latar belakang sejarah pemberontakan, kejatuhan dan kebangkitan tiga negara iaitu Wei, Shu dan Wu yang sentiasa berperang bermula tahun 220 Masihi dan berakhir pada 280 Masihi.

Sumber : http : /www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Semua Sekolah Vokasional Akan Jadi Kolej Vokasional Pada 2015


NILAI : Semua sekolah vokasional di negara ini dijangka dapat dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya pada masa ini sebanyak 15 sekolah vokasional yang mewakili setiap negeri telah dinaik taraf kepada status itu, dan bertindak sebagai program rintis yang bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan.

"Secara keseluruhannya penaiktarafan ini akan memberi tumpuan kepada kemahiran, pelajar tidak perlu memakai pakaian sekolah dan kita ubah persekitarannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA, di sini Sabtu.

Katanya penaiktarafan itu yang merupakan sebahagian daripada usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara, akan dilaksana secara berperingkat selain guru diberi latihan dan penambahan alat kelengkapan kursus.

Kurikulum vokasional juga akan dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baharu seperti kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar, katanya.

Katanya pelajar akan mengikuti kursus selama lapan semester, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia.

"Selepas mereka tamat dan mendapat sijil tersebut nanti terpulang kepada mereka sama ada untuk menyambung pelajaran atau pun terus bekerja, kerana dengan adanya sijil itu mereka sudah layak untuk mendapat kerja yang baik," katanya.

Katanya pada masa ini terdapat 78 sekolah vokasional seluruh negara, dan beberapa buah lagi akan dibina dan terus diberikan status berkenaan. - BERNAMA

PERUTUSAN TIMBALAN PERDANA MENTERI SEMPENA HARI GURU KEBANGSAAN 2012


 TEMA: "GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA" 

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1.            Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul di Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga Kementerian Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Haji Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri Perak menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada tahun ini.

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2.            Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan tahun dari sekarang, negara kita akan melalui satu fasa transformasi penting yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih mencabar.

3.            Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit
cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling getir adalah bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.

4.          Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu- satunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama.

5.         Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan. Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan murid pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan bai'ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah menggerakkan seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan pendidikan negara.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

6.          Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guru- guru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara, guru- guru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini berada di setiap lapangan ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk menggerakkan kemajuan bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih daripada sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara perindustrian baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang rendah dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari ini.

7.          Sementara kita menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan amalan pendidikan di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik, sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap. Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu.

8.        Sehubungan itu, Kementerian telah memulakan proses Kajian Semula Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian telahpun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana kita boleh meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding dengan negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengundang guru-guru menyertai dialog pendidikan negara dan tanpil dengan idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.

9.         Apatah lagi, aspek paling penting dalam proses kajian semula pendidikan ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang bagaimana kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat kita tingkatkan.

GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI

Saudara dan saudari yang saya hormati,

10.        Dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai. Ketika berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran dicapai.

11.          Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga akan memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud, guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.

12.          Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya semua guru di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai.

KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI

13.          Keyakinan saya berasaskan kepada fakta bahawa pada masa ini di sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu. Kejayaan ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu melahirkan murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4, Subang Jaya.

14.          Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN Camp for Gifted In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih banyak kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for the Gifted In Science di Korea.

15.          Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Khairuddin bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini.

MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

16.          Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan pembudayaan inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada guru untuk mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.

17.          Kementerian Pelajaran juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i- Think. Program ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai oleh guru untuk meningkatkan pena'akulan dalam kalangan murid. Program ini telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

18.          Selain itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid. Melalui pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal insan yang inovatif. Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi.

MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN

19.          Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guru-guru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam hubungan ini, Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang tahun 2015. Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.

20.          Biarpun mengharap dedikasi guru yang tidak terhingga dalam mendidik anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, Jawatankuasa Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini. Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang tahun 2013.

21.          Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru. Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambahbaik pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan  peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

22.          Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan hanya 3 tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya 8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.

23.          Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri, seramai 390 orang guru telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan seramai 8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012. Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini.

24. Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan bahawa proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian. Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48. Kenaikan pangkat ini melibatkan Pengetua dan Penolong Kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010. Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki penyandang jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655 orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

25.          Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit, iaitu satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

26.          Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan masyarakat.

27.          Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.

28.          Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar pendidik, baik yang berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di institusi pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau di mana jua anda berada, samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan pengorbanan anda semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat martabat nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda.

Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun 2012.

Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sumber : Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia