Ahad, 16 Mei 2010

Teks Ucapan Perasmian Perayaan Hari Guru Kebangsaan 2010

Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Adnan Yaakob (depan lima kanan) dan Alimuddin Mohd. Dom (empat, kanan) bergambar kenangan dengan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan kali ke-39 di Universiti Malaysia Pahang, semalam.

BERSYUKUR kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita diberikan kesempatan untuk berhimpun di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 pada pagi ini. Saban tahun kita menyambut Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa, pengorbanan dan sumbangan besar para guru.

Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya kepada Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang di atas sokongan beliau dalam menjayakan majlis yang amat besar ertinya kepada seluruh warga pendidik.

Sesungguhnya, guru memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan individu dan pencapaian matlamat pendidikan negara. Setiap insan yang pernah mendapat suluhan ilmu daripada seorang guru pastinya akan menghargai betapa besar sumbangan guru dalam setiap kejayaan yang dilakar. Hari ini saya ingin merekodkan penghargaan saya kepada warga guru yang sentiasa komited dalam menggalas amanah mendidik anak bangsa dan mendokong matlamat dasar pendidikan kebangsaan, iaitu untuk memupuk perpaduan, memacu kemajuan dan membentuk keperibadian insan yang mulia.

Alhamdulillah, berkat komitmen warga guru, kita telah berjaya mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang pendidikan. Hari ini dengan pemeluasan akses kepada pendidikan baik di peringkat rendah, menengah mahupun pengajian tinggi, kita telah berjaya menyediakan peluang pendidikan formal kepada setiap warganegara. Ini adalah satu pencapaian penting dalam proses pendemokrasian pendidikan di negara kita. Kemajuan yang dicapai dalam bidang pendidikan selama lebih lima dekad yang lalu juga telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum. Pencapaian ini sekali gus membantu menjayakan agenda pembasmian kemiskinan, penyusunan semula masyarakat, pembangunan negara dan pengukuhan perpaduan.

Di peringkat antarabangsa, negara kita juga telah diiktiraf sebagai antara negara yang paling berjaya dalam mencapai matlamat pendidikan untuk semua. Saya percaya, segala kejayaan ini tidak akan terlakar tanpa komitmen dan kesungguhan para guru dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi, dengan penuh rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada pertiwi.

Namun, segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya di masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka pendekatan terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.

Cabaran Pendidikan Negara

Cabaran pertama ialah untuk meningkatkan kualiti dan ekuiti dalam pendidikan. Dalam sebuah negara yang menjanjikan kemakmuran untuk semua, komitmen kerajaan ialah untuk memastikan setiap warganegara berhak untuk mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti. Ini bermakna usaha berterusan mesti dilakukan untuk menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan prestasi setiap sekolah serta merapatkan jurang pencapaian murid tanpa mengira lokasi dan wilayah.

Kedua, meraikan kepelbagaian dan pada masa yang sama memperkukuhkan perpaduan dalam sebuah masyarakat majmuk yang sedang melalui proses perubahan nilai sosial dan politik yang ketara. Adalah menjadi hasrat dasar pendidikan kebangsaan untuk memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum melalui sistem pendidikan yang mengutamakan perkongsian nilai, budaya dan cita-cita bersama.

Sementara kita melihat kepelbagaian sebagai sumber kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, kita juga perlu memperkukuhkan perpaduan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif dan dinamik. Justeru, cabaran besar bagi setiap guru ialah untuk muncul sebagai kuasa pemersatu yang jitu (the binding force of unity) yang berperanan mendidik murid tanpa mengira kaum menghargai sejarah pembinaan negara bangsa, memahami kepelbagaian dan menjunjung aspirasi perpaduan selaras dengan semangat dan cita-cita 1Malaysia.

Ketiga, meningkatkan daya saing negara di persada antarabangsa dalam iklim persaingan global yang semakin sengit. Berhadapan dengan cabaran ini, keutamaan kita ialah untuk mempersiapkan generasi muda dengan kualiti yang diperlukan supaya mereka boleh bersaing di persada antarabangsa. Di samping itu, jangan kita lupa bahawa usaha-usaha untuk meningkatkan prestasi dan kualiti sistem pendidikan kita perlu dilakukan secara berterusan kerana pada masa yang sama kita juga menghadapi persaingan dengan sistem pendidikan berprestasi tinggi di negara-negara maju yang meletakkan penanda aras baru kecemerlangan pendidikan. Pendek kata, dalam era globalisasi kini kita harus menerima hakikat bahawa pendidikan tidak lagi berfungsi sekadar untuk mengisi keperluan lokal, tetapi memenuhi tuntutan global.

Strategi Pemantapan Kualiti Pendidikan

Dalam mengharungi cabaran-cabaran ini, kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pemugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan. Dasar dan strategi yang telah terbukti berjaya pada masa lampau, tidak semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan. Justeru, sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.

Maka, dengan semangat untuk melakukan pembaharuan yang bermatlamatkan peningkatan kualiti pendidikan secara berganda, tumpuan segera perlu diberikan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan prestasi sekolah, memantapkan kualiti guru dan melonjakkan keberhasilan murid. Inilah fokus utama inisiatif-inisiatif penting yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan. Kementerian Pelajaran telah menyediakan satu kerangka pelaksanaan yang menetapkan strategi penyampaian dan pencapaian sasaran NKRA.

Usaha ini mencakupi empat sub NKRA iaitu peluasan penyertaan pra-sekolah; Program Literasi dan Numerasi (LINUS) murid; mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi, termasuk meningkatkan prestasi setiap sekolah menerusi mekanisme Program Pembangunan Prestasi Sekolah (School Improvement Programme); dan pemberian insentif berasaskan pencapaian kepada guru besar, pengetua dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara.

Dalam menjamin kejayaan proses pemantapan kualiti pendidikan negara, beberapa dimensi penting pengurusan pendidikan perlu diberikan perhatian. Pertama, pengukuhan kepimpinan pendidikan dengan memberikan keutamaan kepada usaha untuk meningkatkan mutu penyampaian pendidikan dan melonjakkan prestasi dari peringkat pra-sekolah sehinggalah pengajian tinggi. Di peringkat sekolah, matlamat kita ialah untuk membangunkan ciri-ciri kepimpinan sekolah yang profesional, progresif dan dinamik dengan disokong oleh tenaga guru yang mempunyai kekuatan minda, ketangkasan daya fikir dan daya cipta, kemantapan idealisme dan kekuatan jati diri. Kualiti dan profesionalisme kepimpinan pendidikan ini pula perlulah dibangunkan dalam persekitaran budaya kecemerlangan yang berpaksikan kepada etos masyarakat berpengetahuan.

Kedua, kepimpinan sekolah perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, guru-guru perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan (factory model of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman pena'kulan (reasoning) murid. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).

Saya berharap agar aspek penting ini akan diberikan penekanan oleh guru-guru dalam pelaksanaan transformasi kurikulum di sekolah. Kejayaan pelaksanaan transformasi kurikulum ini amat bergantung kepada keupayaan guru-guru untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah agar matlamat menggalakkan budaya berfikir di kalangan murid dapat dicapai. Melangkah ke hadapan, saya percaya sudah sampai masanya kita memberikan autonomi profesional kepada guru-guru untuk merancang dan merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik berdasarkan keperluan murid dan situasi setempat dengan berpandukan garis panduan kurikulum yang standard. Dengan ini, kita akan berjaya menzahirkan peranan sebenar guru sebagai pemangkin masyarakat berpengetahuan yang menggalas amanah besar untuk mentransformasi sekolah sebagai sebuah organisasi pembelajaran (learning organization) di mana proses pemerolehan ilmu, pengayaan pengalaman dan pembentukan sikap serta nilai-nilai positif berlaku secara dinamis dan progresif.

Ketiga, dalam kesungguhan kita untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, jangan kita lupa kepada satu lagi matlamat penting pendidikan iaitu untuk membentuk keperibadian insan yang mulia. Matlamat pembangunan insan yang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini perlu dimantapkan dengan pemugaran nilai-nilai agama, moral dan etika dalam pendidikan. Kita tidak mahu melahirkan manusia yang hebat pengetahuannya, tinggi kemahirannya, tetapi rendah akal budinya. Kecemerlangan pendidikan yang kita maksudkan merangkumi aspek pemurnian jiwa, ketinggian budi dan kejituan rohani. Dalam konteks ini guru seharusnya mampu menjadi pendidik dan role model yang mempamerkan pekerti mulia pada setiap masa untuk diteladani oleh murid.

Insentif Kepada Guru

Menyelami setiap cabaran yang mesti diharungi oleh guru dalam memenuhi tuntutan kemajuan negara dan membentuk keperibadian insan yang mulia, saya memahami bahawa guru sebenarnya memikul amanah yang besar. Melaksanakan amanah ini pula bukanlah satu tugas yang mudah. Harapan masyarakat terhadap guru amat tinggi dan cabaran yang dihadapi bukannya sedikit.

Pada masa yang sama, saya juga mendengar pelbagai keluhan dan rintihan guru. Saya diberitahu guru-guru banyak dibebani dengan tugas-tugas sampingan di sekolah; proses kenaikan pangkat juga mengambil masa yang lama; tiada insentif khusus untuk menghargai dan mengiktiraf jasa guru dalam meningkatkan pencapaian murid; dan masalah penempatan serta pertukaran guru terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menimbulkan keresahan di kalangan guru.

Saya ingin mengambil kesempatan pada majlis sambutan Hari Guru ini untuk mengumumkan beberapa inisiatif yang telah dan akan diambil oleh Kementerian Pelajaran. Mengenai isu beban tugas guru yang telah dikemukakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semasa sesi pertemuan dengan saya dalam bulan Mac yang lalu, saya telah mengarahkan supaya satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ditubuhkan bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkan. Jawatankuasa ini yang turut dianggotai oleh beberapa orang wakil kesatuan guru telah pun mengadakan mesyuarat bagi meneliti syor-syor yang dikemukakan serta mencadangkan penambahbaikan. Antara beberapa syor jawatankuasa ini yang boleh dilaksanakan dengan segera untuk meringankan beban tugas guru ialah:

Pertama, mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah kepada jumlah yang lebih wajar. Pada masa ini, terdapat sekolah yang mempunyai hampir 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid serta kebersihan, keceriaan dan keselamatan murid yang memerlukan curahan masa dan tenaga guru yang bukan sedikit. Pengecilan jumlah jawatankuasa melalui penggabungan atau pemansuhan bukan sahaja akan mengurangkan bebanan tugas guru tetapi juga memberi peluang kepada guru untuk menumpukan perhatian kepada tugas hakiki. Di samping itu, perlu juga dipastikan pembahagian tugas di sekolah diagih secara adil untuk mengelakkan bebanan tugas tertumpu kepada guru-guru tertentu sahaja.

Kedua, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian di peringkat sekolah yang merupakan salah satu daripada punca pertambahan bebanan tugas guru. Saya dapati ada sekolah-sekolah yang jumlah peperiksaan dalamannya sahaja mencecah hampir 20 tidak termasuk peperiksaan awam. Jumlah peperiksaan dalaman ini perlu dikaji semula bukan sahaja untuk meringankan bebanan guru tetapi mengelakkan sistem persekolahan kita daripada menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan.

Ketiga, menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah. Saya tahu bahawa ini adalah antara keluhan utama guru-guru. Saya bersetuju bahawa guru-guru tidak perlu dibebankan dengan tugas-tugas perkeranian yang terlalu banyak sehingga mengganggu tugas hakiki yang lebih penting, iaitu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Apatah lagi, dalam usaha kita untuk melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu diberikan lebih banyak masa untuk merancang pengajaran yang lebih berkesan dan membuat persiapan mengajar. Justeru, Jawatankuasa Mengkaji Bebanan Tugas Guru akan menyediakan Garis Panduan yang lebih terperinci bagi membezakan antara tanggungjawab hakiki guru dengan beban tugas perkeranian yang tidak sepatutnya dilakukan oleh guru. Garis panduan terperinci ini akan diumumkan setelah pihak jawatankuasa selesai mengkaji isu ini dan mengemukakan laporan akhir.

Keempat, kursus-kursus penting yang perlu dihadiri oleh guru juga akan diselaraskan di peringkat Kementerian Pelajaran supaya tidak wujud pertindihan kursus atau keadaan di mana guru yang sama terpaksa mengikuti pelbagai jenis kursus yang dianjurkan di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran. Dengan adanya penyelarasan yang lebih sistematik, bukan sahaja guru dapat mengurus masa dengan lebih cekap, malah merancang untuk mengikuti program pembangunan profesionalisme dengan lebih baik.

Saya juga ingin mengumumkan inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk menyediakan laluan kerjaya yang lebih baik kepada guru. Buat permulaan, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah meluluskan sebanyak 25,289 kenaikan pangkat bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau Bukan Siswazah (PPPLD) sehingga April 2010. Daripada jumlah tersebut, seramai 15,320 jawatan adalah bagi PPPS, manakala seramai 9,969 jawatan adalah bagi PPPLD. Pecahan Kenaikan pangkat ini meliputi tiga kategori iaitu Time-based, Guru Cemerlang dan Kenaikan Pangkat secara hakiki bagi kategori DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan DG54. Kenaikan pangkat ini merangkumi Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia dan guru-guru. Selain daripada itu, LKPPP juga telah meluluskan sejumlah 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48, DG52 bagi PPPS.

Untuk mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah bersetuju supaya urusan kenaikan pangkat secara Time-based Gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran. Di samping itu, sejajar dengan matlamat Kementerian untuk meningkatkan kualiti guru, Pegawai Perkhidmatan Siswazah yang memperolehi ijazah Doktor Falsafah akan menikmati kenaikan satu gred sekiranya memenuhi kriteria dan syarat yang akan ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Pelaksanaan kenaikan gred bagi pemegang ijazah Doktor Falsafah akan dilaksanakan pada tahun ini. Saya berharap agar proses kenaikan pangkat dan pengesahan pemangkuan bagi mereka yang telah memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dapat diurus dengan kadar segera.

Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, sukacita saya mengumumkan New Deals atau Tawaran Baru kepada pengetua, guru besar dan guru-guru. Di bawah Tawaran Baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi sasaran Skor Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah. Ganjaran juga akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit, iaitu lonjakan sebanyak 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah. Skor Komposit ini dikira berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500. Guru-guru di sekolah berkenaan yang berada dalam kumpulan lima peratus teratas berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan juga akan menerima ganjaran sebanyak RM1,800 dan 95 peratus guru berikutnya akan menerima ganjaran RM900. Tawaran Baru yang merupakan satu bentuk insentif berasaskan pencapaian ini diharap akan dapat menyuntik semangat baru kepada guru-guru untuk bekerja dengan lebih gigih bagi meningkatkan prestasi sekolah dan keberhasilan murid.

Kerajaan juga sedang menimbang pelaksanaan beberapa inisiatif kenaikan pangkat berasaskan pencapaian yang lebih cepat kepada mereka yang benar-benar menunjukkan kebolehan. Mewujudkan laluan kerjaya yang lebih baik untuk guru-guru adalah salah satu daripada langkah kerajaan untuk memartabatkan profesion keguruan di samping menarik lebih ramai "best brain" untuk menyertai kerjaya ini.

Untuk mengatasi masalah penempatan di kawasan pedalaman yang sering menimbulkan keresahan di kalangan guru, saya telah mengarahkan supaya satu sistem pemantauan penempatan guru yang lebih cekap dan adil diwujudkan.

Maklumat mengenai tempoh perkhidmatan guru di kawasan pedalaman perlu dikemaskini secara online untuk memastikan mereka yang telah lama berkhidmat di kawasan pedalaman diberi peluang untuk berkhidmat di bandar pula. Dengan adanya sistem pemantauan yang lebih cekap dan adil ini, kita akan dapat menjamin bahawa guru-guru yang ditempatkan di luar bandar tidak akan disisih dan diabaikan.

Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada bekas pendidik yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan bagi tahun ini. Anugerah ini adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa serta pengorbanan tokoh-tokoh guru yang tidak ternilai.

Guru itu umpama lautan luas

Menghampar ilmu tak terbatas

Bagai hempasan keras gelombang

Kepada murid mendamai tenang

Guru itu laksana gunung agung

Tinggi berbukit sabar iktibar

Persis batu dan pasir terdampar

Tugasnya mulia mendidik mengajar

Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis sambutan Hari Guru pada tahun ini, terutamanya kepada warga Jabatan Pelajaran Negeri Pahang selaku Urusetia Pelaksana. Marilah kita bersama-sama menadah tangan memohon keizinan dan keredaan Allah SWT supaya segala cita-cita dan usaha kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan membina negara bangsa yang sejahtera dan harmoni diberkati dan dipermudahkan oleh-Nya.

"Selamat Hari Guru, Terima kasih Cikgu".

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

SEBAIT DOA BUAT GURU

-->
Tika dahulu aku hanya seorang murid...
Aku masih ingat, saat kaumemarahiku...
Saat kaumerotanku...
Namun aku tidak akan melupakan saat kaumendidikku...
Kaulah yang membentukku...
Dan kerana kau, aku kini bergelar guru...
TERIMA KASIH WAHAI GURUKU

Terpujilah engkau wahai guruku
Namamu akan selalu hidup dalam sanubariku
Semua baktimu akan kuukir dalam hatiku
Sebagai prasasti terima kasihku
atas pengabdianmu
Engkau sabagai pelita dalam kegelapan
Engkau laksana embun penyejuk dalam kehausan
Engkau patriot pahlawan bangsa
Tanpa tanda jasa

Setiap waktu teringat lagu tentangmu membuat hati ini bergolak rindu. Ingin meraih jemarimu dan menciumnya dengan segenap penghormatan dan rasa terima kasih. Kerana tanpa ketulusannya, mungkin hari ini kita semua tak kan menjadi seperti ini. Tanpa kesabarannya mungkin banyak diantara kita yang tersesat kehilangan jalan. Ya.. kerana dulu berpuluh tahun lalu aku, kami dan kita hanyalah anak-anak desa terpencil yang tidak tahu tentang dunia.

Berhentilah sejenak untuk mengenang para guru tercinta yang telah mengabdikan sebahagian usianya demi mencetak generasi bangsa ini. Orang tua ‘kedua’ yang kadang-kadang lebih peduli akan masa depan kita dibandingkan para orang tua kandung di kampung halaman saat itu. Mereka sabar dengan ketidaktahuan kita, mereka sabar dengan kenakalan kita, dan mereka pun sabar dengan gejolak masa remaja kita yang kadang kala meledak-ledak. Termasuk barangkali kita yang saat ini telah sampai di salah satu titik perhentian dari titik-titik perhentian yang lain menuju cita-cita meraih mimpi dan harapan.

Kawan-kawan, sekali lagi sejenak kita kenang mereka, betapa mereka semua telah mengalirkan ilmu berharga dalam sanubari kita, sehingga saat ini kita mampu tegak mandiri. Mampu berdiri sejajar dengan bangsa-bangsa lain tanpa rasa malu dan rendah diri. Hingga kini puluhan bahkan ratusan ribu antara kita telah tinggal di pelbagai negara lain di seluruh dunia.

Kita pun bagai anak-anak ayam yang kini terlatih mengais rezeki sendiri lantaran kesabaran sang induk mengajarkan anak-anaknya mencari makan. Sememangnya bukan mereka yang memberi nasib bagi kita, namun sebab merekalah, kini kita mampu bertahan hidup dengan bekal ilmu dan keahlian yang pernah mereka ajarkan kepada kita. Bahkan realitinya pada saat ini sebahagian antara kita telah mampu jauh meraih kejayaan, mencapai keberhasilan, dan menikmati limpahan harta mahupun populariti. Lebih jauh daripada apa-apa yang mereka ‘para guru kita’ mampu nikmati pada hari ini.

Namun, semoga kita tidak melupakan mereka yang detik ini tidak lagi muda. Yang kulit-kulit mereka tidak setegang dulu. Rambut-rambut mereka tidak selegam saat itu. Dan wajah-wajah mereka pun tidak secerah waktu itu. Kini tanpa kita sedari, kulit mereka telah mulai berkedut di sana-sini, rambut mereka juga telah dihiasi helai-helai putih yang semakin menyeruak. Dan wajah mereka terlihat sayu menatap hidup ini yang tidak semakin bersahabat.

Boleh jadi periuk mereka hari ini tidak seperti kepulan periuk di dapur kita. Boleh jadi sisa gaji mereka hari ini sudah tidak mencukupi untuk sampai ke tanggal 1 bulan depan. Dan boleh jadi putra-putri mereka meregang nafas untuk tetap bertahan menikmati pendidikan-pendidikan mereka. Tidak sedikit antara mereka yang hari ini masih setia menaiki basikal tuanya di kala ratusan bahkan ribuan ‘mantan’ anak didiknya menaiki kereta-kereta mewah yang nyaman.

Sahabat, mari basahi bibir kita untuk mendoakan mereka agar tetap ikhlas menjalani tugas mulianya menjadi guru peradaban. Agar dengan keikhlasan itu pahala daripada-Nya mengalir deras sampai akhir masa. Agar rezeki mereka berkat dan berkecukupan. Hingga pada masa tuanya mereka bangga dan bersyukur telah mencetak puluhan juta tunas-tunas baru yang memakmurkan dan mengharumkan negara ini.

Do’a ini kami persembahkan untukmu, wahai guruku...

Drp: http://mahabbahislamiyah.blogspot.com/
--> --> -->

MEMBAHARUI MARTABAT, TUGAS GURU

Oleh : Dr Aminuddin Mansor

Tanggal 16 Mei ini adalah sambutan Hari Guru yang juga dikenali sebagai pendidik. Di bahu gurulah tergalas amanah untuk melahirkan generasi terbilang. “Guru Pembina Negara Bangsa’ sebenarnya memberikan suatu pengiktirafan yang tinggi dan berterusan kepada kerjaya ini. Tanpa guru siapalah kita hari ini. Guru hari ini mestilah berusaha memperbaharui kembali martabat dan memurnikan tugas mereka.

Jika dahulu, guru amat dihormati dalam masyarakat. Pada masa itu gurulah yang menjadi imam, pengerusi badan-badan kebajikan di sesebuah kampung, orang penting dalam melaksanakan sesuatu kerja. Walau bagaimanapun, pada masa kini, guru tidak lagi memainkan peranan tersebut. Peranan dan tugas tersebut telah diambil alih oleh mereka yang diberikan secara khusus untuk melaksanakan tugas tersebut seperti imam dan sebagainya.

Guru mendidik generasi remaja dan belia pada masa kini untuk menjadi pemimpin negara dalam jangka 50 tahun akan datang. Begitulah besarnya tugas dan peranan pimpinan guru, Tanyalah kepada sesiapa sahaja pemimpin politik, Perdana Menteri, menteri dan juga penjawat awam atau sesiapa sahaja yang berada di puncak kejayaan. Segala-galanya bermula daripada pendidikan seorang guru di Tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan di universiti yang mencurahkan jasa dan bakti tanpa henti.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan dan generasi muda yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global, pelbagai inisiatif diberikan kepada golongan guru untuk membolehkan mereka mendidik pelajar menjadi lebih kompeten dan kompetitif pada masa akan datang. Guru terus memikul tanggungjawab untuk menjana generasi muda yang bermaruah, maju dan berdaya saing.

Justeru, guru akan terus menyumbang tenaga dan bakti terhadap pembentukan akal budi dan sahsiah diri pelajar. Mereka juga memikul dan melaksanakan amanah mendidik anak bangsa menjadi generasi yang berjiwa besar. Selain itu, guru mencurahkan ilmu dan mengasah kemahiran pelajar serta sentiasa menerapkan elemen perpaduan dalam kalangan pelajar. Tujuan tertinggi perguruan bukanlah pengetahuan tetapi dapat mendidik akal dan perbuatan ke arah kebaikan.

Guru juga berperanan sebagai jurutera insan. Melalui pendidikan dan pengajaran guru dapat membina insan yang berilmu dan bertakwa. Sebagai insan, gurulah yang mendidik jasmani, emosi, rohani dan intelek ke arah keseimbangan yang diperlukan dalam meneruskan kehidupan pada masa akan datang. Kata-kata; “Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi”, mengingatkan kita supaya berguru dengan guru secara serius dan sungguh-sungguh serta menuntut ilmu sehingga habis. Ilmu yang tidak sempurna dituntut tidak ada faedahnya.

Ada lagi, pepatah bidalan dan perumpamaan tentang guru yang diperingatkan orang tua-tua dahulu melalui pengalaman dan pemerhatiannya. Antaranya, “Guru kencing berdiri; murid kencing berlari.” Yang membawa maksud, murid akan ikut perangai guru yang buruk. Sementara ada juga kata-kata, “Guru makan berdiri, murid makan berlari.” Yang bermaksud, murid itu selalu mencontohi perbuatan guru, terutama yang buruk.

Lantaran itu, para guru mestilah sentiasa menjaga perangai dan kelakuan mereka. Ingatlah, perangai dan kelakuan yang buruk akan menjadi ikutan murid. Dalam pada itu, guru wajar mempertingkat dan menambah ilmu dan meningkatkan keimanan bagi menjadi ikutan yang baik kepada murid-muridnya.

Pengajaran daripada nasihat, teguran dan perbuatan guru yang baik akan menjadi teladan kepada murid atau pelajarnya. Guru juga mestilah mengamalkan budaya positif dalam setiap perlakuan dan perbuatannya. Melalui bahasa yang baik, penuh mesra dan kasih sayang, gaya hidup sihat dan personaliti yang baik akan menjadi ikutan kepada murid dan pelajar.

Guru yang baik akan sentiasa menggunakan komunikasi yang berkesan, pengurusan masa dan diri yang baik, membina hubungan berkualiti dengan murid dan ibu bapa, mempunyai daya kepimpinan yang unggul, mempunyai penampilan diri berkualiti dan sedia menghadapi apa juga cabaran semasa dan akan datang. Selain itu, guru juga mestilah penyayang, simpati, dan memahami keadaan muridnya.

Bagi kebanyakan guru, tiada hadiah yang paling berharga dan bermakna buat mereka kecuali pelajar yang dididik berjaya dalam setiap bidang yang diceburi dan menjadi manusia yang sentiasa beriman dan berakhlak.

Segala jasa dan pengorbanan guru yang dicurahkan semuanya dilakukan dengan ikhlas dan tidak pernah mengharap sebarang balasan. Mereka hanya mengharapkan balasan, pelajar yang dididiknya menjadi manusia yang berguna, berjasa dan beriman serta dapat berbakti semula kepada agama, bangsa dan negara tercinta.

Natijah daripada usaha memperbaharui martabat dan tugas guru akan dapat memberikan nilai baharu kepada setiap guru. Sanjungan masyarakat akan meningkat seperti guru dahulu. Guru juga akan dapat menjalankan tugas dengan sokongan ibu bapa dan masyarakat ke arah membina negara bangsa yang membangun dan bersatu padu.

Penulis ialah penyair, bekas pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

PENDIDIKAN ASET PENTING KEMAJUAN MASA DEPAN

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Pembelaan, pengiktirafan profesion perguruan semarak semangat didik anak bangsa

SETIAP tahun apabila tiba 16 Mei, warga pendidik dan pelajar sekolah sudah pasti mengetahui tarikh itu kerana ia hari bermakna buat guru iaitu Hari Guru. Mengikut sejarah, sambutan Hari Guru di negara ini mula disambut sejak 16 Mei 1972. Tarikh itu dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran negara. Dokumen itu juga dikenali sebagai Laporan Razak yang kemudian menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan dan pelbagai aktiviti diadakan dari peringkat sekolah hingga ke peringkat nasional.

Seperti tahun-tahun terdahulu, selain pengiktirafan dan penghormatan kepada jasa guru, apabila tiba tarikh berkenaan warga pendidik meletakkan pelbagai harapan terhadap profesion mereka.

Pada masa sama, kerajaan cuba merealisasikan usaha supaya bidang pendidikan negara terus diberikan keutamaan kerana ia menjadi aset berharga untuk masa depan negara.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata menjadi harapan kesatuan profesion perguruan ditingkatkan lagi dan setiap tindakan diambil kerajaan tidak menjejaskan sektor pendidikan sehingga menjejaskan kualiti pelajar yang dihasilkan.

Katanya, kesatuan faham dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan terutama dalam soal penjimatan apabila negara menghadapi kemelesetan ekonomi.

“Namun, mana-mana aspek penjimatan yang mahu dilaksanakan tidak menjejaskan kualiti sektor pendidikan dan profesion perguruan. Pendidikan adalah aset penting untuk kemajuan negara masa depan,” katanya yang mengakui bukan mudah dalam usaha mengekalkan kualiti profesion perguruan serta menghadapi kerenah ibu bapa yang menyerahkan bulat-bulat usaha mendidik anak-anak kepada guru.

Paling menyedihkan, katanya ibu bapa mengharapkan lebih daripada yang mampu diberikan guru dan sering mencemuh serta menyalahkan guru jika anak mereka tidak berjaya dalam pelajaran atau terbabit dalam masalah disiplin serta gejala sosial.

“Kita kesal apabila tindakan disiplin diambil ke atas anak, ada ibu bapa datang menyerang sekolah dan lebih teruk ada membuat laporan polis walaupun kes berkenaan tiada kaitan dengan guru. Kerjasama dan sokongan ibu bapa sangat diperlukan kerana guru bukan menjadi pendidik tetapi kini dibebani dengan pelbagai tugas lain selain tugas hakiki mengajar seperti aktiviti kokurikulum dan tugas pengurusan dan pentadbiran sekolah,” katanya.

Justeru, katanya pelbagai tuntutan termasuk isu gaji, kenaikan pangkat dan elaun yang dibangkitkan bukan hanya sebagai ganjaran atas titik peluh, pengorbanan dan jasa guru sebaliknya meningkatkan lagi profesion perguruan negara yang secara tidak langsung meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Pada masa sama, beliau melihat masa depan profesion perguruan negara untuk masa depan semua guru di sekolah rendah adalah pemegang ijazah atau guru dengan lulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Katanya, ketika ini guru pemegang sarjana dan PhD tidak dibenarkan mengajar di sekolah rendah malah ada persepsi menyatakan guru dengan kelulusan tinggi lebih baik kekal mengajar di institusi pengajian tinggi bukannya peringkat sekolah.

“Persepsi sedemikian perlu diubah kerana di Kanada hampir 70 peratus guru sekolah rendah adalah pemegang sarjana. Ini penting kerana usaha mendidik pada peringkat awal penting untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang apabila meningkat remaja dan dewasa,” katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kebajikan guru adalah asas yang perlu diberikan perhatian untuk menjaga kualiti dan piawaian profesion perguruan di negara ini.

Katanya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah bebanan kerja serta keseimbangan guru lelaki dan wanita selain masalah guru ganti bagi guru yang berkursus, cuti belajar atau bersalin selain perlunya tenaga pembantu untuk mengurangkan beban tugas guru.

“Namun, masalah ketidakseimbangan nisbah guru lelaki dan wanita, kita percaya dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun lagi berdasarkan jumlah pengambilan guru pelatih selain persaraan guru sedia ada. Bagi isu bebanan tugas mungkin satu skim diperkenalkan untuk memastikan tugas hakiki guru iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa tidak diketepikan.

“Pelantikan pembantu guru atau pelantikan jawatan menguruskan pentadbiran juga perlu difikirkan supaya transformasi pendidikan yang mahu dilaksanakan kerajaan berjalan lancar,” katanya.

Satu lagi isu yang perlu diberikan perhatian adalah mengenai kepayahan dan kesusahan dihadapi guru bertugas di kawasan pedalaman yang tiada kemudahan asas serta jalan perhubungan yang baik.

“Peningkatan elaun kesusahan guru kawasan pedalaman perlu memandangkan guru-guru berkenaan memperjuangkan tenaga, masa dan keluarga, malah dalam sesetengah keadaan guru perlu menggadaikan nyawa pergi ke sekolah bagi mendidik anak bangsa,” katanya.

Sempena Hari Guru, warga pendidik sebenarnya bukan mengharapkan ganjaran serta kenaikan gaji semata-mata tetapi pembelaan kerjaya penting untuk menaikkan profesion perguruan seterusnya meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara.

sumber : http : //www.bharian.com.my/