Selasa, 4 September 2012

ISU KENEGARAAN : Bendera itu roh kemerdekaan


Oleh : ZULKIFLI JALIL dan JUANI MUNIR ABU BAKAR

SIAPA kata Jalur Gemilang bukan ciptaan anak negeri atau warganegara Malaysia?

Kalau dilihat aksi provokasi dua pemuda mengibarkan bendera merah putih yang mereka namakan 'Sang Saka Malaya' untuk menggantikan Jalur Gemilang, yang terpampang di muka depan akhbar ini semalam, bukankah itu kelihatannya seperti bendera Singapura atau bendera Indonesia?

Sebenarnya, isu untuk menggantikan Jalur Gemilang dengan reka bentuk lain, bukanlah isu baru. Ia mula-mula sekali dibangkitkan oleh aktivis sosialis atau pendemonstrasi jalanan, Hishammuddin Rais dua tahun lalu.

Kalau anda boleh layari satu bual bicara penyokong kuat pembangkang ini dalam program Rentakkini.TV ketika mengulas sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 tersebut, Hishamuddin telah menguar-uarkan bahawa Jalur Gemilang diciplak daripada bendera Amerika Syarikat. Katanya selain lagu Negaraku, ia wajib diubah kerana kedua-duanya bukan garapan anak negeri.

Apabila diajukan cercaan Hishamuddin itu kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang kebetulan penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah rakan seangkatannya di Universiti Malaya (UM) suatu ketika dulu, Fuad mengingatkan:

"Bendera adalah simbol kewujudan bangsa, maruah serta kemuncak perpaduan bangsa. Kalaupun ada unsur pinjam - meminjam, ia sesuatu yang lumrah.

Tetapi yang penting, ia diubahsuai mengikut latar belakang budaya, sejarah dan perkembangan negara masing-masing.

"Paling penting, makna kemerdekaan."

Fuad menarik perhatian bahawa dengan sedikit perubahan, sesuatu bendera itu boleh diukir dengan meminjam idea daripada bendera negara lain. Apatah lagi, jika kedua-dua negara ada hubungan penjajahan.


"Cuba kita lihat bendera Australia ada persamaan dengan British. Bendera Singapura mirip bendera Indonesia.


"Yang mencadangkan bendera negara ini turut sama dengan Indonesia itu adalah kehendak Ibrahim Yaakob yang ketika itu hendak bersama Ahmad Boestaman, pejuang nasionalis kiri yang mahu Malaya merdeka bersama Indonesia, dalam konsep Indonesia Raya. Mereka juga hendak merdeka sekali bersama Filipina," kata beliau.



Dan hakikatnya, kalau dilihat bendera Amerika Syarikat mirip bendera Syarikat Hindia Timur British. Malah, bukan sahaja bendera Amerika Syarikat, bendera empayar Majapahit, Pulau Bikini Atoll dan Liberia juga menyamai corak berjalur-jalur bendera Syarikat Hindia Timur berkenaan.

"Malah, bendera Amerika Syarikat juga telah 26 kali berubah reka bentuknya sejak tahun 1777 tapi tidak menghilangkan jalurnya.

"Bendera Amerika ambil idea daripada Syarikat Hindia Timur British. Hubungan pinjam -meminjam ini lumrah tetapi dipindahkan dengan disesuaikan budaya, sejarah negeri dan geografi negara masing-masing tanpa mengurangkan nilainya," katanya.


Menyangkal lagi dakwaan Jalur Gemilang bukan ciptaan anak tempatan, Fuad berkata, ciptaan bendera negara ini telah dipertandingkan dengan sebanyak 373 rekaan diserahkan kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan. Dan menerusi pemilihan yang dibuat pada 15 November 1949, hanya tiga disenarai pendek.

Bagaimanapun, sebelum diumumkan, ada beberapa cadangan dibuat. Contohnya, permintaan Sultan Kedah yang meminta supaya bulan sabit putih ditukar kepada warna kuning. Ia untuk mewakili Raja-Raja Melayu.

Justeru, pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu, maka satu rekaan telah dicadangkan oleh Sultan Kedah dan diberikan kepada pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk dijadikan bendera Persekutuan Malaya.

"Dan seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor, Mohamad Hamzah telah diumumkan sebagai pemenang. Pada 19 Mei 1950, bendera Malaysia dinaikkan di hadapan Istana Selangor, diikuti pada 31 Ogos 1957 dinaikkan di Dataran Merdeka untuk menggantikan Union Jack.

"Jadi, tidak betul dakwaan Hishammuddin bahawa bendera kita adalah hasil ciplak daripada negara asing," katanya.

Dalam perbualan hampir 20 minit dengan kami, Fuad bagaimanapun terdiam sejenak. Beliau teringatkan bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, 84, yang mempunyai nilai sentimental pada hari negara mengecap kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu.

"Bapa yang ketika itu berusia 25 tahun telah diminta oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Datuk Abdul Rahman Talib atas jemputan Tunku (Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj) untuk melaungkan  azan selepas pengisytiharan merdeka.

"Ia untuk memberi roh kepada kemerdekaan. Dan ia (azan) bukan dalam bentuk 'Hijaz' iaitu melankolik atau mendayu-dayu tetapi dalam laungan  yang lebih bersemangat," katanya.

Dan benarlah bendera itu bukan sekadar bendera.

Jalur Gemilang itu roh kemerdekaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Universiti sebagai makmal hidup


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

SETIAP tahun beribu-ribu orang anak muda berlumba-lumba untuk memasuki universiti. Ada yang datang menangis dan merayu dengan pelbagai cara untuk memastikan mendapat tempat walaupun tidak memenuhi kelayakan dan sedar yang ia sukar untuk dipenuhi. Ada juga yang datang berjumpa pihak pengurusan universiti dengan surat daripada pihak-pihak tertentu.

Kenapa orang berlumba-lumba untuk memasuki universiti? Walaupun universiti dikritik dengan pelbagai perkara, dicari segala kelemahan dan kekurangannya, namun ia tidak mematahkan semangat untuk mereka yang percaya bahawa universiti berupaya mengubah nasib dan masa hadapannya untuk terus mendapat tempat, mencari ilmu dan memastikan mendapat segulung ijazah sebagai pengiktirafan terhadap proses penguasaan ilmunya.

Upacara konvokesyen masih menjadi antara acara penting yang perasaan bangganya tidak pernah kurang untuk dirakamkan foto dan diletakkan di atas meja atau menghiasi dinding sebagai menunjukkan pengiktirafan terhadap ilmu yang dipelajari di universiti. Malah, ada ibu bapa dan graduan yang marah jika tidak berpeluang naik ke pentas mendapat ijazah masing-masing kerana ia amat istimewa dan bermakna.

Bagi mereka yang pernah melaluinya, sukar menafikan bahawa universiti adalah makmal hidup yang bermakna bagi mereka yang bijak mengambil peluang dan kesempatan yang ada.

Walaupun filem dan drama kita lebih banyak memaparkan kisah-kisah cinta kampus dari sisi penerokaan ilmu yang sebenar, universiti menyediakan begitu banyak ruang untuk seseorang itu menetapkan pandangan hidupnya terhadap alam kehidupan yang ada. Kehidupan kampus kerap kali dikaitkan dengan idealisme unggul yang kadang-kadang tidak berpijak di bumi nyata. Kehidupan yang dilihat dari sudut ilmu dan idealisme yang dibangunkan sangat istimewa, ideal dan kerap kalinya mempunyai perspektif dan sudut pandang yang berbeza daripada kehidupan sebenar.

Di sinilah seseorang mahasiswa akan diuji dari sudut kekuatan ilmu dengan kehidupan sebenar yang dilaluinya. Kerap kali mahasiswa ini membuat perbandingan yang sangat indah dari perspektif ilmunya yang jika tidak diseimbangkan dengan pengetahuan terhadap dunia sebenar akan menjadikannya cepat terpesong dan melihat orang lain sebagai punca dan salah.

Walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda membolehkan para mahasiswanya menyertai politik, kampus universiti sewajarnya tidak diperjudikan untuk tujuan itu. Berpolitiklah di luar kampus kerana jika dibawa secara besar-besaran dalam kampus, akan mudahlah diprovokasi dan dipergunakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjadikan idealisme anak-anak muda ini mengikut kepentingan sendiri.

Yang menerima padah tentunya anak-anak muda yang sepatutnya bergelut untuk menguasai ilmu dan kebijaksanaan serta hikmah yang ada untuk pembangunan masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Kerana itulah kita dapati, sesetengah orang cepat berubah pandangan hidupnya berbanding dengan tatkala berada di kampus universiti setelah melalui dunia sebenar yang mempunyai pelbagai cabaran dan hakikat yang di luar daripada jangkaannya. Namun, jika seseorang itu bijak menggunakan kesempatan yang ada, universiti adalah persediaan yang bermakna untuk menghadapi masa hadapan.

Politik dalam kampus sewajarnya sekadar menjadi asas untuk memahami secara lebih luas bukan untuk mencari kuasa dan tujuan-tujuan lain, apatah lagi apabila pelbagai pihak saling berusaha untuk menguasai pemikiran anak-anak muda ini.

Kampus adalah makmal hidup untuk mencari pengalaman baru, misalnya dari segi penguasaan bahasa dan pergaulan, universiti mempunyai pelbagai kemudahan dan kesempatan. Memandangkan hampir semua kampus universiti mempunyai pelajar dari pelbagai negara luar, maka di sinilah peluang untuk anak-anak muda ini belajar memahami bahasa dan budaya lain serta berusaha menyesuaikan diri dengan diri dengan dunia global yang sebenar.

Apatah lagi, peluang untuk mengikuti pengajian selama satu atau dua semester di negara luar sentiasa terbuka luas jika mereka tahu mengambil kesempatan daripadanya. Ini bermakna bukan sahaja mereka boleh belajar bahasa asing secara formal tetapi juga proses sosialisasi yang tidak formal yang terbuka luas.

Malah, mereka yang berada di universiti juga boleh mengambil kesempatan mempraktikkan idea keusahawanan sama ada berniaga secara formal, belajar untuk menguasai keusahawanan malah menceburinya secara terus seawal mungkin. Hampir semua universiti tempatan sekarang ini mempunyai kelab keusahawanan atau jabatan-jabatan tertentu yang menguruskan penglibatan mahasiswa dalam bidang ini.

Banyak peruntukan diberikan selama ini untuk mendorong mahasiswa terlibat dalam keusahawanan sebagai sebahagian usaha untuk memastikan mereka dapat meneruskannya apabila tamat pengajian kelak. Dalam konteks ini keusahawanan harus dilihat sebagai cara kreatif dan inovatif untuk meneroka peluang baru dalam meneruskan kehidupan pada masa hadapan.

Begitu juga dengan usaha mewujudkan semangat kesukarelaan dalam kalangan anak-anak muda. Universiti adalah tempat terbaik untuk melatih mereka secara formal atau tidak formal dalam menanamkan semangat untuk menolong orang lain dan menjulang nilai-nilai kemanusiaan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malah juga masyarakat dunia di mana sahaja.

Program-program latihan yang tersusun boleh diterokai dalam memastikan anak-anak muda kita bersedia untuk membantu orang lain, belajar berkomunikasi dan menjalin hubungan tanpa ada batas sempadan dari segi bahasa, budaya, agama atau apa sahaja yang membezakan manusia.

Apatah lagi bagi komuniti universiti yang pelbagai, dengan kumpulan mahasiswa dari ceruk rantau negara dan bangsa, kaum dan agama serta warna kulit yang tidak pernah menghalang untuk saling berkomunikasi, memahami dan hidup rukun damai. Sekali gus belajar untuk menghargai kepelbagaian yang ada dan memanfaatkannya untuk mengkayakan dengan pengalaman dan kekuatan bersama.

Soalnya, dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, infostruktur untuk komunikasi dan teknologi maklumat serta ruang dan peluang ada, mampukah seseorang yang memasuki kampus universiti untuk berubah dan menjadi berbeza daripada sebelum memasukinya.

Tentunya mereka yang memilih untuk berdiam diri, tidak bercampur dengan orang lain dan hidup dalam dunia angan-angan, fantasi yang di awang-awangan atau enggan menerima pendapat dan pandangan orang lain, jumud pemikirannya dan enggan untuk berubah, maka universiti tidak jauh berbeza daripada sebuah sekolah atau tempat untuk belajar di bilik darjah dan kuliah dan kemudian luahkan semula di atas kertas peperiksaan.

Universiti adalah makmal kehidupan yang sangat menarik dan menyeronokkan bagi mereka yang percaya kepada diri, mempunyai fokus dalam hidup, ingin memanfaatkan ilmu dan menerokainya sejauh mungkin serta bersedia untuk menggunakan setiap peluang dan ruang yang ada untuk menjadi seseorang yang mampu berfikir dan menggunakannya sebaik mungkin untuk diri, masyarakat, agama dan negara.

Walaupun dunia kampus sebahagian besarnya dipenuhi oleh idealisme, tetapi hakikatnya itulah makmal terbaik untuk menyediakan kita dengan dunia sebenar yang jika diadunkan dengan ilmu, akan menyelesaikan banyak masalah yang ada dengan penuh kebijaksanaan dan hikmahnya.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : Memacu pertumbuhan saksama bandar - luar bandar


OLEH ROHAMI SHAFIE

SUDAH semestinya ekonomi pasaran bebas tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Ekonomi pasaran bebas yang hanya mementingkan yang kuat dan kaya sahaja tetapi mengabaikan yang lemah mempunyai banyak kelemahan yang amat ketara.

Krisis subprima di Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang di zon Eropah menggambarkan dasar ekonomi pasaran bebas tidak mendatangkan kemakmuran yang holistik kepada rakyat. Laungan prinsip keadilan yang diuar-uarkan oleh negara Barat hanya sekadar omongan kosong.

Pengangguran semakin bertambah, rakyat semakin melarat manakala jurang kekayaan di antara golongan kaya dengan yang miskin semakin melebar.

Dasar ekonomi pasaran bebas telah lama dipinggirkan oleh Malaysia. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan pada era 1970-an berteraskan kepada prinsip keadilan sosial banyak membantu rakyat Malaysia. Melalui dasar ekonomi ini, kadar pertumbuhan ekonomi juga menjadi fokus utama.

Sememangnya dasar ini berjalan dengan baik sehinggalah Krisis Kewangan Asia 1997/1998 melanda negara telah memperlihatkan betapa masih ada ruang penambahbaikan terhadap dasar ini.

Malaysia memerlukan satu dasar ekonomi yang dapat memacu pertumbuhan secara saksama. Penulis lebih gemar menggunakan perkataan saksama bagi menggambarkan kepentingan keadilan sosial untuk semua pihak di Malaysia.

Dasar-dasar ekonomi yang saksama tidak boleh memihak mana-mana pihak mahupun lokasi. Sebagai contoh apabila sesuatu kaum sahaja yang mengawal ekonomi ia menggambarkan keadilan sosial dalam ekonomi tidak dilaksanakan dengan baik. Dasar ekonomi keadilan sosial perlu membantu kaum yang lemah.

Nikmat kekayaan bukan hanya untuk golongan kaya. Di Malaysia, diketahui umum, kaum bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara, misalnya dalam pemilikan hartanah mewah, maka, dalam memastikan dasar ekonomi dilaksanakan dengan saksama, kaum ini juga berhak untuk memiliki hartanah yang lebih banyak dan bernilai tinggi. Bezanya dalam pasaran bebas, kaum bumiputera akan dipinggirkan terus-menerus kerana mereka ini adalah kaum lemah.

Maka, mereka tidak layak untuk memiliki hartanah mewah di bandar meskipun mereka ini golongan majoriti rakyat Malaysia. Secara tidak langsung, sedikit demi sedikit kaum bumiputera disisihkan dalam arus pembangunan ekonomi bandar dan akhirnya mereka terpaksa mencari tempat baru untuk bertapak mencari rezeki. Di manakah tempatnya jika tidak di tempat asal mereka iaitu di kampung-kampung. Ini amatlah tidak baik untuk negara dalam jangka masa panjang.

Malahan, dasar ekonomi pasaran bebas yang tidak adil ini akan memberi kesan negatif dari segi perpaduan kaum. Dengan mengamalkan dasar ekonomi keadilan sosial, jurang besar ekonomi antara kaum dapat dikurangkan, rasa tidak puas hati pula di kalangan mereka dapat diminimumkan manakala ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih saksama dan mapan.

Bagaimanapun ia tidak mudah dilaksanakan kerana dalam mana-mana sistem ekonomi dunia sekalipun masih ada segelintir golongan yang oportunis yang hanya memikirkan diri sendiri. Ini tidak menghairankan kerana sekian lama dasar ekonomi pasaran bebas telah menjajah pemikiran golongan sebegini.

Bagi mengubah pemikiran mereka agar lebih melihat kemaslahatan masyarakat secara menyeluruh, dasar-dasar ekonomi yang sedang dan akan dilaksanakan perlu mengambil kira pendekatan inovatif, kreatif, tegas dan berani serta wasatiyyah. Inilah yang dikatakan sebagai memecah tembok kemustahilan bagi memastikan pengagihan kek ekonomi dilaksanakan dengan saksama.

Dasar ekonomi yang menitikberatkan keadilan sosial juga tidak boleh meminggirkan kawasan luar bandar. Penumpuan yang berlebihan terhadap ekonomi di bandar-bandar besar menyebabkan modal insan di luar bandar berhijrah secara besar-besaran ke bandar seperti Kuala Lumpur dan produk-produk luar bandar pula dipinggirkan.

Implikasinya cukup besar sama sekali kerana apa akan terjadi kepada ekonomi luar bandar jika tiadanya modal insan terbaik untuk memacu ekonomi luar bandar? Jurang kekayaan di antara bandar dan luar bandar semakin melebar manakala taraf hidup penduduk bandar akan semakin tinggi berbanding penduduk luar bandar sedangkan pertumbuhan yang saksama mestilah melibatkan keterangkuman sebagaimana yang ditetapkan dalam Model Baru Ekonomi (MBE).

Kuantiti dan kualiti pertumbuhan hanya menjadi sia-sia belaka jika tidak melibatkan prinsip keterangkuman untuk seluruh rakyat. Bagi mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, anak yatim, orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) juga perlu diberi perhatian dalam Bajet 2013 selain golongan berpendapatan sederhana ke bawah.

Sejumlah besar program dan insentif dalam Bajet 2013 mestilah tertumpu kepada mereka kerana merekalah yang paling banyak terkena tempias kos sara hidup yang semakin tinggi.

Bagi memperkukuhkan ekonomi negara dan mempertingkatkan produktiviti, seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap negara terbaik, agihan Bajet 2013 perlu dibuat secara berhemah mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan. Justeru, pengurangan defisit dan hutang kerajaan patut menjadi agenda utama Bajet 2013 supaya ekonomi negara akan kekal mapan dan seterusnya kekayaan negara dapat diagihkan secara saksama.

Inilah cabaran dan intipati utama yang perlu ditekankan dalam Bajet 2013 agar semua pihak dapat merasai kemakmuran negara. Hanya kerajaan yang berpegang pada prinsip keadilan sosial mampu untuk mengharungi cabaran ini dan juga dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat dengan saksama.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www. utusan.com.my/