Jumaat, 20 November 2009

UPSR : 48,171 peroleh gred A

Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my


PELAJAR Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 4 mendapat imbuhan tunai RM100 selepas memperoleh 5A dalam UPSR di Kota Bharu, semalam.

Jurang perbezaan antara calon luar bandar, bandar mengecil

PUTRAJAYA: Seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh gred A atau cemerlang bagi semua mata pelajaran tahun ini berbanding 46,641 calon tahun lalu, meningkat 0.32 peratus.

Baki 319,336 calon memperoleh minimum gred C atau baik bagi semua mata pelajaran, manakala 3,266 lagi memperoleh gred E atau sangat lemah bagi semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pencapaian diukur berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) yang menggunakan indeks cemerlang (semua A), baik (minimum C) dan sangat lemah (semua E).

GPN adalah indeks yang digunakan bagi merumus pencapaian keseluruhan calon dalam peperiksaan serta ia dihitung berdasarkan lima gred pernyataan iaitu gred A (satu), B (dua), C (tiga) dan D (empat) dan E (lima).

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN meningkat sebanyak satu peratus tahun ini. Cemerlang (semua A) meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding 9.19 peratus tahun lalu dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian baik (minimum C) meningkat 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan 0.47 peratus, manakala pencapaian lemah (semua E) menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini, semalam.

Seramai 517,908 calon berdaftar menduduki UPSR tahun ini 8 hingga 10 September lalu. Daripada jumlah itu, 510,125 adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, manakala 7,783 adalah calon sekolah swasta.

Beliau berkata, pencapaian calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan, malah jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar kini semakin berkurangan.

"Perbezaan bilangan calon bandar dan luar bandar mendapat gred A bagi semua mata pelajaran tahun ini ialah 3.64 peratus atau 14,980 calon berbanding 4.22 peratus atau 16,241 calon tahun lalu.

"Begitu juga perbezaan nilai GPN bagi murid di kawasan bandar dan luar bandar bagi tahun ini adalah lebih kecil, iaitu 0.2 berbanding 0.22 tahun lalu," katanya.

Mengenai calon istimewa, Alimuddin berkata, 1,086 calon istimewa mengambil UPSR tahun ini, iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu, iaitu 664 calon.

Daripada jumlah itu, 13 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran, 11 (gred C) dan 59 (gred E).

Mengulas pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini, Alimuddin berkata, secara keseluruhan ia menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara berada di landasan yang baik.

"UPSR diadakan bertujuan mengukur tahap penguasaan murid membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M).

"Maklumat diperoleh dijadikan petunjuk sejauh mana tahap penguasaan mereka dalam mata pelajaran yang ditawarkan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah," katanya.

Dari segi mata pelajaran, Bahasa Tamil menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi, iaitu sebanyak 3.6 peratus dan Matematik yang meningkat 4.2 peratus.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/