NILAI : Semua sekolah vokasional di negara ini dijangka dapat
dinaik taraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2015, kata Timbalan
Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya pada masa ini sebanyak 15 sekolah vokasional yang
mewakili setiap negeri telah dinaik taraf kepada status itu, dan bertindak
sebagai program rintis yang bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan.
"Secara keseluruhannya penaiktarafan ini akan memberi
tumpuan kepada kemahiran, pelajar tidak perlu memakai pakaian sekolah dan kita
ubah persekitarannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA,
di sini Sabtu.
Katanya penaiktarafan itu yang merupakan sebahagian daripada
usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara, akan dilaksana secara
berperingkat selain guru diberi latihan dan penambahan alat kelengkapan kursus.
Kurikulum vokasional juga akan dirombak secara komprehensif
agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan
beberapa kursus baharu seperti kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar,
katanya.
Katanya pelajar akan mengikuti kursus selama lapan semester,
meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil
Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian
Sumber Manusia.
"Selepas mereka tamat dan mendapat sijil tersebut nanti
terpulang kepada mereka sama ada untuk menyambung pelajaran atau pun terus
bekerja, kerana dengan adanya sijil itu mereka sudah layak untuk mendapat kerja
yang baik," katanya.
Katanya pada masa ini terdapat 78 sekolah vokasional seluruh
negara, dan beberapa buah lagi akan dibina dan terus diberikan status
berkenaan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan