Oleh : MOHD. ALI MUHAMAD DON
RAMADAN kini telah pun memasuki
fasa yang terakhir. Di sana-sini kelihatan ramai yang sibuk membuat persiapan
menjelang Hari Lebaran terutama sebelum pulang ke kampung halaman sempena cuti
panjang Hari Raya Aidilfitri. Aliran trafik di sekitar pusat beli-belah dan
bazar hari raya juga sesak teruk lebih-lebih lagi pada hujung minggu dengan
bilangan pengunjung yang luar biasa. Suasana Aidilfitri semakin dihangatkan
lagi dengan nyanyian lagu raya yang berkumandang siang malam di corong-corong
radio.
Namun begitu masyarakat Islam
diseru tidak terlalu ghairah menanti ketibaan hari raya kerana masih ada
ganjaran besar dan tidak ternilai disediakan buat Muslimin di penghujung
Ramadan. Malah inilah masanya untuk semua berjuang habis-habisan bagi
memperoleh ganjaran beribadah yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan hanya
terdapat pada malam kemuliaan Lailatulqadar. Peluang yang datang setahun sekali
ini perlu direbut dengan bersungguh-sungguh kerana kalaupun seseorang
ditakdirkan hidup sehingga usia menjangkau 83 tahun, belum tentu sepanjang
tempoh tersebut berjaya dipenuhi semuanya dengan beribadah.
Justeru, Baginda Nabi Muhammad
SAW diriwayatkan banyak berjaga malam dan mengikat kainnya pada 10 malam yang
akhir Ramadan bagi menjejaki Lailatulqadar. Baginda turut mengejutkan ahli
keluarganya supaya bersama-sama beribadah pada malam tersebut. Aisyah ra.
berkata; Rasulullah SAW apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, baginda
menghidupkan malam, mengejutkan keluarganya, bersungguh-sungguh dan uzlah
daripada isteri-isterinya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sungguhpun begitu ia tidak
semudah yang disangka malah hanya segelintir yang ikhlas, benar akidahnya dan
berada pada landasan syariat yang benar berpeluang menemui Lailatulqadar. Lebih
daripada itu Lailatulqadar kekal menjadi rahsia mutlak Allah SWT supaya umat
Islam berusaha mengabdikan diri kepadanya sepanjang masa.
Malah pengorbanan kurang tidur,
banyak beriktikaf di masjid, qiamullail dan melakukan amal-amal kebajikan lain
pasti akan dibalas dengan kurniaan yang setimpal.
Selain itu, pada malam Lailatulqadar
Allah SWT akan mengampunkan dosa sesiapa yang bertaubat dan memohon
keampunannya. Allah SWT juga berkenan menerima segala doa yang dihadapkan
kepadanya. Para malaikat Allah SWT yang diketuai oleh Malaikat Jibril AS juga
turun ke bumi mencurahkan rahmat Allah SWT sambil mendoakan kesejahteraan dan
keampunan buat pencari Lailatulqadar. Kesemua daripada nikmat yang begitu hebat
ini pasti tidak akan datang bergolek begitu sahaja. Ia perlu disertai dengan
usaha bersungguh-sungguh sambil memohon supaya terpilih menikmatinya.
Nabi Muhammad SAW bersabda
maksudnya: Barang siapa menghidupkan malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan
dan mengharapkan rahmat Allah Taala nescaya akan diampunkan dosanya yang
terdahulu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada malam itu juga terdapat
tanda kebesaran Allah Taala seperti terbuka hijab pandangan mata lalu seseorang
berpeluang melihat keajaiban langit. Ia sekali gus menunjukkan kekuasaan dan
keagungan-Nya sebagai Tuhan Pencipta sekalian alam. Pada malam itu juga para
malaikat turun memenuhi bumi ini. Dan Malaikat turun bersama-sama turunnya
berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam itu. Menurut al-Imam
al-Hafis Ibn Kathir pada malam Lailatulqadar juga akan ditetapkan rezeki dan
ajal manusia tanpa sebarang pindaan lagi.
Firman Allah SWT yang bermaksud
(Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang
berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi
hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).(Surah al-Dukhan: 4)
Tidak keterlaluan jika dikatakan malam tersebut adalah malam penentu
kebahagiaan hidup di dunia mahupun di hari akhirat.
Bagi memudahkan pencarian malam
tersebut ada beberapa panduan yang boleh diikuti. Imam al-Syafie misalnya
menyatakan ia berlaku pada malam yang ke-21 ataupun malam ke-23 Ramadan.
Manakala Imam al-Ghazali menentukannya berdasarkan tarikh awal Ramadan yang
mana pada tahun ini jatuhnya pada hari Sabtu maka dijangka lailatulqadar
berlaku pada malam ke-23 Ramadan. Baginda Nabi Muhammad SAW pula menyarankan
supaya ia dicari pada malam 10 yang akhir dan dikuatkan lagi dengan malam-malam
yang ganjil.
Ada pula dalam kalangan para
ulama' mengatakan bahawa malam tersebut berlaku pada 27 Ramadan. Menurut Abu
Ka'ab katanya, Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam
Lailatulqadar terjadi pada bulan Ramadan manakala Lailatulqadar pula berlaku
pada malam ke-27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang
tepat) kerana bimbang kamu tidak lagi berusaha mencarinya. Riwayat ini disokong
oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30
perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang
kembalinya kepada Lailatulqadar.
Lalu apakah amalan yang perlu
dilakukan pada malam itu. Secara umumnya tiada ibadah khusus yang ditetapkan.
Amalan masyarakat setempat yang menghidupkan malam dengan mengerjakan solat
sunat tahajud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat
dilihat molek untuk dipraktikkan. Malam tersebut juga boleh diisi dengan
bertadarus al-Quran dan berdoa sambil memohon keampunan daripada segala dosa
silam.
Diriwayatkan bahawa Saidatina
Aishah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW akan doa yang perlu dibaca jika
bertemu Lailatulqadar. Baginda Nabi SAW bersabda Berdoalah dengan doa yang
bermaksud "Wahai Tuhan ku sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan suka
memberi pengampunan maka ampunkanlah kami wahai Tuhan yang Maha Pemurah.
(Riwayat Ahmad)
Adapun tanda-tandanya sebagaimana
yang turut disebutkan dalam Tafsir Ibn Kathir adalah; suasana pada malam itu
cerah seperti disinari cahaya bulan, suhunya pula sederhana tidak terlalu panas
mahupun sejuk. Pada keesokan harinya matahari terbit umpama bulan,
kemerah-merahan tanpa sinaran cahaya yang memeritkan.
Apa pun yang lebih penting adalah
bagaimana para Mukminin sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk
mengabdikan diri kepada Allah SWT sepanjang Ramadan. Ini kerana tanda-tanda
tersebut boleh jadi tidak nyata ataupun hanya dilihat oleh kalangan Nabi dan
Rasul ataupun golongan wali Allah yang terpilih. Malah di situlah letaknya
hikmah di sebalik kerahsiaan malam Lailatulqadar yang merupakan anugerah agung
buat Mukmin sejati.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat
Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
Sumber : http : //www.utusan.com.my/