Jumaat, 17 Ogos 2012

ISU AGAMA : 28 hari penuh kerahmatan


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Menghayati dan meniti detik-detik terakhir berada dalam Ramadan membawa kita bermuhasabah diri, sejauh manakah kemuliaan serta keberkatannya berjaya kita rebut. Banyak manakah sujud, zikir, doa, membaca al-Quran, sedekah, amanah dan kebajikan sudah dilaksanakan?

Sejauh manakah kualiti dan kuantitinya jika dibandingkan dengan keenakan juadah yang dinikmati dan pelbagai kelengkapan untuk menyambut hari raya disediakan?

Soalan mudah ini berguna untuk kita menilai tahap pencapaian Ramadan tahun ini.

Justeru, marilah di penghujung Ramadan ini kita sama-sama menyuburkan hati dengan kesyukuran kerana diberi peluang menempuhi 28 hari penuh kerahmatan dan kemuliaan yang tiada tolok bandingnya bagi umat Islam dengan menggandakan segala amal kebaikan dan memohon keampunan.

Doa amalan diterima

Dengan harapan supaya amalan diterima, dosa diampunkan dan doa dimakbulkan serta dapat menjalani kehidupan bulan seterusnya dengan roh Ramadan. Itulah kejayaan sebenar kita.

Justeru, dapat mengelakkan apa yang digambarkan Rasulullah SAW, berapa ramai daripada yang berpuasa itu memperoleh hanyalah lapar dan dahaga.

Moga-moga cetusan hati kita untuk menilai semua ini dengan keimanan dan pengharapan menjadi sebahagian amal soleh meraih keredaan dan magfirah Allah SWT di hujung Ramadan.

Ketika suasana gembira di mana ada yang sudah dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, ada yang sudah sampai ke destinasi dituju, jangan lupakan golongan bersedih kerana tidak dapat pulang berhari raya dengan ibu bapa dan sanak saudara.

Ikhlas dari awal hingga akhir

Tidak kurang juga ada yang sibuk menyiapkan keperluan diri dan keluarga pada saat-saat akhir untuk menyambut Aidilfitri. Namun, apapun keadaannya dan di mana saja kita berada, kita perlu terus beringat-ingat dan berpesan-pesan bahawa kita masih dalam Ramadan.

Beringat-ingatlah bahawa keredaan Allah SWT bersama dengan hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dalam amalannya dari mula hingga ke akhirnya.

Seperti doa yang diucapkan setiap kali kita berbuka puasa: “Ya Allah untuk-Mu aku berpuasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka puasa.” (Riwayat Abu Daud)

Ingatan ini bertujuan supaya kekhusyukkan hati, ketundukan diri beribadat, keikhlasan munajat kepada Ilahi dan kesungguhan bekerja yang dipupuk selama ini tidak tercemar atau ditinggalkan dengan sekelip mata disebabkan oleh kesibukan persiapan berhari raya.

Jaga disiplin beramal

Marilah kita beringat untuk memberikan perhatian kepada menjaga disiplin beramal, keteguhan hati budi, keazaman serta pengharapan supaya segala amal kebajikan dilakukan ikhlas untuk-Nya diterima serta dianugerahkan kekuatan meneruskannya sebagai kebiasaan selepas Ramadan.

Kejayaan meneruskan amalan kebaikan di luar daripada bulan Ramadan adalah tanda bahawa latihan amalan Ramadan berjaya dihayati dengan kesabaran dan kesyukuran.

Benar-benar mensyukuri Allah

Menurut Imam Junaid al-Baghdadi, syukur akan lahir apabila kita sedar nikmat yang ada itu bukan milik kita, ia cuma pinjaman dan bersifat sementara. Justeru, mereka yang benar-benar mensyukuri Allah SWT dengan peluang Ramadan akan menyempurnakan baki Ramadan dengan bertakbir dan bertahmid di malam Aidilfitri membesarkan-Nya.

Allah SWT berfirman: “…dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana mendapat petunjuk, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Sentiasa berzikir

Zikir membesarkan Allah SWT bukan saja sebagai mensyukuri nikmat Ramadan, tetapi juga mententeramkan jiwa termasuk bagi yang bersedih sama ada kerana ketiadaan ahli keluarga, kesempitan hidup atau memegang amanah bertugas di hari raya.

Apabila membesarkan Allah SWT, hati akan menjadi tenang dan boleh menilai sesuatu masalah sebagai kecil. Malah, menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah, berpuasa enam hari dalam Syawal dan amalan kunjung mengunjung juga adalah tanda kesyukuran dan penerusan amal kebajikan dalam Ramadan.

Justeru, marilah kita menekuni segala amal kebajikan Ramadan secara berterusan sambil memperbanyakkan lagi bertakbir, bertahmid dan bertahlil pada malam Aidilfitri dengan sesuci hati kepada Yang Maha Ilahi, sekali gus menghidupkan sunnah serta syiar Islam.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W.


Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

(Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari)

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:
 “Pada hari ...ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” - Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

i. Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

ii. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminkum’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

iii. Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya denga...n mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

iv. Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

v. Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

vi. Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.”- Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

vii. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat ...hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

 Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

viii. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” - Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

ix. Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang daripada seluruh pelosok negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

x. Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

...“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

xi. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

xiii. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” - Hadis riwayat Muslim di d...alam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Diedit oleh : Dr. Nasseri bin Taib

ISU SOSIAL : Faktor boleh dikawal terletak dalam diri


SETIAP kali menjelangnya musim perayaan, seolah-olah telah menjadi satu ingatan kepada kita semua supaya memandu dengan cara yang berhemah dan selamat.

Apa tidaknya, jalan raya kita sudah menjadi medan pertumpahan darah setiap kali menjelang musim perayaan, malah anggaran rekod kemalangan maut sebanyak 6,000 kes setiap tahun patut mengingatkan kita semua agar sentiasa memandu dengan bertimbang rasa di jalan raya.

Benarlah, bukan semata-mata pemandu yang harus dipersalahkan sekiranya sesuatu kemalangan itu terjadi. Keadaan jalan, cuaca dan sebab-sebab luaran lain juga mungkin menyebabkan kemalangan berlaku.

Bagaimanapun, harus diingat tatkala ada faktor yang tidak mampu kita kawal, masih banyak lagi faktor yang sebenarnya boleh kita pantau bagi mengelakkan kemalangan terjadi.

Kajian-kajian mendapati bahawa mereka yang terlibat dengan kemalangan jalan raya ini biasanya memandu secara laju khususnya di jalan yang lengang, lebih banyak memotong kenderaan lain dan sangat jarang orang lain memotong mereka.

Semua ini ada kaitannya dengan personaliti individu itu sendiri. Ahli psikologi mendapati terdapat trait personality tertentu yang menyebabkan seseorang itu lebih mudah terdedah dengan kemalangan jalan raya.

Antara yang selalu disebut ialah excitement seeking personality atau sensation seeking personality. Mereka yang ada personaliti itu biasanya sangat teruja untuk mendapatkan sensasi dengan memandu lebih laju, apatah lagi kalau dapat memotong kenderaan lain.

Mereka berasa hebat apabila memintas kenderaan lain, walaupun dalam keadaan pemandu yang dipintas tadi tidak pun bersaing.

Kajian-kajian lain pula mendapati ada individu yang mempunyai sifat pemarah yang cepat. Mereka ini biasanya tidak sabar. Apabila berlaku kesesakan jalan raya, mereka akan mengambil jalan mudah dengan memotong di lorong kiri yang membawa kepada kejadian kemalangan.

Semua itu berpunca daripada faktor-faktor yang ada dalam diri individu itu sendiri. Ia sepatutnya boleh dikawal.

Menjadi kelaziman pemandu kita untuk berbual-bual melalui telefon, malah ada yang mengambil masa yang panjang 'berborak' mengenai pelbagai hal ketika memandu.

Mutakhir ini, muncul pula kehadiran teknologi navigasi yang membolehkan kita melihat peta jalan ke satu-satu destinasi.

Beban visual dan fizikal

Mungkin ramai tidak menyedari, bahawa kedua-dua alat itu sebenarnya adakalanya boleh menyebabkan musibah kepada pemandu.

Dalam kajian terkini di Jepun menunjukkan bahawa memandang ke tempat lain (looking elsewhere) dan berfikir mengenai sesuatu (thinking about something) telah menyumbang kepada 27 peratus kes kemalangan maut di Jepun.

Apabila seseorang pemandu menggunakan sistem navigasi, mereka sebenarnya telah menyebabkan berlakunya beban visual dan fizikal kepada manusia.

Beban visual berlaku kerana kita terpaksa mengalihkan perhatian kepada perkara lain, sedangkan pada masa yang sama kita perlu memberi fokus kepada pemanduan.

Beban fizikal pula berlaku kerana kita perlu menggerakkan mata dan badan bagi melihat perkara lain yang di luar aktiviti pemanduan.

Sebaliknya, apabila bercakap di telefon, minda kita akan berfikir mengenai perkara lain. Ini dikenali sebagai beban mental (mental workload). Jika dengan hanya berbual di telefon sahaja ia telah mengubah kapasiti mental manusia, bayangkan pula sekarang ini ada yang masih sempat untuk menghantar khidmat pesanan ringkas dan berFacebook ketika memandu.

Semua ini merupakan tabiat pemanduan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi pengguna jalan raya yang lain.

Dalam banyak keadaan, semua faktor itu akan menyebabkan proses masa reaksi (reaction time) yang berlaku di minda kita menjadi perlahan, menyebabkan kita tidak mampu bertindak dengan lebih cepat apabila ada kejadian tidak diingini.

Semua itu merupakan aspek psikologikal yang biasa kita hadapi, walaupun tidak kita sedari. Kita perlu mengubah tabiat dan cara kita memandu di jalan raya.

Ingatlah, pemandu yang hebat ialah pemandu yang selamat sampai ke destinasi dengan cara yang paling berhemah. Memandulah dengan selamat!

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BUDAYA WARISAN : Falsafah Di Sebalik Anyaman Ketupat


Melalui nilai kesabaran dan ketekunan, ketupat yang dihasilkan sekali gus jadi karya seni budaya penganyam

Oleh : MUHAMMAD JAILANI ABU TALIB

KETUPAT lazimnya menjadi hidangan wajib bagi segenap orang Melayu di rantau ini setiap kali meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Dipadankan bersama dengan hidangan rendang atau kuah sate, ketupat secara tidak langsung menjadi simbol Aidilfitri.

Hari Raya seolah-olah tidak lengkap dan berseri tanpa kehadiran kepulan nasi yang dibungkus rapi dalam daun kelapa.

Betapa istimewanya ketupat bagi masyarakat Melayu, ia malah dikeramatkan keistimewaannya dalam banyak teks kesusasteraan Melayu. Antaranya termasuklah dalam teks Hikayat Maharaja Marakarma yang mencatatkan bagaimana Betara Karma Jaya yang berasal daripada kayangan mengubah anak lelakinya menjadi ketupat.

Ketupat mempunyai sejarah yang panjang di rantau Melayu dan turut dinikmati di Indonesia, Filipina, Malaysia dan Brunei.

Bahkan, di Filipina sendiri, ketupat turut dikenali sebagai puso, bugnoy, patupat dan tamu.

Secara tradisionalnya, ketupat sering dihasilkan dengan menanak nasi yang ditampung dalam anyaman kelongsong daun kelapa.

Biarpun begitu, tuntutan dan hakikat zaman yang berbeza secara bertahap kian menggantikan ketupat tradisional dengan ketupat yang lebih moden.

Bezanya, sedang ketupat tradisional lebih wangi dek haruman daun kelapa, ketupat moden mengemukakan bungkusan plastik semata dan dikenali sebagai nasi himpit.

Membimbangkan, arus kemodenan secara langsung telah mengancam kewujudan teknik penghasilan hidangan tradisional tersebut.

Tanpa dihiraukan segenap pihak, ilmu menganyam ketupat kian semakin jarang diwariskan kepada generasi muda.

Penghasilan ketupat memerlukan penganyam menggunakan daya kreativitinya bagi menjalinkan dua helai keratan daun kelapa untuk dijadikan kelongsong.

Melalui nilai kesabaran dan ketekunan, ketupat yang dihasilkan sekali gus menjadi karya seni budaya penganyam.

Pastinya, ketupat tidak boleh dianyam dalam keadaan tergesa-gesa tanpa menghiraukan unsur seninya.

Di Jawa, tanah kelahiran ketupat sendiri, pada suatu masa dahulu, ia hanya dihidangkan pada hari ketujuh Syawal.

Ini disebabkan kelaziman masyarakat tersebut berpuasa sunat enam daripada hari kedua Syawal hingga ke hari ketujuh.

Dipercayai, tradisi tersebut disebut sebagai Bakda Cilik dan merupakan antara khazanah budaya yang diterajui Sunan Kalijaga.

Ketupat sebenarnya mempunyai makna yang lebih mendalam daripada hidangan semata.

Di Jawa, ketupat membawa makna simbolik sebagai peringatan bagi manusia Jawa agar sentiasa menjaga nafsu dan hati nurani.

Hal ini terpateri dalam daun kelapa yang disebut sebagai janur dalam bahasa Jawa.

Dari sudut ilmu pembentukan kata, janur sebenarnya merupakan singkatan bagi 'jatining nur' yang bererti hati nurani.

Sedangkan janur (jatining nur) merujuk pada hati nurani, beras secara simboliknya dalam budaya Jawa merujuk pada nafsu duniawi. Jelaslah, bagi manusia Jawa, ketupat mengandungi nilai pesan bagi memperingati manusia agar sentiasa membendung kehendak diri dengan hati yang bersih.

Ini sekali gus selari dengan kepercayaan masyarakat Jawa akan konsep hati nurani sebagai alat pengendali nafsu manusia.

Menariknya, di rantau Sunda pula, ketupat dikenali sebagai kupat yang turut membawa makna sebagai peneguran bagi meluruskan akhlak manusia.

Dalam bahasa Sunda, kupat merupakan teguran untuk mengelakkan daripada perbuatan mengumpat, demi menjaga kesejahteraan dunia.

Kupat turut membawa makna moralistik dalam bahasa Jawa agar seseorang segera mengakui kesalahannya apabila berbuat salah.

Secara langsung, hal ini turut menjelaskan falsafah Jawa akan Aidilfitri sebagai peluang untuk lebaran, luberan, leburan dan laburan.

Sedangkan lebaran lebih lazim didengar telinga Melayu dan mudah difahami, luberan, leburan dan laburan mencerahkan permaknaan yang lebih mendalam bagi masyarakat Nusantara.

Dalam hal ini, luberan bererti bersedekah sementara leburan merujuk pada keperluan untuk menyedari taraf diri sendiri dan meminta maaf kepada insan yang lebih tinggi darjat sosialnya.

Apatah lagi, Aidilfitri dipercayai sebagai saat "mugi segeda lebur ing dinten menika" ataupun segala kesalahan yang lalu pasti dimaafkan pada Hari Raya.

Mencapai kemuncak Aidilfitri merupakan proses laburan ataupun penyucian semula diri manusia apabila makna ideal Aidilfitri bagi masyarakat Nusantara terlaksana.

Masyarakat Nusantara yang lebih luas wajar mengenali segala isi falsafah yang mendasari makanan kegemaran mereka.


ISU SOSIAL : Kecuaian manusia mengundang tragedi



Oleh : Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir

SETIAP kali menjelang perayaan kita dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan banyak nyawa, harta benda dan trauma sanak saudara. Tetapi semuanya itu tidak memberikan kesan dalam mengubah sikap kita untuk mengelakkan tragedi tersebut berulang.

Bahkan setiap tahun perangkaan kemalangan maut sehingga menjadikan 'pusara di lebuh raya' dan 'jalan sungai darah' tidak pernah berkurangan secara drastik. Ia seolah-olah menggambarkan masyarakat Malaysia hanya insaf seketika apabila dalam kesedihan tetapi kemudian ia dilupakan begitu saja sehingga kesalahan sama diulangi oleh orang lain.

Melihat kepada perangkaan kemalangan maut sejak 2003 hingga 2011 sejumlah 58,352 kematian iaitu 2011 - 6,877 kematian, 2009 (6.872), 2008 (6,257), 2007 (6,282), 2006 (6,287), 2005 (6,188), 2004 (6,228) dan 2003 (6,286). Secara puratanya, 19 kematian akibat kemalangan maut berlaku setiap hari.

Lebih mendukacitakan lebih separuh mereka yang mati ialah dalam kategori umur 18 hingga 40 tahun, yang mana dari sudut ekonomi merupakan kumpulan yang produktif menyumbang pendapatan keluarga dan negara.

Berasaskan kajian, punca utama kemalangan adalah sikap pemandu dan pengguna jalan raya yang tidak sayangkan 'nyawa' kerana mahu menguji kecanggihan teknologi kenderaan yang semakin maju. Keadaan ini didorong oleh pelbagai gimik pemasaran produk kononnya peralatan canggih itu mampu memberikan keselamatan maksimum menerusi pelbagai ujian saintifik walaupun realitinya ia tidak memberikan jaminan bahawa kehilangan nyawa tidak berlaku.

Penghasilan kenderaan moden dengan kerangka yang lebih ringan dan semakin melimpah ciri-ciri aerodinamik dan kapasiti enjin yang lebih tinggi menyebabkan pemandu semacam terasa dirinya terhina bila memandu perlahan. Para pengeluar kenderaan pula menggunakan 'kegilaan manusia terhadap kelajuan' sebagai sebahagian daripada mesej periklanan mereka kerana boleh memecut laju dan boleh membelok dengan cepat walaupun dalam keadaan permukaan jalan yang berbukit-bukau menjadikan ia dorongan utama kenapa 'kelajuan itu membunuh'.

Saban tahun kerajaan membelanjakan wang besar untuk mendidik pemandu agar lebih berhati-hati ketika memandu, memandu dengan selamat dan tanpa dipengaruhi alkohol, membuat pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan balik kampung dan mengerahkan penguatkuasaan di jalan raya agar tidak dijadikan 'medan perang', tetapi ia masih tidak mampu mengurangkan kemalangan maut.

Dalam hubungan kelalaian manusia yang dikatakan punca kemalangan jalan raya memang ia dianggap sebagai satu takdir. Namun takdir berlakunya kemalangan jalan raya itu disebabkan oleh kecuaian dan sikap buruk kita. Sikap seperti ini pada pandangan agama sebagai 'tahlukah' (menuju kebinasaan). Sikap tidak mempedulikan keselamatan diri dan orang lain kerana akhirnya ia membawa kepada kebinasaan.

Mengenai sikap sedemikian, Allah SWT berfirman: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan" (Surah al-Baqarah ayat 195).

Memang benar takdir ditentukan Allah, tetapi kita tidak harus memahami takdir dalam pengertian segala sesuatu telah ditetapkan perincian kejadiannya oleh Allah, sehingga manusia tidak dapat mengelaknya. Takdir adalah ketentuan terhadap sesuatu berdasarkan sistem yang ditetapkan-Nya. Siapa bersandar di tembok yang rapuh akan ditimpa runtuhannya, dan siapa yang menjauhi tembok itu akan terselamat.

Salah satu usaha tersebut adalah doa. Justeru kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat. Siapa tahu salah satu syarat itu adalah doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa.

Memandu laju tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka kematian itu adalah sia-sia. Di sini kita perlu memahami konsep takdir yang sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat yang menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa sekutu dengan yang lain-lain.

Memang pada hakikatnya semua yang berlaku ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugasnya menentukan sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya. Manakala kehendak-Nya pula bertindak memilih selaras dengan kemahuan hamba-Nya. Justeru, balasan baik atau buruk hanya bergantung kepada pilihan hamba sendiri .

Manusia adalah kejadian-Nya yang terpilih, dijadikan lengkap dengan segala keperluannya sebagai tempat yang boleh melaksanakan arahan dan menerima perintah-Nya.

Kita juga tahu bahawa iradat (kehendak ketuhanan) itu akan berlaku menurut sunah- Nya yang diletakkan di dalam kejadian makhluk-Nya. Justeru, bila Allah hendak menjadikan manusia, Dia tidak mengatakan jadilah kamu lalu kamu terus wujud lengkap dengan segala-galanya. Tetapi manusia akan dijadikan menurut proses peraturan-Nya iaitu bermula dari mani kemudian bayi kepada remaja, dewasa dan seterusnya. Kita tidak boleh mengatakan segala apa yang berlaku itu tanpa ada sebab dan pendahuluannya. Dalam hal ini Umar r.a pernah mengatakan kita lari dari qadar-Nya (yang buruk) kepada qadar-Nya (yang baik dan selamat). (Hadis riwayat Bukhari).

Demikianlah makna qadar bukan bererti Allah mencabut kemahuan dan pilihan daripada seseorang, sebab dia sendiri boleh berusaha mengubah sikap sombong, mementingkan diri serta cuai ketika memandu. Kita selalu diperdengarkan firman-Nya yang bermaksud "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa (nasib) yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa (sikap) yang ada pada diri mereka". (Surah ar- Radu ayat 11).

Apabila berada di jalan raya terutama di hari-hari perayaan ini kita diingatkan supaya memastikan segalanya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Agama menuntut kita agar jangan terlalu gembira sehingga hilang tumpuan untuk sampai ke destinasi. Sekiranya kita berasa letih dan mengantuk hendaklah berhenti rehat dan buatlah sedikit senaman ringan.

Sebagai umat Islam, sebelum memulakan perjalanan kita digalakkan berdoa. Doa yang diajarkan kepada kita antara lain ialah 'subhana llazi sakhara lana haza wama kunna lahu muqrinin wainna ila rabbina lamunqalibun'.

Menurut kata setengah ulama sesiapa yang membaca doa ini ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Insya-Allah.

Biarlah musim perayaan pada tahun ini kita kuatkan azam tidak akan terjebak dengan sebarang bentuk kemalangan sama ada kemalangan maut di jalan raya ataupun kebakaran kerana ia membuktikan bahawa kesalahan besar adalah kerana sikap kita sendiri.

Kita terlalu mengambil mudah dan tidak berusaha mengawal emosi sehingga kita lupa bahawa kemalangan itu menyebabkan kita trauma. Kita harus memahami bahawa punca sebenar sesuatu kemalangan adalah disebabkan kecuaian kita sendiri manakala faktor-faktor di luar kawalan kita jauh lebih kecil yang menjadi penyebabnya.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/