Khamis, 30 Januari 2014

ISU KENEGARAAN : Memahami makna sebenar perpaduan


Oleh : Johan Jaafar

Pada hari Jumaat ini kaum Cina di negara kita akan merayakan Tahun Baru Cina. Menurut kalendar Cina, tahun ini adalah tahun Kuda Kayu. Menurut kepercayaan mereka bagi tahun ini elemen api memainkan peranan yang penting, mengatasi air. Api juga melambangkan kemarahan, rasa tidak sabar dan keresahan.

Sekiranya zodiak Cina boleh anda percayai, tahun ini juga menampakkan keadaan di mana emosi dan ketakutan akan lebih banyak menguasai ketenangan dan kewarasan. Banyak keputusan akan dibuat tanpa pertimbangan akal, kajian mendalam, kebijaksanaan dan kecerdikan. Maka itu ada tanda-tanda bahawa akan lebih banyak berlaku pergolakan dan krisis di dunia tahun ini.

Itu bukan bermakna tahun Kuda Kayu merupakan tahun yang malap atau menggerunkan. Tahun ini juga menjanjikan banyak harapan. Kuda merupakan haiwan liar sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Kuda membantu manusia memenangi perang. Kuda juga menjanjikan banyak peluang yang baik dalam bidang perniagaan dan dalam pembinaan kerjaya. Demikianlah ramalan tahun Kuda Kayu bagi kaum Cina.

Beraya bersama-sama

Bagi sebahagian besar daripada kita, Tahun Baru Cina merupakan salah satu daripada beberapa perayaan penting negara. Banyak daripada kita yang mengambil cuti dan menggunakannya untuk melancong atau sekadar berehat di rumah. Bagi yang lain, ini merupakan peluang untuk merayakan bersama-sama teman-teman kaum Cina.

Perayaan kaum untuk sekian lama tidak pernah dilihat daripada kaca mata keagamaan semata-mata. Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai, Tadau Keamatan dan lain-lain lagi merupakan perayaan yang dirayakan oleh semua kaum. Suku kaum di Sabah dan Sarawak memberikan makna yang sebenar konsep 1Malaysia dengan menjadikan perayaan suku kaum sebagai acara bersama sejak sekian lama.

Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali juga menjadi perayaan yang dikongsi oleh semua kaum. Perayaan seperti inilah yang memberikan kesempatan rakyat Malaysia mendekati satu sama lain. Inilah bukti integrasi yang sebenar. Pemahaman terhadap budaya satu sama lain menjadi teras perpaduan negara.
Sayang sekali soal perpaduan kini perlu dilihat semula secara jujur. Pelbagai isu yang berbangkit merenggangkan perpaduan kaum di negara ini. Soal politik, bahasa, agama – semuanya menjauhkan kita. Sistem pendidikan vernakular menjadikan anak-anak kita tidak berinteraksi seperti yang sepatutnya pada peringkat awal lagi. Isu keagamaan menjadi semakin sensitif hari ini.

Penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) menunjukkan betapa perlu isu perpaduan ini ditangani secara jujur dan terbuka. Sebenarnya kerajaan tidak ada pilihan. Majlis ini diminta membuat cadangan langkah-langkah praktikal ke arah perpaduan sebenar.

Tuntut tindakan serius

Ini isu serius yang menuntut tindakan serius. Sudah pastilah ada pihak yang mencurigai keberkesanan majlis ini. Malang juga kerana mesyuaratnya yang pertama pada 6 Januari lalu ditenggelami oleh kontroversi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Memang majlis ini tidak mempunyai Lampu Aladdin untuk menyelesaikan semua masalah perpaduan. Perpaduan kaum di negara ini merupakan isu panjang yang berdaki dengan tradisi dan sejarah juga prasangka dan keraguan. Hari ini isu perpaduan merupakan isu nasional yang kritikal.

Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, isu perpaduan dianggap amat penting. Maka itu pelbagai program dan kempen disediakan. Rukun negara diwujudkan sebagai tiang seri dan prinsip kerukunan bersama. Kempen muhibah dan perpaduan dilaksanakan secara berterusan menggunakan semua media yang ada ketika itu.

Mungkin kaedah lama yang cuba menggandingkan suntikan elemen patriotisme, jingoisme dan propaganda tidak sesuai lagi untuk rakyat Malaysia hari ini. Tetapi semangat kempen itu masih penting. Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa isu kerenggangan kaum perlu diatasi segera.

Mungkin sudah terlalu lama kita mengabaikan soal perpaduan. Atau mengambil mudah hal itu. Bila terhantuk baru tengadah, demikianlah peribahasa Melayu. Ini soal masa depan negara kita. Dalam negara pelbagai kaum, kita tidak ada pilihan melainkan memastikan wujudnya keharmonian kaum.

Indonesia memberikan tumpuan pada pembinaan negara bangsa menggunakan bahasa sebagai paksinya. Namun demikian mereka juga berdepan dengan masalah perpaduan untuk jangka panjang. Kita mungkin menghabiskan terlalu banyak masa mencorakkan kemajuan ekonomi lalu mengabaikan aspek pembinaan negara bangsa yang sebenar. Inilah masa untuk membuat perubahan.

Masanya belum terlambat. Dalam kita menghormati perayaan Tahun Baru Cina kali ini, elok juga direnungkan makna persefahaman dan kerukunan bagi kita semua. Demi masa depan bersama. Kepada semua pembaca Cina: Gong Xi Fa Cai.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/