Selasa, 3 Julai 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Kerajaan Sasar 90 Peratus Perkhidmatan Dilaksana Secara Online Pada 2015



PUTRAJAYA : Kerajaan mensasarkan 90 peratus daripada perkhidmatannya dilaksanakan secara online menjelang tahun 2015, menurut Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, sasaran itu penting bagi memastikan agensi-agensi kerajaan beralih menjadi kerajaan pintar bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Untuk mencapai sasaran itu, Ali berkata satu kajian kes untuk berkongsi projek Pusat Sehenti (OSC) yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi pihak berkuasa tempatan di seluruh Malaysia baru-baru ini, telah meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan.

"Sehingga Mac 2012, sebanyak 1,957 permohonan projek pembangunan diterima menerusi sistem itu," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Digital Kebangsaan 2012 di sini Selasa.

Beliau percaya menerusi inisiatif itu, pelbagai proses yang terlibat dalam permohonan itu boleh dilakukan serentak manakala masa pemprosesan dikurangkan kepada kira-kira empat hingga enam bulan berbanding satu hingga dua tahun sebelum ini.

"Kelulusan bagi pelan bangunan dan kebenaran perancangan meningkat daripada 72 peratus kepada 90 peratus manakala prestasi OSC di negeri-negeri juga telah menunjukkan peningkatan ketara.

"Baru-baru ini, purata permohonan menerusi OSC juga meningkat daripada 84.7 peratus kepada 92.5 peratus.

"Sehingga kini, 35 peratus daripada perkhidmatan kerajaan dilaksana secara online menerusi portal myGovernment sejak teknologi itu digunakan dalam semua aspek penyampaian dan operasi dalaman kerajaan," katanya.

Beliau berkata ini termasuk perkhidmatan yang membolehkan pesara dan warga emas akses kepada pelbagai faedah mereka secara online, bayaran cukai pintu, pembaharuan lesen, permit dan pembayaran saman menerusi satu portal sahaja.

Katanya Kaji Selidik e-Kerajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2012, yang menilai ciri-ciri teknikal laman-laman web negara serta dasar-dasar e-kerajaan dan strategi yang diguna pakai oleh sektor spesifik telah meletakkan Malaysia di ranking ke-40 di kalangan 193 negara anggotanya.

"Oleh yang demikian, kita perlu bergerak lebih pantas dan patut menjadi peneraju malahan lebih strategik dan menggunakan teknologi-teknologi moden seperti 'cloud computing', tablet dan media sosial dalam menambah baik perkhidmatan kita.

"Kita juga perlu memanfaat janji teknologi untuk terus meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan dan melancarkan momentum transformasi digital untuk menjadi peneraju global dalam pembangunan e-kerajaan," katanya.

Ali juga menggesa sektor awam dan swasta untuk saling bekerjasama untuk meningkatkan lagi kesiapsiagaan teknologi negara seperti meningkatkan penembusan kadar internet dan kapasiti jalur lebar.

Persidangan dua hari itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel. - BERNAMA