KERAJAAN sering memberi penekanan kepada konsep pembelajaran
sepanjang hayat. Bagi mencapai matlamat itu, beberapa institusi pengajian
tinggi membuka peluang pengajian seluas-luasnya bagi membolehkan rakyat
melanjutkan pengajian, walaupun mereka sudah menceburi bidang kerjaya. Pada
peringkat kanak-kanak pula, kerajaan menyediakan pendidikan awal prasekolah
yang sistematik seawal usia lima tahun, malah kini sudah menjadi sebahagian
daripada sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang terancang ini menjadikan
Malaysia antara yang terbaik dalam menawarkan peluang pendidikan kepada rakyat
dan menjadi contoh banyak negara membangun. Dalam usaha menambah baik sistem
pendidikan negara, kerajaan kini merancang untuk memperkenal metodologi dari
‘buaian ke kerjaya’ yang diguna pakai di Amerika Syarikat, seperti diumumkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di New York, kelmarin. Malaysia adalah
negara pertama meninjau untuk menggunakan kaedah ini yang kini dilaksana di 27
negeri di Amerika Syarikat. Kaedah itu berjaya meningkatkan tahap kecemerlangan
pelajar dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi. Menerusi
pendekatan itu, setiap tahap perjalanan pelajaran murid diberikan pemerhatian
dan pengesanan positif bagi memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan dan
akhirnya menghindari keciciran. Pelajar dibantu untuk memenuhi petunjuk yang
dikesan dalam bidang kritikal seperti matematik dan kemahiran membaca sepanjang
tempoh perjalanan pendidikan mereka.
Metodologi menyeluruh ini diperkenalkan oleh Canselor State
University of New York (SUNY), Dr Nancy Zimpher dan didapati amat berkesan. Ia
mampu mengatasi masalah kekurangan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi,
kejuruteraan dan matematik (STEM) berikutan kaedah pengajaran yang lemah,
kekurangan bantuan dan penyeliaan profesional. Menerusi metodologi itu juga
sekolah akan memberi lebih keutamaan kepada subjek berkenaan dan mengatasi
masalah ketiadaan maklumat mengenai prospek kerjaya dalam bidang berkaitan
sains serta prospek tidak menarik terhadap graduan kelayakan sains. Beberapa
kelemahan dalam pembelajaran dan pengajaran yang dikenal pasti itu menyebabkan
jumlah pelajar yang terbabit dalam mata pelajaran sains di negara ini tidak
begitu memberangsangkan. Melalui kerjasama ini, Kuala Lumpur dan New York sudah
tentu dapat menangani beberapa masalah yang ada persamaan dan belajar daripada
kesilapan atau kejayaan sistem pendidikan negara masing-masing. Kita harap
metodologi ini dapat membantu negara menambah baik sistem pendidikan sedia ada
dan dapat memenuhi tuntutan kerjaya dengan lebih tepat pada masa depan,
khususnya dalam menyediakan keperluan tenaga kerja mahir seperti yang
diperlukan sektor industri tempatan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan