Ahad, 13 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : Malaysia patut contohi Jepun hadapi bencana

Oleh Manja Ismail

Rakyat sentiasa dilatih bersedia hadapi saat cemas gempa

SEHINGGA semalam, angka kematian akibat gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang diikuti gelombang tsunami di timur laut Jepun Jumaat lalu, mencecah lebih 10,000 orang termasuk yang masih hilang, manakala 20,800 kediaman dan bangunan musnah.

Pagi semalam juga, satu lagi gempa bumi dengan kekuatan 6.8 skala Richter melanda pantai timur pulau Honshu, tetapi ia tidak menyebabkan tsunami dan kemusnahan baru.

Namun, kebimbangan timbul apabila beberapa loji reaktor nuklear dikesan bermasalah ekoran gempa bumi Jumaat lalu, apabila sistem penyejuknya tidak berfungsi dan berisiko meletup.

Memang kejadian di Jepun itu, yang dapat kita saksikan dengan jelas di kaca televisyen, malapetaka amat dahsyat. Walaupun dari segi korban, tsunami Aceh pada 2004 jauh lebih tinggi dengan ratusan ribu nyawa, detik-detik ketika gempa berlaku dan tsunami melanda tidak dapat kita saksikan seperti mana di Jepun, Jumaat lalu.

Bencana, sekecil mana pun pasti menyebabkan kerugian dan kesedihan. Pada masa sama, ia juga menguji keimanan, kesabaran, kebijaksanaan serta sejauh mana kita mempelajari daripadanya.

Jepun, sebagai negara termaju di dunia dengan rakyatnya yang terkenal berdisiplin ternyata sudah lama belajar daripada bencana alam itu. Mungkin kerana itu, angka kematian dan jumlah kemusnahan akibat kejadian Jumaat lalu masih boleh dianggap kecil berbanding kekuatan gempa dan kedahsyatan tsunami yang melanda.

Sikap kebanyakan rakyat Jepun menghadapi gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu mungkin boleh dipelajari kita, walaupun bencana besar di negara ini mungkin hanya banjir setiap musim tengkujuh. Sejak gempa bumi berskala 7.9 Ritcher pada 1 September 1923 yang hampir meranapkan Tokyo, rakyat Jepun sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan dilanda gempa lebih buruk daripada itu. Pada kejadian 88 tahun lalu itu, Tokyo terbakar selama tiga hari dan 140,000 terkorban.

Sejak bencana itu, Kerajaan Jepun memperkenalkan peraturan yang memastikan setiap bangunan, empangan dan binaan mampu menghadapi gegaran sebaik mungkin. Mulai 1980, Agensi Meteorologi Jepun memasang lebih 130 alat pengesan di gunung dan dasar laut untuk mengesan gegaran geologi yang mungkin petanda kedatangan gempa bumi di wilayah selatan Tokyo.

Data elektronik yang dikumpul melalui kaedah itu diawasi komputer dan dua petugas sepanjang masa. Gempa bumi Kobe pada 1995 pula menyedarkan pihak berkuasa bahawa keadaan bangunan pejabat yang uzur serta kelewatan badan bertindak pada peringkat jabatan kerajaan, menyebabkan 6,400 orang terkorban selepas terperangkap di bawah runtuhan.

Rakyat Jepun memang sedar bahawa gugusan pulau yang membentuk negara itu terletak di atas titik lingkaran Pasifik di mana tiga kerak bumi sentiasa berlaga, menyebabkan antara 30 hingga 40 gegaran dapat dirasai setahun. Ketidakstabilan geologi sudah menjadi sebahagian kehidupan harian rakyat Jepun, manakala istilah ‘jishin’ (gempa bumi) menjadi mainan bibir setiap kali mereka merasai gegaran.

Kebanyakan bangunan baru di Jepun kini memang mempunyai alas getah bawah tanah untuk menahan kesan gegaran, manakala pencakar langit direkabentuk supaya dapat bertahan goyangan selepas gempa bumi.

Setiap 1 September pula, sempena memperingati gempa bumi 1923, jutaan rakyat Jepun menyertai latihan menghadapi bencana anjuran pihak berkuasa tempatan di daerah masing-masing. Kanak-kanak sekolah memakai penutup kepala dan berlatih berlindung di bawah meja. Warga tua diingatkan supaya memilih tempat untuk bertemu dengan orang tersayang sekiranya terpisah ketika bencana. Kedai pula menjual peti kecemasan mengandungi air, lampu picit dan makanan tahan lama.

Kita sendiri dapat menyaksikan siaran televisyen bagaimana rakyat Jepun agak tenang ketika menghadapi saat-saat cemas ketika menghadapi gegaran itu – sama ada di sekolah, rumah, pejabat dan di dalam pasar raya.

Murid terus memakai pelindung kepala dan berlindung di bawah meja sebaik saja merasai gegaran. Pekerja pejabat yang keluar dari bangunan juga dilihat memakai alat pelindung kepala, tindakan yang sudah menjadi sebahagian daripada piawaian keselamatan di tempat kerja ketika menghadapi gempa kuat. Malah penyampai berita televisyen tempatan juga dilihat memakai topi keselamatan ketika bertugas.

Walaupun kita di Malaysia belum pernah dilanda gempa bumi besar, semakin kerapnya gegaran kecil dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, turut menimbulkan pertanyaan sejauh manakah persediaan kita jika ditakdirkan bencana itu berlaku pada tahap menyebabkan kemusnahan.

Jika cara kita menghadapi banjir besar dijadikan ukuran, walaupun dari segi korban dan kemusnahan tidak sebesar gempa bumi, tsunami atau gunung berapi rasanya kita masih perlu banyak belajar daripada rakyat Jepun.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Hormatilah penggunaan bahasa kebangsaan

PENERIMAAN bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sebagai antara bahasa utama di dunia jelas terlihat dengan penyertaan masyarakat dunia dari 54 negara dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) yang masuk edisi kelima pada tahun ini.

Lebih membanggakan lima negara baru iaitu Slovenia, Estonia, Finland, Tajikistan dan Latvia memasuki senarai peserta terbaru. Perkembangan ini amat membanggakan sebagai pengiktirafan Bahasa kebangsaan berjaya memikat hati orang bukan Melayu untuk menjadi juadah lisan mereka.

Apa yang menyedihkan adalah, apabila terdapat segelintir rakyat negara kita seakan-akan cuba meminggirkan peranan bahasa kita yang pernah menjadi lingua franca pedagang-pedagang seantero dunia untuk berkomunikasi semasa di zaman keagungan Kesultanan Melaka.

Dalam zaman siber ini penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia yang mengikut tatabahasa mahupun nahunya semakin dihakis oleh bahasa slanga dalam sistem pesanan ringkas. Laman sosial yang semakin ramai ahlinya turut terkena tempias ribuan bahasa ringkas hingga ada pihak yang sanggup mempermainkan bahasa Melayu semata-mata ingin mempersendakan orang lain.

Sepatutnya bahasa ringkas ini tidak digalakkan dikarang di dalam laman sosial mahupun telefon hingga menghilangkan makna dan mencetuskan perbalahan sehingga ada yang membuat laporan polis.

Orang Inggeris pasti marah jika kita menulis ucapan terima kasih (thank you) sebagai 'TY' sahaja. Mereka lebih selesa menyebut perkataan thanks secara ringkas, kerana maknanya hampir kepada bunyinya.

Dalam sistem pesanan ringkas, kita pasti terkilan apabila pesanan panjang yang dihantar hanya dijawab 'k', 'tq' (baik, terima kasih) seolah-olah si penerima tidak menghormati orang yang menghantar pesanan tersebut.

Sebagai orang Melayu kita perlu mengucapkan terima kasih dengan penuh di layar telefon bimbit sebagai tanda kita menghargai ingatan si penghantar pesanan. Langkah kita mengucapkan secara ringkas menyebabkan bahasa Melayu semakin pupus secara piawainya.

Bukan bahasa sahaja boleh pupus, adat budaya turut terjejas sama. Adakah kita ingin menonjolkan perkara sebegini kepada tetamu yang ingin berpidato dalam bahasa kita?

Apa yang pasti jika mereka melawat ke beberapa negeri di negara ini mereka pasti pening melihat ada papan tanda yang mempunyai empat bahasa. Seolah-olah bahasa rasmi negara ini ada empat bahasa. Sebaiknya sebagai rakyat Malaysia kita perlu mengiktiraf Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan dan menerima sebulat suara dan hati terhadap pemakaian bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara kita.

Jika semua pihak asyik ingin mempolitikkan segala isu termasuk isu bahasa rasmi, kita risau suatu hari nanti semua bangsa dan etnik ingin bahasa mereka turut terpapar di setiap papan tanda.

Penggunaan bahasa rasmi amat perlu, kerana ia bukan sahaja dapat difahami secara menyeluruh malah banyak kos akan terlibat hanya untuk menyediakan paparan untuk memuaskan hati semua bangsa dan etnik.

Bahasa Malaysia perlu terus menjadi bahasa rasmi negara kita selama-lamanya kerana bahasa kita telah diiktiraf oleh masyarakat dunia semenjak zaman-berzaman. Jangan disebabkan politik dan kemodenan teknologi maklumat, bahasa Melayu dinoda dan dijadikan persaingan yang tidak sihat.

Jika orang asing boleh mempelajari bahasa Melayu malahan berpidato dalam bahasa ibunda kita, mengapa ada yang menganggap bahasa kita boleh sesuka hati diringkas dan dipasang-pasangkan.

Hormatilah bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Gunakan bahasa Melayu untuk perkara rasmi. Jika ingin guna bahasa Melayu, gunalah dengan betul. Mungkin ada yang lupa perkataan amuk atau run amuck dalam bahasa Inggeris berasal daripada bahasa Melayu. Sebab-musabab ia diiktiraf demikian rupa, tepuk bahasa tanya budaya.

ABDUL RAZAK IDRIS

Banting, Selangor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

KARTUN TSUNAMI BERITA MINGGU CETUS BANTAHAN

Akhbar Berita Minggu hari ini mencetuskan kontroversi apabila ia menyiarkan sebuah kartun mengenai kejadian tsunami di Jepun yang meragut nyawa ribuan rakyatnya, lapor malaysiakini.

Kartun lukisan Zoy yang disiarkan di muka dalam Berita Minggu - edisi hari Ahad Berita Harian - memaparkan superhero popular Jepun - Ultraman - lari lintang pukang dari ombak tsunami yang besar.

Berikutan itu, ramai rakyat Malaysia telah menyuarakan rasa kesal dan kemarahan mereka - melalui laman web sosial dan Twitter - terhadap Berita Minggu, malah ada yang menggesa supaya memboikot akhbar tersebut.

Satu laman petisyen online turut diwujudkan untuk membantah kartun tersebut, dan dalam beberapa jam sahaja, telah mengumpul 571 tandatangan.

Beberapa ahli politik dari kedua belah pihak turut mengecam kartun yang menurut mereka sebagai tidak sensitif.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dalam Twitter, menulis bahawa BH perlu memohon maaf kerana menyiarkan kartun tersebut yang menurutnya tidak sensitif langsung terhadap apa yang menimpa rakyat Jepun.

Sementara ini siaran kartun Berita Harian itu juga telah mendapat bantahan masyarakat dunia apabila CNN ireport turut memaparkan hal bantahan tersebut di lamanwebnya.

Komen-komen dari pengunjung laman web tersebut jelas kecewa dan marah dengan penyiaran karikatur yang tidak bertanggungjawab itu.


CNN iReport —

Local Malaysian newspaper Berita Harian published a caricature in their editor's column today that depicts the popular Japanese cartoon character Ultraman as trying to outrun an incoming tsunami.

The publication has received tremendous criticisms by readers, who accuse the editors as being "inconsiderate and distasteful". Several political leaders have even stepped out and demand a public apology, to which the editors promptly made on their publication's Facebook fan page.


Diantara komen yang ada ialah:

They poke a joke at this just because it's not happening at their own home. What does that tell you about BH's level of sensitivity?

Well done to the EDITOR IN-CHIEF !!! GR8 JOB ON HUMILIATING THE WHOLE MALAYSIAN. Now I am ashamed to be Malaysian.

This is outrageous! A total insult to Japan. Before insulting someone else, have you ever take a look at yourself? People are far more advance than you! You have no rights, under any circumstances to publish this kind of images. But since you have, commit to the consequences you have to suffer now. This is not what should be happening! We are all humans and we all have feelings. Doesn't it hurt for things...
Read more …


nota:

Sehingga jam 7.25 pm, laman web Berita Harian belum menyiarkan sebarang permintaan maaf kecuali melalui mesej yang disiarkan menerusi Facebook petang tadi, pengarangnya menulis: “Berita Harian memohon maaf dengan penyiaran karikatur mengenai kejadian tsunami dan gempa bumi di Jepun dalam akhbar Berita Minggu hari ini.

“Pihak kami tidak berniat langsung untuk mempersendakan bencana yang menimpa negara itu, sebaliknya amat bersimpati dan berkongsi kesedihan dengan rakyat Jepun.”

Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mior Kamarul Shahid, yang mempunyai kolum peribadi di halaman yang sama, juga memohon maaf menerusi mesej akaun Twitternya sekitar 3 petang tadi.

TERKINI

BERITA HARIAN telah pun menyatakan permohonan maafnya melalui laman web sekitar jam 7:38:52 PM

Berikut ialah beritanya:

Berita Harian mohon maaf

MERUJUK kepada ilustrasi mengenai tragedi tsunami di Jepun yang mencetuskan kontroversi dalam Berita Minggu semalam, kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak berniat untuk mempersenda atau menunjukkan sikap kurang prihatin terhadap peristiwa yang berlaku Jumaat lalu.

Malah kami juga tidak bertolak ansur dengan sebarang cubaan untuk memburukkan keadaan di negara berkenaan.

Kami mendapat banyak reaksi daripada pembaca berhubung ilustrasi itu menerusi laman sosial dan panggilan telefon daripada orang ramai yang prihatin mengenai nasib rakyat Jepun.

Kami sensitif dengan tragedi yang menimpa rakyat Jepun, malah turut melancarkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima untuk menggalakkan masyarakat menyumbang bagi meringankan beban mangsa bencana. Kami turut menghantar wartawan ke tempat kejadian bagi membolehkan mereka melaporkan situasi sebenar tragedi.

Kami berasa sedih dengan kesengsaraan rakyat Jepun yang kehilangan anggota keluarga dan harta benda. Pelukis ilustrasi kami turut meminta maaf atas lakaran yang menimbulkan kontroversi.

Kami amat simpati dengan kejadian terbabit dan sekali lagi memohon maaf atas rasa kurang senang yang timbul berikutan penerbitan ilustrasi itu.

Demi harumkan nama universiti

SEMANGAT...menyanyikan lagu kebangsaan untuk memperoleh semangat

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my

MENDENGARNYA saja, seakan-akan terasa kepenatan dan keperitannya, apatah lagi terpaksa berlari selama 72 jam tanpa henti.

Namun, demi melakar sejarah di samping menyumbang ‘sesuatu’ kepada tempat mereka menimba ilmu, enam penuntut Universiti Malaya (UM) sanggup mempertaruh­kan kekuatan fizikal mereka asalkan sasaran tercapai.

Lebih manis, acara diberi nama Larian Bergilir Tanpa Henti di atas ‘treadmill’ itu diiktiraf sebagai rekod negara dan dimasukkan dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai larian paling lama iaitu selama 72 jam.

Turut menyaksikan detik bersejarah itu Timbalan Menteri Pengajian Ting­gi, Datuk Dr Hou Kok Chung yang menyampaikan sijil pengiktirafan kejayaan berkenaan kepada pengurusan UM.

Acara anjuran Kolej Kediaman Kelima UM itu satu daripada aktiviti di bawah projek ‘5th Records Breakers’ dan mendapat tajaan daripada peneraju peralatan kesihatan di Malaysia, Gintell Sdn Berhad.

Malah, pelari mendapat sokongan moral daripada orang ramai yang mengunjungi pusat beli-belah Tropicana, Petaling Jaya yang diadakan pada 4 hingga 7 Mac lalu.


Pengarah projeknya, Rafi Osman Mohamad, 23, berkata idea melaksanakannya timbul September lalu atas dasar mahu melakukan perkara yang dapat mengharumkan nama UM.

Katanya, sebagai pelajar, tergerak di hatinya mahu memberi penghargaan kepada universiti tertua negara itu atas jasanya mendidik anak bangsa.

“Pada mulanya kami merancang melakukan larian me­ngelilingi kampus dalam tempoh 48 jam, namun terpaksa dibatal­kan kerana khuatir tahap kelajuan setiap pelari tidak sama.

“Pihak MBOR mencadangkan kami melakukan larian di atas treadmill bagi memudahkan pihak mereka mengukur kelajuan dan tempoh masa,” katanya.
Menurutnya, acara itu sebenarnya terbuka kepada semua penuntut UM yang mempunyai daya ketahanan fizikal mahupun mental tinggi.

Pada peringkat awal, pihaknya menerima 30 penyertaan namun selepas melalui peringkat saringan bagi mengukur tahap kecergasan, hanya enam layak memikul cabaran itu.

Katanya, antara ujian kecergasan dilakukan adalah ‘multi-stage fitness stage’ bagi menguji tahap kecergasan kardiovaskular.

Tempoh dua bulan selepas pemilihan peserta akhir dijalankan, ia digunakan sepenuhnya untuk melakukan latihan di makmal fizikal UM.

“Mereka perlu menjalani latihan di atas treadmill selama dua hingga tiga jam sehari bagi memastikan tahap kecergasan konsisten.

“Selain latihan fizikal, mereka perlu menjaga pemakanan kerana ia sedikit sebanyak mempengaruhi corak larian,” katanya.

Rafi berkata, sebelum cabaran bermula, dia 80 peratus yakin rakannya berupaya menamatkan larian itu.

Tidak bermaksud menafikan kemampuan mereka, sebalik­nya baki 20 peratus itu adalah persiapan jika berdepan masalah teknikal atau kecederaan.

Katanya, peserta dipecahkan kepada dua kumpulan dan mereka melakukan larian secara bergilir-gilir selama dua jam dan berehat empat jam sebelum kembali berlari.

Secara puratanya, setiap pelari berlari 12 kali iaitu bersamaan 24 jam bagi meleng­kapkan tempoh 72 jam yang ditetapkan.

Larian itu bermula tepat jam 7 malam dengan dua peserta memulakan larian pertama pada 4 Mac lalu dan berakhir pada waktu sama tiga hari kemudian.

Sebanyak tiga treadmill digunakan setiap kumpulan kerana setiap alat senaman itu memerlukan lima jam untuk ‘rehat’ sebelum boleh digunakan semula.

Setiap treadmill diprogram dengan kelajuan 60 kilometer sejam (km/j), justeru, setiap pelari berlari dengan kepantasan sama.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang acara itu berlangsung, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan ini berkata, masalah kecederaan adalah perkara yang sering menghantuinya.

“Antara kecederaan lazim yang mereka hadapi adalah di pergelangan kaki, betis dan paha sehingga ada ketikanya membuatkan mereka mahu menarik diri.

“Sebagai pengarah projek, saya bertindak memberi motivasi dan meniup semangat mereka untuk meneruskan larian,” katanya.

Bagaimanapun, jika kecederaan mereka teruk, dia tidak akan memaksa peserta meneruskan larian kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk.

Acara julung kali diadakan itu juga bertujuan menyebarkan mesej mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.

Gintell selaku penaja utama menjadikan acara itu sebagai satu tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat di negara ini, khususnya mahasiswa, dalam usaha memberi kesedaran mengenai pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.

Bagi See Thiam You, 22, kali pertama pengarah projek mengajaknya menyertai larian itu, dia terus bersetuju tanpa berfikir panjang.

Dia yang sememangnya meminati aktiviti sukan berkata, dia yakin kemampuan dirinya untuk menamatkan larian.

“Mungkin ada orang beranggapan saya terlalu yakin, tetapi bagi saya apabila Rafi (pe­ngarah projek) menawarkan peluang itu kepada saya, dia memang yakin dengan kemampuan saya.

“Saya sering memastikan tidak terlepas walau sekali pun latihan ditetapkan. Walaupun ketika latihan peserta wajib melakukan larian sejauh 6 km, saya biasanya melakukan lebih dari itu,” katanya.

See berkata, tempoh sejam pertama larian itu tidak memberi masalah kepadanya, namun kepenatan mula terasa apabila memasuki jam ketiga dan keempat.

Lebih mencabar apabila dia terpaksa melakukan larian pada jam 3 pagi yang kebiasaannya waktu itu adalah masa untuk matanya ‘berehat’.

“Memang mencabar kerana saya terpaksa menahan rasa mengantuk dan pada masa sama perlu fokus pada larian dan ia hampir saja mengganggu saya.

“Saya mengambil keputusan berbual dengan rakan daripada kumpulan lain bagi menghilangkan rasa mengantuk dan kami saling memberi semangat antara satu sama lain,” katanya yang aktif bermain bola baling dan bola keranjang.

Mohd Nor Hafizan Abdul Hamit, 23, antara peserta yang mengalami banyak kecederaan, terutama pada kaki.

Katanya, selepas selesai tempoh 24 jam pertama, dia mula merasakan kesakitan pada buku lali kedua-dua kakinya.

Ketika itu terlintas juga di hati untuk menarik diri, namun apabila memikirkan usahanya selama 24 jam itu akan sia-sia jika berbuat demikian, dia tekad untuk meneruskan.

“Walaupun tiada siapa memaksa saya meneruskan larian, semangat untuk mencipta rekod Malaysia dan mengharumkan nama UM semakin berkobar-kobar.

“Saya katakan pada diri, jika saya boleh menghabiskan tempoh 24 jam pertama itu, saya pasti boleh menghabiskan baki 48 jam lagi,” katanya.

Menurutnya, ilmu diperoleh­nya di dalam bilik kuliah ba­nyak membantunya untuk pulih dalam masa singkat.

“Ketika tidur, saya memastikan kaki saya diletakkan pada permukaan lebih tinggi daripada kepala supaya aliran darah tidak melalui bahagian yang cedera itu.

“Malah, penjagaan makanan juga dititikberatkan di mana saya mengelak hidangan berat dalam tempoh dua jam sebelum larian kerana ia akan mengganggu kelancaran larian,” katanya.

Bagi Amirul Syazwan Samad, 22, dia sudah biasa menyertai larian jarak jauh dan cabaran melakukan larian ini tidak menjadi masalah besar padanya.

Walaupun mempunyai pengalaman itu, dia tetap memberi komitmen tinggi dan menjalani latihan ditetapkan.

“Saya meminati larian jarak jauh sejak kecil dan minat itulah membawa saya ke sini (UM). Kebiasaannya saya melakukan larian sejauh 20km hingga 30km.

“Larian di atas treadmill mungkin baru bagi saya tetapi saya cuba mengaplikasikan pengalaman saya sepanjang acara itu berlangsung,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan antara larian jarak jauh dengan di atas treadmill, katanya, kedua-dua larian itu mempu­nyai cabarannya.

“Larian jarak jauh mungkin ‘tenang’ kerana dilakukan di kawasan terbuka dan pelari lebih relaks di samping dapat membina keyakinan diri.

“Oleh kerana larian atas treadmill ini dilakukan di kawasan tertutup, pelari mungkin berdepan sedikit tekanan dan ketika itu, ketahanan mental memainkan peranan,” katanya.

Anak muda ini antara atlet harapan UM dan meletakkan sasaran memenangi pingat emas acara larian jarak jauh dalam kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia tidak lama lagi.

PROFIL:

NAMA: See Thiam You
UMUR: 22 tahun
ASAL: Muar, Johor
KELUARGA: Kelima daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, UM

PROFIL

NAMA: Mohd Nor Hafizan Abdul Hamit
UMUR: 23 tahun
ASAL: Rompin, Pahang
KELUARGA: Kelima daripada sembilan beradik
PENDIDIKAN: Tahun akhir Ijazah Sains Sukan, UM

PROFIL

NAMA: Amirul Syazwan Samad
UMUR: 22 tahun
ASAL: Nibong Tabal, Pulau Pinang
KELUARGA: Sulung daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Tahun kedua Ijazah Sains Sukan, UM

INFO:

  • Larian Bergilir Tanpa Henti di atas ‘treadmill’ dilakukan selama 72 jam

  • Diiktiraf dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai larian paling lama

  • Seramai enam peserta mengambil bahagian

  • Acara bermula jam 7 malam pada 4 Mac lalu dan berakhir pada jam sama tiga hari kemudian.

  • Sumber : http : //www.hmetro.com.my/