Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
1. Alhamdullillah,
bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul di Bandar DiRaja Kuala
Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita
yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga Kementerian
Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita. Saya ingin
merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Haji Zambry bin
Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri Perak menjadi
tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada tahun ini.
GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Malaysia sedang berada
di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan tahun dari sekarang, negara kita akan melalui satu fasa transformasi
penting yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara
maju apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh
minda dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam
persekitaran global yang lebih mencabar.
3. Sepanjang perjalanan
kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit
cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling getir adalah
bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang
terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu
melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan mengisi
keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara
kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang untuk
mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.
4. Lantaran itu, kerajaan
memberikan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita
tahu bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu-
satunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran
tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang akan
memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak merekalah
letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana
dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita
bersama.
5. Usaha untuk meningkatkan
kualiti pendidikan negara telah kita mulakan. Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di
bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang
bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan
berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk
negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa kejayaan
yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan murid
pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi
murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan
bai'ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan tahniah saya
ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah menggerakkan seluruh
kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan pendidikan negara.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
6. Kita pastinya berbangga
dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guru- guru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara,
guru- guru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan
pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya
insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini berada di setiap lapangan
ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk menggerakkan kemajuan
bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih daripada sebuah negara berasaskan
ekonomi pertanian kepada sebuah negara perindustrian baru yang pesat
berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana jasa dan bakti para guru.
Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang rendah dan memperleceh
peranan serta sumbangan besar para guru terhadap kemajuan yang dicapai oleh
negara kita hari ini.
7. Sementara kita
menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi persaingan
global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan amalan pendidikan di
negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu dimantapkan,
mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran
perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik, sumber dan sistem
penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap. Pendek kata,
keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya
secara bersepadu.
8. Sehubungan itu,
Kementerian telah memulakan proses Kajian Semula Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama
yang perlu diberi perhatian telahpun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga
telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa
pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana kita
boleh meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding dengan
negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengundang guru-guru
menyertai dialog pendidikan negara dan tanpil dengan idea-idea bernas untuk
meningkatkan mutu pendidikan kita.
9. Apatah lagi, aspek
paling penting dalam proses kajian semula pendidikan ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan
pendidikan yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama
berkecimpung dalam bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang
bagaimana kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat
kita tingkatkan.
GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI
Saudara dan saudari yang saya hormati,
10. Dalam menempuh era
globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti
adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa
yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru berinovasi
ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran
alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan
masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam konteks ini, sebelum melangkah
masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan
menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai. Ketika berada di dalam bilik
darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran, tetapi sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran
biasa untuk mencari kaedah dan pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang
penting, objektif pembelajaran dicapai.
11. Selanjutnya, seorang guru
berinovasi juga akan memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir
dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan
murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan
semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan mereka
menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud, guru
berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling
kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah
kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya menilai
pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil langkah
proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka dapat bersaing di
dunia yang semakin mencabar.
12. Ini bermakna, guru
berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah
keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah
mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk itu,
guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk
mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya
menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya semua
guru di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita untuk
melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan
berketrampilan akan tercapai.
KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI
13. Keyakinan saya berasaskan
kepada fakta bahawa pada masa ini di sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi
yang bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang
Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic Olympiad di
Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu. Kejayaan ini
membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu melahirkan
murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Tahniah
saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4, Subang Jaya.
14. Saya juga mengucapkan
tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat Emas
bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN Camp for Gifted
In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji kerana hasil inovasi
beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih banyak kejayaan dalam
Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuk
Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit
Malaysia dan The Second APEC Conference for the Gifted In Science di Korea.
15. Saya juga ingin
merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Khairuddin bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah Kebangsaan
Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul Anugerah Guru
Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong guru-guru di seluruh
negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun
ini.
MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
16. Kementerian akan terus
berusaha untuk meningkatkan pembudayaan inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek pemikiran
kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya yakin
transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada guru untuk
mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran secara
berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru untuk menjana pelbagai
kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah murid lemah menerusi teknik
pembelajaran secara intervensi.
17. Kementerian Pelajaran
juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-
Think. Program ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai oleh
guru untuk meningkatkan pena'akulan dalam kalangan murid. Program ini telah
dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh
negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
18. Selain itu, Kementerian Pelajaran
dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk
membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid. Melalui pelan ini,
sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan
pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal insan yang inovatif. Pelan
Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya
oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan
keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk
berinovasi.
MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN
19. Usaha membudayakan
inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guru-guru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan
kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam hubungan ini,
Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah
rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang tahun 2015.
Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6
peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikuti
pengajian di institusi pengajian tinggi.
20. Biarpun mengharap
dedikasi guru yang tidak terhingga dalam mendidik anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan
guru yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan
keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana
Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani
14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, Jawatankuasa
Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem
tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban tugas guru yang menggunakan
pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini. Sistem ini telah dilaksanakan
secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan semua sekolah di bawah
Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang tahun 2013.
21. Selain itu, KPM juga
sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan
Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru. Seterusnya satu
cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi perluasan
penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi
menangani isu beban tugas guru ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah
melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambahbaik
pengendalian ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun
ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya
ujian dan peperiksaan setara akan
dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian akan dijalankan dalam
waktu pengajaran dan pembelajaran.
22. Selaras dengan usaha
kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara
Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB
Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, 8
tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan hanya 3
tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan
Diploma gred DGA29, hanya 8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun
untuk gred DGA32 ke DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.
23. Lanjutan pengumuman YAB
Perdana Menteri, seramai 390 orang guru telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang
ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula,
seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang dinaikkan ke
gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan seramai 8,222 orang
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila
memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012.
Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari
ini.
24. Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan
pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan bahawa
proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari
DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian. Setakat ini seramai 854 orang
Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan 4,270 orang Penolong
Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48. Kenaikan pangkat ini
melibatkan Pengetua dan Penolong Kanan yang merupakan penyandang sedia ada
sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan yang memangku jawatan sebelum atau pada
31 Disember 2010. Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari
2012. Baki penyandang jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai 430 orang
dan baki penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655
orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon
memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
25. Bagi melaksanakan semua
urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit,
iaitu satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi
pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang
berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini
akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan
prestasi.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
26. Saya yakin guru
berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi
melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya
berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi
pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan
masyarakat.
27. Untuk memastikan ilmu
pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu,
tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, akal
dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu yang
dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam memperbaharui dan
memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil apabila guru
dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia dengan asuhan
ilmu dan adab yang mulia.
28. Sesungguhnya, tidak
terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima
kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar pendidik, baik yang berada
di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di
institusi pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau di mana jua anda
berada, samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan
terima kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan pengorbanan anda
semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat martabat
nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan kepada murid
nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda.
Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun 2012.
Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan