Oleh Hardi Effendi Yaacob, Mohd Anwar Patho Rohman dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
Rakyat Malaysia tukar penampilan di Jakarta; Pelancong batal lawatan ke Indonesia;
KUALA LUMPUR: Gerakan 'Sapu Malaysia' yang dilancarkan sekumpulan ekstremis di Indonesia mula memberi kesan terhadap industri pelancongan apabila banyak tempahan lawatan ke republik itu dibatalkan.
Malah, rakyat Malaysia terutama pelajar di republik itu juga mengakui keadaan di Jakarta masih tidak menentu berikutan isu penggunaan 'Tarian Pendet', sejenis tarian tradisional Kepulauan Bali dalam promosi pelancongan Malaysia.
"Kita mula merasai kesannya apabila ada pelanggan membatalkan tempahan atau mengubah destinasi pelancongan yang dianggap lebih selamat seperti Padang dan Medan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.
Di Jakarta, rakyat Malaysia, terutama pelajar terpaksa mengubah penampilan diri supaya tidak menampakkan identiti rakyat negara ini kerana bimbang dicederakan kumpulan anti-Malaysia itu yang terlalu taksub dengan isu 'Tarian Pendet'.
"Kami tidak lagi berani berjalan seorang diri untuk ke sesuatu tempat, termasuk pusat beli-belah di bandar. Terasa banyak sangat mata memerhati kami dengan pandangan sinis, seolah-olah tidak berpuas hati. Malah, kami turut dimaki hamun dan dilempar pelbagai kata kesat," katanya ketika dihubungi di Jakarta, semalam.
Selasa lalu, Kumpulan Anti-Malaysia (KAM) mengadakan sekatan jalan raya dan membawa buluh runcing untuk mengugut rakyat Malaysia di Jalan Diponegoro, Jakarta.
Penyelaras KAM, Muchtar Bonaventura, dilaporkan berkata tindakan itu sebagai amaran kepada Malaysia supaya tidak memberi layanan buruk kepada rakyat Indonesia atau mendakwa elemen budaya republik itu sebagai miliknya.
Beliau juga merancang untuk meluaskan operasi kumpulan itu dan menjadikan pejabat dan rumah milik rakyat Malaysia sebagai sasaran.
Seorang lagi pelajar Malaysia di Ukrida, Ahmad Akmal, berkata suasana agak tegang berikutan demonstrasi jalanan oleh kumpulan berkenaan yang menyokong kempen 'Sapu Malaysia'.
Sumber : http: //www.bharian.com.my/