Isnin, 28 Februari 2011

ISU EKONOMI : Harga minyak jejas ekonomi

Oleh Shahrizan Salian

Pertumbuhan susut 0.5 peratus bagi setiap kenaikan AS$10 setong

KENAIKAN harga minyak mentah global susulan ketegangan politik di rantau Asia Barat boleh memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara global termasuk Malaysia, kata penganalisis.

Peningkatan secara berterusan harga komoditi itu berpotensi menaikkan kadar inflasi, justeru menjejaskan permintaan domestik, iaitu antara faktor yang akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi.
Harga minyak mentah yang kini sedang menuju ke zon bahaya AS$100 setong mencetuskan kebimbangan baru bahawa bil import minyak akan menjadi ancaman kepada pemulihan ekonomi global.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata perangkaan menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi global akan menyusut sebanyak 0.5 peratus bagi setiap kenaikan AS$10 dalam harga minyak.

Katanya, peningkatan harga minyak melebihi paras AS$100 setong boleh menyebabkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia berkurang sebanyak 0.4 peratus tahun ini.

“Kesannya terhadap pertumbuhan Malaysia adalah peningkatan 0.4 peratus pada pusingan pertama dan kemerosotan sebanyak 0.8 peratus pada pusingan kedua yang menjadikan kesan keseluruhannya penurunan 0.4 peratus kepada ekonomi,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan harga minyak sebanyak AS$10 setong pula akan meningkatkan kadar inflasi sebanyak satu peratus.

“Unjuran inflasi untuk tahun ini ialah 2.5 peratus berasaskan harga minyak AS$95 setong dan boleh mencapai 3.5 peratus jika purata harga minyak mencecah AS$105 setong,” katanya.

MIDF Research berkata, walaupun Malaysia adalah antara negara pengeksport minyak akan meraih manfaat daripada kenaikan harga komoditi itu, namun kesannya negatif daripada kenaikan harga minyak global akan mengatasi faedah yang diperoleh negara.

“Harga minyak yang lebih tinggi akan menyebabkan pemindahan pendapatan daripada negara pengimport minyak ke negara pengeksport minyak sekali gus meningkatkan pendapatan bersih negara.

“Pada pusingan pertama, kesan daripada kenaikan itu akan menyebabkan peningkatan KDNK sebanyak 0.4 peratus manakala kesan pusingan kedua akan mengurangkan pertumbuhan sebanyak 0.8 peratus disebabkan permintaan luar serta domestik yang lemah, justeru menjadikan kesan negatif keseluruhan adalah 0.4 peratus.

Harga minyak mentah melonjak pada dagangan semalam dengan kontrak hadapan New York sekali lagi semakin hampir ke paras AS$100 setong selepas ketegangan di rantau Asia Barat yang kaya dengan minyak semakin meluas.

Semalam, harga minyak Brent North Sea bagi penghantaran April meningkat AS$1.84 kepada AS$113.98 setong manakala kontrak utama New York untuk mi-
nyak ‘light sweet’ bagi penghantaran April melonjak AS$1.62 kepada AS$99.50 setong pada dagangan tengah hari.

Pengeluar minyak utama dunia, Iran menggesa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), terutama Arab Saudi untuk tidak melaksanakan sebarang tindakan bersendirian meningkatkan pengeluaran minyak.

Iran berkata, pengeluaran semasa adalah mencukupi untuk memenuhi sebarang kekurangan daripada ketegangan yang berlaku di Libya.

Arab Saudi, pengeluar minyak terbesar OPEC, mengeluarkan kira-kira 8.4 juta tong minyak sehari manakala Iran adalah pengeksport kedua terbesar pertubuhan itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Jadual kerja anjal guru elak beban tugas lebih

Oleh Shuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan waktu persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tidak menanggung beban kerja berlebihan.

Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata jadual persekolahan selama lapan jam itu dapat memenuhi waktu harian pelajar secara berkualiti, selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.

Melalui pelaksanaan itu, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, pentadbiran sekolah boleh menyusun pelbagai aktiviti berfaedah untuk mengisi jadual waktu petang setiap hari tanpa membebankan pelajar dengan pembelajaran akademik semata-mata.

"Antaranya, pelajar boleh menjalani aktiviti sukan dan kokurikulum, menyiapkan kerja rumah di bawah bimbingan dan pemantauan guru, mengikuti kelas tambahan bagi melonjakkan prestasi pencapaian mereka atau memasuki kelas pemulihan untuk mereka yang memerlukan bantuan.

“Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kemahiran menarik pada sebelah petang seperti kelas seni untuk pelajar dalam aliran sains bagi menggalakkan lagi daya kreativiti.

“Dari segi jadual kerja anjal untuk guru, disarankan sebahagian daripada mereka bertugas mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bakinya dari jam 11 pagi hingga 4 petang ,” katanya selepas menghadiri Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, 70 peratus sekolah di negara ini sudah menjalankan sekolah satu sesi tetapi waktu persekolahan hanya dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari menyebabkan ada pelajar mengambil kesempatan ruang masa selepas itu terjebak dengan gejala sosial kerana ibu bapa bekerja.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya guru permulaan diberi tempoh percubaan selama enam bulan di sekolah bagi memastikan kesesuaian sebenar mereka untuk menjadi pendidik dan jika tidak, wajar dicadangkan mereka mencari kerja lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Khasiat makan bersama

ANTARA budaya masyarakat kita yang perlu diteruskan ialah makan bersama kerana ia bukan sekadar boleh merapatkan hubungan kekeluargaan, malah ada kajian menunjukkan amalan ini mempunyai banyak manfaat, terutama daripada segi kesihatan.

Dalam kajian terbaru di Amerika Syarikat ke atas 200 keluarga yang mempunyai anak berumur lima hingga 12 tahun menghidap asma mendapati, interaksi antara ibu bapa dan anak ketika makan boleh meningkatkan tahap kesihatan mereka.Walaupun tempoh makan bersama itu pendek (18 minit), interaksi antara ahli keluarga memberi kesan langsung kepada kesihatan, termasuk paru-paru anak, gejala asma dan kualiti hidup secara keseluruhan.

Ini kerana ibu bapa boleh mengambil peluang ketika makan untuk mengambil tahu aktiviti harian anak dan memberi ruang anak bercerita mengenai pengalaman dilalui pada hari berkenaan tanpa gangguan.Sebaliknya, kanak-kanak asma yang jarang makan bersama keluarga atau makan dalam keadaan tidak tenteram (ada gangguan telefon atau televisyen) menunjukkan tahap kesihatan kurang baik berbanding mereka yang menghabiskan waktu makan bersama ibu bapa.

Selain itu, banyak kajian lain menunjukkan makan bersama boleh merangsang komunikasi dan hubungan antara ahli keluarga. Walaupun kebanyakan orang menganggap bercakap ketika makan kurang sopan, ini antara masa anak berasa selamat, selesa, mesra dan sangat rapat dengan ibu bapa.Malah, ketika makan bersama juga ibu bapa boleh menunjukkan teladan baik kepada anak, khususnya mengenai tabiat pemakanan, adab di meja makan dan kemahiran berkomunikasi. Pastikan waktu makan adalah waktu tenang dan penuh ceria. Elak mengkritik anak dengan cara negatif kerana anak akan meniru perlakuan ditunjukkan ibu bapa.

Kebanyakan kanak-kanak memang cerewet dalam soal makan, terutama membabitkan pengambilan sayur-sayuran. Apabila makan bersama, anda boleh menerangkan kebaikan sayur-sayuran dan sedikit sebanyak mereka akan terdorong untuk mencuba jika ibu bapa mengamalkan pemakanan seimbang.Makanan disediakan di rumah biasanya lebih sihat dan berkhasiat kerana anda boleh mengawal penggunaan lemak, garam dan gula.Pada masa sama, jika anak anda ada gejala alahan, makan bersama adalah cara terbaik untuk mengetahui jenis makanan yang dia alah supaya ia boleh dielakkan pada masa depan. Selain itu anda boleh berkongsi ilmu pemakanan dan masalah alahan dengan anak lain.Ketika ini juga ibu bapa boleh mengawal pemakanan anak, terutama bagi yang mengalami masalah berat badan berlebihan. Individu yang makan sendirian di depan televisyen akan terdorong untuk makan melebihi keperluan harian yang boleh menyebabkan mereka menjadi gemuk.

Kajian juga menunjukkan makan bersama dapat mengelak anak, khususnya remaja, daripada terjebak dengan perlakuan merosakkan seperti merokok, minum minuman keras atau menagih dadah.Kekerapan makan bersama membolehkan ibu bapa mengesan sebarang perlakuan atau tanda ganjil yang ditunjukkan anak.Anak yang terbabit dalam masalah sosial begini biasanya dahagakan kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Berbual dan berbincang ketika makan adalah cara tidak langsung yang boleh membuatkan anak berasa dihargai dan disayangi.Minda anak akan berasa tenang apabila mengetahui ibu bapa menyayangi dan memberi perhatian kepada mereka. Ini membolehkan mereka memberi lebih tumpuan kepada pelajaran dan mencuba bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan baik.

Remaja yang makan bersama ibu bapa sekurang-kurangnya empat kali seminggu didapati menunjukkan pencapaian akademik lebih baik berbanding yang hanya makan bersama ibu bapa satu atau dua kali seminggu.Malah, penyelidik mendapati remaja yang makan bersama ibu bapa mempunyai kecenderungan untuk mengambil sayur-sayuran, buah-buahan dan kurang minum minuman ringan apabila dewasa.Ini satu perkara yang sangat memberangsangkan dan diharap tabiat baik ini dapat dicontohi anak mereka pula.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU ICT : Faktor kebanjiran bahan lucah di internet

Pornografi bukanlah sesuatu yang baru kini, kanak-kanak belasan tahun pun sudah tahu apa itu seks menerusi pelbagai cabang maklumat, sama ada melalui teknologi dari mesin cetak (foto dan gambar hidup) sehinggalah ke video, televisyen satelit dan internet.

Dahulu, bahan lucah ini hanya disebarkan melalui pita video kemudian bertukar kepada cakera padat (VCD), yang mendorong berlakunya penyebaran cerita pornografi ini tersebar begitu cepat.

Kemunculan internet, bahan pornografi pun semakin mudah diperoleh. Kesan daripada perkembangan teknologi maklumat (IT) masa kini, kebanjiran laman web lucah semakin cepat apabila video lucah boleh diakses menggunakan komputer dan telefon mudah alih.

Kesan daripada penyebaran laman web tidak terkawal ini telah mendorong kepada kes-kes jenayah seks yang semakin menjadi-jadi bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, tetapi remaja yang tanpa segan silu membuka laman-laman ini dengan tiada perasaan bersalah sedetik pun, bahkan ada yang saling bertukar-tukar video menerusi Bluetooth sesama sendiri.

Bahan lucah kini bukan sahaja tertumpu pada laman web yang memaparkan video-video terlarang dan 'panas', foto-foto yang mengghairahkan, tetapi juga blog-blog yang menyajikan cara baru menikmati kepuasan menerusi cerita-cerita yang mendorong ke arah seks.

Blog seperti ini antara yang mudah dilayari tanpa sebarang sekatan. Malah, sudah terlalu banyak blog yang sama menjadi pilihan pembaca. Penulisannya pula mengalahkan penulis novel, mampu menulis dengan baik sehingga si pembaca mampu terangsang ketika membacanya.

Kini, bahan lucah bukan sahaja tertumpu pada video dan gambar semata-mata, tetapi juga sebagai medium penting untuk menarik si pembaca menjadi 'pelanggan tetap' laman dan blognya.

Mudah akses kepada laman-laman ini adalah antara faktor perkembangan pornografi dalam kalangan remaja, sungguh mudah hanya dengan menaip kata kunci laman yang diingini dalam enjin carian ratusan laman akan terus terpampang, tanpa perlu kata laluan untuk diakses, sebaliknya pembaca hanya perlu memilih mengikut minat masing-masing.

Keseronokan menonton bahan lucah mendorong individu menjadi gila seks selain perlakuan ini bakal mengundang gejala seks bebas dan seterusnya mendorong kepada perbuatan keji seperti membuang bayi tidak berdosa.

Ada yang mencadangkan agar laman-laman ini disekat untuk mengawal penyebaran bahan-bahan lucah secara berleluasa.

Namun, agak sukar kerana laman-laman ini semakin hari semakin banyak sehingga agak sukar untuk dibendung.

Masa kini, tidak susah untuk kita memperoleh satu produk bagi membantu menjaga aktiviti melayari internet anak-anak dalam pasaran. Hanya dengan membeli perisian antivirus pun sudah mampu membantu kita menjadi 'mata kedua' anak-anak.

Oleh itu, salah satu caranya, ibu bapa hanya perlu memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak dalam perbuatan maksiat. Ia sebagai alternatif sendiri di rumah yang mampu menyekat anak-anak daripada menembusi laman lucah.

Perisian curi video si pemilik

"Laman-laman lucah agak sukar untuk dikawal, setiap hari sekurang-kurangnya ada satu laman atau blog lucah yang dicipta, lagipun untuk menyekat laman-laman ini perlu dibuat satu-satu setiap laman yang ada.

"Lagipun, laman lucah bukannya sedikit, ada ratusan ribu laman web dan blog yang sedia ada dari seluruh dunia," kata Pengarah Urusan Meissa Group Sdn Bhd, Rehan Ahmad Jamaluddin, ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Menurutnya, untuk menyekatnya pula, bukan senang, perlu tahu semua laman web lucah dan blog yang ada, tidak boleh dibuat sewenang-wenang, bimbang akan mengganggu enjin carian lain.

Bagaimanapun, terdapat beberapa antivirus yang mampu menyekat laman web lucah untuk diakses oleh anak-anak di rumah hanya dengan membuat setting dan kata laluan, antaranya seperti Antivirus Eset.

Rehan berkata, rata-rata laman web dan blog ini diwujudkan dengan misi utama untuk mendapat keuntungan bukan saja menerusi bayaran ahli secara bulanan, tetapi menerusi iklan-iklan yang masuk apabila mempunyai sejumlah besar pengunjung laman web mereka.

Aktiviti rakaman video lucah dalam kalangan remaja juga kini semakin berleluasa, ditambah kecanggihan kamera dengan resolusi tinggi HD pada telefon pintar, merancakkan lagi aktiviti merakam dan memuat turun video lucah.

Menurutnya, video lucah yang diperoleh tanpa pengetahuan pemilik ada yang diambil dengan cara tidak sah, iaitu menggunakan perisian tertentu untuk mencari semula fail-fail hilang, lama atau yang telah diformat, tidak kiralah sama ada di telefon bimbit mahupun komputer yang telah rosak atau dijual semula oleh pemiliknya.

Sebanyak 85 peratus daripada pemacu cakera masih boleh didapati semula hanya dengan menggunakan perisian antaranya get data back, activate file recovery, on track easy recovery proffesional dan PC I File recovery, jika data tersebut tidak diformat sepenuhnya. Namun, jika dirakam menggunakan telefon bimbit agak sukar untuk dipadamkan.

Youtube adalah antara laman sesawang yang menjaga polisi laman daripada dicemari dengan video-video lucah keterlaluan. Jika adapun yang dimuat turun pasti akan dipadam serta-merta apabila dikesan pihak pengurusan Youtube.

Sumber : http: //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Memilih Buku Sebagai Hadiah Sempurna

KUALA LUMPUR: Seseorang yang penting dalam hidup bakal menyambut ulang tahun kelahiran, tetapi anda masih teragak-agak untuk mendapatkan hadiah hari jadi paling sesuai untuknya.

Jadi bagaimana anda membuat keputusan?

Biasanya kita mahu memberi hadiah istimewa yang akan benar-benar dihargai penerima. Penunjuk yang baik ialah hobi atau minat penerima.

Sukar untuk mencarinya dalam bentuk barang, jalan terbaik ialah buku mengenai subjek hobi seseorang itu.

Buku-buku hobi berilustrasi seperti memasak, memancing, pelbagai jenis sukan, pelancongan, haiwan peliharaan, jahitan dan kraftangan mudah dicari dan dijadikan koleksi bahkan boleh diturunkan ke generasi akan datang sebagai harta ilmu.

Katakanlah penerima gemar menanam bunga, nashkah tentang penjagaan orkid mungkin merupakan hadiah yang dicari-cari.

Jika anda tidak pasti akan cita rasa bahan bacaan penerima, tajuk-tajuk buku popular di seluruh dunia boleh dijadikan pilihan.

Misalnya ‘Rich Dad Poor Dad’ mengenai pengurusan wang yang bijak, atau ‘Who Moved My Cheese’ yang membantu pembaca berdepan dengan perubahan drastik atau buku misteri konspirasi ‘The Da Vinci Code’ yang mampu membuatkan pembaca mempertikai sejarah meskipun ia hanya novel fiksyen.

HADIAH YANG PRAKTIKAL

Buku juga hadiah paling sempurna dan relevan untuk sebarang situasi. Misalnya untuk seseorang yang terbatas pergerakannya seperti hanya di atas katil atau berkerusi roda di ruang litup kawasan yang terhad, buku menemani di kala kesepian, membuka minda di kala tiada teman berbicara dan boleh membantu mengatasi masalah sukar untuk tidur.

Komik atau buku cerita berilustrasi boleh menjadi rahmat buat ibu bapa kepada kanak-kanak yang sakit, misalnya, dan terpaksa melalui pengalaman rawatan hospital yang kurang menyenangkan.

Ia bukan sahaja menghiburkan jika dibaca bersama-sama malah boleh mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan anak.

Lebih baik lagi imaginasi yang dijana semasa membaca boleh mengalih perhatian kanak-kanak daripada kesakitan yang ditanggung sekaligus menjadikannya kurang meragam.

Berbanding dengan barang mainan yang akan dibuang selepas rosak, buku juga boleh disimpan hingga menginjak usia dewasa sekaligus menjadi memento kenangan abadi apabila pemberi meninggal dunia.

MENGHADIAHKAN SEMULA BUKU

Kelebihan lain buku sebagai hadiah yang mungkin agak kurang menyenangkan seseorang ialah menghadiahkannya semula.

Katakanlah anda menerima sebuah buku yang terlalu teknikal atau sangat membosankan, ia boleh dihadiahkan semula ke mana-mana perpustakaan yang sesuai dengan genrenya.

Di situ, ia boleh dipinjam berkali-kali dan ilmunya dapat digunakan oleh orang lain menjadikan anda secara tidak langsung, berjasa kepada masyarakat setempat.

MEMBACA LAPAN BUKU SETAHUN

Berbicara tentang buku dan perpustakaan, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Ruslin Abu Bakar ditanya BERNAMA mengenai penerimaan masyarakat Malaysia terhadap buku.

Kajian terkini menunjukkan rakyat Malaysia yang berusia di antara 10 hingga 40 tahun membaca sebanyak lapan hingga 12 buah buku setahun.

Dalam kajian yang sama iaitu kajian olahan semula profil membaca Malaysia 2010, turut mendapati mereka yang lebih berusia membaca secara purata enam buah buku, katanya.

Secara amnya, angka ini menunjukkan peningkatan yang baik berbanding putara hanya dua buah buku seorang yang dicatatkan dalam kajian 2005.

RUTIN SATU JAM SETIAP HARI

Ruslin berpendapat jumlah buku yang patut dibaca oleh seseorang itu sebenarnya terpulang kepada individu itu sendiri.

Namun beliau menyarankan agar setiap orang meluangkan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk membaca.

"Sekiranya anda membaca satu jam sehari, secara purata, anda boleh menghabiskan satu buku setiap minggu.

"Jika amalan ini berterusan, anda akan dapat menghabiskan empat buku sebulan atau 48 buah buku dalam masa setahun, satu jumlah yang agak mengkagumkan," katanya.

Tidak dinafikan angka itu mencerminkan tabiat membaca yang cemerlang sekaligus membentuk minda masyarakat yang bijak dan terbuka.

"Bentuk bahan bacaan terpulang kepada diri kita sendiri tetapi sebaiknya pilih atau baca buku ilmiah yang berkaitan dengan bidang anda dan juga bahan-bahan yang boleh membangunkan nilai diri anda sendiri.

"Lagipun, nilai diri seseorang itu lebih dicerminkan melalui kualiti bahan bacaan bukan hanya menerusi jumlah buku yang dibaca," katanya.

STATUS NEGARA MAJU

Ruslin turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk berusaha menghasilkan karya sendiri bagi meningkatkan jumlah buku terbitan negara.

”Pada masa ini, industri penerbitan negara hanya mampu menerbitkan sekitar 15,000 judul bahan bacaan setahun yang dikira masih jauh di bawah paras standard negara maju,” tegasnya.

Unesco menetapkan bahawa penerbitan buku sesebuah negara yang paling wajar adalah satu peratus daripada jumlah populasi penduduk. Syarat ini antara elemen yang dinilai untuk penstatusan negara maju.

”Ini bermakna, memandangkan jumlah populasi terkini negara ialah 28 juta orang, negara perlu aktif menghasilkan 28,000 judul dalam setahun,” jelasnya yang turut berharap agar angka itu dapat dicapai sebelum tahun 2020.

DORONGAN KEPADA BAKAL PENULIS

Bagi mencapai tujuan itu, PNM merancang untuk mengadakan Festival Penulis 1Malaysia tidak lama lagi yang bertujuan mengasah potensi penulisan buku rakyat Malaysia.

Ruslin berkata selain program seperti bengkel e-book, festival itu nanti akan turut memberi tumpuan khas kepada golongan remaja yang berhasrat menjadi penulis.

Selain itu, kata Ruslin, sebagai usaha merancakkan lagi industri penerbitan buku, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan bahan penulisan dibeli secara terus daripada penulis, sekali gus memudahkan penulis menerbitkan karya mereka. Sumber daripada Majlis Industri Buku Malaysia menunjukkan nilai penjualan buku di Malaysia pada tahun 2009 ialah RM2.1 bilion yang boleh dianggap satu pencapaian yang memberansangkan.

Kita juga boleh menyumbang kepada penerbitan buku dan penjualan yang lebih tinggi dengan membeli dan menghadiahkan buku kepada seseorang.

Jadi cuba-cubalah fikirkan hari lahir siapa paling hampir selepas ini?

Sumber : http : //www.bernama.com.my/