Jumaat, 18 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : 4,374 Sekolah Terima Peruntukan RM987.1 Juta Bulan Depan



KUALA LUMPUR : Sebanyak 4,374 buah sekolah di seluruh negara akan menerima peruntukan RM987.1 juta secara berperingkat bermula bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, RM900 juta merupakan Tabung Khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

Beliau berkata daripada peruntukan tabung khas, RM500 juta akan diberi kepada sekolah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan/Sekolah Menengah Kebangsaan dan masing-masing RM100 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata RM87.1 juta lagi adalah bagi Projek Insentif Luar Bandar untuk pembinaan dan menaik taraf surau sekolah di seluruh negara yang akan dibelanjakan pada tahun ini juga.

"Peruntukan ini melibatkan proses mengganti surau lama yang berjumlah 24 buah dan bagi projek menaik taraf 565 buah surau. Ia diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik untuk pelajar," katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah di seluruh negara di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan peruntukan besar itu untuk Kementerian Pelajaran pada Bajet 2012 membuktikan bahawa kepimpinan negara sentiasa prihatin terhadap soal pendidikan.

Beliau berkata adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan selesa.

"Untuk itu, dua tahun yang lepas saya telah mengambil inisiatif membuat auditan fizikal di sekolah seluruh negara, ia telahpun siap. Daripada lebih 10,000 buah sekolah (yang diaudit), sebanyak 600 buah sekolah dilaporkan berada dalam keadaan yang cukup parah.

"Disebabkan itu projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak, kita perlu tentukan mereka mendapat sejumlah peruntukan yang mencukupi".

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata daripada jumlah bajet yang diperuntukkan untuk kementerian, ia tidak dapat menampung kesemua sekolah  itu dan usaha mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus untuk penyelenggaraan agar bangunan-bangunan sekolah kekal dalam keadaan yang baik, sempurna dan selamat untuk proses pembelajaran.

"Jumlahnya (peruntukan untuk penyelenggaraan) saya belum tahu tetapi boleh dikatakan agak besar. Dengan menambah kualiti infrastruktur di sekolah maka mutu pendidikan juga akan dapat ditingkatkan," katanya. -BERNAMA

Nota Hujung :

Perincian Agihan :
1,744 SK/SMK - RM500 juta
817 SJKC - RM100 juta
369 SJKT - RM100 juta
428 sekolah mubaligh - RM100 juta
167 sekolah agama bantuan kerajaan - RM100 juta
849 projek surau - RM87.1 juta

Tiada ulasan:

Catat Ulasan